Suatu masa dahulu, salah sebuah zon meteoroid di dalam Persekutuan itu telah menjadi kawasan laluan penerbangan antara galaksi untuk Persekutuan. Namun begitu, beberapa abad yang lalu, meteoroid di dalam zon ini mula bergerak dengan tidak tentu hala. Trajektori pergerakan meteoroid itu menjadi tidak menentu dan tidak boleh diramal, sehingga menyebabkan beberapa pelanggaran tragis terjadi oleh sebab kapal-kapal angkasa ini tidak sempat mengelak meteoroid tersebut. Lalu laluan penerbangan ini akhirnya diabaikan oleh pihak Persekutuan...
Apa yang orang ramai tidak tahu ialah, di tengah-tengah zon meteoroid ini terdapat sebuah kubu angkasa yang kelihatan seperti sebuah pergunungan meteor yang besar. Di dalamnya terdapat sebuah pangkalan tentera Persekutuan yang tersembunyi...