Bilik bacaan istana pemerintah Kubu Longsong jauh lebih luas berbanding kamar bacaan Roland di Pekan Sempadan. Rak-rak tinggi yang padat dengan buku berkulit tebal dan bersepuh emas memenuhi dinding di kiri dan kanan Roland. Buku-buku itu terdiri daripada pelbagai topik dan subjek yang menarik minat Roland, daripada kisah epik sehinggalah ke catatan pengembaraan. Rak-rak itu begitu tinggi sehingga ada tangga kayu disediakan bagi mencapai buku yang terletak di rak paling atas sekali.
Satu-satunya tingkap yang ada dalam bilik itu hanya sampai setakat pinggang Roland sahaja dan mungkin atas sebab keselamatan, ada jeriji besi yang dipasang di luarnya. Apabila sinar matahari kelam menyelit masuk bilik itu, bayang-bayang menggarisi permaidani berbulu tebal di lantai dan membuat Roland rasa seperti sedang menghadap segenap dunia yang jauh berbeza.