Sebelum memasuki balai penghadapan, Prius diperiksa sekali lagi. Pemeriksaan kali ini lebih terperinci. Dari hujung kepala ke hujung kaki, pengawal memastikan tidak ada satu tempat pun yang boleh menyembunyikan pisau belati atau sebarang bilah tajam. Malah tapak kasutnya juga turut diperiksa.
Selepas itu baru Prius dapat menatap orang yang berjaya menghancurkan Askar Campuran Duke Ryan – Roland Wimbledon, Putera Keempat Graycastle, pemerintah Pekan Sempadan, dan pemerintah baru Rantau Barat.
Putera itu memiliki ciri pengenalan darah diraja Wimbledon, rambut panjang berwarna kelabu. Wajahnya tampak muda, mungkin sekitar usia 20 tahun. Rambutnya tidak diikat ke belakang dan Baginda juga tidak memakai sebarang mahkota. Jari-jemari yang memegang pena pelepah itu runcing dan tidak dihiasi cincin mahupun sebarang alat perhiasan lain, hatta seutas gelang sekalipun. Ini sangat jarang dilihat pada seorang ahli keluarga diraja.