Ferlin Eltek tersentak melihat perarakan askar Angkatan Tentera Pertama menaiki tembok itu dengan penuh teratur.
Sebagai kesateria handalan Rantau Barat, dia cukup maklum dengan cara latihan kesateria. Dia tahu betapa sukarnya mahu memastikan kumpulan seramai itu bergerak dengan serentak. Jadi tidak kira sama ada kesateria mahupun askar upahan, apabila berarak di hadapan ketua pemimpin mereka, mereka tidak akan berbaris lebih daripada lima-lima kerana jika lebih ramai lagi, barisan itu akan menjadi kucar-kacir dan orang yang melihatnya dari jauh akan rasa jengkel dengan barisan perarakan yang bengkang-bengkok seperti ular dipalu.
Semakin ramai orang dalam barisan, semakin sukar untuk mereka mengawal kekemasan barisan. Tetapi kali ini, bilangan askar itu tentu lebih daripada 100, dengan lebih daripada 10 askar dalam setiap baris. Setiap seorang daripada mereka memakai baju seragam dengan selempang kain berwarna yang sedondon di bahagian bahu mereka.