Tepat pukul sembilan pagi Ariana tiba di hadapan kafe miliknya, Arin's Café yang ditubuhkan sejak dua tahun yang lalu. Ariana sangat berbangga dengan pencapaian keuntungan yang diperolehnya sepanjang dua tahun kafe ini dibuka, dia sangat bersyukur.
"Selamat pagi Kak Arin." Laila yang merupakan salah seorang pekerjanya menyapa dengan senyuman manis di bibir. Ariana membalas sapaan tersebut dengan mesra.
"Selamat pagi Lai, dah sarapan ke belum ni?" Ariana menyoal, beg tangan di bahunya di letakkan di atas meja cashier.
"Dah, baru je tadi. Lai cadangkan akak beli sarapan dekat kedai nasi lemak depan Bangunan Kiara Emas tu, sedap gila rasa nasi lemak dia. Paling best sebab nasi lemak tu dia bungkus dalam daun pisang, sekarang ni susah tau nak jumpa nasi lemak dengan bungkusan macam tu." Becok mulut Laila bercerita, Laila memang sentiasa ramah. Dengan sesiapa pun dia boleh ngam, sebab itulah Laila menjadi waiter yang terbaik dalam Kafe ini. Pelanggan suka dengan keramahan dan kebaikan yang ditonjolkan Laila.
"Hmm macam best je, akak rasa kena try sekarang juga." Ariana sudah rasa perutnya berkeroncong hebat, lagipun bukanlah jauh sangat jarak kafenya dengan kedai nasi lemak yang dikatakan Laila. Jalan kaki sahaja pun sudah boleh sampai.
"Uishh, mantap ah kak. Nanti jangan lupa bagi feedback, hati-hati jalan kak." Ariana menangguk dan tertawa kecil sebelum melangkah keluar dari Kafe itu. Dek kerana terlalu teruja, Ariana terlupakan beg tangannya di atas meja cashier. Laila yang sedang sibuk mengelap meja juga tidak perasankan Ariana yang tertinggal begnya itu.
Danial menghampiri umi nya yang sedang sibuk di dapur. Entah apalah yang disibukkan oleh umi nya itu sejak pagi tadi.
"Busy betul umi harini. Ada tetamu nak datang ke?" Danial menyoal, air teh di dalam jag dituangkan di dalam cawan yang telah disediakan di dalam dulang.
"Abang Ngah balik harini, itu yang umi sibuk nak buat laksam kegemaran dia." Hajah Khaleeda membalas sambil tangannya sibuk mengupas kulit bawang.
"Umi takde buat sarapan ke hari ni?" Perutnya sudah berkeroncong hebat saat ini, kalau dapat makan nasi goreng ataupun nasi lemak seronok juga.
"Maaflah Dani, umi betul-betul tak sempat nak masak sarapan tadi. Angah pun mengejut beritahu yang dia sampai tengahari nanti. Dani pergilah beli sarapan dekat mana-mana." Danial mengangguk memahami dengan balasan umi nya. Kalau nak tunggu laksam siap, mesti lama lagi. Perutnya yang sedang kelaparan memang sudah tidak boleh menunggu lagi. Akhirnya dia membuat keputusan untuk keluar membeli sarapan, semoga sahajalah nasi lemak kegemarannya itu tidak habis dijual.
Bersinar-sinar mata Ariana saat melihat nasi lemak yang dibicarakan Laila itu masih ada dijual. Nasib baiklah dia datang awal juga, kalau tidak mesti dia tidak sempat merasa kesedapan nasi lemak daun pisang itu.
"Kak, nak nasi lemak satu bungkus."
"Ni je dik? Ada apa-apa lagi nak tambah?" Penjual yang digelar Mak Siti itu menyoal. Nasi lemak milik Ariana di bungkus di dalam plastik.
"Hmm takdelah kak, itu je. Berapa?" Ariana ketika itu masih lagi tidak sedar bahawa dia sudah tertinggal beg dompet.
"RM1.50 je dik." Mak siti membalas, plastik berisi nasi lemak diserahkan kepada Ariana.
"Jap ya kak, saya ambil beg dekat dalam kereta. Terlupa pula nak bawa keluar tadi." Ariana sudah mula gelabah sebenarnya, semoga sahaja beg tangannya ada di dalam kereta.
"Ish mana beg tangan aku ni, takkan aku tertinggal pula." Ariana sudah mula tidak tenang,macam mana dia nak bayar nasi lemak itu kalau beg duitnya tidak di bawa bersama. Ariana cuba mencari duit di dalam kocek seluarnya, namun semuanya hampa.
"Aduhai Arin, kenapalah kau selalu jadi manusia cuai yang tak berguna macam ni." Ariana mengeluh, nampaknya terpaksalah dia melupakan tentang nasi lemak itu. Dia juga harus tebalkan muka untuk memberitahu Mak Siti tentang masalah yang dihadapinya kini. Ariana melangkah kembali kearah gerai nasi lemak tersebut.
"Kak, saya betul-betul minta maaf. Saya tertinggal beg duit dekat tempat kerja saya. Maaf sangat-sangat kak, esok saya beli ya nasi lemak ni, bukan rezeki saya harini." Ariana rasa nak menangis sahaja di situ, lagi-lagi apabila ada seorang lelaki di sebelahnya yang mungkin sedang membeli sarapan juga. Malunya bukan kepalang, pasti lelaki itu mendengar bicaranya ketika itu. Dia juga kasihankan Mak Siti kerana mendapat pelanggan yang cuai sepertinya.
"Eh takpelah dik, bukan masalah besar pun…"Belum sempat Mak Siti menghabiskan bicaranya, lelaki di sebelah Ariana menyampuk.
"Bayarkan sekali nasi lemak ni untuk Cik ni." Lelaki itu berkata sambil menghulurkan sekeping duit bernilai sepuluh ringgit. Ariana yang terkejut terus menoleh kearah lelaki di sebelahnya.
"Eh Encik, tak payahlah. Saya beli esok je nasi lemak ni." Ariana mendongak merenung lelaki itu, dan apabila lelaki itu memandang ke arahnya. Ariana gamam sendiri, mengapa ritma jantungnya jadi tak tenang? Tapi dia tak ingat siapa lelaki ini, memorinya seakan tak bekerjasama untuk mengecam siapakah lelaki ini. Tapi kenapa hatinya seolah berkata-kata sebaliknya. Pernahkah dia mengenali lelaki ini?
"Nur Ariana?" Lelaki itu merenungnya lama dan memanggil nama penuhnya, hingga Ariana rasa tak selesa.
"Hmm, Encik kenal saya ke? Maaflah saya langsung tak ingat Encik ni siapa…" Dengan rasa serbasalah Ariana membalas, nak buat macam mana lagi sebab memorinya memang benar-benar tak mampu memproses siapakah lelaki ini.
"Kita pernah satu sekolah dulu, takpelah mungkin awak dah tak ingat saya kot. Tak penting pun untuk awak ingat. Fasal nasi lemak tu, awak ambil jelah. Saya memang niat nak habiskan semua jualan Mak Cik Siti ni, alang-alang awak ada dekat sini saya pun nak sedekahlah dekat awak sekali." Lelaki itu menjelaskan kepadanya, Ariana mengangguk faham, dah kalau begitu niat lelaki itu memang dia tak mampu menghalang apa lagi.
"Baiklah kalau macam tu, terima kasih ya Encik. Semoga Encik dimurahkan rezeki. By the way saya ada buka Kafe dekat depan ni, sudi-sudilah datang ya. Assalamualaikum, terima kasih sekali lagi." Nasi lemak yang dihulurkan mak siti di ambil dan dia berlalu pergi menuju ke kereta. Saat enjin kereta dihidupkan, telefon bimbitnya berbunyi. Ada panggilan dari sepupunya, Aira.
"Arin, kejap lagi jumpa dekat kafe kau tau. Aku craving nak makan kek coklat, bye!" Tak sempat Ariana mahu berbicara apa-apa, talian sudah dimatikan.
"Eh si Aira ni, memang bukan-bukanlah perangai dia."
Telefon bimbitnya diletakkan di tepi sebelum dia memandu menuju ke kafe. Bayangan lelaki itu masih tidak luput di ingatannya.