Apabila mereka sudah selesai berbincang tentang itu, Roland berdehem dan beralih ke perkara seterusnya. Dia bercakap dengan nada yang lebih serius. "Seterusnya, beta mahu membicarakan tentang berita berkenaan syaitan serta tinggalan purba itu."
Roland menceritakan kembali tentang penemuan terbaru di Hutan Kabut dan bandar di sebalik pergunungan salji kepada Tilly. "Kanda ingin menghantar ahli sihir dan Angkatan Tentera Pertama untuk menyelamatkan wanita yang terperangkap di dalam keranda batu itu dan membawa dia kembali ke Pekan Sempadan. Namun, salji tebal turun sebulan lebih awal daripada yang dijangka dan itu mengganggu rancangan ini."
"Jadi Tentera Iblis yang sering dikatakan itu rupanya tinggal berhampiran kita dan masih ada manusia yang tertinggal dalam menara batu berusia lebih 400 tahun…" Tilly mengulang semula dengan nada tidak percaya. "Ya, dinda percaya cerita kanda itu walaupun ia kedengaran sangat tidak masuk akal."