Chereads / Lepaskan Ahli Sihir Itu / Chapter 49 - Makhluk Iblis Kacukan

Chapter 49 - Makhluk Iblis Kacukan

Roland tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. 'Apa bendanya tu?' Dia menjangkakan makhluk iblis mutasi yang setidak-tidaknya masuk akal, tetapi makhluk ini begitu luar biasa dan sepatutnya hanya wujud dalam filem ngeri sahaja.

Dari jauh, ia kelihatan seperti kura-kura gergasi berkepala dua. Apabila diteliti dengan lebih dekat, rupanya kepala-kepala itu ialah kepala serigala.

'Kenapa ia kelihatan seperti raksasa hasil eksperimen Dr. Frankenstein?' fikir Roland dalam hati. Makhluk iblis gergasi itu sama tinggi dengan tembok kota dan sepanjang hampir enam meter, dengan enam kaki pendek tebal mirip kaki badak sumbu. Setiap satu kakinya setebal seorang manusia dewasa. Dua kepala serigala itu pula bukan seperti raksasa berkepala dua yang sering Roland lihat dalam filem, yang saling menyalak dan menggigit sesama sendiri. Sebaliknya, dua kepala itu menunduk rendah, mata mereka kelam dan pergerakan mereka lembab seperti mayat hidup.

Ciri paling menarik perhatian pada makhluk itu ialah cangkerang di belakangnya. Permukaan cangkerang itu berwarna perang kekelabuan dan diselaputi lumut. Sekali pandang, kita sudah boleh tahu betapa kerasnya cangkerang itu. Ia mirip cangkerang kura-kura dan melitupi raksasa itu dari kepala hingga ke ekor. Jika makhluk itu boleh masuk ke dalam cangkerangnya seperti kura-kura, tentu sukar untuk membunuhnya.

Namun Roland tidak risau kerana makhluk iblis yang bergerak selembab itu tentu mudah menjadi sasaran. Walaupun senjata api tidak boleh menembusi cangkerangnya, mereka tetap boleh cuba mencederakan kepala serigala yang terjulur keluar dari cangkerang itu. Kalau ia bersembunyi dalam cangkerang itu pula, mereka boleh meletupkannya dengan kampit peletup.

"Tuanku, inilah makhluk iblis kacukan." Kapak Besi mendekati Roland dengan wajah yang tegang. "Sekarang baru Patik faham kenapa gerombolan makhluk iblis pelbagai spesies tadi menyerang dalam kawanan. Rupanya mereka didorong oleh makhluk iblis kacukan ini."

'Seperti anjing mengumpulkan kawanan kambing ternakan?', fikir Roland dalam hati lalu mengangguk. "Ini agak berbeza daripada yang awak pernah lihat dulu, bukan?"

"Ya, ini kali pertama Patik melihat makhluk iblis kacukan seperti ini. Memang ia nampak lembab tetapi Patik nasihatkan jangan pandang rendah kepadanya. Mana-mana haiwan kacukan iblis tentu sukar untuk dilawan."

"Ia sudah semakin mendekati jarak serangan," balas Roland, "jadi biar kumpulan pemanah cuba serang dahulu."

Salji turun perlahan tetapi angin bertiup dari arah barat laut dengan bersimpang-siur. Cuaca seperti ini tidak bagus untuk memanah. Tetapi dua pemburu yang dipilih Kapak Besi nampaknya agak berkeyakinan.

Mereka naik ke menara pemerhatian dan melepaskan anak panah berdasarkan tekaan mereka dalam tiupan angin tidak menentu itu.

Dua anak panah itu meluncur seiring seperti sepasang mata. Selepas ia melayang hingga ke kemuncak, angin dan graviti menariknya sehingga ia mendarat pada cangkerang makhluk itu secara menegak.

Seperti dijangka, anak panah itu terlantun dan dalam fikiran Roland, dia seolah-olah dapat mendengar bunyi apabila serangan gagal dalam permainan video.

Dua pemburu itu terus memanah dengan tenang dua kali lagi.

Kali ketiga memanah, akhirnya anak-anak panah mereka berjaya menikam badan makhluk itu. Sebatang berjaya menusuk satu kepala serigala manakala sebatang lagi tertikam di leher kepalanya yang satu lagi.

Peliknya, ia tidak berdengus marah atau mempercepatkan serangannya. Ia hanya berhenti seketika, memasukkan kepala dan kakinya ke dalam cangkerang, dan terus mara ke hadapan.

Ini membuat semua orang kehairanan.

Raksasa itu kelihatan seperti kereta kebal dengan cesi yang direndahkan. Pinggir cangkerangnya hampir menyeret tanah. Kalau begini, pemanah terhandal pun tidak akan dapat menyasarkan tubuh makhluk itu.

"Gunakan senapang batu," Roland memberi arahan.

Sekarang sasaran sudah berada kira-kira 17 meter jauhnya dari tembok kota. Senapang batu tanpa alur pun mustahil akan tersasar menembak.

Carter dan Kapak Besi berkejar ke atas tembok, meletakkan senapang atas dinding tembok, mengacu, lalu melepaskan tembakan.

Apabila asap mula reda, Roland dapat melihat dengan jelas peluru menghentam cangkerang itu dan menyerpihkan cebisan kecil. Satu bahagian kecil cangkerang itu sudah retak. Tetapi makhluk iblis kacukan itu seakan-akan tidak terkesan langsung dan terus mara ke arah mereka.

'Jadi kekerasan cangkerang itu masih mirip dengan ciri hidupan berasaskan karbon', fikir Roland lagi. Malangnya peluru plumbum mereka tidak terlalu keras dan cenderung untuk kemek. Ia tidak mampu menembusi cangkerang keras itu. Tiada harapan untuk memecahkan cangkerang makhluk kacukan itu dengan hanya empat pucuk senapang sahaja. Mereka terpaksa turut menggunakan kampit peletup.

Kapak Besi membuat penilaian yang sama dengan Putera Roland. Dia mengarahkan Timbalan Komander Skuad Lembing membawa kampit peletup itu sementara makhluk itu pula sudah sibuk menanduk dinding tembok kota. Apabila ia menyedari dinding itu masih bertahan, cangkerangnya mula bergetar dengan kelajuan luar biasa dan menggegarkan tembok kota itu seperti gerudi putar gergasi. Batu dinding itu mula hancur dan beberapa retakan muncul serta-merta sepanjang kawasan lemah binaan itu.

Dinding tembok kota itu memang berkemampatan tinggi tetapi kekuatan tegangan serta ricihannya sangat rendah. Dalam erti kata lain, ia sangat rapuh jika dikenakan getaran. Semua orang yang berada atas tembok kota itu turut merasakannya. Tidak lama kemudian satu bunyi geseran bergema kuat menandakan getaran cangkerang itu berjaya menghasilkan rekahan di dinding tembok kota.

Bunyi itu tidak berhenti. Makhluk itu terus bergerak sehingga seluruh bahagian hadapan badannya terbenam ke dalam dinding tembok kota.

Angkatan tentera awam mula melarikan diri dari bahagian tembok kota yang sudah retak, sementara Nightingale dalam bentuk halimunannya merangkul Putera Roland dan melompat dari atas tembok kota ke tanah. Pada pandangan mata kasar, putera itu kelihatan seolah-olah sedang terbang untuk menyelamatkan diri.

Apabila Van'er tiba dengan satu kampit peletup, dia mendapati bahagian tengah tembok kota itu sudah ada rekahan selebar hampir tiga meter. Makhluk iblis yang berjaya mencerobohi tanah Pekan Sempadan itu terus berhenti bergetar dan meneruskan kemaraan dengan kelajuan sebelumnya.

"Cepat!" laung Kapak Besi. "Nyalakan kampit dan campakkan ke bawah raksasa itu!"

Walaupun tangannya menggeletar, Van'er masih dapat berfikiran waras. Dia masih ingat setiap butiran latihannya tentang cara menggunakan kampit peletup. Tidak seperti kampit yang digunakan dalam latihan, setiap kampit peletup ini tidak mengandungi serbuk abu banyak dan dipadatkan dengan kayu lapis. Sisa perlombongan disumbat celah kampit dan kayu lapis itu. Perkakas tembaknya juga dimantapkan dengan penarik keluar batu api serta dawai tembaga. Jika bahagian ini gagal berfungsi, di hujung kampit itu masih ada fius biasa. Van'er mengoyakkan kain yang direndam minyak di bahagian luarnya dengan terburu-buru dan menarik dawai tembaga itu sekuat hati. Bunyi desing kedengaran dari bongkah kayu itu. Kemudian asap muncul – menandakan kampit peletup itu berjaya dinyalakan.

Fius yang direndam dalam air garam itu terbakar perlahan dan memerlukan 30 saat untuk dibakar habis. Van'er sudah tidak mendengar lagi kekecohan di belakangnya apabila dia menumpukan mata kepada asap putih berkepul keluar dari bongkah itu. Dia sudah melihat betapa berkuasanya bongkah ini. Jika ia meletup di dalam tangannya, mayatnya akan hancur seribu.

27 saat.

Degupan jantung Van'er bergema dalam telinganya dan dia mengira dalam hati. Dia berjalan mendekati makhluk iblis itu dan meletakkan kampit peletup itu ke laluannya.

15 saat.

Makhluk itu terus memijak kampit itu. Tiada apa yang dapat menghalang kemaraannya.

9 saat.

Van'er berpusing dan berlari sekuat hati.

6 saat.

3 saat…

Satu dentuman kuat kedengaran. Tanah bawah kaki Van'er bergegar. Dentuman itu bergema di seluruh pelusuk kawasan itu.

Dia berpusing dan melihat letusan putih menderu keluar dari bawah cangkerang makhluk itu. Ia cairan salji di atas tanah yang diletuskan kampit tadi dan berguguran seperti bunga putih. Akhirnya makhluk kacukan itu berhenti berjalan, seakan-akan tidak mampu lagi menggalas beban di belakangnya. Cangkerang gergasinya jatuh berkecai ke tanah. Darah hitam memancut keluar dari bawah cangkerang itu dan membasahi permukaan bumi.

"Ooh..."

Sorakan semua orang bergempita di kawasan itu.

Van'er jatuh terduduk. Baru dia sedar rupanya baju dia dibasahi peluh jantan.

'Akhirnya ia sudah berakhir.'

Semua orang juga menyangkakan perkara sama, tetapi tiba-tiba semboyan amaran dibunyikan lagi dari sempadan.

Satu lagi kawanan makhluk iblis muncul dari ufuk dan sedang mara menuju ke Pekan Sempadan.