Chereads / SEMBANG GRUP PERTAPAAN / Chapter 8 - Bulu Lembut dan Kawasan Jalan Luo Xin

Chapter 8 - Bulu Lembut dan Kawasan Jalan Luo Xin

"Saya lega awak tak ada apa-apa. Saya akan beritahu Bulu Lembut nanti supaya dia tidak risau dan tidak perlu lagi pergi ke Bandar H," Pertapa Malas Sungai Utara menjawab.

Song Shuhang perasan Pertapa Malas Sungai Utara kelihatan seperti berada dalam talian setiap masa dan pelik kenapa dia selalu bertenaga. Ataupun zon masa dia secara kebetulan sama dengan dia, oleh itu setiap kali dia berada dalam talian, dia secara kebetulan akan nampak Pertapa Malas Sungai Utara?

Kejap, macam tak betul… Bila-bila masa Song Shuhang berada dalam talian, dia akan ada. Apabila Song Shuhang keluar daripada talian, dia juga masih ada. Dia tahu sebab dia selalu nampak Pertapa Malas Sungai Utara dalam rekod sembang sebelumnya apabila dia berada dalam talian.

Orang itu seperti pahlawan keramat internet yang tidak perlu tidur.

Song Shuhang terus menjadi bimbang kerana ada banyak orang yang mati dengan tiba-tiba sebab selalu berjaga malam. Adakah Pertapa Malas Sungai Utara akan mati tiba-tiba pada suatu hari nanti jika dia berterusan macam ini?

'Ini pun perlu dicatat…saya akan menasihatinya betul-betul sebelum meninggalkan sembang grup.'

Selepas itu, Song Shuhang sambung menatal log mesej seterusnya.

Setelah menghabiskan mesej, Tujuh Dari Puak Su memberi salam sebelum keluar daripada talian.

Seterusnya, pada lebih kurang 5am Mahaguru Ubat masuk ke dalam talian dan menghantar satu imej bersamaan dengan ❓.

Imej itu merupakan batang sesuatu tumbuhan yang tidak pernah dilihat oleh Song Shuhang.

Tumbuhan ini bertumbuh dalam bentuk melengkung, seperti seekor naga yang berlingkar. Hujung tumbuhan ini terdapat sebaris duri dan stolonnya berwarna hitam keunguan. Ini merupakan tumbuhan aneh yang sangat bernilai.

"Mahaguru Ubat perlukan Tumbuhan Naga Berbisa lagi? Awak dah menapanya tak lama dulu bukan?" Sekali lagi, Pertapa Malas Sungai Utara merupakan orang pertama yang menjawab.

"Eksperimen, semua mati," Mahaguru Ubat menghantar 😞 dalam jawapannya. "Lagipun, kelompok Tumbuhan Naga Berbisa itu bukan kualiti yang baik."

"Boleh, nanti kalau saya dapat saya akan hubungi awak. Yang lain pun akan beritahu awak kalau mereka ternampak." Pertapa Malas Sungai Utara menjawab.

"Hidup." Mahaguru menambah satu lagi mesej.

Tumbuhan Naga Berbisa…daripada namanya, ia tidak kedengaran seperti tumbuhan yang bagus, ia boleh digunakan untuk menyediakan pil ke? Ia boleh meracuni orang ke? Song Shuhang sedikit risau sementara merasa kumpulan ini memang mahir dalam mengundang kematian.

Kejap, ada benda yang tak kena.

Tangan Song Shuhang mengeras ketika jarinya menatal ke atas sehingga sampai ke mesej Tujuh Dari Puak Su dan membacanya semula.

'…ada beberapa…sebenarnya, beberapa dozen orang biasa-biasa yang dibelasah oleh Adik Enam Belas, tapi tiada kematian.'

Ayat ini membuat Song Shuhang merasa pelik, sebab dia teringat balik budak jahat yang dibelasah teruk itu.

Ini masih kebetulan ke? Jika ini semua kebetulan, terlalu banyak kejadian yang berlaku secara kebetulan kebelakangan ini, bukan?

Mungkin saya patut tukar pandangan saya dan memandangnya dari perspektif yang berbeza. Mungkin semua ini bukan kebetulan, tapi hanya saya yang berfikir terlalu banyak.

Inilah sifat manusia. Apabila seseorang itu mengesyaki sesuatu, mereka akan mengaitkan kejadian-kejadian yang tiada kaitan bersama-sama secara paksa. Contohnya, apabila anda mengesyaki seseorang itu telah mencuri duit anda, anda akan mengaitkan beberapa insiden dengannya dan semakin banyak anda menjumpa dia semakin banyak dia kelihatan seperti pencuri.

Dia rasa fikirannya sekarang sama seperti 'mengesyaki seseorang itu pencuri'.

Dia patut berhenti berfikir, kalau tidak dia akan dibawa sesat seperti ahli sembang grup ini. Song Shuhang meregangkan badan dengan malas sementara bersedia untuk keluar berjoging.

Rancangan tahunan bermula dengan musim bunga. Lagipun, dia rasa keadaan fizikalnya sedang merosot oleh sebab batuk kecilnya masih belum sembuh sepenuhnya daripada selsema sepuluh hari sebelum ini. Dia masih terbatuk sekali-kala. Sangat tidak selesa!

Oleh itu, sementara dia tiba-tiba ada minat, dia membuat keputusan untuk berlari 1.5km setiap pagi untuk melatih badannya.

Matlamatnya ialah berlari setiap pagi selama satu bulan.

❄️❄️❄️

Sekarang, di Lapangan Kapal Terbang Daerah Jiangnan.

Seorang perempuan berambut panjang, berkulit cerah, tinggi dan berkaki panjang berjalan keluar dari lapangan terbang, dan menarik bagasi yang besar di belakangnya. Dia memakai kemeja-T putih dengan seluar denim dan kaki langsingnya menyarung kasut sukan; dia kelihatan muda dan cantik.

Tetapi perempuan berambut panjang ini memandang lapangan terbang yang besar dengan resah dan menggumam dengan perlahan, "Saya benci tempat yang besar macam ini sebab senang untuk sesat."

Selepas itu, dia pun mengeluarkan telefonnya.

❄️❄️❄️

Berpeluhan selepas berjoging pagi, Song Shuhang sudah lama tidak berasa segar macam ini.

Dia membeli pau kukus dan susu soya untuk sarapan paginya apabila melalui kafeteria, dan menunggu pernafasannya kembali tenang dan stabil sebelum balik ke asrama.

Hari Ahad ini masih ada banyak masa…boleh buat apa lagi?

'Nak pergi kedai baca buku tak?' Song Shuhang berfikir sambil mengunyah pau.

Selepas itu, dia membuka komputer seperti biasa dan melog masuk rangkaian sekolah—budak jahat yang kasihan itu masih terlantar di hospital tanpa menunjukkan tanda untuk sedar.

Oleh itu, dia tidak boleh tahu siapa atau apa yang telah membelasah mereka sehingga begitu teruk.

Menurut pelajar yang telah melawat mereka, walaupun tidak sedar diri, budak jahat tersebut kadang-kadang mengerang dengan terseksa. Oleh sebab jumlah mereka besar, mereka ditempatkan di dalam wad yang besar. Keadaan tujuh puluh hingga lapan puluh orang yang mengerang berturut-turut itu memang menarik dan tragis.

'Jika mereka hanya dipukul pengsan, kenapa masih tidak sedar lepas sehari? Adakah mereka dipukul sampai berkeadaan vegetatif?' Song Shuhang berfikir.

Imaginasinya semakin melampau ketika dia membuka sembang grup.

Dalam jangka masa dia keluar berjoging dan makan tengah hari, beberapa mesej baru terpapar dalam sembang.

Bulu Lembut Pulau Roh Kupu-kupu (telefon): Senior Sungai Utara, saya sudah tiba di Lapangan Kapal Terbang Daerah Jiangnan. Senior Tujuh perlukan bantuan ke?

Seperti yang dijangka, Pertapa Malas Sungai Utara berada dalam talian dan menjawab dengan pantas. "Bulu Lembut, awak dalam talian ya. Tujuh sudah jumpa Enam Belas awal pagi tadi dan meninggalkan Bandar H. Oleh itu jangan bimbang, awak boleh terus ke Bandar J dan menguruskan hal awak sendiri.

"Nasib baik semua dah diuruskan." Bulu Lembut menjawab dan bertanya lagi, "Senior Tujuh sudah meninggalkan Bandar H ke?"

"Ya, sebelum subuh sudah pergi." Pertapa Malas Sungai Utara tanya balik, "Bulu Lembut, awak ada hal nak berbincang dengan Tujuh ke?"

Bulu Lembut mengeluh. "Sebenarnya, saya ingat boleh berjumpa dengan Senior Tujuh. Jika ada orang yang boleh temankan saya ke Bandar J, lagi bagus. Saya tak biasa dengan Bandar H, Daerah Jiangnan, dan Bandar J. Saya bimbang jika tak dapat mencari destinasi saya.

"Awak nak pergi mana? Dalam telefon bimbit sekarang ada fungsi navigasi yang sangat bagus. Saya kena mengaku, teknologi yang dicipta oleh orang moden sangat berguna." Pertapa Malas Sungai Utara mengesyorkan dengan semangat. Ada ramai ahli grup yang tidak biasa dengan alat teknologi zaman sekarang dan Pertapa Malas Sungai Utara boleh dikira sebagai 'guru era moden'.

Nanti dulu, awak pasti latar belakang awak tidak bermasalah? Bukankah ini tempat perhimpunan golongan chuunibyou dari dunia klasik Xianxia? Bukankah awak sepatutnya mengesyorkan penggunaan pelan purba atau benda yang hampir sama? Ataupun khazanah sakti yang boleh menentukan lokasi? Kalau yang bertaraf tinggi lagi, membuka portal menembusi masa pun boleh diterima.

"Saya dah cuba, tapi tempat yang saya mahu pergi tiada dalam aplikasi navigasi," Bulu Lembut menjawab dengan muram.

Sebenarnya, dia hanya berumur dua puluh lima tahun dan dia memang tahu cara menggunakan aplikasi navigasi. Tiada perbezaan di antara dia dengan orang muda zaman ini dalam pelbagai aspek, cuma dia mempunyai lebih banyak ilmu berbanding dengan mereka tentang 'dunia yang sebenarnya'.

"Lagipun, saya teruk dalam mencari arah dan mungkin tidak boleh mencari destinasi saya walaupun dengan aplikasi navigasi." Bulu Lembut menambah.

Pertapa Malas Sungai Utara melegakan hatinya. "Tak apa. Nanti bila awak boleh terbang selepas mencapai Alam Peringkat Kelima, awak boleh terbang tinggi ke langit dan memandang jauh ke depan! Awak tidak perlu risau akan sesat nanti disebabkan teruk dalam mencari arah. Tapi buat masa sekarang, awak boleh memanggil teksi. Asalkan awak tahu lokasinya, pemandu teksi biasanya boleh menghantarkan awak ke destinasi yang diingini. Tapi ingat, jangan memanggil teksi yang tiada lesen ya."

"Terima kasih, Senior, saya akan cuba." Bulu Lembut menjawab dengan bersyukur. Tanpa ada orang untuk mengingatkannya, dia sudah lupa tentang pengangkutan jalan raya yang lain seperti teksi….

Pertapa Malas Sungai Utara menambah. "Di manakah tempat yang ingin ditujui, Bulu Lembut? Jika awak tidak menjumpainya, saya boleh tolong untuk bertanya jika ada rakan Dao lain yang berada dalam kawasan itu, mereka mungkin boleh membantu."

"Tempat itu berada di dalam Bandar J dan dipanggil kawasan Jalan Luo Xin. Di sana sepatutnya ada sebuah tokong lama yang bernama Tokong Lampu Berhantu dan itulah tempat yang saya nak pergi!" Bulu Lembut menjawab dengan cepat.

"Boleh. Saya akan tolong awak untuk bertanya dan jika ada berita, saya akan menghubungi awak." Pertapa Malas Sungai Utara menjawab.

"Terima kasih banyak-banyak, Senior!" Bulu Lembut menghantar satu 😊. "Saya pergi mencari teksi ya."

Lapangan Kapal Terbang Daerah Jiangnan.

Perempuan yang mempunyai rambut panjang dan kaki yang langsing menarik bagasi besarnya dan menuju ke arah tempat mendapatkan teksi. Bayangan cantiknya menyebabkan orang lelaki yang melaluinya tidak tahan dan mengekori lagkahnya dengan mata mereka.