Wap-wap air termendap atas kaca tingkap lalu mengeras menjadi satu lapisan ais senipis kain kasa kerana kesejukan udara. Angin dingin meniup pula tingkap itu lalu membuat lapisan ais tadi retak. Keadaan di luar ini berbeza sungguh dengan suasana bilik di sebalik kaca tingkap itu, dengan api marak membakar di perdiangan.
Scroll sedang duduk di hadapan sebuah meja panjang di Pejabat Dewan Perbandaran sambil membaca gulungan demi gulungan dokumen yang tebal.
Dokumen-dokumen itu bukan tentang pendidikan, tetapi merupakan statistik yang dilaporkan oleh pelbagai jabatan berbeza. Scroll menggunakan masa lapangnya untuk menghafal semua maklumat itu, manalah tahu jika seseorang perlu tahu tentangnya dengan segera. Baru-baru ini dia semakin kerap melakukan itu kerana dia sudah tidak ada begitu banyak kerja lagi di Kementerian Pendidikan. Peperiksaan besar kedua sudah berakhir tidak lama dahulu dan peperiksaan besar ketiga hanya akan diadakan pada musim panas nanti.