"Ehem, jika perkara ini tidak mengambil masa yang lama, ia tidak mustahil." Song Shuang ketawa perlahan.
Walau bagaimanapun, kelas esok telah ditetapkan sebelum sekolah dibuka semula dan tidak akan dibatalkan jika tidak ada sebab ertentu.
Song Shuhang tidak mahu asyik membincangkan topik ini dan segera menukar subjek. "Bulu Lembut, betulkah anda hendak pergi ke Tokong Lampu Berhantu? Bolehkah anda mengesahkan lokasi itu sebelum kita pergi?"
Gadis itu kelihatan seperti mudah terganggu. "Ya, saya hanya tahu lokasi di kawasan jalan Luo Xin Bandar J sebelum meminta anak buah yang saya pernah latih dalam seni pertahanan diri untuk menempah tiket pesawat dan saya pun terus bergegas ke sini. Tidak pula terlintas di fikiran saya bahawa Tokong Lampu Berhantu sukar dikesan."
'Anak buah yang dia latih dalam seni pertahanan diri...masih adakah benda-benda seperti itu di zaman sekarang?'
Ketika Song Shuhang berfikir, dia menaip Bandaraya J, Jalan Luo Xin dan Tokong Lampu Berhantu di dalam bar carian.
Terdapat maklumat mengenai Bandaraya J dan Luo Xin. Bagaimanapun, untuk Tokong Lampu Berhantu, tiada maklumat atau tanda pada peta.
Dia menganggap tokong yang dicari mungkin tokong kecil atau telah lama ditutup.
"Tuan Song, bolehkah saya pinjam komputer tuan? Saya ingin mencari sendiri maklumat dan mungkin ada berita terbaharu dari Pertapa Sungai Utara! " Bulu Lembut tiba-tiba bercakap.
Song Shuhang mengangguk tanda setuju dan keluar dari akaun sembang sendiri sebelum bergerak ke tepi dan meninggalkan tempat duduknya.
Bulu Lembut tersenyum manis dan duduk di atas kerusi sambil log masuk ke dalam akaun sembang sendiri.
Sayangnya, Pertapa Sungai Utara tidak membalas. Jarang sekali orang tua ini akan berada di luar talian dalam jangka masa yang panjang. Song Shuhang ingat individu yang setia melayari internet setiap masa, setiap hari dan setiap jam adalah seorang pahlawan internet sejati.
Bulu Lembut berasa kecewa dan menutup tetingkap sembang sebelum mula mencari maklumat mengenai semua tokong di kawasanJjalan Luo Xin di komputer. Dia juga meneka bahawa Tokong Lampu Berhantu tidak lagi wujud atau nama itu telah diubah.
Song Shuhang berdiri di sebelah Bulu Lembut dan cuba mencari tokong itu sebelum teringat telefon bimbit kedua-duanya telah kehabisan bateri.
"Bulu Lembut, berikan telefon bimbit saya sebentar. Saya ada penyambung pengecasan universal di sini dan telefon anda boleh dicas sepenuhnya dalam masa sejam lebih," kata Song Shuhang.
"Terima kasih, Tuan!" Bulu Lembut mengeluarkan telefon bimbitnya dengan pantas dan menyerahkannya kepada Shuhang.
Selepas Shuhang mengambilnya, dia mengambil telefonnya untuk dicaj.
❄️❄️❄️
Saat Shuhang mengalihkan pandangannya, kedua-dua tangan Bulu Lembut menaip dengan cepat di atas papan kekunci sambil mendedahkan kelajuan menaip dia yang sebenar. "Papapapapa..." Kelajuan APM tangannya telah mencapai sekurang-kurangnya 900+ setiap saat. Sekiranya dia menggunakan kelajuan tangan itu untuk menjadi pemain permainan profesional, dia mungkin akan mengalahkan pakar-pakar dari pelbagai genre permainan.
Pada skrin komputer, tetingkap muncul pada kelajuan kilat satu demi satu, kemudian ditutup dan kemudian satu demi satu, halaman web disegarkan semula.
Dengan pantas, maklumat pelajar lelaki terpapar pada skrin itu.
Foto separuh badan Song Shuhang yang tersenyum lebar dan maklumat peribadi di sebelahnya dapat dilihat di skrin komputer itu.
Song Shuhang, Fakulti Kejuruteraan Mekanik Jiangnan, Sekolah Reka Bentuk dan Pembuatan Mesin, Jabatan ke-19, Kelas ke-43.
Tetingkap lain muncul dengan pantas selepas itu. Ia menunjukkan jadual kelas Song Shuhang.
Kemudian timbul pula kelas petang Isnin... Profesor Renshui.
Beliau adalah seorang profesor muda dengan penampilan kacak, tinggi dan tegap, memakai cermin mata berbingkai hitam dan sentiasa tersenyum lembut.
Segala-galanya... berlaku dalam masa satu saat.
Selepas mendapat maklumat yang dia mahukan, Bulu Lembut sekali lagi menutup laman web yang muncul di skrin komputer dengan pantas.
Jelas sekali, kelas yang telah lama ditetapkan tidak akan dibatalkan begitu sahaja. Bagaimanapun, terdapat banyak kemalangan di seluruh dunia. Sebagai contoh, pensyarah yang bertanggungjawab dalam pelajaran itu mungkin telah mengalami kecederaan di kaki di dalam satu kemalangan kereta, secara tidak sengaja pergelangan kakinya terkehel semasa dia melangkah tanpa sebarang halangan, atau secara tidak sengaja dia terjatuh dari tempat tidur dan pergelangan kakinya terkehel, digigit oleh anjing dan lain-lain. Kemalangan yang mengakibatkan dia terkehel kakinya itu membuatkan dia terpaksa dimasukkan ke hospital. Dengan cara itu, kelas esok mungkin akan dibatalkan atau ditangguhkan selama beberapa hari, bukankah begitu?
Inilah yang dikatakan oleh Bulu Lembut dalam hatinya. Dia merasakan bahawa ideanya sangat hebat dan dalam diam memberikan ibu jari tanda hebat kepada dirinya sendiri.
❄️❄️❄️
Di lokasi lain sekitar sepuluh kilometer dari situ, di dalam bangunan apartmen seorang pensyarah.
Profesor Renshui, yang sedang bermain dengan anak perempuannya, merasakan badannya menjadi sejuk dan kemudian bersin beberapa kali. Dia menggosok hidungnya sambil berfikir, 'Adakah pelajar perempuan sedang berfikir tentang gurunya yang kacak itu lagi?'
Sebagai seorang lelaki kacak juga menyusahkan. Tambahan pula, dia sudah berkahwin dan ada seorang anak.
❄️❄️❄️
Setelah menutup laman web itu, Bulu Lembut berpusing dan melihat ke arah Song Shuhang. Menyedari bahawa dia masih mengecas telefon bimbit mereka di bilik bersebelahan, dia kelihatan lebih santai walaupun dia tahu yang dia sedang melakukan perbuatan jahat di belakang pertapa senior itu.
Setelah memeriksa beberapa maklumat, dia mula merasakan yang Tuan Song ini cuma seorang lelaki biasa.
Dia kemudian memikirkan tentang apa yang dikatakan oleh Song Shuhang ketika mereka baru bertemu. Song Shuhang meminta Bulu Lembut memanggil nama biasanya dan bukan dengan panggilan Tuan.
Adakah kemahiran 'mengalami dunia manusia biasa' Tuan Song itu terlalu mendalam atau telah berlaku salah faham?
Selepas menutup semua laman web, Bulu Lembut membuat senaman jari-jemarinya.
Selepas itu, pandangannya terhala pada komputer riba yang terbuka di sebelah komputer. Satu koleksi nama ramuan ubat-ubatan tertulis di atasnya dan ia adalah resipi cecair penyuai suhu badan yang mudah dari Mahaguru Ubatan dihantar dalam Kumpulan Nombor Satu Wilayah Sembilan.
Shuhang pada mulanya menyalinnya dengan niat untuk membawanya pulang ke rumah untuk disiasat sepupunya, Zhao Yaya,. Tetapi dia tidak memasukkan Ranting Overlord Segar, Hirisan Buluh Api Merah Sembilan-Yang, Rumput Misteri Embun Pagi dan bahan-bahan lain yang dipenuhi dengan aura chuuni.
'Tuan Song juga meneliti resipi ini?' Bulu Lembut berfikir.
Walau bagaimanapun, dia dengan cepat menyedari bahawa resipi yang Song Shuhang salin itu tidak lengkap. Mengapa Tuan hanya menyalin bahan biasa?
Kenapa dia tidak termasuk Rumput Misteri Embun Pagi dan bahan-bahan lain?
'Tunggu, mungkinkah Tuan Song mahu membaiki asas resipi Mahaguru Ubatan dan terus mengurangkan kos pembuatan cecair penyuai suhu badan itu?'
Selepas itu, mata Bulu Lembut kembali bersinar.
Secara kebetulan, Song Shuhang telah berpaling dan ternampak Bulu Lembut mebaca buku catatannya. Habislah, ada resipi chuuni yang direkodkan di dalam itu!
Kali ini, wajahnya pasti kelihatan lebih pucat dan darah tidak lagi mengalir ke wajahnya. Bulu Lembut pasti mula terfikir yang dia seorang ahli fantasi Xianxia dan seorang chuunibyou seperti dirinya.
Seperti yang dijangkakan, apabila Bulu Lembut bercakap, dia segera bertanya soalan yang dirasakan oleh Song Shuhang sebagai penuh dengan aura chuuni. "Tuan, adakah tuan juga sedang meneliti resipi Mahaguru Ubatan? Berapa banyak relau yang boleh tuan lengkapkan dalam satu percubaan?
Bulu Lembut dengan wajah yang gembira bertanya seolah-olah meminta bimbingan daripada seorang ahli lama.
Dia telah mencuba beberapa kali mengikut resipi yang disediakan oleh Mahaguru Ubatan, tetapi kerana amalannya yang tidak mencukupi dengan seni kawalan api, dia hanya berjaya tiga daripada sepuluh kali percubaan. Walaupun dia suka menyediakan ramuan, dia tidak mempunyai bakat untuk melakukannya.
Sekiranya mereka melihat cara dia membazirkan bahan ubat-ubatan untuk menyediakan ubat, pasti mereka akan memarahinya. Dia bernasib baik kerana dia mempunyai seorang ayah yang kaya. Bagi Roh Pulau Kupu-kupu, ramuan ubat yang terbuang itu tidak mempunyai apa-apa makna.
"Saya tidak mencipta apa-apa." Pipi Song Shuhang dipenuhi dengan air mata. Seperti yang dijangka, dia dianggap sebagai saudara.
"Kenapa? Mungkinkah Tuan Song merancang untuk membaiki asas resipi Mahaguru Ubatan?" Mata Bulu Lembut bercahaya dan dia kelihatan teruja.
"..." Song Shuhang tidak menjawab. Pada mulanya, dia ingin menanyakan bagaimana dia dapat membuat resipi yang pelik itu, tetapi selepas dia melihat mata berkilauan Bulu Lembut, dia berasa malu dan tidak sanggup melunturkan semangat wanita ini.
Oleh itu, selepas berfikir untuk jangka masa yang panjang, dia telah memikirkan satu jawapan yang jujur. "Sebenarnya, tidak mudah untuk mencari bahan-bahan di sini. Kerana beberapa sebab lain, saya tidak mempunyai apa-apa bahan untuk membuatnya. Sebab itulah... Saya tidak mempunyai peluang untuk menciptanya."
Dia masih bercakap benar kerana bahan-bahan yang disenaraikan dalam resipi itu, walaupun selepas dia mengeluarkan bahan-bahan perubatan misteri itu, adalah sesuatu yang bernilai tinggi. Seseorang perlu tahu bahawa harga ramuan perubatan seperti Ginseng dikira berdasarkan 50 gram, bukan dalam setiap kilogram.
Sebagai seorang pelajar, dia tidak dapat membelinya walaupun jika dia menjual buah pinggangnya!
"Oh, jadi itulah sebabnya. Maafkan saya, Tuan." Bulu Lembut mengangguk dan gembira pada masa yang sama!
Walaupun dia tidak tahu mengapa Tuan Song Senior tidak mempunyai ramuan asas untuk cecair penyuai suhu badan itu, ramuan ubat yang Roh Pulau Kupu-kupu ada juga sangat banyak!
"Tuan, apabila saya kembali, saya akan menghantar dua kotak bahan ubat kepada tuan sebagai hadiah terima kasih!" Bulu Lembut berkata bahawa ini adalah hadiah yang disediakan untuk Song Shuhang. Lagipun, dia telah memutuskan untuk meminta Shuhang menemaninya untuk mencari Tokong Lampu Berhantu.
Dua kotak ramuan ubatan. Kata-katanya seolah-olah mendesak.
Atau dengan kata lain, maksudnya, " Tuan, saya akan menghantar dua kotak Ginseng sebagai tanda terima kasih.
Jika seseorang merasakan bahawa terjemahan di atas tidak cukup jelas, maka lihat versi terjemahan ini: Tuan, saya akan mengeposkan dua kotak jongkong emas kepada awak sebagai tanda terima kasih saya.
Nilai ramuan ubat Bulu Lembut yang dia mahu hantar itu pasti beberapa kali lebih mahal daripada jongkong emas.
Malangnya, Song Shuhang sekarang tidak tahu nilai kedua-dua kotak bahan ubatan yang Bulu Lembut mahu hantar itu. Sekiranya dia tahu, pasti dia akan melutut di hadapan Bulu Lembut yang kaya itu.