Kerjaya adikku Hairi, dalam bidang politik sedikit sebanyak mendedahkan dirinya dengan ancaman khianat yang berpunca dari sifat dengki dan rasa tidak berpuas hati daripada manusia. Lebih lebih lagi dengan perwatakan Hairi yang tegas dan tidak mudah berkompromi ketika bekerja mungkin menimbulkan rasa kurang senang kepada orang lain. Mungkin atas sebab itu dia pernah disihir, malah lebih dari sekali.,
Bukan itu sahaja, kadang kala tugasan yang diberikan kepadanya juga tidak dapat lari dari perkara perkara mistik. Maklum sahajalah, kampung kami jauh dari bandar. Dekat pula dengan sempadan Siam, jadi mungkin hantu hantu disana lebih banyak dari tempat lain bahkan akses kepada sihir pula lebih mudah.
Hairi juga mempunya pengalamannya sendiri berhadapan dengan perkara mistik di kampung kami. Pernah satu masa, ketika kami berdua masih bujang. Aku masih bekerja sebagai pekerja produksi secara freelance yang hanya ke Kuala Lumpur jika dipanggil manakala Hairi baru mendapat kerja sebagai pegawai kepada wakil rakyat. Hairi diminta YB Haji Azman, majikannya untuk memeriksa sebuah rumah di tepi jalan selepas simpang jalan masuk ke kampung kami.
Rumah di tepi jalan itu merupakan salah satu inisiatif pihak kerajaan untuk diberikan kepada mana mana individu yang kurang berkemampuan sebagai rumah sementara sehingga mereka dapat menyewa rumah sendiri. Kedudukan rumah itu hanya sebuah, tidak jauh dari rumah itu adalah deretan kedai. Rumah itu telah dua bulan kosong tanpa penghuni setelah Zainal Mamak keluar dan menyewa rumah di sebuah taman perumahan berdekatan pekan Baling, Kedah.
Sudah beberapa kali ketika pulang lewat malam dari program program luar, YB Haji Azman perasan yang rumah itu bercahaya seperti cahaya lilin dari dalam. Beliau risau dan takut kalau kalau ada penagih yang mungkin menjadikan rumah itu sebagai port mereka menghisap dadah. Jadi, beliau mengarahkan Hairi untuk memeriksanya.
"Abang Am, malam ni temankan adik. Kita pi tengok rumah tepi simpang tu. YB minta tengokkan sebab dia selalu nampak rumah tu ada cahaya lilin bila malam. Tapi bila adik periksa rumah tu siang hari, tak ada jumpa sebatang lilin pun." kata Hairi kepadaku yang ketika itu berada di kampung.
"Ajaklah Mail Kundang sekali, mana tahu ada apa apa." sambungnya lagi. Mail Kundang, pemuda yang sebaya dengan aku dan bersahabat juga dengan Hairi. Mail Kundang ni orang "persatuan", dan pemimpin persatuan yang dianggotainya turut mengajarkan ilmu silat dan kebatinan kepada ahli mereka.
Aku tidaklah dibesarkan di kampung, aku membesar di Teluk Intan semasa Abah bertugas di sana. Hanya Hairi yang bersekolah rendah hingga menengah di kampung, setelah Abah pencen dan kami semua berpindah menetap di kampung. Jadi kawan kawan Hairi di kampung itu secara tidak langsung menjadi rakan aku.
"Mail, hang malam ni free? Jom ikut aku dengan Hairi." tanya aku kepada Mail Kundang ketika singgah di warung kepunyaan ibunya.
"Nak pi mana? Ceramah?" tanya Mail kembali sambil mencucuh sebatang rokok. Pasti ibunya tiada di warung, sebab itulah dia berani menghisap rokok di situ.
"Ceramah apa nya…YB minta dia tengokkan rumah kosong tepi simpang jalan masuk kampung tu, katanya bila malam rumah tu ada cahaya lilin. Hairi dah periksa masa siang, tapi sebatang lilin pun tak ada." jawab aku.
"Rumah yang Zainal Mamak duduk dulu ke?" tanya Mail sedikit terkejut, rokok yang tidak sampai separuh dihisapnya itu dibuang.
"Rumah tu ada "benda" lah. Dulu ingat tak Zainal Mamak ada berniaga roti canai depan rumah tu? Orang cakap dia tak berniaga, tapi dia berniaga je. Orang tak nampak dia buka gerai. Bila dia pi berubat, orang yang berubat dia tu bagitau bukan orang yang buat dia. Tapi benda yang ada kat rumah tu yang buat." sambung Mail lagi.
Setelah dipujuk akhirnya Mail Kundang setuju juga untuk ikut bersama memeriksa rumah itu. Aku memberitahu Hairi yang Mail Kundang bersetuju dengan rancangannya pada malam itu. Aku juga menceritakan apa yang telah Mail Kundang ceritakan kepada aku tentang rumah itu.
Selepas makan malam, kami meminta izin Abah dan Mama untuk keluar. Hairi menerangkan rancangannya untuk memeriksa rumah itu kepada Mama. Mama berpesan, kalau jumpa penagih jangan dipukul. Cukup sekadar menghubungi pihak polis. Kami berdua mengangguk paham pesan Mama itu.
Hairi telah meminta Raikal dan Fattah untuk ikut bersama. Manalah tahu kalau betul ada penagih, dan ramai dan cuba mengapa apakan kami, adalah kawan kawan untuk bertumbuk. Raikal dan Fattah pun bukan orang lain, pangkat dua pupu kami juga. Dan Hairi pun setelah berumah tangga sengaja menamakan anak lelaki sulungnya dengan nama Raikal juga. Kami semua berkumpul di warung Mail Kundang.
Setelah Mail menutup warung dalam pukul 12.30 malam, kami terus menuju ke rumah di tepi simpang kampung itu dengan satu kereta sahaja. Hairi memberhentikan kereta di seberang jalan dan kami memerhati rumah itu dari dalam kereta.
"Abang aku cakap, yang hang cerita ada "benda" kat rumah ni. Betul ke Mail?" tanya Hairi, aku lihat muka Raikal dan Fattah berubah, mungkin mereka rasa takut dan menyesal mengikut kami. Aku menepuk peha mereka sambil memberikan isyarat supaya mereka bertenang.
"Ya…aku pun tak rasa ada penagih yang berani nak masuk dalam rumah ni." kata Mail sambil mengurut janggutnya yang sejemput itu. Matanya merenung tajam ke arah rumah itu.
Setelah beberapa lama kami menunggu di dalam kereta, kami memutuskan untuk keluar dan menunggu di perkarangan hadapan rumah itu. Jalan raya lengang kerana tidak banyak kenderaan yang masuk ke kampung bila waktu malam apatah lagi ketika itu jam sudah pukul 1.30 pagi.
Rumah itu seperti rumah yang biasa sahaja, macam rumah teres setingkat tapi dibina sebuah sahaja. Tanpa sengaja aku terpandang pada satu bayang di salah satu tingkap rumah itu. Bayangan hitam seperti bentuk manusia seperti mengintai kami dari dalam rumah. Aku terkejut lalu menggosokkan mataku. Bila aku pandang semula sekali lagi ke tingkap, bayangan hitam tiba tiba menghilang.
"Kita pusing rumah ni sekali, kalau tak ada apa apa jugak, kita balik." cadang Hairi, kami semua memandang sesama sendiri dan mengangguk tanda setuju.
"Kalau nak pusing, kena bertiga. Biar aku bawak Am dan Hairi dulu, hampa tunggu depan ni dulu." arah Mail Kundang kepada Raikal dan Fattah.
Aku, Hairi dan Mail Kundang mula berjalan dari sebelah kiri rumah tersebut. Mail berjalan di hadapan, di ikuti Hairi dan aku di belakang sekali. Aku sengaja mengalihkan pandanganku ketika melalui hadapan tinggap yang kelihatan bayang hitam tadi. Aku memegang erat bahu Hairi, mungkin sama erat seperti dia memegang bahu Mail Kundang.
"Kalau dengar atau nampak apa apa, jangan cakap apa apa. Tepuk sahaja bahu aku, nanti aku jalan laju sikit." pesan Mail Kundang.
Semasa melalui kawasan belakang rumah itu, aku seperti mendengar suara orang menangis. Tangisan itu perlahan dan mendayu dayu. Aku menjeling jeling di sekitar kawasan, mujur tak nampak apa apa. Mail Kundang menghentikan langkahnya, dibacanya Surah An Nas sekali dan Ayat Kursi sekali lalu dihembus kuat ke arah kiri kami.
Tiada apa yang berlaku, suara itu makin kuat dan seakan dekat dengan kami bertiga. Dari seakan tangisan berubah menjadi seperti hilaian nyaring dan tiba tiba ia seperti menjauh dan hilang. Hairi menoleh kearah aku.
"Dengar tak Abang Am?" tanya Hairi perlahan seperti berbisik.
"Dengar, jalan cepat!" jawabku pendek. Ketika itu aku hanya ingat untuk membaca Surah An Nas. Aku membacanya perlahan tapi berkali kali sehingga kami melepasi kawasan belakang rumah itu.
Mail Kundang berhenti untuk kali kedua ketika kami berada di bahagian kiri rumah. Disitu terdapat seperti tapak rumah yang tidak siap dibina, Mail mengarahkan kami untuk duduk di situ. Dia duduk menghadap ke belakang, sementara aku dan Hairi duduk menghadap dia. Hairi bergerak ke arah Mail Kundang yang sedang membakar rokoknya, aku dapat mendengar perbualan mereka walaupun seakan berbisik.
"Mail, ada ke benda tu?" tanya Hairi.
"Hang nak tengok?" tanya Mail kembali, Hairi menganggukkan kepalanya.
"Hang pusing belakang, atas pokok kelapa. Tapi sekali lalu sahaja, jangan hang pi berhenti tengok lama pulak. Satgi lain jadinya." terang Mail Kundang.
Hairi pun memusingkan badannya sambil kepalanya mendongak keatas menghadap arah belakang aku. Aku perhatikan raut wajahnya yang tiba tiba berubah. Dia kemudian cepat cepat kembali menghadap Mail Kundang.
"Okay, jom balik!" kata Hairi, terus menarik tangan aku. Mail menyuruh Hairi jalan dahulu mendahului kami. Mengenangkan muka Hairi yang nampak terkejut itu membuatkan aku tak berani nak berpaling. Kami terus ke hadapan rumah mendapatkan Raikal dan Fattah.
"Dah sampai turn kami ke?" tanya Fattah. Belum sempat Mail menjawab soalan itu, Hairi terus mengajak kami semua pulang.
"Tak apa, hampa tak payah pusing. Bukti dah cukup, tak ada penagih. Jom balik." kata Hairi pendek. Aku memandang Mail, dia senyum sahaja. Selepas kami menghantar Mail Kundang, Raikal dan Fattah kerumah mereka, kami pun menuju pulang ke rumah. Mail sempat memberitahu kami semua semasa berada dalam kereta yang "Tak ada apa apa yang ikut, hampa jangan risau."
"Adik nampak apa?" tanya aku.
"Lepas adik cakap nak tengok, Mail suruh adik pusing belakang. Dia bagitahu tengok atas pokok kelapa belakang rumah tu." jawab Hairi.
"Lepas tu?" tanya aku lagi tak sabar.
"Ada seekor langsuir atas tu, macam ada baju atau kain putih kat badan dia. Rambut panjang….muka tak nampak sebab gelap tapi adik perasan yang mata dia memang merah menyala. Mail dah pesan awal tengok sekali lalu jer, nasib baik adik terus pusing. Kalau berhenti tengok lama, entah dikejarnya kita. Itu yang adik terus ajak balik tu….sebab dah nampak." cerita Hairi sambal ketawa kecil. Sesudah sampai ke rumah, kami basuh kaki di luar rumah terlebih dahulu sebelum masuk ke bilik masing masing dan mandi.
Keesokannya Hairi telah melaporkan kejadian malam itu kepada YB Haji Azman. Dari cerita Hairi, mereka telah memanggil seorang ustaz untuk membersihkan rumah itu. Aku tidak dapat mengikuti untuk melihat proses pembersihan itu kerana perlu ke Kuala Lumpur atas urusan kerja.
"Benda tu mulanya taknak keluar sebab dia dah tinggal lama kat area tu sebelum rumah tu siap dibina lagi. Tapi ustaz yang kami panggil dapat menyelesaikannya, dan dia dah pagar rumah tu. Kalau dia main pun, dia main kat luar tak masuk dalam rumah." cerita Hairi bila aku bertanyakan perihal langsuir di rumah hujung simpang itu.
Kadang kala aku tersenyum sendiri bila teringatkan kejadian malam itu, nasib baik bukan aku yang nampak!