Chereads / Pakar Makanan Dunia Lain / Chapter 31 - Tidak lama Lagi .. Kedai Kecil Ini Akan Dipenuhi Pelanggan

Chapter 31 - Tidak lama Lagi .. Kedai Kecil Ini Akan Dipenuhi Pelanggan

Keadaan pada masa itu menjadi sunyi.

Ji Chengxue memandang Si Putih yang kelihatan agak comel dengan begitu hairan. Kekuatan boneka besi ini di luar jangkaan dia. Malah dia berasa bukan senang untuk menewaskan Raja Pertempuran Kelas Kelima tetapi Si Putih ini boleh membogelkan seorang Raja Pertempuran dan mencampak keluar dari kedai.

Ketenangan Bu Fang juga di luar jangkaan putera ketiga. Meskipun pedang itu hampir menikam Bu Fang, tetapi dia tetap tidak kisah. Adakah dia begitu percaya kebolehan boneka itu?

Baki tiga pembunuh itu juga baru sedar dari kejutan sebentar tadi dan memandang Si Putih seperti mereka mahu menentang musuh terbesar mereka. Mereka tidak berani memandang rendah Bu Fang lagi. Bukan atas sebab lain tetapi kerana boneka itu mampu mengalahkan rakan seperjuangan mereka sehingga setengah mati hanya dengan dua pukulan.

"Ada kesilapan dengan maklumat diberikan! Ada sesuatu yang pelik dengan kedai ini!" Tiga pembunuh itu melihat satu sama lain di bawah topi buluh itu dengan sangat serius.

Hakikatnya, cubaan membunuh mereka kali ini telah gagal. Sebagai seorang pembunuh, jika serangan pertama mereka telah gagal, mereka harus terus beredar dengan segera dan mencari peluang lain. Itu sebabnya mereka melepaskan Ji Chengxue dan berlari ke pintu kedai.

Namun, bagaimana mereka boleh melarikan diri jika mereka sudah menjadi sasaran Si Putih? Tubuh kesemua mereka yang cuba melarikan diri itu ditangkap oleh satu tenaga kuat lalu ditarik balik ke hadapan boneka besi itu.

Mata mekanik Si Pituh berkelip sambil melepaskan tiga serangan berturut-turut yang menyebabkan ketiga-tiga mereka memuntahkan darah dan jatuh ke atas lantai. Topi buluh mereka juga telah hancur dan mereka tidak lagi berdaya untuk melawan balik.

Bunyi baju dikoyak kedengaran dan tidak lama kemudian ketiga-tiga pembunuh itu dicampak keluar seperti pembunuh pertama tadi. Mereka jatuh di atas lorong kecil itu ditemani cawat kecil untuk menutup bahagian peribadi mereka.

Hujan lebat masih turun di luar. Air hujan yang turun dari langit telah membentuk seperti satu tirai besar yang menyelubungi bumi.

Selepas menyelesaikan tugasnya, Si Putih membuat tumbukan ke udara secara mekanikal dengan megah. Kemudian mata mekanikalnya berkelip dan kelihatan agak gembira dan kembali ke dalam dapur.

Kedinginan dalam mata Ji Chengxue beransur-ansur hilang dan dia telah kembali kepada gaya biasanya. Dia tersenyum kecil sambil memandang Bu Fang dengan penuh makna.

Dia tiba-tiba sedar dia tidak dapat memahami cef ini yang hanya bertahap Mahaguru Pertempuran Kelas Kedua.

"Kamu mahu pesan apa?" Bu Fang mengabaikan pandangan Ji Chengxue dan bertanya tanpa ekspresi.

"Saya mahu Ikan Perap Bijian Wain Beras, saya bernasib baik Tauke Bu di sini untuk membantu saya, saya ingin minum arak untuk meraikan tetapi tiada wain dijual di sini, jadi saya hanya boleh memesan Ikan Perap Bijian Wain Beras." Putera ketiga, Ji Chengxue ketawa kecil dan mengangguk kepada Bu Fang.

Jika bukan bantuan Si Putih, keadaan tadi akan bertukar sangat bahaya. Dia juga tidak menjangka mereka begitu gila menyerangnya secara terbuka di dalam bandar diraja ini.

"Wain yang bagus akan dijual dalam masa beberapa hari lagi, tapi bukan untuk hari ini," kata Bu Fang sambil menuju ke dapur. Dalam perjalanan, dia menepuk kepala Ouyang Xiaoyi yang masih terkejut dengan lembut.

"Oh, nanti ada wain?" Mata Ji Chengxue terus bersinar diikuti dengan senyuman, kelihatan lebih ceria sambil melihat bayangan Bu Fang yang memasuki dapur.

"Xiaoyi, saya mahu keluar sebentar. Simpan Ikan Perap Bijian Wain Beras untuk saya jika ia sudah siap." kata Ji Chengxue kepada Ouyang Xiaoyi, yang masih tergamam, ketika dia berjalan perlahan ke pintu masuk.

"Oh, eh, kenapa kamu mahu keluar?" tanya Ouyang Xiaoyi.

Tetapi, Ji Chengxue tidak menjawab dan terus keluar dari kedai.

Sebaik sahaja menjejak kaki ke luar, wajah Ji Chengxue terus berubah. Senyuman yang lembut dan halus hilang, diganti dengan niat membunuh yang dingin seperti ais.

Dia membuka payung untuk menghalang tirai hujan yang jatuh dari langit. Titisan air hujan terpercik ke kasut dan membasahkan pakaiannya.

Dalam lorong itu, empat pembunuh itu bangun dengan cukup sukar. Mereka hampir tidak dapat membuka mata mereka dalam hujan yang begitu lebat. Dalam kabus itu, mereka melihat satu bayangan seseorang yang sedang memegang payung kertas minyak.

Kemudian penglihatan mereka tiba-tiba terpaku dan mata mereka membesar.

... ...

Ji Chengxue kembali semula dan melangkah ke dalam kedai yang selesa itu. Dia menghembus udara panas ke dalam genggaman tangan, cuba menghangatkan tubuh dari kesejukan. Dia menepis titisan air hujan di jubahnya dengan elegan bersama senyuman lembut kembali di wajahnya.

"Xiaoyi, adakah Ikan Perap Bijian Wain Beras sudah siap?"

Ouyang Xiaoyi mengelip mata dan menjawab, "Belum lagi, tetapi saya sudah boleh mencium aroma itu. Ia akan siap tak lama lagi."

Ji Chengxue mengangguk dan kembali ke tempat duduknya. Di hujung kakinya, air hujan berwarna kemerahan mengalir turun dari hujung jubahnya. Ouyang Xiaoyi merenung lopak air berwarna merah itu tanpa berkata apa-apa.

Putera ketiga itu juga tidak mengatakan apa-apa. Dia menutup mata dan berehat, seperti sedang memikirkan sesuatu.

Tidak lama kemudian, aroma wain yang kaya itu hanyut keluar dari dapur dan memenuhi seluruh kedai, membersihkan semua sisa niat membunuh.

Ouyang Xiaoyi terhuyung hayang semasa dia membawa keluar Ikan Perap Bijian Wain Beras. Sepanjang perjalanannya, wangian itu terus menerus keluar dari pinggan. Dia menggunakan sapu tangan untuk menutup hidung dan memaksa dirinya untuk tidak menghidu wangian itu. Matanya merenung tepat Ikan Perap Bijian Wain Beras setelah menghidangkan makanan itu di hadapan Ji Chengxue.

"Yang Mulia besar, ini ikan yang dipesan," kata Ouyang Xiaoyi dengan sengau.

"Haha, akhirnya sudah siap, saya sangat suka Ikan Perap Bijian Wain Beras ini. Di seluruh empayar ini, saya paling mengagumi kemahiran memasak Tauke Bu." Ji Chengxue ketwa kecil sambil menepuk lembut kepala Ouyang Xiaoyi.

Bu Fang juga keluar dari dapur sambil membawa semangkuk Nasi Goreng Telur yang sangat wangi dan meletaknya di tempat duduk bertentangan dengan Ji Chengxue. Dia menunjuk ke pinggan itu dan berkata kepada Ouyang Xiaoyi, "Ini sarapan kamu."

Ouyang Xiaoyi, yang masih terkejut dari cubaan membunuh tadi, serta merta menjadi tenang. Matanya bersinar dan terus duduk dan mula makan Nasi Goreng Telur itu dengan lahap.

Cara makan Ji Chengxue pula sangat elegan; sangat ketara dia seorang yang sangat berdisiplin.

"Tauke Bu, adakah kamu memang tidak berminat untuk menjadi cef istana? Dengan kemahiran masakan ini, kamu pasti boleh menjadi ketua cef istana," Ji Chengxue cuba memujuk sekali lagi.

"Patik tidak berminat menjadi cef untuk sesiapa pun, jika Mahajara ingin makan hidangan Patik, beritahu Maharaja untuk beratur sendiri," jawab Bu Fang dengan acuh tak acuh. Dia begitu jelas tidak berselindung.

"Dengan kemahiran Tauke Bu, itu satu pembaziran bakat kamu jika terus tinggal di lorong kecil ini. Jika kamu berkerja di dalam dapur istana, kamu pasti dapat mempamerkan bakat kamu," kata Ji Chengxue dengan satu keluhan.

"Siapa kata saya tidak boleh mempamerkan bakat saya di lorong ini? Saya percaya tidak lama lagi tempat ini akan dipenuhi pelanggan," kata Bu Fang dengan serius dan yakin.

Ji Chengxue agak terkejut dengan jawapan Bu Fang. Secara tidak sengaja dia berkata, "Itu tidak mungkin. Dengan harga hidangan makanan kamu, orang biasa tidak mampu membeli."

"Tidak, bukan kerana mereka tidak mampu. Tapi mereka tidak boleh makan. Tuanku pasti faham mengapa hidangan saya begitu berharga," kata Bu Fang.

Tidak kira sama ada Nasi Goreng Telur biasa atau Tahap Tinggi, Ikan Perap Bijian Wain Beras atau Sup Tauhu Kepala Ikan, ramuan yang dipilih dari binatang dan herba yang berharga dan bersemangat tinggi. Binatang Semangat yang dipenuhi dengan tenaga semangat itu sukar ditangkap. Menggunakan mereka sebagai bahan dalam masakan satu perkara yang tidak boleh dipercayai. Herba semangat sukar diperolehi dan biasanya digunakan untuk membuat eliksir.

Masakan Bu Fang berjaya menyimpan sebahagian besar tenaga semangat dari bahan-bahan tersebut. Makan salah satu hidangannya seperti mengambil eliksir dan akan membantu dalam pertapaan. Itu mengapa hidangannya begitu berharga dan juga salah satu fakta yang selalu diabaikan oleh Ji Chengxue dan orang lain.

Bu Fang rasa dia perlu mengingatkan budak-budak bodoh ini.

Ji Chengxue sedang menyepit daging ikan dengan penyepitnya tetapi berhenti tiba-tiba dan matanya membesar. Dia sangat terkejut, seperti hatinya dihentak dengan batu besar.

Betul! Memandangkan dia telah mencapai Raja Pertempuran Kelas Kelima, jika dia hendak melepasi tahap seterusnya, dia memerlukan tenaga tulen yang sangat besar . Hidangan Bu Fang tidak dapat membantunya. Dia hanya datang setiap hari kerana rasa hidangan dia sangat enak.

Namun, selepas peringatan Bu Fang, dia menyedari walaupun hidangan ini tidak mempunyai kesan yang besar kepada tahap pertapaan dia. Tetapi, ia berbeza untuk pertapa lain yang hanya berada di tahap Maniak Pertempuran kelas Ketiga dan Pertempuran Semangat Kelas Keempat!

"Selain itu, saya perlu mengingatkan kamu, pada masa akan datang kedai ini akan mengeluarkan lebih banyak hidangan lebih enak. Kehebatan bahan masakan yang dipilih juga akan menjadi lebih hebat..." Bu Fang berkata perlahan.

"Ada kemungkinan... daging suci binatang semangat kelas sembilan juga akan muncul!"