Kelakuan Ling Lan menenangkan emosi Lan Luofeng. Dia sedar akan kehadiran wakil dari kerajaan Persekutuan dan pihak tentera. Dia tidak akan menghancurkan upacara perwarisan Ling Lan kerana perasaan marahnya.
Menahan kemarahannya, Lan Luofeng bertanya dengan dingin, "Apa niat Pak Cik Ren sebenarnya?"
Mata Ling Suren mengecil tetapi dia masih mendedahkan rancangannya. "Di kalangan kanak-kanak di dalam keluarga Ling yang berumur tiga tahun ke bawah, benarkan kami memilih seorang dengan kualiti dan potensi terbaik untuk mewarisi."
Tempoh kritikal bagi proses pertapaan dan membentuk peribadi ialah dari saat kelahiran sehinggalah ke umur tiga tahun. Setelah tamat tempoh ini, kesan pertapaan semakin berkurangan dan akan semakin lama akan menjadi kurang berkesan.
Lan Luofeng mencemuh, "Pak Cik benar-benar rasa ada kanak-kanak lain daripada keluarga ini yang mampu menandingi anak Ling Xiao sendiri? Biar saya ingatkan Pak Cik yang Ling Xiao ialah pengendali mecha IN." Di dalam Persekutuan, genetik ialah penentu segalanya. Kes seperti orang biasa yang tiba-tiba mempunyai bakat luar biasa atau fizikal berkualiti ialah kes yang jarang ditemui. Pengaliran sifat yang berkualiti dipupuk dan dibina secara turun-temurun.
"Jika keluarga Ling boleh menghasilkan Ling Xiao, kami boleh hasilkan satu lagi," kata Ling Suren dengan nada yakin. Dia dapat bercakap dengan penuh yakin kerana dia sudah mempunyai anak yang berkebolehan hampir sama dengan Ling Xiao dalam genggamannya. Inilah sebabnya dia sanggup melakukan apa sahaja untuk memiliki kelebihan ketenteraan Ling Xiao. Keluarga Ling harus menghasilkan Ling Xiao yang lain untuk terus bertapak di Planet Doha.
Walaupun pihak Persekutuan kini memegang ideologi kesetaraan pada dasarnya, namun sebenarnya masih terdapat strata sosial yang berbeza di belakang tabir yang menentukan planet mana boleh dihuni oleh seseorang.
Planet Doha ialah planet premium dan juga planet ibu negara untuk Persekutuan. Orang yang tinggal di Doha ialah dari kalangan pegawai tinggi yang mempunyai kuasa, pegawai atasan ketenteraan atau mereka yang berasal dari keluarga bangsawan yang kaya dan mempunyai sejarah serta pengaruh hebat.
Keluarga Ling asalnya hanya keluarga kecil yang hanya mampu berada di planet peringkat ketiga. Walau bagaimanapun, mereka mampu berpindah ke Doha hasil usaha ayah Ling Xiao iaitu Ling Suzheng.
Ling Suzheng ialah juruterbang handalan tetapi malangnya tidak dapat menjadi senjata utama bagi negara tersebut kerana dia bukan pengendali mecha IN. Namun, kebolehannya sangat hebat sehinggakan tiada siapa di bawah tahap pengendali mecha IN darinya mampu menandinginya. Dalam medan peperangan, dia telah berjaya menembak jatuh banyak juruterbang musuh yang handal yang membolehkannya mengumpul banyak penghormatan pertempuran dalam hidupnya. Akhirnya, pihak tentera membuat keputusan untuk memberi ganjaran kepada kehandalannya itu dengan membenarkan dia membawa keluarganya tinggal di Doha. Mereka mengakui peranannya sebagai pahlawan perang yang baru.
Bagi meyakinkan Ling Suzheng untuk membawa seluruh keluarga besar Ling ke Doha dan bukan hanya keluarga kecilnya, ketua dan orang tua dari keluarga Ling telah bersumpah akan mengakui Ling Suzheng sebagai pewaris yang sah dan segala keputusan di bawah arahannya. Tambahan lagi, kedudukan ketua keluarga juga akan diwarisi oleh keturunan Ling Suzheng bermula dari saat itu.
Bagi Ling Suzheng pula, dia memerlukan sokongan daripada keluarganya untuk terus kekal di Doha. Oleh itu, dia juga bersetuju untuk memindahkan keseluruhan keluarga Ling.
Keputusan Ling Suzheng ini telah mendatangkan masalah berterusan yang kepada Ling Xiao dan kini membuka pintu untuk ahli keluarga mereka yang lain untuk mencuri hak perwarisan Ling Lan. Jika Ling Suzheng tahu yang dia telah menjemput serigala melalui niat baiknya itu, dia mungkin tidak tenang dalam kuburnya.
Setelah tinggal di Doha dan menikmati faedahnya selama beberapa dekad, keluarga Ling tidak berniat untuk berpatah balik kepada kehidupan mereka yang sebelumnya. Mereka tahu dalam masa dua puluh tahun,selepas usaha pemupukan daripada negara itu, sekiranya waris Ling Xiao tidak dapat memenuhi syarat minimum yang ditetapkan, keluarga Ling akan kehilangan segala yang mereka miliki sejak datang ke Doha. Mereka harus kembali menjadi keluarga kelas pertengahan atau lebih buruk, mereka akan menjadi keluarga kelas bawahan. Perkara ini akan memberi kesan yang besar terhadap pendapatan keluarga Ling, serta membataskan hubungan percintaan dan laluan kerjaya bagi generasi keluarga Ling yang akan datang. Tidak, mereka tidak akan membenarkan perkara itu berlaku.
Ling Suren tidak memberi peluang untuk Lan Luofeng bercakap tetapi kemudian memberi isyarat kepada wanita yang sedang mendukung bayi berumur satu tahun itu untuk ke hadapan. Dia menunjuk ke arah anak itu dan berkata, "Inilah calon yang dipilih oleh keluarga Ling. Sekiranya kekuatan Tuan Muda Lan mampu menandingi dia, maka kami tidak akan membantah perwarisan Tuan Muda Lan."
Dia berpaling dan memandang wakil pihak tentera. "Saya pasti pihak tentera juga mahukan bakat terbaik untuk dipupuk dan tidak akan mengambil seseorang secara membuta tuli hanya kerana keturunannya."
Wakil ketenteraan itu hanya senyum dan diam. Dia tidak menunjukkan sebarang tanda, sama ada bersetuju atau tidak.
Ling Suren memang tidak mengharapkan sokongan yang jelas daripada pihak tentera. Dia hanya perlukan penerimaan yang kurang jelas seperti ini. Dia sekali lagi berpaling ke arah Lan Luofeng, cuma kali ini dengan pandangan penuh rasa puas hati.
Lan Luofeng senyum sinis. Nampaknya, menurut pandangan keluarga Ling, keputusan Lan Luofeng untuk merahsiakan keputusan penilaian Ling Lan ialah salah satu kelemahan yang boleh dieksploitasi. Mujurlah Pak Cik Qin sudah menjangkakan perkara ini daripada mereka dan sudah membuat persediaan yang sesuai.
"Kamu berani merampas keistimewaan ketenteraan milik Ling Xiao?" Lan Luofeng memandang di sekeliling bilik. Dalam kalangan tetamu, ada beberapa orang yang berada di situ untuk menikmati drama ini, tetapi ada juga yang benar-benar prihatin melihat keadaannya. Perbicaraan ini ada hikmahnya kerana dia akhirnya dapat melihat sifat sebenar orang di sekelilingnya. "Walaupun Mejar Jeneral Ling Xiao sudah mati, anak yatimnya ini tidak sepatutnya ditindas oleh ahli keluarganya sendiri. Saya pasti pihak tentera ada sesuatu untuk dikatakan tentang hal ini?
Wakil pihak tentera itu memilih untuk tidak menghiraukan maksud di sebalik kata-kata Lan Luofeng, dan dia tersenyum sambil berkata, "Puan Ling, yakinlah. Jika diketepikan keistimewaan ketenteraan milik Mejar Jeneral Ling Xiao sekalipun, Ling Lan masih tidak akan kehilangan apa-apa faedah yang diberikan kepada anak-anak tentera yang terkorban. Pihak tentera tidak akan membiarkan anak seorang wira ditindas."
Walaupun kata-kata wakil ketenteraan itu kedengaran melegakan, namun maksud sebaliknya ialah keistimewaan ketenteraan itu akan diserahkan kepada calon yang terbaik untuk memenuhi kepentingan ketenteraan.
Lan Luofeng memandang wakil kerajaan pula, tetapi dia hanya tersenyum tanpa memberi menambah apa-apa kepada perbincangan itu. Nampaknya dia hanya mahu memerhatikan prosiding ini tanpa mencelah.
Oh, Ling Xiao, kepada pihak tentera inilah kamu telah dedikasikan seluruh hidup kamu. Negara yang kamu mahu lindungi sehingga sanggup berkorban nyawa. Pernahkan kamu membayangkan yang mereka akan mengkhianati kepercayaan kamu dan mengabaikan darah daging kamu demi kepentingan mereka? Adakah kamu menyesali keputusan kamu kini, setelah kamu mati?
Lan Luofeng tidak dapat menahan dirinya lagi. Dia berkata, "Jadi inilah kerajaan, inilah pihak tentera… Akhirnya saya faham."
Mungkin kerana mereka dapat mengesan maksud cemuhan Lan Luofeng, senyuman di wajah dua wakil tersebut terpadam.
"Sekiranya inilah keputusan yang diambil, saya, Lan Luofeng, mahu pihak kerajaan dan tentera berjanji. Tidak kira jika anak saya mewarisi keistimewaan ketenteraan milik Ling Xiao atau tidak, anak ini harus dibebaskan dari keluarga Ling dan tidak lagi ada kaitan dengan keluarga Ling dalam apa jua cara."
Kedua-dua wakil itu memandang satu sama lain, tetapi wakil ketenteraan itu yang akhirnya bersuara. "Apa maksud Puan?"
Lan Luofeng tersenyum dingin. "Sekiranya Ling Lan dipilih, kesemua ahli keluarga Ling harus segera meninggalkan Doha dan kembali ke tempat asal mereka. Sekiranya Ling Lan tidak dipilih, Ling Lan dan saya yang akan meninggalkan Doha. Tidak kira apa keputusannya nanti, kami berdua tidak lagi akan menjadi sebahagian daripada keluarga Ling."
Sudah lama sebenarnya Lan Luofeng mahu menyelesaikan perkara ini dengan keluarga Ling. Sekiranya dia mampu menyelesaikan perkara ini sekaligus, usahanya akan berbaloi.
Wajah Ling Suren bertukar menjadi marah. "Lan Luofeng, kamu dah gila?"
"Kenapa Pak Cik Ren takut? Takut anak yang dipilih pak cik tidak dapat mengalahkan Ling Lan?" Lan Luofeng tersenyum memandang Ling Suren sambil tangannya mengusap jari kecil montel Ling Lan. Mungkin inilah yang dikatakan kekuatan ibu. Lan Luofeng tidak pernah berasa tenang seperti ini.
Ling Suren terdiam. Walaupun dia begitu yakin sebentar tadi, tindakan agresif Lan Luofeng telah menggoyahkan pendiriannya dan dia mula ragu-ragu dengan keputusannya. Dia takut untuk mengambil risiko.
Menghidu keraguan dalam diri Ling Suren, salah seorang orang tua dari keluarga Ling yang berdiri di sebelahnya berbisik, "Jangan goyah, dia berbohong."
Mendengar kata-kata itu, Ling Suren menenangkan dirinya. Betul, Ling Luofeng sedang berbohong kerana terdesak. Sekiranya potesi dan keputusan fizikal Ling Lan sangat baik, mengapa Lan Luofeng merahsiakannya? Lagipun, semakin tinggi potensi Ling Lan, semakin terjamin hak perwarisannya. Seseorang yang bijak tidak akan merahsiakan keputusan itu tetapi akan memastikan setiap pelusuk dunia tahu mengenainya supaya tiada yang berani mencabar.