Chereads / Exiled: 6PM / Chapter 2 - 2

Chapter 2 - 2

Suasana bandar Kuala Lumpur sibuk seperti biasa—deruan enjin, lautan manusia yang berpusu-pusu, dan hiruk-pikuk bunyi pasaraya. Kei, Rayze, Alya, dan Elric sedang berjalan keluar dari sebuah kedai pakaian, masing-masing dengan beg plastik di tangan.

Awan mendung menggantung rendah di langit, menutup cahaya matahari. Angin bertiup perlahan, membawa udara yang sedikit lembap, tanda hujan mungkin akan turun bila-bila masa.

"Weh, rasa macam nak hujan," Elric mendongak ke langit.

Alya mengangguk. "Tadi panas, sekarang gelap semacam."

Rayze jeling jam tangan, kemudian tengok jam digital di dinding mall. "Eh, dah pukul 6 ke? Tadi rasa baru je 5.30."

"Biar betul," Kei angkat kening. "Cepatnya masa jalan."

Mereka terus berjalan sambil bersembang kosong. Setelah lebih kurang dua minit, Rayze tiba-tiba berhenti dan pandang jam tangannya sekali lagi. Dahi dia berkerut.

"Eh... kejap."

Alya perasan reaksi dia. "Kenapa?"

"Jam aku... still pukul 6.00."

Kei angkat kening. "Phone aku pun pukul 6."

"Memang la, sekarang kan pukul 6," balas Alya selamba.

"Tak. Aku maksudkan, jam aku tak bergerak langsung sejak tadi," Rayze tunjuk skrin jam tangannya. "Phone aku pun sama."

Elric keluarkan telefon dan periksa. "Hah, weh. Aku pun sama."

Alya mula rasa pelik. Dia tengok sekeliling, cuba cari jam lain. Papan tanda digital di mall—masih pukul 6.00. Jam di sebuah restoran—6.00. Semua jam... berhenti.

Telefon mereka berbunyi serentak. Satu mesej masuk dari 'UNKNOWN'.

"ADAKAH ANDA INGIN BERMAIN GAME?"

Bawahnya ada dua pilihan: YA atau TIDAK.

Mereka berpandangan sesama sendiri.

Kemudian, mesej kedua masuk.

"MEREKA YANG MEMILIH 'TIDAK' JANTUNG MEREKA AKAN BERHENTI."

Kei baca mesej itu perlahan-lahan sebelum menjeling kawan-kawannya. "Scam?"

Sebaik sahaja dia berkata begitu, seorang lelaki tidak jauh dari mereka tiba-tiba jatuh terduduk, sebelum rebah sepenuhnya ke tanah.

"Weh!" Seorang wanita menjerit, terus berlari ke arah lelaki itu. Beberapa orang lain turut bergegas membantu, tetapi lelaki itu tidak bergerak langsung.

Kei dan geng melihat kejadian itu dengan mata membulat.

"Jangan-jangan sebab—" Kei mula bersuara.

Rayze cepat-cepat memotong, cuba berfikiran rasional. "Jangan mengarut lah. Tak logik. Mungkin lelaki tu dah lama ada penyakit."

Belum sempat mereka bergerak dari situ, telefon mereka berbunyi lagi.

Di skrin telefon, satu timer muncul, mengira dari 1:00 dan semakin berkurang.

Rayze bersumpah kecil. "Kau serious?! Jangan main-main lah!"

Mereka semua panik. Tangan masing-masing terketar, mata tak lepas dari skrin telefon. Angka di timer semakin menurun.

0:40

Orang ramai mula menjerit. Ada yang menangis. Ada yang berlari tanpa tujuan, seakan mahu lari dari hakikat.

0:30

"Aku tak nak mati," suara Elric perlahan, tapi cukup untuk kedengaran.

0:20

Keputusan dibuat. Kei menekan "YA". Yang lain ikut serta.

0:10

Skrin telefon mereka malap. Kemudian... dunia sekeliling berubah.

Mereka hilang deria untuk seketika. Pandangan gelap. Perut terasa seperti jatuh dari tempat tinggi, seluruh badan melayang tanpa graviti. Bunyi deruan angin menghentam telinga mereka, diikuti dengan satu kilatan cahaya terang yang menyilaukan.

BUM!

Mereka jatuh ke atas jalan yang keras. Dada berombak, kepala berpusing. Alya terduduk dengan tangan menekan lantai. "Sial..."

Kei terbatuk, cuba menstabilkan pernafasannya. Jantungnya berdegup terlalu laju. "Apa yang baru jadi?"

Elric terkial-kial bangun, matanya liar memerhati sekeliling. "Kita... teleport ke sini?"

Mereka masih di bandar Kuala Lumpur—tetapi sunyi. Tidak ada satu suara, tidak ada deruan enjin, tidak ada manusia lain kecuali mereka berempat dan beberapa orang lain yang turut 'terpindah' ke sini.

Di hadapan mereka, sebuah bangunan aneh berdiri tegak. Besar, megah, dan penuh dengan cahaya. Lampu-lampu terang menyinari setiap tingkat, memancarkan sinar yang hampir menyilaukan. Logo pelik tergantung di atas pintu masuk—simbol yang mereka tak pernah lihat sebelum ini.

"Aku tengah mimpi ke ni?" Seorang lelaki lain bersuara.

Baru sekarang mereka sedar—bukan hanya mereka berempat yang ada di sini.

Ada 11 orang lain turut berada bersama mereka.

Semua orang kelihatan sama terkejut dan panik. Ada yang termenung kaku, ada yang duduk menggigil, ada yang berulang kali melihat telefon, seakan mengharap ia boleh memberi jawapan.

Tetapi telefon mereka kini kosong. Tiada mesej, tiada butang keluar, tiada apa-apa.

Dan di depan mereka... bangunan aneh itu menanti.

---