Matahari perlahan-lahan terbenam di sebalik pergunungan dan malam pun berlabuh di Rantau Barat.
Rombongan utusan Gereja Inggeris memutuskan untuk bermalam di sebuah padang terbuka tidak jauh dari jalan utama.
Selepas mereka selesai mendirikan khemah dalam bentuk bulatan, mereka menyalakan unggun api di tengah-tengahnya. Askar-askar menanggalkan baju perisai mereka dan duduk mengurut-urut kaki mereka yang lenguh. Mereka meregangkan anggota badan mereka di keliling unggun api itu sambil menunggu air dijerang bagi memasak bubur.
Alicia membawa semangkuk air suam ke dalam sebuah khemah dan berkata, "Yang Berhormat Paderi, silakan membasuh muka puan."
"Terima kasih," Mira mengangguk kepada Alicia sambil tersenyum lalu mencelupkan sehelai tuala ke dalam mangkuk itu. "Kita akan tiba di Pekan Sempadan esok. Terima kasih untuk kerja keras awak sepanjang masa ini."