Selepas dibersihkan, Lan Luofeng dan Ling Lan dipindahkan ke bilik hospital mewah di mana Ling Qin telah pun menyediakan alatan khusus untuk mengukur statistik tubuh dan potensi bayi.
"Puan, izinkan saya memeriksa keadaan Tuan Muda." Sebenarnya, Ling Qin sedikit kecewa bayi itu seorang perempuan. Walaupun segala manfaat premium ketenteraan Mejar Jeneral Ling Xiao akan diwarisi oleh Cik Muda ini, keluarga Ling tidak akan dapat, sekurang-kurangnya untuk generasi ini, memperoleh senjata terkuat yang mewakili Persekutuan – sama seperti yang Mejar Jeneral Ling Xiao pernah ada – iaitu mecha IN!
Undang-undang Persekutuan hanya membenarkan waris lelaki untuk untuk mewarisi manfaat dan segala penghormatan ketenteraan. Bunyinya mungkin tidak adil, tetapi berasas. Ini kerana di kalangan mecha IN yang berfungsi, tiada satu pun mempunyai pengendali wanita.
Kelayakan untuk menjadi pengendali mecha IN terlalu tinggi – bukan sahaja seseorang itu memerlukan kuasa spiritual yang hebat, dia juga mesti memiliki tubuh yang kuat dan tegap. Ini kerana mecha IN digerakkan oleh kombinasi jati diri dan pergerakan badan. Kedua-dua ini bergerak seiring untuk melawan serangan serta teknik peperangan yang rumit dan terlalu bahaya. Bergantung kepada kuasa di sebalik pergerakan ini, sedikit tenaga akan dilantunkan semula ke pengendalinya. Tanpa tubuh yang tegap, seorang pengendali mungkin mengalami kecederaan hanya dengan melancarkan satu pergerakan asas.
Perbezaan semula jadi di antara jantina mungkin tidak dapat terlalu ketara dengan mecha biasa, tetapi dapat dilihat dengan mecha IN. Tiada seorang perempuan pun boleh bertahan dengan pantulan seperti itu, walaupun dia memiliki susuk tubuh yang sasa. Berkaitan dengan pengendalian mecha IN juga, jurang fizikal di antara jantina tidak dapat dirapatkan dengan hanya bekerja keras.
Bercakap mengenai mewarisi segala manfaat ketenteraan, ini sebenarnya merujuk kepada sumber berharga yang dihasilkan oleh negara. Negara akan melabur wang yang banyak serta tenaga manusia untuk mengasuh pewaris yang ditentukan. Tujuan utama ialah suatu masa nanti, calon-calon yang dipilih akan mengendalikan mecha IN dan menjadi senjata yang paling dahsyat untuk negara.
Oleh itu, wanita, yang sememangnya tidak boleh mengendalikan mecha IN, disisihkan oleh pihak Persekutuan. Seperti kata ahli politik, mereka tidak boleh membazirkan wang pembayar cukai, bukan? Maka undang-undang yang berat sebelah dan mendiskriminasikan wanita telah diluluskan tanpa tentangan dari orang ramai.
Ling Lan bagaimana pun masih tidak mengerti mengenai hal ini. Sebaik sahaja meraung dua kali selepas dilahirkan, dia terus berlatih, kerana dia tahu deria Qi nya telah naik lebih jauh sejak melihat dunia kali pertama, memberikan satu keseronokan kepadanya. Walaupun dia tidak tahu apa sebenarnya terjadi, Ling Lan tahu inilah peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan dan terus masuk dalam keadaan bermeditasi tanpa mempedulikan di mana dia berada.
Sudah tentu, Ling Lan menjadi begitu berani kerana dia seorang bayi. Selain dari makan tidur, dia sebenarnya tiada apa yang hendak dilakukan. Walaupun dia masuk di dalam keadaan berlatih, orang luar menyangkakan dia tidur dan tidak perlu risau. Yang lebih penting, dari kata-kata ibunya sewaktu dia dilahirkan, dia tahu ibunya akan memastikan dia dilindungi, memberikan semangat untuk terus memberi fokus kepada latihan.
Lan Luofeng menyerahkan Ling Lan kepada Ling Qin dengan berhati-hati dan melihat Ling Qin meletakkan bayi itu di dalam satu bekas lutsinar berbentuk bujur.
Sebaik sahaja Ling Qin menarik tangannya, bekas lutsinar itu tertutup sendiri dan lampu hijau dan merah bergerak mengikut rentak tubuh Ling Lan.
Tiba-tiba, petak tersebut mengeluarkan bunyi amaran yang kuat.
"Apa yang berlaku?", Lan Luofeng bingkas bangun dari katilnya. Wajahnya yang sememangnya pucat selepas bersalin, menjadi lebih pucat dalam ketakutan dan kerisauan mengenai bayinya.
Ling Qin juga turut tersentak dengan bunyi amaran yang tidak disangkanya. Begitu pun, sebelum Ling Qin sempat memeriksa, bunyi amaran terus terhenti, dan penilaian berjalan seperti biasa.
Semua yang hadir masih terkejut dan tidak tahu apa yang hendak dilakukan, tetapi tidak berani menghentikan penilaian dan terus menunggu dengan sabar.
Ling Lan langsung tidak sedar apa yang berlaku – pada masa itu suatu suara keanak-anakan yang boleh didengari di dalam mindanya berkata dengan gembira, 'Nasib baik refleks saya baik, kalau tidak rahsia hos saya mungkin akan bocor. Bila saya bertemu dengan hos ini, saya akan memintanya memuji saya…hehe!'
Akhirnya, alat penilaian mula mengeluarkan keputusan.
Data penilaian:
Kecergasan fizikal: Pangkat [S]!
Kuasa Spiritual: Peringkat-2!
Potensi: Pangkat [S]!
Penilaian keseluruhan: Sangat baik, pertapaan berfokus disyorkan.
Ling Qin terkejut dengan keputusan ini. Seolah-olah tidak percaya, dia bergegas untuk melihat dengan lebih dekat salinan keputusan yang dicetak oleh mesin.
Keputusan yang dicetak di dalam hitam putih memang tepat, membuktikan dia tidak tersalah dengar.
Pangkat [S] untuk kecergasan fizikal jarang diperolehi walaupun untuk bayi lelaki, mungkin 1 atau 2 dalam seribu. Ini bukanlah kes ekstrem, kerana ayah Ling Lan, Ling Xiao, seorang genius berbakat yang dilahirkan dengan pangkat [SS] untuk kecergasan fizikal, puratanya 1 di dalam berpuluh ribu. Nampaknya Ling Lan mewarisi kecergasan fizikal yang baik daripada ayahnya, fikir Ling Qin.
Lebih memeranjatkan, Ling Lan memiliki kuasa spiritual peringkat-2 semula jadi. Ini bermakna Ling Lan ada kelebihan semula jadi di dalam latihan mental, sesuatu yang puratanya hanya 1 di dalam beberapa puluh ribu individu….
Ling Qin terkesima dan menggigil. Bapa Ling Lan, Mejar Jeneral Ling Xiao pun hanya mendapat peringkat-1 kuasa spiritual ketika dilahirkan.
Potensi pangkat [S] — penilaian asas yang sama seperti ayahnya. Mejar Jeneral Ling Xiao seorang pengendali mecha IN….maksudnya Cik Muda Ling Lan mungkin boleh mengendalikan mecha IN?
Seorang pengendali mecha IN...tubuh Ling Qin menggigil memikirkannya dan dia hampir menangis. Mungkinkah keluarga Ling akan menghasilkan seorang pengendali mecha IN wanita yang pertama?
Jika benar, hal ini akan memberi satu tamparan kepada semua penyokokng Perekutuan!
Walaupun terkejut dengan keputusan penilaian anaknya, naluri keibuan membuatkan perkara utama yang Lan Luofeng fikirkan, bagaimana hednak melindungi anaknya. Dengan nada serius dia berkata, "Pak Cik Qin, penilaian Ling Lan mesti dirahsiakan."
Jika penilaian Ling Lan diumumkan, seluruh negara tentu akan menyarankan agar dia diberi latihan intensif. Kalaulah Ling Lan lelaki, tidak mengapa. Tetapi Lan Luofeng tidak mahu anak perempuannya menderita. Dan jika pihak berkuasa menghantar pelatih profesional untuk melatih Ling Lan, jantinanya akan diketahui. Oleh itu, apa pun terjadi, keputusan penilaian mesti dirahsiakan.
Sebenarnya, sebelum Ling Lan dilahirkan, Lan Luofeng sudah mengambil keputusan untuk membenarkan Ling Lan memilih cara hidupnya sendiri. Dia tidak mahu Ling Lan mengikut jejak ayahnya dan menyertai tentera. Lan Luofeng sedar selagi Ling Lan tidak melakukan jenayah berat seperti mengkhianati negara, anaknya boleh hidup dengan manfaat premium ketenteraan bapanya tanpa perlu risau. Kalau Ling Lan mahu jadi anak orang kaya yang tidak berguna sekalipun, Lan Luofeng tidak akan membantah.
Melihat anaknya di dalam mesin itu dengan penuh kasih sayang tetapi terdapat juga sedikit penyesalan, Lan Luofeng berkata di dalam hati, "Ibu minta maaf sayang, memberikan kamu satu kehidupan yang pelik...hanya kerana kamu anak Ling Xiao dan ibu tidak akan membenarkan sesiapa pun menikmati manfaat hasil pengorbanan ayah kamu selain kamu."
"Tapi kamu juga anak ibu, dan ibu sangat sayangkan kamu, dan ibu tak mahu kamu menanggung beban keluarga Ling. Ibu tidak akan meminta kamu mengikut cara kehidupan tertentu - pilihlah jalan mana yang kamu mahu. Kalau kamu menjadi sampah masyarakat sekalipun, tidak mengapa. Ibu tetap menyayangi kamu."
Perlu diakui yang Lan Luofeng mempunyai potensi untuk menjadi seorang ibu yang terlalu melindungi anaknya sehingga ke tahap tidak rasional. Jika Ling Lan berhasrat untuk menghancurkan keluarga Ling suatu hari nanti, mungkin Lan Luofeng akan menyediakan pelan dengan penuh bersemangat.