Chereads / Pakar Makanan Dunia Lain / Chapter 40 - Wain Lain Tak Setanding Wain Saya

Chapter 40 - Wain Lain Tak Setanding Wain Saya

"Wain Nektar Berhias Permata itu tak sedap?!" Bila kata-kata itu diutarakan, suasana dalam restoran berubah dingin.

Tiga orang gasar keluarga Ouyang dan Xiao Xiaolong merenung Bu Fang. Mereka pencinta wain dan Wain Nektar Berhias Permata itulah yang paling sedap mereka pernah rasa. Namun, bila Bu Fang kata, ia… tak sedap?

"Haha, Tauke busuk, cara kamu cakap itu sangat kacak!" Ouyang Xiaoyi berkata dengan gembira sambil bertepuk tangan. Dia sukakan keyakinan diri Bu Fang.

"Tch, dia tu orang hulu. Pernah ke dia rasa Wain Nektar Berhias Permata? Dia hanya bercakap mengarut." Zhao Ruge mendengus dan memuncungkan bibirnya. Bagaimana tauke restoran kecil seperti Bu Fang boleh tahu rasa wain nombor satu dalam Empayar Bayu yang dipilih sendiri oleh maharaja daripada berpuluh ribu wain?

Bu Fang mengerutkan keningnya dan memandang Zhao Ruge. Dia dapat mengecam Zhao Ruge hanya kerana orang itu pernah berkali-kali cuba merasuahnya dengan duit.

"Jika nak dibandingkan dengan wain saya, wain biasa yang lain tak sedap."

Bu Fang berkata dengan penuh keyakinan. Dia memang sangat yakin dengan Wain Jed Penyejuk Hati.

"Tauke Bu, kamu ada hidangkan wain di sini?" Mata Xiao Xiaolong bersinar dan wajahnya menjadi kemerah-merahan kerana rasa tak keruan.

Bu Fang hanya menuding jari ke arah menu di belakangnya dan tak berkata apa-apa.

Semua orang faham apa dia maksudkan dan mereka menoleh dan melihat menu…

"Sss~"

Bunyi itu datang dari Zhao Ruge. Ini kali pertama dia masuk ke dalam restoran dan kali pertama dia melihat menu. Walaupun dia pernah dengar betapa mahalnya makanan di situ, dia masih terkejut melihat harga itu.

Ouyang Xiaoyi dan lain-lain terus membuat muka. Orang hulu betul dia ni… Perlu ke terkejut sampai begitu?

"Wain Jed Penyejuk Hati, lima belas kristal sebalang." Xiao Xiaoyi membaca perlahan.

"Seperti dijangka, hidangan Tauke Bu memang mahal." Xiao Yanyu berkata. Harga lima belas kristal sebalang jauh lebih mahal daripada Wain Nektar Berhias Permata, yang hanya bernilai lima ratus syiling emas.

Bila dibandingkan harga pun, Wain Nektar Berhias Permata itu… tak bernilai.

"Lima belas kristal sebalang? Kamu dah gila ke? Betul ke wain kamu setanding harganya?" Zhao Ruge langsung tak percaya. Harga lima ratus syiling emas untuk Wain Nektar Berhias Permata pun dah dikira mahal. Lima belas kristal… tak masuk akal!

"Tauke Bu! Tak perlu kata apa-apa lagi, saya nak satu balang! Mujurlah saya memang bijak dan menjangkakan harga semahal ini jadi saya bawa banyak kristal." Xiao Xiaolong berkata kepada Bu Fang dengan teruja.

"Tauke Bu, kami bertiga mahu sebalang juga. Kalau Ikan Perap Bijian Wain Beras pun dah rasa sedap, wain ini apatah lagi!" Ouyang Zhen berkata dengan gembira.

Zhao Ruge mengangkat keningnya sambil memandang Xiao Xiaolong dan tiga orang gasar keluarga Ouyang dengan perasaan terkejut. Mereka sanggup beli wain mahal itu… Mungkinkah betul wain tu sangat sedap?

Zhao Ruge terus buat keputusan. Dengan berat hati dia berkata, "Saya pun nak sebalang!"

"Hmph! Aku nak tahu kenapa wain di tempat sebegini boleh dijual dengan harga lima belas kristal!" Fikir Zhao Ruge.

"Maaf, hanya tiga balang Wain Jed Penyejuk Hati dijual sehari. Kalau kamu nak buat pesanan, kamu perlu datang esok." Bu Fang memandang Zhao Ruge acuh tak acuh dan berkata tanpa perasaan.

Zhao Ruge kaku sekejap dan matanya terus berapi penuh kemarahan sambil dia berfikir, 'Kau tolak aku lagi! Kau berdendam ke dengan aku?'

"Bukankah kamu kata ada tiga balang sehari? Disebabkan Xiao Xiaolong dan adik beradik Ouyang dah beli dua balang, bukankah ada lagi satu balang untuk aku? Kamu pandang rendah ke pada aku?"

Zhao Ruge sangat marah.

Bu Fang agak bingung memandang Zhao Ruge yang sedang marah. Namun, wajahnya masih tak berperasaan sambil membalas, "Balang terakhir dah ditempah."

"Ditempah? Alasan… Itu sememangnya satu alasan!" Fikir Zhao Ruge. Dia rasa nak baling kasut ke arah Bu Fang yang tak berperasaan tu. Muka tu memang nak kena sepak!

"Beritahu aku, siapa yang tempah balang ketiga tu? Aku akan campak duit pada dia sampai dia mengalah!" Zhao Ruge berkata dengan wajah sugul.

"Ikut kamulah apa kamu nak buat. Aku tak kisah asalkan kau tak buat hal dalam restoran ini." Bu Fang berkata sebelum masuk ke dapur. Namun, bila dia sampai ke pintu dapur, dia menoleh dan bertanya, "Kamu tak mahu pesan makanan? Kamu nak minum saja ke?"

"Saya nak Shumai Keemasan." Xiao Yanyu berkata dengan lembut.

Xiao Xiaolong tersengih sambil memesan Nasi Goreng Telur Tahap Tinggi. Tiga orang gasar keluarga Ouyang memesan sehidang Ikan Perap Bijian Wain Beras kerana itu saja hidangan yang mereka boleh nikmati. 

"Kamu pula?" Bu Fang memandang Zhao Ruge.

Mata Zhao Ruge mengecil dan berkata, "Berikan aku Tulang Rusuk Masam Manis! Aku hanya akan makan hidangan paling mahal!"

Yang lain-lain terkejut dan barulah mereka sedar ada hidangan baru dalam menu. Mereka terlampau tertarik dengan Wain Jed Penyejuk Hati tadi.

"Tulang Rusuk Masam Manis? Hmm, baiklah." Bu Fang mengangguk dan masuk ke dapur.

Tulang Rusuk Masam Manis yang berharga lima puluh kristal ialah hidang paling mahal restoran itu setakat ini.

"Zhao Ruge, cukup ke kristal yang kau bawa?" Ouyang Xiaoyi terpaksa bertanya. Puteri keluarga Ouyang itu pun agak terkejut dengan harga lima puluh kristal untuk satu hidangan.

"Aku ada banyak duit. Apalah sangat lima puluh kristal tu. Kau jangan lupa pertaruhan kita. Yanyu, nantikan saja perjalanan kita melihat bulan atas bot." Zhao Ruge tersenyum yakin. Sebagai anak Menteri Kiri, dia ada banyak harta peribadi dalam bandar Diraja. Apalah sangat lima puluh kristal untuk dia.

Sebenarnya, bila pertapa sudah capai tahap Raja Pertempuran kelas kelima, mereka perlukan beribu-ribu kristal untuk pertapaan mereka. Untuk mencapai penemuan baru, mereka perlu kumpul berpuluh ribu kristal.

Itulah sebabnya pertapa tahap tinggi tak begitu kisah dengan kristal. Tapi, untuk Zhao Ruge, walaupun dia bukan pertapa tahap tinggi, dia ada banyak harta. Perniagaannya pun tertumpu pada pertapa sebagai pelanggan, jadi dia memang tak pernah kekurangan kristal.

Zhao Ruge tersenyum kecil sambil duduk. Dia mengeluarkan balang nilam yang berisi Wain Nektar Berhias Permata yang dibawa. Dia juga membawa cawan wain sendiri dan mula menuangnya. Dia memanggil Xiao Yanyu dan lain-lain sambil berkata, "Marilah duduk di sini. Mari rasa Wain Nektar Berhias Permata ini dulu."

Ada sebab kenapa Wain Nektar Berhias Permata itu dipilih maharaja sebagai wain Diraja dan dipilih sebagai wain nombor satu dalam Empayar Bayu. Saat wain itu dituang, aromanya yang kaya itu meresap ke dalam udara.

Xiao Xiaolong dan tiga orang gasar keluarga Ouyang itu hampir tewas daripada menahan diri.

Namun, belum sempat mereka merasa Wain Nektar Berhias Permata itu, ada satu susuk tubuh masuk ke dalam restoran. Setiap langkah yang diambilnya bagaikan penuh keajaiban.

Semua pandangan tertumpu ke arah susuk tubuh yang berdiri di pintu masuk itu.

Berpakaian jubah hitam dan bertopi buluh dengan vel hitam, dia membawa pedang panjang yang dibalut kain. Tubuhnya yang tinggi lampai itu penuh aura misteri.

Sejurus saja dia masuk ke dalam restoran itu, atmosfera berubah dingin.

Tegang otot orang gasar keluarga Ouyang bila mereka melihat lelaki misteri bertopi buluh itu. Mereka dapat rasakan aura yang sangat menakutkan daripadanya.

Aura itu menyebabkan daya tulen beredar dalam badan mereka secara automatik… Itu mekanisme pertahanan diri bila berlakunya sebarang krisis.

Xiao Yanyu dan Xiao Xiaolong pun terperanjat seketika sambil memerhatikan lelaki itu dengan lebih teliti. Mereka dapat rasakan pandangan di sebalik vel hitam itu tertumpu ke arah mereka.

"Kamu siapa?!" Zhao Ruge mengerutkan kening dan bertanya dengan dingin. Dia dapat rasakan yang lelaki itu agak pelik.

Dengan situasi tak stabil dalam bandar Diraja, ramai pakar dari sekta yang sedang bersembunyi. Mungkin… lelaki ini pakar dari sekta juga.

"Aku? Aku hanya datang makan." Suara garau seperti kertas pasir tiba-tiba kedengaran. Lelaki misteri itu duduk di meja berhampiran pintu masuk dan meletakkan pedangnya yang berbalut itu di atas meja.

Kain pembalut itu agak buruk dan pudar dan sedikit keras selepas dibasuh banyak kali.

"Kamu… Kamu mahu buat pesanan apa?" Ouyang Xiaoyi bertanya dengan segan silu. Dia takut dengan aura lelaki itu.

"Aku ada tempah satu balang Wain Jed Penyejuk Hati daripada Tauke Bu semalam. Aku datang sini untuk ambil wain itu." Lelaki itu teruskan berkata dengan suara garaunya.

"Untuk ambil wain?!"

Semua orang terkesima dan memandang Zhao Ruge. Dia baru saja cakap yang dia nak campak duit untuk beli balang terakhir Wain Jed Penyejuk Hati daripada orang yang menempahnya.

Zhao Ruge terperanjat kemudian tersenyum. Dia duduk dengan elegan di hadapan lelaki itu dan berkata dengan yakin, "Jualkan pada aku Wain Jed Penyejuk Hati. Aku akan bayar tiga kali ganda harganya."

"Aku tak nak jual." Lelaki itu membalas acuh tak acuh.

Zhao Ruge bermasam muka dan meneruskan, "Lima kali ganda."

"Aku kata aku tak nak jual."

"Kau tahu tak aku siapa? Kenapa kau cuba nak sakitkan hati aku?" Zhao Ruge menggertak dengan wajah dingin. Selepas dua tawarannya ditolak berturut-turut, Zhao Ruge menjadi berang.

Akhirnya, lelaki itu mengangkat muka dan memandang Zhao Ruge. Suara garaunya yang menakutkan seperti guruh itu kedengaran.

"Kalau Menteri Kiri ada di sini sekali pun, dia tak akan berani bercakap begitu pada aku. Kau… rasa kau tu siapa?"