Download Chereads APP
Chereads App StoreGoogle Play
Chereads

Konserto Untuk Sophia

owlsoul
7
chs / week
The average realized release rate over the past 30 days is 7 chs / week.
--
NOT RATINGS
21
Views
Synopsis
Di bawah langit yang sama, dua jiwa bertemu—Sophia dan Hans. Perbezaan mereka seperti siang dan malam, tetapi cinta tidak pernah memilih. Ia datang tanpa diundang, melangkaui batas agama, bangsa, dan jantina, mempersatukan hati yang saling mencari. Namun, dunia tidak pernah memberi ruang kepada cinta yang dianggap asing. Keluarga Sophia adalah benteng pertama yang berdiri teguh melawan hubungan mereka, berusaha memisahkan apa yang mereka anggap tidak normal. Hans, seorang gadis tomboy dari keluarga nelayan sederhana, dilihat sebagai ancaman kepada kehormatan dan masa depan Sophia. Sementara itu, Sophia, gadis yang terkurung dalam dunia yang penuh aturan dan kawalan, berjuang untuk mempertahankan cinta yang menjadi sumber kebahagiaannya. Perjalanan mereka bukan sekadar tentang cinta—ia adalah tentang keberanian, kehilangan, dan usaha mencari makna di tengah-tengah dunia yang menolak keberadaan mereka. Dalam setiap pertemuan dan perpisahan, mereka belajar bahawa cinta bukanlah soal memiliki, tetapi soal memberi dan memahami. Namun, tidak semua kisah cinta berakhir dengan bahagia. Kerinduan yang tak terjawab, pengorbanan yang tak dihargai, dan takdir yang tidak berpihak membawa mereka ke satu pengakhiran yang penuh luka, tetapi juga indah dalam caranya yang tersendiri. Di bawah langit yang gelap, diiringi bisikan angin laut, cinta mereka tetap abadi. Ini adalah kisah tentang cinta yang berani melawan dunia, tentang jiwa yang saling mencari walaupun dipisahkan oleh kehidupan dan kematian.

Table of contents

Latest Update1
Hans12 hours ago
VIEW MORE

Chapter 1 - Hans

PART ONE ~ THE SOLOIST

Sudip dan senduk bertembung dengan periuk, menghasilkan bunyi berirama seakan-akan paluan gendang memeriahkan sebuah keramaian. Pisau meluncur lancar di atas papan pemotong, mempersembahkan tarian pantas, menepati ritma pilihan pelanggan. Sebuah periuk berisi stok daripada tulang ayam dan mirepoix bergetar apabila wap mendesis dan melengkung ke udara. Di sebelahnya, terletak dua buah lagi periuk, masing-masing berisi stok ikan dan stok udang, memperkayakan lagi suasana berasap. Putaran kipas hud mencipta latar belakang perkusif yang bergabung padu dengan kipas pengekstrak meletakkan garis bass ke arah bunyi yang meriah—bersama-sama membentuk dinamik sebuah simfoni.

Di ruang dapur yang pengap itu, dia bergerak bagai seorang maestro yang mengetuai orkestra ghaib. Geraknya bersahaja tapi lincah menghasilkan harmoni indah. Kuali berdenting di palu sudip, diikuti desir minyak yang menyambut cincangan bawang putih. Aroma yang tercipta digabungkan dengan wangi bawang merah, sebelum daging dan sayur-sayuran dia campakkan ke dalam ramuan dengan gerakan pantas pergelangan tangan— pergerakan yang telah dikoreografikan dengan latihan selama beberapa tahun. Dia mengacau sos dengan sebelah tangan, sudu mengetuk tepi periuk— dentingan bergema dengan sempurna menjadi latar belakang melodi dapur.

Butir-butir peluh timbul di dahi, membasahi wajah, namun bahang panas seakan tidak terasa. Kepekaannya tertumpu di dapur. Sesekali dia melayangkan pandangan ke kaunter, dari kuali melintasi periuk. Seorang gadis— anak pemilik kedai, sedang sibuk mengambil pesanan, sementara ibunya sibuk menyediakan minuman. 

Untuk seketika, dia menutup mata, menikmati irama lagu dari radio kecil sebagaimana dia menyerahkan hati sepenuhnya kepada ruang ini. Di sini, dapur berubah menjadi lebih daripada sekadar kawasan memasak; ia menjadi alam di mana bunyi berubah menjadi lagu, pergerakan bertukar menjadi tarian dan kesibukan diselaraskan menjadi susunan indah sepertimana seorang komposer menggubah sebuah simfoni dan dia mengendalikannya dengan cukup baik.

Dapur itu— separuh kayu, separuh papan. Lantainya dibina dari simen kasar. Peralatannya serba sederhana tapi lengkap untuk sebuah kedai makan kecil. Persekitarannya juga bersih dan teratur. Di situlah Hans mengisi 4 tahunnya, belajar ilmu memasak daripada Uncle Jose. Bersama-sama menguruskan kerja-kerja penyediaan makanan— dari memotong, menggoreng, merebus hingga memanggang. Dalam usia muda, Hans sudah mahir dengan menu yang ditawarkan kedai makan milik Uncle Jose— bapa saudaranya.

Nyalaan api di bawah kuali berkobar-kobar sama seperti semangat yang membara dalam diri Hans. Kelip-kelip api liar memancar cahaya hangat melintasi keluli tahan karat yang berkilauan. Sebaik saja kuali diletakkan di atas dapur, api menyambar garang. Spontan, dia berganjak sedikit ke belakang sebelum kembali bertempur, menggenggam tangkai kayu dengan kemas dan kuat.

Setiap pesanan memerlukan kepekaan. Irama dapur kini bukan lagi miliknya; ia adalah nota-nota titipan tetamu berisi ragaman keinginan dan pilihan masing-masing. Setiap permintaan baru memperkenalkan tempo berbeza, nota tersendiri yang menuntut tumpuan. Hans berpusing-pusing dan meluncur, membayangkan dirinya sedang menari dengan pasangan ghaib dalam gerakan yang ditentukan oleh aliran pilihan yang terus mengalir dari ruang makan.

"Meja ujungNasi goreng udang satu. Seafood tomyam, satu. Nasi putih 2, telur dadar 2. Kailan ikan masin, 2." Gadis bernama Marsha, sepupunya yang sebaya menghantar pesanan baru. Sekeping kertas kecil dia dikepitkan ke tali yang merentang di dinding, seperti mana dia menjemur baju di ampaian. 

Hans mengambil beberapa ekor udang harimau, melemparnya ke dalam kuali. Minyak yang cukup panas berdesing dan mendesis, memerahkan kulit udang. Udara dipenuhi aroma manis dan pedas— cukup menyelerakan.

Kedai makan milik Uncle Jose dan Mama Maria itu sederhana saja. Ia terletak di sudut paling hujung, tak jauh dari jeti. Biasanya malam minggu begini, kedai makan Uncle Jose akan dibuka lebih panjang daripada hari biasa. Bukan selalu dapat ramai pelanggan. Kadang-kadang kedai sunyi sepi. Bila kurang pelanggan, awal kedai ditutup. Kecuali hujung minggu, hari-hari biasa Hans hanya dapat membantu pada waktu petang, paling lewat pun hingga jam 8 malam kerana dia masih bersekolah— tanggungjawab yang harus diutamakan.

Hans mengesat peluh di dahi dengan belakang tapak tangan. Air sirap yang dihidang Marsha sebentar tadi dah mula mencair air batunya tapi masih lagi sejuk. Dia hirup sampai tinggal separuh. 

Lega. Hilang dahaga.

"Take a break. Let me handle." Uncle Jose menghampiri. Bahunya ditepuk. "Sementara pelanggan tengah kurang ni, kau pergi makan dulu."

Setelah memastikan tempat memasak dikemas bersih, Hans berjalan keluar, melangkah ke pintu belakang dapur. Tangan kanannya memegang sebuah pinggan berisi nasi goreng udang manakala tangan kirinya memegang segelas sirap. Angin segar menyapa muka. Malam masih muda. Ramai orang masih menikmati udara malam dan keindahan laut yang terbentang luas. Dia dapat mendengar suara-suara. Berbual, gelak dan ketawa. 

Pinggan dan gelas di tangan diletakkan di atas pangkin, tempat dia melepaskan lelah. Hans duduk bersila dan mula menjamah hidangan makan malam yang dia sediakan sendiri untuk dirinya. Lapar. Perlahan-lahan dia menyuap nasi ke mulut. Dikunyah juga perlahan-lahan dengan mata tertutup, menikmati dan mensyukuri keenakan air tangan sendiri. Dia tersenyum. Ilmu memasak yang diturunkan Uncle Jose tak sia-sia. 

Selepas makan, dia menyandarkan badan ke dinding bata sejuk di belakang kedai, membiarkan udara malam menyegarkan kulit yang berpeluh. Kakinya diurut, terasa agak lenguh selepas beberapa jam berdiri dan menari di dapur tanpa rehat, tanpa duduk. Udara dihirup buat mengisi dada, menikmati kesunyian yang singkat— tanpa periuk berdenting dan nyala api yang mendesis.

Beberapa saat mata dipejamkan, Hans terdengar seretan tapak kaki menghampiri pangkin. Sejalur bayang-banyang terbentuk di atas simen— sosok tubuhnya hampir tidak diterangi oleh lampu malap. Tapi Hans cukup mengenali suara batuk itu.

"Pa…"

Juan Marcello, bapanya, kelihatan tak terurus dengan misai dan jambang yang kusut masai tapi matanya tidak memerah seperti selalu. Tiada bau arak. Bersih.

"Ramai orang malam ni?" Si bapa menyertai anak, duduk di atas pangkin kayu.

"Malam minggu, biasalah, ramai sikit orang. Pa dah makan?" Hans bangun. Dia dah tau jawapannya— jawapan yang membawa bapanya ke situ. Biasanya Hans sediakan makan malam di rumah tapi tadi dia tak sempat kerana Uncle Jose memerlukan dia utuk memulakan kerja lebih awal.

"I'll bring your dinner." Hans masuk ke dapur. Bapanya hanya mendehem. 

"Papa ada kat luar tu. Saya nak masakkan dia nasi goreng," beritahu Hans kepada Uncle Jose yang sedang membasuh periuk. 

"Oh… OK. Buatlah. Biar Uncle pergi jumpa papa kamu sekejap," kata Jose sambil mengelap tangan di sehelai tuala kecil berkotak-kotak merah putih yang tersangkut di leher.

Nasi goreng seafood kegemaran bapanya, disediakan dengan penuh kasih sayang. "Sha, buat dua kopi O untuk papa dan Uncle."Laung Hans kepada sepupunya sambil melambung-lambung kuali untuk memesrakan nasi dan rencah-rencah lain.

"OK…" Balas Marsha. 

Hans meninjau seketika ke bahagian depan. Mama Maria sedang sibuk melayan pelanggan sambil mengemas meja. Hans tersenyum bila mendengar celoteh makciknya itu— sentiasa mesra dan ramah.

Di belakang kedai, Jose menghampiri abangnya, Juan yang sedang menghisap rokok daun di atas pangkin. "Rajin anak kau tu." Dia mulakan perbualan dengan pujian.

Hans, masih terlalu hijau. 14 tahun. Sepatutnya dia berada di rumah, berehat, menonton TV atau membuat ulangkaji. Jose mengerti, keadaan memaksa dan Juan tak membantu. 

"Tak ubah macam maknya…" Kata Jose perlahan. Rokok disedut. Kopi yang dihidang Marsha sebentar tadi sama-sama mereka hirup. Di balik kepulan asap dan cahaya malap mentol, dia nampak duka yang tak pernah pergi dari wajah abangnya.

"Aku tau, aku tak mampu bagi dia kehidupan yang baik." 

"Kau mampu tapi kau dah bina tembok…"

Hans mematikan langkah, mendengar perbualan mereka. Untuk seketika, dia tercegat di balik pintu dapur, bersama dua biji pinggan berisi nasi goreng. 

"Aku cuba, bukan tak cuba."

"Botol-botol tu kubu sementara je. Kau tak boleh hidup dalam botol-botol tu. Redhakan pemergian Emelda. Dah 14 tahun, Juan. 14 tahun…" 

Juan menggosok mukanya dengan kedua belah tapak tangan. Adiknya benar dan dia kehilangan kata-kata untuk menafikan satu kenyataan.

Hans tak suka hal itu dijadikan topik perbualan. Dia tak mahu bapanya bersedih. Kesedihan hanya akan mendorong kepada penderaan emosi yang lebih hebat. Lalu dia keluar dari balik pintu dan mencelah. "Pa, uncle… Makan dulu. Saya masak favourite papa ni, seafood fried rice."

#

Di tepi pantai berbatu sebuah perkampungan nelayan, seorang lelaki bersendirian melawan kabus awal pagi, melemparkan pukat ke dalam air. Tangan tuanya masih kuat. Bertahun-tahun tangan itu mengangkut limpah kurnia lautan, namun wajahnya terukir kesedihan dan keletihan— berbeza dengan 14 tahun lalu, sewaktu senyuman Emelda menerangi hidupnya seperti lautan di bawah rembulan.

Juan Marcello, seorang nelayan yang pernah mencintai laut kerana kebebasan dan keindahannya tetapi kini berjuang setiap hari untuk mencari rezeki dari perut lautan, sambil membawa beban yang jauh lebih berat daripada pukat. Juan adalah seorang bapa— seorang bapa yang membesarkan seorang anak sendirian, selepas kehilangan isterinya. Emelda meninggal dunia semasa melahirkan Hans. Ketiadaannya berlarutan meluaskan kekosongan, mendalamkan kenangan.

Emelda adalah hatinya, sauhnya— ketawa yang pernah mengisi rumah kecil mereka di tepi pantai. Ketulusan hati wanita itu adalah ubat penenang dikala kekacauan sementara cintanya adalah cahaya yang menyinari hari-hari gelap dan bergelora. 

Juan hilang arah semenjak pemergian Emelda. Dia seperti kehilangan kompas dan hanyut terkapai di lautan luas, tersesat di hutan tebal. 

Takdir meramasnya dengan tangan kejam. Juan yang lumat masih tak temukan jawapan— mengapa dia diduga sehebat itu? Kekecewaan mendorong hatinya yang hancur, mencari penawar mudah untuk meredakan kesakitan. Wiski, gin—apa sahaja yang dia mampu, apa sahaja yang boleh memujuk dukanya buat seketika. Botol-botol arak menjadi teman senyap— tempat perlindungan di setiap malam sepi, apabila kenangan Emelda terasa kekal mentah dan segar.

#

Kebelakangan ini, hasil laut selalu berkurangan, menjadi lebih sukar untuk ditangkap setiap musim. Juan bimbang dan dia cuba apa saja bagi memastikan keperluan Hans terjamin. Makanan, pakaian, tempat tinggal, pelajaran dan kehidupan yang stabil. Walaupun sedaya upaya mencurahkan usaha untuk menyediakan semua keperluan buat mereka, Juan sering tumpas kepada botol— seorang tuan yang menuntut penyerahan hambanya apabila kesunyian menjadi semakin kejam. 

Setiap malam, selepas hari yang panjang di laut, Juan akan duduk di atas pangkin luar rumah dengan gelas di tangan, merenung ke arah ombak, menanti, mengharap Emelda akan kembali. Dan Hans yang ditinggalkan berjuang sendiri, hanya mampu melihat ayahnya semakin menjauh, dimakan dan ditelan kesedihan yang tidak dapat dia fahami.

Jauh di lubuk hati, Juan sedar, bahawa arak adalah pengkhianatan terhadap janji yang dia buat kepada Emelda. Dia membenci dirinya sendiri— lemah hingga menjadi terlalu malas untuk hidup. Kadangkala, apabila melihat diri di cermin, dia malu dan letih untuk berjanji lagi — demi Hans, dia akan berhenti. Namun kesedihan, seperti lautan, membawa ombak yang kuat dan dirinya sering ditarik kembali ke dalam pelukan gelombang yang ganas.

Namun begitu, kasih sayang terhadap Hans, sama seperti cintanya terhadap Emelda. Juan menyayangi Hans dengan hati yang melindungi. Bila rindu, dia sering berkongsi cerita tentang Emelda, untuk mengingatkan anaknya tentang ibu yang tidak akan pernah dia temui. Dia mengajar Hans tentang laut, tentang simpulan memancing, tentang kesabaran, dengan harapan, semuanya akan menjadi pembimbing hidup, supaya cinta dan penyesalannya dapat difahami.

Juan percaya, dengan menjaga Hans dekat dengan laut, dia dapat mengekalkan semangat Emelda— terus hidup di mana ingatannya adalah buih-buih ombak yang menghempas pantai. Seiring dengan waktu yang berlalu begitu cepat, dia sedar bahawa jika dia ingin menghormati kasih sayang mereka, dia mesti belajar untuk merawat ketagihan dan berpegang pada satu-satunya hadiah yang ditinggalkan Emelda kepadanya— anak mereka.

#

Kehidupan Hans berdegup dengan irama yang jauh lebih tua daripada empat belas tahunnya. Di sebuah perkampungan yang dikelilingi oleh perahu dan air, hari-harinya boleh diramalkan seperti ombak yang menghempas pantai. Dia tidak mempunyai kebebasan remaja yang mewah atau waktu petang yang dihabiskan dengan rakan-rakan. Semasa rakan-rakannya berkeliaran di pantai dan bermain di bawah matahari, Hans memikul beban yang tidak dapat difahami oleh remaja seusia.

Pagi bermula awal, aroma garam dan ikan pekat di udara ketika dia bersiap untuk ke sekolah. Pakaiannya bersih tetapi usang. Setiap benang adalah bukti penjagaan yang teliti dan kehidupan yang berjimat cermat. Selepas sekolah, apabila kebanyakan rakan sekelas menuju ke rumah masing-masing untuk makan dan berehat, Hans berjalan pulang ke rumah kecilnya di tepi pantai untuk menyediakan makan tengah hari— selalunya hidangan ringkas. Dia memasak apa yang ada, apa yang tersedia, apa yang mampu— ikan percuma. Udang segar, kepah, ketam, apa saja yang dibawa bapanya juga hasil tanaman kebun kecil mereka di belakang rumah. Kewangan yang terbatas mengajar dia untuk menjadi lebih kreatif, memanfaatkan bahan asas sepenuhnya. Walaupun hanya hidangan biasa dan sederhana, tapi yang penting, berkhasiat. 

Selepas berehat sebentar dan menyiapkan kerja sekolah, dia menuju ke kedai makan Uncle Jose. Kedai itu sering dikunjungi penduduk tempatan dan rakan nelayan yang mengenalinya dengan baik dan sering menyambutnya dengan tepukan di belakang dan beberapa syiling sebagai hadiah. 

Sejak usia sepuluh tahun, Hans telah membantu. Mulanya dia diberi tugas-tugas kecil— membersihkan meja, membasuh pinggan, menerima pesanan ketika sibuk— dan dia bekerja tanpa mengeluh. Apabila Uncle Jose menggaji seorang pekerja untuk membantu isterinya, Maria, di bahagian depan, Hans diberi peluang untuk bekerja di bahagian belakang— di dapur— membantu menyediakan bahan-bahan masakan— memotong sayur dan daging, menyiang ayam dan ikan, mengupas udang dan kerang, hinggalah dia diajar memasak dan kini diusia 14 tahun, dia sudah cekap untuk menyediakan pesanan. Walaupun tangannya penuh dengan calar-calar bekas hirisan pisau dan percikan minyak panas, namun bagi Hans, parut-parut itu adalah kenangan setiap saat yang didedikasikan demi wang yang sangat dia perlukan— untuk dia dan bapanya.

#

Hari sudah lewat. Perkampungan sunyi sepi. Bau garam dan ikan tergantung di udara. Hans sedang tidur di rumah dan dua beradik itu duduk berhadapan antara satu sama lain di meja kayu kedai makan Jose. Jose memandang penuh pengertian dan rasa simpati ke wajah abangnya yang duduk membongkokkan bahu, tangan melilit cawan kopi sumbing. Renungannya menerawang entah ke mana, hanya dia yang tahu. Jose menyedut rokok tembakau kemudian dia menghirup kopi. Gabungan tembakau dan kopi mencetus keingingan untuk memecahkan kesunyian. "Hidup ni tak ubah macam laut, kau tau tu."

Juan mengelakkan pandangan mata, memandang ke bawah pada cawannya. "Laut dunia aku. Tapi sekarang dah jadi penjara."

"Empat belas tahun dah berlalu sejak Emelda... sejak dia meninggalkan kita. Kau masih tenggelam dalam kehilangan. Kau biarkan Hans membayar harganya."

Terkesima, Juan menggenggam cawan kopi dengan lebih erat. "Kau ingat semua ni senang? Emelda syurga aku, Jose. Dia… segala-galanya."

"Aku tau, dia dah macam kakak aku sendiri. Aku dan Maria pun rasa kehilangan tapi kita kena teruskan hidup. Kau kena move on untuk Hans, untuk kau sendiri. Kau sepatutnya ada untuk dia. Dia keseorangan, tak ke kau nampak?"

Juan bergelut untuk bercakap, suaranya rendah menadakan keputusasaan. "Aku tau aku kecewakan kau orang semua. Tapi benda ni… susah nak aku berhenti cam tu je. Ini… botol ini, satu-satunya yang paham aku, yang meneman sunyi, ubat kesakitan."

"What about, Hans? Where's her escape? Kau tau ke apa dibuatnya tiap hari? Sekolah, kerja kat sini, balik rumah, masak, mengemas, uruskan rumah, belajar, tidur— dia tak merasa hidup macam remaja lain." Jose bersandar ke hadapan, merendahkan suara. "Dia tak merungut, tak minta apa pun. Dia teruskan apa yang patut dia buat, kau tau kenapa, Juan?" Jose memandang tepat muka abangnya yang memandang laut. "sebab dia sayangkan kau. Sebab dia tau makna tanggungjawab. She's holding on to whatever pieces of you she can find."

Kedua belah tapak tangan kini menggosok muka, cuba menahan rasa malu. Kalau dia di bawah pengaruh alkohol, dah tentu perasaan itu tak akan timbul. "Kau ingat aku tak tau, dia berhak dapat yang terbaik? I want to be there, to be better. But I don't know how to stop. Benda ni dah jadi sebahagian daripada aku."

"Aku tak cakap berhenti tu senang. But this isn't about strength or pride; it's about love. Kau sangat menyayangi Emelda, kan? Buatlah untuk dia. Let her memory push you to be the father that Hans needs."

Juan menarik nafas, memandang abangnya dengan mata yang berkelip antara harapan dan putus asa. "Aku pernah cuba, tapi gagal... "

"Cuba lagi. Jangan mengalah. Emelda tak suka tengok semua ni. Tak pernah terlambat untuk berubah walaupun sikit demi sikit."

"Aku takut… Takut kalau aku tak cukup untuk dia." Perlahan suara Juan, hampir berbisik.

"Kau tau kau tak sendirian. Aku dengan Maria, sentiasa ada. Kita keluarga, kami akan tolong. Untuk kau, demi Hans. Tapi kau kena cuba, kalau kau tak bergerak, kami tak boleh buat apa." Jose meletakkan tangan di bahu Juan. "Untuk masa depan. Demi cinta yang Emelda tinggalkan dalam diri Hans." 

#

Cahaya matahari keemasan tersebar melalui celahan pokok-pokok, menimbulkan bayang-bayang panjang dan jalur-jalur di laluan kecil. Hans selalu mengambil laluan itu, pulang dan balik sekolah— sebuah jalan pintas yang jarang dilalui orang. Dia keletihan. Langkah sengaja diperlahankan. Fikirannya melayang ketika mata melewati landskap indah di kampungnya. 

Melintasi sebuah titi, telinganya menangkap suara anak kucing. Dia berhenti, melihat sekeliling— mencari-cari dari mana suara itu datang. Setelah memastikan, cepat-cepat dia berjalan ke arah sebatang pokok dan mendapati seekor ibu kucing sedang berbaring dikelilingi tiga ekor anaknya yang masih kecil— semuanya laparkan susu.

Mata sang ibu bersinar, ingin memberi secebis kepercayaan. Dia memerhatikan Hans dengan pandangan yang berhati-hati tetapi tidak bergerak. Bulunya kasar, jelas dari hari-hari yang dihabiskan hidup di jalanan. Hans berfikir, tentu ia telah melalui pelbagai peristiwa dalam mempertahankan diri dan anak-anaknya— hidup mereka. Anak-anak kucing itu, ketiga-tiganya tidak lebih besar daripada tangan Hans, meringkuk rapat ke sisi sang ibu, mencakar-cakar kecil, menguli perut ibunya, memerah susu sambil mencari kehangatan. 

Hans berdiri di sana, takjub menyaksikan sebuah ikatan semulajadi dan harmoni di antara mereka. Dia tersentuh melihat bagaimana ibu kucing itu melindungi anak-anaknya dengan seluruh tubuh— kaki dan ekor yang melingkari mereka, cara dia membongkok, menjilat kepala mereka yang kecil— garang tapi penuh kasih sayang. Dunia di sekeliling, walaupun penuh ancaman, tapi semuanya lengkap, hanya dengan kehadiran masing- masing.

Menyaksikan kasih sayang yang ditunjukkan Tuhan depan mata, Hans terpalu. Sesuatu memukul dadanya— satu sensasi yang tak dapat dia namakan. Sensasi itu pernah dia rasai dalam pandangan samar dan mimpi yang jauh. Hans telah menghabiskan hidup mengisi ruang di mana kemesraan dan penjagaan seorang ibu sepatutnya dirasai, tetapi sekarang, melihat hubungan antara ibu dan anak-anak kucing itu di depan mata, dia menyedari betapa dia telah kehilangan. 

Naluri seorang ibu, satu perasaan yang murni, sama seperti si ibu kucing. Menjaga anak-anaknya dengan sedaya apa yang terdaya, itulah bahasa perlindungan dan kasih sayang yang tidak terucap, yang dia ingin fahami. Dia tertanya-tanya bagaimana rasanya disentuh oleh tangan seorang ibu? Bagaimana rasanya bila ibu memeluk dia, menyatakan bahawa semuanya selamat, terjamin dan tidak kira apa pun, seseorang akan berada di sana untuknya dengan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi. 

Hans terlepas semua itu. Dia merindukannya.

Perlahan-lahan dia membongkok, melutut dan merapatkan diri dengan keluarga kecil yang mencari ketenangan di bawah pokok. Dia tak mahu menakut-nakutkan mereka. Senyuman terukir di bibir bila memerhati anak-anak kucing itu meregang dan menjangkau, memukul-mukul muka ibunya, sekadar bermain-main. Si ibu yang berbelang-belang itu memanjakan mereka, mengundur perlahan ke belakang, berlakon seolah-olah marah namun matanya jernih dengan kasih sayang. 

Hati Hans membengkak dan tenggelam dalam pahit dan manis bercampur-campur dengan kerinduan, cinta, dan kesunyian yang mengisi relung hati. Dia merasa terhubung dengan sesuatu yang tidak pernah dia miliki, namun sangat mudah difahami. Ibu kucing dan anak-anaknya telah membenarkan dia melihat sekilas cinta yang indah— sebuah cinta yang dia harap dapat dimiliki daripada ibunya sendiri, Emelda.

Hans membawa keluar sebungkus kibble yang selalu dia simpan di dalam beg. Sehelai kertas dari bukunya dikoyakkan, menjadi alas kepada dua tiga genggam kibble buat santapan si ibu dan anak-anak. 

"Aku selalu jalan kat sini. Nanti kita jumpa lagi. Jaga anak kau baik-baik." Kata Hans sambil mengusap kepala ibu kucing yang memandang sambil mengecilkan sedikit mata beberapa kali, seolah-olah mahu mengucapkan terima kasih.

Hans bangkit berdiri dan berjalan pulang, membawa bersama imej ibu kucing dan anak-anaknya. Ikatan mereka terukir dalam ingatan sebagai satu rahsia hati dan dia memegangnya rapat-rapat, membayangkan kasih sayang ibunya pasti seperti itu— lembut, garang, telus dan tulus, berlarutan dan berterusan di sekeliling hidupnya seperti bulan yang memantulkan kehangatan cahaya matahari, walaupun tak dapat menyentuh tapi dapat dilihat dan dirasakan.

Pemergian ibu yang tak pernah sempat dia kenali membawa kesakitan yang tak tergantikan. Tapi bila melihat keluarga comel itu Hans merasa tenang, mengetahui bahawa cinta sejati benar-benar wujud— cinta yang masih dapat dia temui dalam kehidupan, dalam alam, di mana saja.

#

Lewat satu petang di dapur kecil mereka, Hans dan Juan duduk saling menghadap. Ruang makan diterangi lampu malap dari tanglung yang membentuk bayang-bayang di dinding. Untuk dua tiga hari ini, Hans tak perlu bekerja kerana kedai makan ditutup selama beberapa hari. Uncle Jose ada urusan di sebuah bandar agak jauh dari kampung mereka.

Kesempatan itu Hans ambil untuk berbicara dengan bapanya tentang satu perkara yang selalu dia fikirkan sejak akhir-akhir ini. Juan, seperti biasa kelihatan letih dan terbeban, namun diringankan oleh pandangan mata anak perempuannya yang kelihatan bersungguh-sungguh. Sambil mencedokkan semangkuk sup, Hans memulakan bicara. "Pa, ada hal saya nak cakap tentang sekolah," kata Hans.

Bapanya mengeluh. Dia membetulkan duduk, cuba menguatkan diri, "Papa tau— yuran sekolah belum bayar, kan? Hasil laut kurang kebelakangan ni tapi jangan risau, papa akan usahakan."

Hans menarik nafas. Dia cukup faham tentang kesulitan itu. Bukan dia seorang saja anak nelayan. Di kampung itu, rata-rata mengharapkan hasil lautan sebagai sumber rezeki. Sering dia menangkap perbualan mereka, sama ada sewaktu di kedai atau di sekolah tentang masalah tersebut.

"Papa struggle tiap hari sebab tu saya rasa, saya nak tolong— maksud saya, bukan setakat kerja dengan Uncle Jose, tapi dengan papa sendiri. Saya boleh tolong papa, naik bot, tangkap ikan. Papa boleh ajar saya memukat, menjala. Siapa tau, saya bawa tuah dan rezeki kita akan bertambah?" Hans cuba meyakinkan.

Serta merta Juan menggelengkan kepala, membantah. "Ah, tak payahla. Tak ke laut pun kau memang dah bawa tuah." Juan ketawa kecil dan berhenti seketika, mencapai sepotong ikan bakar lalu diletakkan atas pinggannya. "Laut tak selamat. Bukan tempat orang perempuan… gadis semuda engkau."

"Saya tak macam budak perempuan lain, pa. Saya kuat. Saya boleh kendalikan pukat, tali... semuanya." Kata Hans. Kekecewaan disembunyikan di balik suara yang bersungguh-sungguh. "Saya tak kisah kerja keras untuk kita."

"Papa tau kau kuat, kau lain, kau istimewa. Lebih kuat daripada apa yang orang nampak. Tapi laut tak kan faham. Laut tu Hans, — luas, dalam dan boleh jadi kejam. Bahaya. Kau terlalu muda. Papa tak nak ambil risiko."

"Pa, saya rasa…. saya ni macam…" Nafas ditarik dan dilepas, cuba menyuarakan sebuah rahsia. Dia tak mahu terus keliru dan dia perlukan pandangan seorang bapa. "Saya bukan…" Dia berhenti sejenak, mencari kekuatan untuk melancarkan kata-kata. "Saya tak rasa macam gadis lain. Saya nak teroka dunia kat luar sana, benda... sesuatu yang penting… Something masculine."

Juan memandang anaknya. Dia cukup mengerti apa yang ingin disampaikan dan dia menerima tanpa akan pernah mempersolkan tentang apa-apa pun. Bagi Juan, Hans adalah anugerah Tuhan. Hadiah daripada Emelda. Siapa atau bagaimana pun dia, Hans istimewa. "I can see your struggle to be yourself and deal with different feelings. Life can be tough and confusing, much like the ocean."

"But I'm ready, pa." Jawab Hans, tegas. "Saya lain, betul, dan saya tau mungkin orang tak faham. I want to be true to myself and be who I really am, even if that means taking a different path."

"I won't hold you back. No matter who you are, you're my angel. But sea— no. I can't allow you to go there. I can't bear the thought of losing you like I lost your mother."

Hans akur. Dia faham akan kebimbangan di hati ayahnya tapi dia tetap dengan pendirian untuk menabur bakti demi meneruskan kehidupan. "If I can't go with you to the sea… maybe there's something else I can do to help. Anything. I just want to make life better for us. For you."

Juan mencapai dan meletakkan tangan kasarnya ke atas tangan Hans. Dia tersenyum dan meyakinkan,"You already doevery day. Just stay as you are. Stay as my strong, determined Hans Marcello. I don't need you to be anything else, even if life is hard. You're enough, just like this."

Hans tersenyum lemah, hatinya lapang walau masih ada resah. "Saya akan terus buat apa yang saya boleh. Cuma...saya minta satu, pa."

"Let it out."

"Let me be me, let me find my way, even if it seems unusual or wrong to others. I only want to be me."

Juan menepuk-nepuk perlahan bahu Hans, memberi keyakinan, "then that's who you'll be. And I'll be here, always."

#

Hans duduk bersandar di dinding dalam bilik kecil Marsha, di sebelah kedai makan. Mereka berkongsi detik selepas hari yang panjang. Marsha duduk bersila di hadapannya, menghidangkan biskut kering dan kopi O. Dia nampak wajah Hans gelisah. Mengenali Hans, dia tau, sepupunya itu sedang merangka kata-kata untuk memulakan satu perbincangan.

Dengan suara teragak-agak, Hans akhirnya bertanya, "boleh aku cakap something? Hal ni… tak pernah aku cerita kat sesiapa pun."

Marsha menganjak lebih dekat, teruja untuk mendengar. Bersedia memberi telinga. "Pernah ke aku kata tak boleh?"

Hans tersenyum, lega. Selepas perbualan dengan bapanya tempoh hari, dia rasa masanya dah tiba untuk Marsha— satu-satunya kawan yang dia ada, sepupu, kakak dan sahabat— mengetahui tentang dia— seorang dia di dalam dia.

"Aku rasa ada yang tak kena dengan aku."

"Kenapa, kau sakit?"

Hans menggeleng kemudian mengangguk. "Mungkin bagi sesetengah orang aku sakit…"

"Hmm… kau ni, buat aku risau. Cakaplah terus terang. Apa masalah kau?"

"Aku tak rasa aku ni perempuan, Sha." Kata Hans, perlahan. Dia melihat tangannya. Urat-urat timbul berhiaskan parut. Dia menyentuh tangan Marsha. "Dan perasaan aku pun lain…"

Marsha mengangguk perlahan, senyuman terbentuk di bibirnya. "Aku rasa aku faham apa kau nak bagitau. Tapi aku nak tanya, kenapa baru sekarang kau nak cakap hal ni kat aku? Ada awek yang kau berkenan ke kat sekolah?"

Hans memandang wajah sepupunya. Ada harapan berkelip di mata. "Bukan pasal ada awek tapi aku rasa aku tak boleh sembunyikan lagi siapa aku. Aku harap kau dengan Uncle Jose dan Mama Maria faham dan terima, macam mana papa terima. Orang lain, aku tak kisah."

"Of course, we accept you just the way you are. We love the real you. Just be yourself, even if it's tough. Even if others don't get it."

"Sometimes, it just feels like such a heavy secret. It's like I'm carrying it alone, and I'm scared to let go of who everyone expects me to be. But I know I don't have to pretend when I'm with you. I can just… be."

"You are not faking it and that's all that matters."

Hari sudah lewat. Hans minta diri. Dia mahu ke taman kecil di tepi laut— tempat dia sering meluangkan waktu bersendirian, bermeditasi. Taman itu kosong, hanya deru ombak memecah sunyi. Langit berwarna merah jambu bercampur jalur jingga dan ungu di awal petang. Dia duduk di atas sebuah bangku, melepaskan pandangan ke laut luas. Mata dipejamkan, membiarkan angin laut menyapu wajah dan untuk beberapa minit, dia mengosongkan fikiran, hanya menikmati sentuhan dan bisikan alam.

Bila mata kembali dibuka, kata-kata Marsha dan papa berulang secara berselang seli di ingatannya. Sekian lama, dia memerhatikan hidupnya, dirinya dari sebalik dinding kaca. Dia tak pernah menjadi sebahagian daripada apa yang dia rasa. Sentiasa bersembunyi, cuba menyesuaikan diri dengan peranan yang terpaksa dimainkan. Dan sekarang, duduk di sini, dia terfikir bagaimana rasanya hidup bebas menjadi diri yang suling, sejujurnya, dengan keterbukaan dan hati yang penuh. 

Adakah mungkin?

Dia mempersoalkan semuanya— dia dah diajar untuk menerima. Tapi, adakah kehidupan yang dia lalui— bekerja keras, cuba melakukan yang terbaik untuk meringankan beban bapanya, menyembunyikan siapa dirinya— adakah itu semua mencukupi? Adakah itu kehidupan yang dia inginkan, atau adakah dia hanya cuba untuk terus hidup, berpura-pura menjadi orang lain demi memuaskan hati orang lain?

Melihat masa depan seperti sebuah jalan yang panjang, gelap dan berliku, penuh dengan ketidakpastian, kesunyian dan mungkin juga penolakan, Hans bimbang. Namun, di suatu tempat di lubuk hati, sebuah tekad mula bertumbuh. Kata-kata Marsha telah menanam benih kepercayaan bahawa, mungkin, dia boleh membina kehidupan miliknya sendiri, bahawa dia boleh diterima, walaupun itu akan mengambil masa.

Lama dia duduk di sana, melihat ombak menghempas dan menyurut. Dia sedar, dirinya bukan lagi di persimpangan jalan. Kebenaran tak akan pernah jadi beban demi satu kebebasan. Dia cuma perlu bersedia, menerima dan berani. Perasaan itu walaupun adakanya menakutkan, namun ia juga membawa secercah harapan. 

Langit senja perlahan-lahan menggelap. Bersama kerlipan bintang yang muncul satu per satu, Hans membisikkan janji kepada diri sendiri— apa sahaja yang menanti, dia akan cuba menghadapinya dengan berani, untuk hidup sejujur ​​mungkin. 

Masa depan tak perlu ditebak dan buat pertama kali, Hans merasakan bahawa dirinya semakin hampir dengan sebuah penemuan.