Di tebing Sungai Air Merah, di sebelah barat Pekan Sempadan.
Salji menyukarkan perjalanan kereta kuda. Orang-orang yang membawa kereta kuda itu menghabiskan masa separuh hari untuk mengheret senjata lapangan pertama mereka ke luar kota.
"Apa pula kali ini?" tanya Carter yang sudah biasa dengan ciptaan-ciptaan baru puteranya. "Senapang batu gergasi?"
"Bolehlah dikatakan begitu," Roland menjawab, dan kemudian dia mengarahkan orang-orangnya untuk menanggalkan cangkuk daripada kereta kuda. Dia sendiri mengubah-ubah sudut pedati senjata itu untuk memastikan meriamnya rata dan mencacakkan batang pedati ke dalam salji untuk menstabilkannya.
Prinsip meriam dan senapang batu sama sahaja, jadi memang wajar ia dinamakan senapang batu gergasi. Meriam ini menggunakan peluru bebola besi padu seberat 12 paun, dengan peluru dan serbuk api disumbat di muncungnya dan dinyalakan dengan sumbu. Roland merujuk pada rekaan meriam moden sepanjang sejarah jadi dia mengarahkan tukang kayu membina pedati kayu untuk mengangkut meriam ini. Untuk meningkatkan ketahanannya, mereka membalut pinggirannya dengan lapisan besi bagi menahan geseran kuat dengan tanah dan boleh meletuskan lebih banyak tenaga apabila dilancarkan nanti.
Untuk membuat pedati dan roda itu, Roland menghabiskan masa lebih kurang yang sama dengan pembuatan laras meriam itu. Tiga orang tukang kayu memerlukan masa seminggu untuk menyiapkannya. Untuk membuat roda bergaris pusat setinggi separuh ketinggian lelaki dewasa, tukang kayu itu perlu mengikis empat kepingan balak berbentuk segi empat sama dengan kepanjangan sekata, melubangkan bahagian tengahnya dan melembutkannya dengan api untuk melenturkannya. Kemudian mereka meraut alurnya untuk membuat sendi goncang di hujungnya. Proses ini sahaja sudah mengambil masa empat hari.
Jadi bagi Roland, meriam lapangan 12 paun buatan tangan yang sangat sukar dihasilkan ini mewakili kebanggaan dan kemegahannya. Apabila meriam itu dibawa ke luar bengkel untuk diuji, putera itu memberi arahan khusus. Selain Ketua Kesateria Carter dan Komander angkatan tentera awam Kapak Besi, semua pengawal dan perantis kesateria diwajibkan untuk turut serta. 12 orang askar tentera awam diarahkan untuk mengosongkan lokasi ujian dan mengawal keselamatan. Selain itu, Roland membawa Nightingale dan Lightning ikut sekali buat pertama kalinya. Atas jasa Nana, salah faham terhadap ahli sihir sudah banyak dikurangkan, malah Nana sendiri sudah menjadi orang kedua paling dihormati selain Putera Roland.
"Ikuti langkah-langkahnya. Bersihkan laras terlebih dahulu." Walaupun Roland jelas tentang struktur meriam itu, dia tidak tahu langsung cara mahu menggunakannya. Dia cuba sedaya-upaya untuk mengingat semula adegan-adegan tembakan meriam dalam filem-filem lama untuk memikirkan cara penggunaanya. Tetapi kini, Tuhan sahaja tahu caranya.
Lightning kelihatan begitu ceria. Dia mengeluarkan batang seakan-akan mop daripada bawah pedati meriam itu dan mencucukkannya ke dalam muncung meriam. Berbeza dengan kontrak bersama ahli sihir lain, Lightning hanya meminta dia dibenarkan mencuba dan menggunakan pelbagai jenis ciptaan Roland dan tidak perlu dibayar gaji. Roland bersetuju, tambahan pula dia memang dalam rangka untuk menjimatkan perbelanjaan. Tetapi bagi projek rahsianya, dia akan terus mengkajinya seorang diri. Ada banyak idea dalam kepalanya yang menunggu untuk dizahirkan, dan Lightning akan ada banyak perkara untuk diteroka selama mana dia mahu jika Roland memberinya beberapa cadangan secara santai.
Lightning memusing-musingkan batang mop itu beberapa kali tetapi tiada sebarang kotoran terkeluar. Namun mengikut prosedur, dia mesti mencucinya dua kali. Dia mengambil satu lagi batang mop, mencucukkannya ke dalam laras, dan memusing-musingkannya kembali. Selepas itu baru proses pencucian laras dianggap selesai.
"Kamu semua sudah faham?" tanya Roland kepada kesateria dan angkatan tentera awam di sekelilingnya. Ujian ini satu latihan juga. Oleh kerana penghasilan senapang batu sudah meningkat, angkatan tentera awam akan berubah menjadi angkatan bersenjata dan lembing akan digantikan dengan senapang batu dan meriam. Ini memerlukan banyak latihan menembak agar mereka boleh menggunakan kedua-dua jenis senjata ini dengan lancar semasa perang nanti.
Selepas semua orang mengangguk, Roland membiarkan Lightning ke langkah seterusnya.
Lightning mengeluarkan kampit kertas mengandungi serbuk api dan menyumbatkannya ke dalam muncung lalu memadatkannya dengan batang kayu. Kemudian dia memasukkan sebutir bebola peluru yang ditolak sehingga ke hujung. Selepas itu, dia memutarkan sebatang paip gerudi menerusi lubang sumbu di belakang laras meriam itu, menikam kampit serbuk api itu dan memasukkan tali sumbu. Proses memasukkan peluru sudah selesai.
Untuk mengelakkan kejadian tidak diingini, semua orang berundur 30 langkah ke belakang dan bersembunyi di sebalik benteng keselamatan. Selepas Lightning menyalakan sumbu dengan obor, sumbu itu menyala serta-merta dan dalam masa yang singkat, nyalaannya menghilang ke dalam laras meriam.
Tiba-tiba ada satu dentuman hebat.
Aliran udara berkepantasan tinggi dari laras menggoncang salji dari tanah sehingga mereka dikelilingi kabus asap putih. Secara teorinya, meriam 12 paun mempunyai jarak tembakan lebih daripada 1,000 meter. Jika tiada alur pusar sekalipun, peluru akan meluru dalam garisan lurus. Sasaran baju perisai yang diletakkan sejauh 100 meter darinya berdentang kuat dan tercampak sebaik sahaja bertembung dengan peluru besi seberat 12 paun itu. Namun ini tidak memperlahankan kelajuan peluru, malah melantun pula sebaik sahaja menghempas ke tanah lalu menaburkan lebih banyak salji.
Apabila asap serbuk api mula menghilang, Carter dan Kapak Besi ialah orang pertama yang lari ke arah sasaran itu. Mereka mendapati keseluruhan baju perisai itu kemek, lapisan hadapannya tercantum dengan lapisan dalam oleh satu lubang sebesar tapak tangan di tengah-tengahnya. Maknanya selepas kena pada sasaran, bola peluru itu masih meluncur kira-kira 100 meter lagi dan sewaktu menghempas tanah, peluru itu terus bergolek lagi. Ini menunjukkan betapa banyaknya kuasa yang terkandung dalam peluru itu.
"Sampai boleh tembus besi!" Carter menjerit terkejut. Dia boleh bayangkan ketakutan semua musuh apabila mereka berkumpul untuk menyerang tetapi dimusnahkan beberapa biji peluru ini.
"Ya Tuhan…" Kapak Besi sudah mula yakin Putera Roland ialah utusan dewa-dewi. Siapa lagi boleh menguasai api sebegitu hebat sekali kalau bukan utusan daripada tuhan? Serbuk api itu, yang Kapak Besi sering kaji, hanyalah bahan boleh bakar biasa sehinggalah dikisar menjadi serbuk dan dinyalakan. Apinya garang, umpama kebengisan dewa-dewi yang murka, dan merupakan senjata paling menakutkan. Apabila Kapak Besi memikirkan lubang kawah di Tanah Jangkau Selatan yang memuntahkan api jingga tanpa henti, tiba-tiba dia merasa dia perlu berlutut menyembah Roland.
Roland tidak terkejut dengan hasil ujian ini. Meriam lapangan 12 paun hanya dianggap sebagai meriam klasik. Meriam Napoleon terkenal kerana kehebatannya dalam Perang Saudara Amerika benar-benar membuktikan kaliber tinggi adalah bukti kemampuan sesebuah bala tentera.
Seterusnya dia menguji kekuatan meriam itu dengan jumlah serbuk api yang berbeza. Walaupun dia tahu ini mungkin menyebabkan kerosakan kepada meriam itu, ujian-ujian ini perlu dilakukan.
Semasa menembak dengan tiga kampit serbuk api, laras meriam itu terdongak ke atas dan pedatinya bergolek ke belakang tetapi meriam itu sendiri tidak menunjukkan sebarang kerosakan serius. Nampaknya laras keluli itu dibuat dengan sangat bagus dan kuat. Akhirnya Roland menentukan jumlah serbuk api paling sesuai adalah 1.2 kali lebih banyak daripada jumlah yang digunakan semasa ujian. Sekarang yang tinggal hanyalah memilih anggota tentera untuk mengendalikan meriam dan berlatih menggunakannya berulang-ulang kali.
"Tuanku, senjata ini sangat berkuasa tetapi ia terlalu berat. Jika ia terjerumus masuk lubang, tentu sukar mahu mengeluarkannya kembali," kata Carter yang terus dapat melihat kelemahan pertama senjata ini. "Lagipun, laras meriam perlu dibersihkan setiap kali sebelum tembakan dilakukan. Oleh kerana meriam menggunakan lebih banyak serbuk api dan peluru berbanding senapang besi, patik anggarkan kita perlu lima atau enam orang untuk mengendalikan satu meriam."
"Ya, tetapi susah payah itu berbaloi. Jika kita ada dua atau tiga meriam, Duke itu…Maksud beta, makhluk iblis macam penyu gergasi itu tidak akan dapat menceroboh tembok kota lagi." Roland terbatuk, nyaris-nyaris lagi dia mendedahkan niat sebenarnya. Tentang kelemahan meriam 12 paun itu, Roland akan menyelesaikannya dengan kapal. Dia memerlukan sistem mekanikal besar dan rumit untuk menggandingkan wap enjin dengan bot berkuasa wap, walaupun untuk bot pengayuh paling primitif sekalipun.
Jadi sebaliknya, dia akan membeli kapal layar bertiang dua dan menggunakan kuasa angin Wendy untuk membawa angkatan tentera awam serta meriam-meriam ini untuk menyerang hendap angkatan Duke itu dari belakang. Dengan ini, dia dapat menyerang dari kedua-dua sisi lalu memusnahkan keseluruhan bala tentera Duke Ryan.