Petrov menguap lebar dan dia terus rasa kedinginan yang menyucuk sehingga ke tulang hitam. Kalaulah dia boleh terus berlingkar dengan selimut atas katil yang panas ini, dengan ditemani Shirley yang jelita.
"Awak tidak mahu sambung tidur lagi?" Wanita di sebelah Petrov berpusing dan menggumam dalam mamai. "Masih awal pagi, bukan?"
Petrov menunduk dan mengucup dahinya. Rambut perang Shirley jatuh menyapu pipinya yang gebu dan di sebalik juraian rambut hadapannya ada sepasang mata bundar yang mempesonakan. Kali pertama Petrov memandang dia di Panggung Longsong, hatinya terus tertawan dengan mata itu.
"Rasanya sekarang sudah hampir waktu tengah hari. Saya patut turun untuk tengok jika ada sebarang kerja rasmi untuk saya uruskan," bisik Petrov. "Awak boleh sambung tidur dulu, saya akan minta orang suruhan bawakan makan tengah hari untuk awak nanti."