Nampaknya Dunia Mimpi sudah menerima semua orang yang kalah dalam Medan Pertempuran Jiwa, kerana tiada siapa pun yang hairan dengan rupa paras dan warna rambut para penghuninya yang bermacam-macam jenis.
Roland sendiri berambut kelabu panjang, mata berwarna kelabu cerah, dan hidung yang sangat mancung. Jika dia berjalan di kawasan pangsapuri seperti ini di dunia moden yang sebenar, dia sudah lama akan menarik perhatian orang ramai.
Tetapi dalam dunia ini, pelbagai jenis rupa orang bergaul dengan manusia biasa lain. Orang sibuk lalu-lalang membawa beg bimbit dan surat khabar yang dilipat bawah lengan mereka, mungkin mereka mahu ke tempat kerja. Beberapa pemuda sibuk mengejar bas sambil melambai-lambai, mulut mereka masih mengunyah cakoi goreng untuk sarapan mereka. Ada juga orang tua yang duduk berdua atau bertiga di kawasan-kawasan lapang di hadapan pangsapuri. Ada yang sedang melakukan senaman pagi, ada yang sibuk bermain catur atau dam dengan kawan-kawan.