Download Chereads APP
Chereads App StoreGoogle Play
Chereads

The Sterling Ghost

🇲🇾HanaStory
28
chs / week
The average realized release rate over the past 30 days is 28 chs / week.
--
NOT RATINGS
781
Views
Synopsis
Ryan Sterling pernah menjadi legenda dalam dunia pembunuh bayaran. Namun, dia memilih untuk menghilangkan diri, meninggalkan masa lalu dan memulakan hidup baru bersama kekasihnya, Elena, serta adiknya, Adrian. Di Blackhaven, dia cuba menjadi manusia biasa—sehingga satu malam mengubah segalanya. Rumahnya diserang. Elena dan Adrian mati dalam kekejaman yang tidak masuk akal. Pada awalnya, Ryan menganggap ini hanya jenayah jalanan, tetapi ketika dia memburu dalangnya, dia menemui sesuatu yang lebih gelap—serangan itu bukan kebetulan. Ia dirancang. Semakin dalam dia menyiasat, semakin jelas bahawa pembunuhan ini berkait dengan organisasi lamanya, The Revenant Order. Musuh lamanya, Victor DeLuca, mahu membuktikan satu perkara—dalam dunia pembunuh bayaran, tiada jalan keluar. Kau hanya boleh berhenti dengan satu cara—mati. Kini, Ryan tidak hanya memburu pembunuh keluarganya. Dia menentang sistem yang mencipta dirinya. Tetapi dalam kegelapan dendam dan pertumpahan darah, satu persoalan menghantuinya—adakah dia masih manusia, atau kini sekadar hantu yang kembali untuk membalas dendam?
VIEW MORE

Chapter 1 - The Sterling Ghost

Episod 1 – Kehidupan Damai Sebelum Tragedi

Blackhaven tidak pernah sunyi. Ia kota yang bernafas dalam kegelapan—lorong-lorong sempit yang dihuni bayang-bayang, jalanan yang basah dengan sisa hujan dan sinar neon yang kelam.

Tetapi bagi Ryan Sterling, malam ini terasa damai.

Dia duduk di meja kayu di sebuah kafe kecil, jari membelai cawan kopi yang masih berasap. Bau espresso pekat memenuhi ruang, bercampur dengan muzik jazz lembut yang dimainkan dari pembesar suara usang.

"Bila kau nak berhenti minum benda pahit ni?" suara Elena mencuri perhatiannya.

Ryan tersenyum kecil. "Bila aku mati."

Elena menjeling. "Jangan cakap macam tu."

Dia menghirup kopinya perlahan. Kehangatan itu menenangkan, tetapi tidak cukup untuk menghapuskan bayang-bayang yang selalu menghantuinya.

"Kau nampak Adrian?"

Elena mengangguk. "Dia kata nak ulang kaji, tapi aku yakin dia tengah main game."

Ryan menghela nafas. "Budak tu."

Elena tersenyum kecil, matanya memerhati Ryan dengan cara yang hanya dia faham. Ryan tahu apa maksud pandangan itu—seolah-olah dia sedang menunggu sesuatu, sesuatu yang Ryan tidak mahu katakan.

Hidup mereka bahagia, atau sekurang-kurangnya itulah yang mereka cuba bina.

"Kau fikir…" Elena berhenti sejenak, suaranya hampir tenggelam dalam bunyi hujan di luar. "Kita akan okey?"

Ryan menatapnya lama. "Kita dah okey."

Dia mahu percaya kata-katanya sendiri.

Tetapi jauh di sudut hatinya, dia tahu masa lalu tidak akan membiarkan dia pergi begitu sahaja.

---

Mereka berjalan pulang dalam hujan renyai. Elena merapatkan jaketnya, manakala Ryan hanya membiarkan kesejukan menusuk kulit. Blackhaven berdenyut dengan kehidupan malam—suara enjin motor, bunyi kaca pecah di lorong belakang, ketawa mabuk dari sebuah bar di hujung jalan.

Namun, Ryan tidak peduli.

Di rumah, Adrian sudah tertidur di sofa dengan alat kawalan permainan masih di tangan. Skrin televisyen menayangkan skrin menu, bunyi latar permainan berdengung perlahan.

Ryan menggeleng sebelum menutup skrin dan menarik selimut menutupi tubuh adiknya.

"Kau terlalu manjakan dia," bisik Elena dari belakang.

Ryan tidak menjawab. Dia hanya berdiri di situ, memerhati wajah Adrian yang tenang. Seolah-olah dunia ini bukan tempat yang berbahaya. Seolah-olah mereka benar-benar selamat.

Tetapi dia silap.

Di luar rumah mereka, dalam bayang-bayang yang tidak kelihatan, seseorang sedang memerhati.

Dan dalam sekelip mata, kedamaian yang mereka bina akan

musnah.