Dalam sebuah gereja yang tersergam penuh mewah, Paderi Ferry hanya sekadar melihat ke arah seorang petani yang melutut di hadapan tapak kakinya.
Badan petani itu yang tegap sudah bengkok apabila dia meringkuk seperti itu sementara tangannya menggigil dan warna ungu luar biasa mula tersebar di kulitnya. Tompok-tompok ungu itu menjadi semakin pekat dan bertukar menjadi tompok hitam yang kemudiannya akan merebak ke seluruh badannya dalam masa setengah hari sahaja. Petani itu dikira sudah cukup kuat kerana dia masih tidak dijangkiti sehingga ke hari ini.
Paderi itu bersuara, "Saya kenal awak. Awak Batu Bukit yang tinggal di daerah timur dan awak selalu membawa gandum yang baru dikisar untuk kami."
"Tuan… Tuan ingat saya! Syukurlah kalau begitu, Yang Berhormat." Dia berulang-ulang kali menyembah sujud kepada paderi itu sambil berkata lagi, "Semua anggota keluarga saya sudah dijangkiti wabak ini. Tolong berikan kami sedikit penawar suci, tolonglah…"