Chereads / SEMBANG GRUP PERTAPAAN / Chapter 11 - Aku Berpusing dan Ternampak Dia dengan Cahaya Malap dan Lampu dengan Cahaya Yang Samar

Chapter 11 - Aku Berpusing dan Ternampak Dia dengan Cahaya Malap dan Lampu dengan Cahaya Yang Samar

Di mata para peramal, masa depan sentiasa kabur, penuh dengan rahsia dan ketidakpastian.

Walau bagaimanapun, menurut seorang peramal yang 'terkenal', "Berdasarkan pilihan orang ramai yang berbeza, akan ada masa depan yang pelbagai. Tetapi tiada pilihan yang dibuat secara kebetulan.

Kerana hanya ada perkara yang tidak dapat dielakkan tetapi tidak ada perkara di luar jangkaan.

Malahan pertemuan antara dua orang yang seolah-olah berlaku secara kebetulan sebenarnya tidak dapat dielakkan. Perkara-perkara yang tidak dapat dielakkan, satu demi satu, mendorong roda sejarah ke hadapan dan menghasilkan pelbagai jenis masa depan yang tidak dapat dielakkan!"

Semua kata-kata ini hanya membawa satu maksud, iaitu hasil ramalan tidak pernah salah. Walaupun ia salah, ia berlaku kerana apa yang ditunjukkan oleh simbol ramalan adalah masa depan yang tidak dapat dielakkan di dunia sejajar yang lain. Dan kamu telah mendapat masa depan yang lain berdasarkan perkara lain yang tidak dapat dielakkan.

Oleh itu, dunia itu yang salah sebenarnya, bukan peramal!

Kata-kata di atas adalah alasan daripada seorang peramal yang gagal, yang sudah sejuta kali meramalkan masa depan tetapi tidak pernah mendapat ramalan yang tepat. Mungkin kamu tahu siapa dia. Ya, betul. Tukang tilik itu ialah Mahaguru Tiga Simbol Tembaga Abadi dari Kumpulan Nombor Satu Wilayah Sembilan.

Walaupun dia seorang tukang ramal yang sangat tidak boleh dipercayai, ada betulnya juga kata-katanya itu.

❄️❄️❄️

Song Shuhang tidak menyangka dia akan bertemu dengan gadis cantik berambut hitam dan berkaki panjang itu. Lagipun, dunia ini sangat besar dan mungkinkah terdapat banyak kebetulan sebegini?

Walau bagaimanapun, dia tidak menyangka akan berjumpa dengan gadis itu lagi selepas berjalan-jalan seketika.

Dia keluar dari Kedai Daging Rong Yao sambil membawa beg besar yang dipenuhi makanan lazat dari Syurga Makanan yang disediakannya untuk rakan-rakan sebiliknya. Sebaik sahaja dia melangkah keluar dari kedai, dia melihat gadis dengan rambut panjang hitam lurus yang cantik, menarik beg besar dan berjalan ke arahnya dengan cepat.

Melihat cara dia berjalan, Song mula faham kenapa orang kata "orang berkaki panjang berjalan pantas". Hanya dengan beberapa langkah, gadis berambut panjang hitam lurus itu sudah sampai kepadanya walaupun jarak antara mereka agak jauh.

Shuhang mencondongkan badannya ke tepi untuk memberi laluan kepada gadis itu supaya dia dapat melangkah dengan beg besarnya itu.

"Terima kasih," kata wanita cantik berambut hitam dengan lembut dan malu-malu.

Kemudian, dia berjalan ke sebuah kedai kecil di belakang Song Shuhang.

Song Shuhang mengangguk kecil dan bersedia untuk berjalan kembali ke asrama kerana sudah tiba masanya untuk dia pulang.

Sebaik sahaja dia berjalan dua atau tiga langkah, wanita cantik itu selesai membeli-belah dengan pantas dan bertanyakan sesuatu kepada pemilik kedai itu. Song tidak mempunyai niat untuk mencuri dengar perbualan orang lain dan mengganggu privasi mereka. Cumanya, dia terdengar soalan wanita cantik itu secara tidak sengaja.

Dan soalan yang ditanyakan oleh gadis itu membuat langkah Shuhang terhenti...

"Tuan tahu tak jika terdapat sebuah tokong yang dipanggil 'Tokong Lampu Berhantu' di kawasan jalan Luo Xin?"

Selepas berfikir beberapa ketika, penjaga kedai itu menggelengkan kepalanya, "Tokong Lampu Berhantu? Saya tidak pernah mendengarnya. Tetapi saya baru sahaja berpindah ke sini dua tahun yang lalu, jadi saya tak banyak tahu tentang kawasan ini. Kamu boleh bertanyakan penjual di kedai-kedai lama itu. Mereka sudah lama tinggal di kawasan jalan Luo Xin dan mereka mungkin tahu lebih banyak daripada saya. "

Penjelasannya penuh kesabaran, pemilik kedai itu jelas seorang lelaki yang baik, atau mungkin kerana wajah cantik gadis berambut hitam itu. Dan dalam era yang mengagungkan kecantikan ini, popularitinya mungkin telah meningkat sebanyak 100 darjah.

Tokong Lampu Berhantu, kawasan jalan Luo Xin?

Shuhang teringatkan gadis bernama Bulu Lembut Pulau Roh Kupu-kupu dalam sembang grup itu.

Saya salah dengarkah? 

   

Dengan rasa ragu-ragu, Song Shuhang mengeluarkan telefon bimbit yang besar dari sakunya dan meluncur ke skrin untuk membuka kunci skrin. Kemudian, dia masuk ke perisian sembang dan membuka Kumpulan Nombor Satu Wilayah Sembilan.

Terdapat beberapa rekod sembang baru dalam kumpulan itu selepas dia keluar.

Yang pertama adalah mesej dari Bulu Lembut yang dihantar lebih dua jam yang lalu.

Dia kata dia tidak dapat mencari maklumat tentang Tokong Lampu Berhantu, tetapi dia telah mengambil teksi untuk menuju ke kawasan jalan Luo Xin dan bersedia untuk terus bertanya kepada penduduk setempat.

Mesej seterusnya dihantar dua puluh minit yang lalu.

Kata Bulu Lembut Roh Pulau Kupu-kupu, "Saya telah berjaya tiba di kawasan jalan Luo Xin. Terdapat ramai orang di sini. Ia agak sibuk, sama sekali berbeza dengan apa yang saya bayangkan. Dan ternyata ia dipenuhi dengan gerai makanan. Saya jumpa banyak makanan lazat di sepanjang jalan. "

Nampaknya anginnya baik. Pertama, dia "berjaya" menjumpai kawasan jalan Luo Xin dan kedua, dia jumpa banyak makanan lazat di sini.

'Bermula dari lapangan terbang Jiangnan, kira-kira dua jam perjalanan dan kemudian, Luo Xin kawasan jalan dengan banyak makanan yang lazat, huh?' Song Shuang menggosok-gosok mukanya.

Mustahil untuk sampai ke Bandar J dari Lapangan Terbang Jiangnan dalam masa dua jam, sekalipun dia berlumba.

Berdasarkan masa memandu dan penerangan Bulu Lembut tentang destinasinya, dia mungkin telah sampai di tempat yang salah. Dia bukannyasampai di kawasan jalan Luo Xin di Bandar J, tetapi di Syurga Penggemar Makanan berhampiran Bandar Kolej Jiangnan.

Dan jika itu bukan satu kebetulan, maka gadis cantik berambut hitam dan berkaki panjang di belakang Shuhang tadi mungkin ialah Bulu Lembut.

Memikirkan yang gadis moden dan bergaya sebentar tadi ialah seorang peminat Xianxia dengan sifat chuunibyou, perasaan Song Shuhang menjadi lebih tidak keruan.

Tetapi... dia masih tidak pasti sekiranya gadis cantik itu adalah Bulu Lembut hanya melalui tekaan sahaja.

Lagipun, mungkin terdapat beberapa acara istimewa di Tokong Lampu Berhantu di kawasan Luo Xin di Bandar J sehingga ramai orang pergi ke sana. Jadi, mungkin ada ramai orang yang tiba di tempat yang salah, sama seperti Bulu Lembut dalam sembang grup itu.

Peluang yang tipis, tetapi tidak mustahil.

Jari Song Shuhang terus meluncur ke skrin, tetapi tidak ada mesej baru dalam kumpulan itu. Malah Pertapa Malas Sungai Utara juga tidak berada dalam talian. Mungkinkah dia sedang membantu untuk bertanya tentang Tokong Lampu Berhantu itu?

Shuhang sedang meluncur melewati skrin dengan jarinya ketika Bulu Lembut Roh Pulau Kupu-kupu menghantar mesej suara dalam sembang grup itu.

Song Shuang mengkliknya dalam keadaan separa sedar.

❄️❄️❄️

Bulu Lembut mengheret beg bagasinya dengan keletihan dan keluar dari kedai dengan wajah yang kecewa.

Ini kedai yang kedua belas. Cadangan pemilik kedai itu sangat baik, tetapi dia telah bertanya kepada semua pemilik kedai-kedai baru dan lama tetapi tiada siapa yang tahu tentang Tokong Lampu Berhantu itu.

Sambil menghela nafasnya, dia mengeluarkan telefonnya, meluncur di skrin dengan ibu jarinya dan membuka perisian sembang kemudian mengklik Kumpulan Nombor Satu Wilayah Sembilan.

Senior Pertapa Sungai Utara, orang yang sering dia minta tolong, masih belum memberi jawapan.

Memandangkan sukar buat dia untuk menaip menggunakan hanya satu tangan, dia membuka fungsi mesej suara dan mula bercakap dengan suara lembutnya, "Senior Sungai Utara, ada apa-apa maklumat mengenai Tokong Lampu Berhantu itu? Saya telah bertanya ramai peniaga di kawasan jalan Luo Xin, tetapi tiada siapa yang tahu mengenai tokong itu. Sila balas selepas menerima mesej ini."

Dia melepaskan ibu jarinya dan mesej suara itu berjaya dihantar.

Dia menyimpan telefon bimbitnya dan memutuskan untuk terus bertanya kepada pemilik kedai di kawasan jalan Luo Xin mengenai Tokong Lampu Berhantu sebelum dia menerima apa-apa mesej dari Pertapa Sungai Utara itu. Dia tidak boleh berputus asa!

Di pintu kedai, Bulu Lembut mendapati lelaki muda yang memberi laluan untuknya sebentar tadi masih berdiri di tepi jalan. Dia memegang telefon bimbitnya, sibuk meluncur di skrin telefon itu dan melakukan sesuatu.

Bulu Lembut tidak menghiraukannya dan terus berjalan.

Kemudian... dia mendengar suara yang tidak asing dari telefon bimbit lelaki muda itu.

"Senior Sungai Utara, ada apa-apa maklumat mengenai Tokong Lampu Berhantu itu? Saya telah bertanya ramai peniaga di kawasan jalan Luo Xin, tetapi tiada siapa yang tahu mengenai tokong itu. Sila balas selepas menerima mesej ini."

Bukankah itu... suaranya sendiri?

Dan inilah mesej suara yang dia telah hantar!

Langkah Bulu Lembut terhenti dan kemudian dia merasakan kegembiraan yang tidak dapat dibayangkan. Tanpa disangka-sangka, lelaki yang kelihatan begitu muda itu ialah seorang senior dari Kumpulan Nombor Satu Wilayah Sembilan!

Bulu Lembut yang sudah sesat dan hampir murung itu menjadi teruja bagaikan tikus yang jatuh ke dalam guni beras.

Dia cepat-cepat berlari ke arah Senior yang kelihatan muda itu!

❄️❄️❄️

Song Shuang baru sahaja mengklik pada mesej suara Bulu Lembut yang dihantar dalam sembang grup. Suaranya sangat lembut dan sedap didengar. Tiba-tiba dia merasakan ada seseorang berada di belakangnya.

Kemudian, satu aroma wangi menusuk ke hidungnya, bauan seperti wangian bunga, atau minyak wangi wanita.

Shuhang memalingkan kepalanya dan melihat gadis cantik yang berkaki panjang dan berambut gelap itu berdiri di belakangnya dengan senyuman besar di wajahnya, matanya memandang ke arah telefon bimbit Song Shuhang.

"Kumpulan Nombor Satu Wilayah Sembilan?" Suara lembut gadis berambut gelap itu penuh dengan kegembiraan, bagaikan bertemu dengan seorang sahabat lama ketika berada jauh dari kampung halaman.

Saat itu, Song Shuhang tidak tahu ekspresi wajah bagaimana harus digunakan sewaktu berdepan dengan gadis ini.

Tanpa perlu gadis itu memperkenalkan diri, Song Shuhang sudah tahu siapa dia. Kalau tidak tahu juga, dia harus membeli sekeping tauhu dan menghancurkan tengkoraknya dengan tauhu itu.

"Bulu Lembut Roh Pulau Kupu-kupu?" Song Shuhang merasakan suaranya sendiri sangat aneh dan berbunyi kekok.

"Ya sayalah! Boleh saya tanya apa nama dao Senior? " Bulu Lembut akhirnya tenang dan mula melihat 'Senior' itu dengan teliti.

Seingat dia, semua ahli Kumpulan Nombor Satu Wilayah Sembilahn adalah berpangkat Senior, kecuali Enam Belas dari Puak Su yang baru sahaja melalui tribulasi guruh semalam.

Senior ini kelihatan seperti baru berusia 18 atau 19 tahun. Tak mungkin ini umur sebenar dia? Tingginya dalam 1.7 meter. Dengan wajah yang baik, dia kelihatan seperti lelaki yang mudah didekati.

Wajah yang baik... atau dengan kata lain, dia mempunyai wajah "lelaki budiman" dan sudah pasti dia sudah terbiasa dianggap begitu 2. 

   

Selain itu, dia tidak dapat mengesan walau sedikit pun alam pertapaan dari senior ini. 'Nampaknya dia telah menyembunyikan qinya'. Apabila lelaki ini berdiri di hadapannya, nampaknya dia telah sepenuhnya bergabung dengan dunia orang biasa.

'Pasti dia telah mencapai tahap menemukan kesederhanaan dan kembali kepada sifat asal dia, sama seperti ayah saya.' fikir Bulu Lembut.

Senior?! Panggilan itu membuatkan hati Song Shuhang sakit.