Chereads / KAU BIDADARI SYURGAKU / Chapter 18 - BAB 17

Chapter 18 - BAB 17

AKHIRNYA dapat juga dia menatap wajah manis dan ayu Shadrina. Kebiasaannya, cuti hujung minggu begini, wanita itu tidak akan berada di rumah. Dia akan berada di warung Mak Jemah sampai ke petang.

Semenjak Shadrina berkerja di bandar, segala ubatan untuk Mak Timah telah dibeli oleh Shadrina sendiri dan setiap sebulan sekali Shadrina akan membawa emaknya ke klinik berhampiran dengan menaiki bas. Memandangkan Mak Timah semakin pulih, wanita tua itu sudah mampu untuk berjalan jauh.

"Jemput minum, cikgu," jemput Shadrina selepas menghidang minuman di atas meja. Dia melabuhkan punggung di sebelah emaknya. "Maaflah cikgu, cuma cucur bawang dengan dengan teh'O' aje," sambungnya dengan senyuman.

Shahril tersenyum biasa.

"Tak apa, susahkan Rin aje sediakan semua ni," balas Shahril sambil memandang juadah yang dihidang Shadrina. Dia perasan ada sebiji cawan yang masih terbalik di atas piring. Cawan yang ada di atas meja sudah cukup untuk Mak Timah dan dirinya. Untuk siapa cawan yang satu itu? Hatinya tertanya hairan.

"Rin tak ke warung Mak Jemah hari ni?" tanya Shahril, menukar topik perbualan. Cawan di atas meja dicapai.

"Tak, hari ni Rin tak meniaga," jawab Shadrina yang masih tidak lekang senyuman di bibirnya.

"Hari ni dia cuti meniaga, sebab sekejap lagi dia nak keluar," sampuk Mak Timah sambil memandang sekilas ke arah Shadrina di sebelahnya.

Di ketika ini dia dan anaknya sedang menanti seseorang. Dalam benaknya, dia risau andai insan itu sampai sebelum Shahril beredar dari rumahnya ini.

"Mak ni," bisik Shadrina, malu-malu.

Puan Fatimah hanya menjeling anaknya itu dengan satu keluhan halus. Dari reaksi anaknya itu, tahulah dia yang anaknya kini sudah benar-benar dilamun cinta.

Semalam, Shadrina sudah menceritakan segala-galanya pada Mak Timah. Sebagai seorang ibu yang sudah tua, Mak Timah hanya ingin melihat anaknya itu bahagia. Lagipun, dia sudah bertemu insan yang sering menghantar Shadrina pulang dari tempat kerjanya. Nampak baik dan budiman sekali lelaki itu. Cuma jurang darjat antara Shadrina dan insan itu membuatkan dia bimbang. Dia berharap insan itu bisa menerima anaknya seadanya.

"Keluar? Nak ke mana?" tanya Shahril selepas menghirup minumannya sedikit. Cawan diletak semula di piring.

"Saya nak keluar sekejap," jawab Shadrina, teragak-agak.

Jawapan itu tidak memuaskan hati Shahril.

"Keluar pergi mana? Nak saya tolong hantarkan? Lagipun saya tak ada apa-apa rancangan hari ni."

"Eh, tak apa cikgu."

"Kenapa? Awak nak ke mana sebenarnya?"

"Saya nak keluar dengan seseorang."

"Seseorang? Siapa? Milah?"

Shahril hairan. Setahunya, Shadrina jarang keluar dengan sesiapa kecuali dengan Milah, kawan baiknya sejak di sekolah menengah dahulu. Tapi Milah sudah berpindah ke Muar sejak beberapa tahun lalu selepas ayahnya dikehendaki bertugas di sana.

"Eh, taklah. Milah kan dah lama pindah ke Muar."

"Dah tu dengan siapa?"

Shadrina serba salah. Belum sempat Shadrina menjawab, kelihatan sebuah kereta mula memasuki halaman rumah.

"Mak, cikgu, Rin minta diri sekejap," pinta Shadrina lalu bangkit berdiri. Dia melangkah ke muka pintu untuk menyambut tetamu yang datang.

Shahril terpinga-pinga. Hampir seminit dia dalam keresahan dan tanda tanya, Shadrina muncul semula di muka pintu bersama seorang lelaki. Jelas senyuman di bibir Shadrina begitu bahagia dan berseri sekali ketika ini.

"Cikgu, kenalkan. Ini Shafiz." Shadrina memperkenalkan tetamunya kepada Shahril.

Shahril terkejut dan terpaku. Apa kaitan Shafiz dengan Rin? Hatinya tertanya dalam keresahan.

# # # #

ZENIA sudah buat keputusan. Apa yang berlaku benar-benar telah mencalar maruahnya. Cintanya ditolak dengan sindiran. Dia dipersalahkan kerana tidak memahami isi hati Shafiz. Apa yang pasti, dia benar-benar benci, dendam dan geram pada Shadrina. Disebabkan wanita kampung itulah semua ini berlaku.

Esok, dia akan menghantar surat peletakan jawatan sebagai akauntan di Shaf Engineering Sdn. Bhd.. Bukan mahu melarikan diri, tapi dia sudah penat untuk menanggung semua ini. Buat apa dia terus berada di Shaf Engineering Sdn. Bhd. jika hanya akan menambah rasa sakit hatinya kerana terpaksa melihat babak mesra di antara Shafiz dan Shadrina?

Kes tampar menampar yang berlaku di antara dia dan Shadrina sengaja tidak diceritakan pada emaknya. Jikalau emaknya tahu, tujuh hari tujuh malam bebelannya tidak berhenti. Dia tidak mahu memanjangkan isu itu. Dia sudah penat mahu membiarkan jiwanya terus dalam kekacauan.

"Hai, termenung jauh nampak?" sapa Puan Hanifah sambil melangkah menuju ke ruang tamu dengan dua gelas berisi jus oren.

Zenia yang sedang menatap skrin televisyen memandang emaknya yang sudah duduk di atas sofa yang bertentangan.

"Mak buat apa kat dapur tu? Kung kang, kung kang bunyinya. Renovate dapur ke apa?" jawab Zenia dengan soalan.

"Renovate apanya? Dah luas dapur tu. Yang kamu ni apa hal? Termenung jauh mak tengok? Ada masalah?" Tiga soalan sekali gus Puan Hanifah bertanya.

Zenia tidak terus menjawab. Dia tahu emaknya itu tahu apa yang sedang dia fikirkan. Tapi sengaja buat-buat tidak tahu.

"Nia rasa, Nia nak berhenti kerja dekat Shaf Engineering tu."

Puan Hanifah terkejut.

"Apa? Kamu nak berhenti kerja? Kamu biar betul? Kamu dah mengaku kalah ke?"

Zenia mengeluh halus lalu kembali memandang skrin televisyen.

"Nia dah penatlah mak, nak sakit hati tengok Shaf dengan perempuan kampung tu berkepit ke sana-sini. Bermesra-mesraan depan mata Nia. Mak ingat Nia ni robot yang tak ada perasaan ke?"

"Dah tu, kamu nak kerja apa lepas ni?"

"Nia rasa Nia nak berehat untuk seketika. Lepas dah kembali pulih jiwa dan raga Nia ni, baru Nia fikirkan langkah yang seterusnya. Nia boleh cari kerja kat tempat lain. Rezeki ada dekat mana-mana, mak."

"Ni, kamu dah mengalahlah kiranya?"

"Mak...." Zenia memandang emaknya. Nampaknya, emaknya itu masih tidak faham situasinya ketika ini. Merancang itu mudah. Tapi, mahu melaksanakannya itu susah. Dia sudah tidak mampu untuk terus sakit hati dan kecewa.

"Shaf tu, dah jumpa perempuan pilihan dia, mak. Dan perempun tu bukan Nia. Dan dia orang pun dah rancangan nak kahwin dalam tahun ni juga, kan? Mak juga yang cakap pada Nia hari tu. Mak cik Zinab sendiri bagi tahu mak. Apa lagi yang Nia nak diharapkan? Lebih baik kita pasrah aje mak. Tak adalah Nia sakit hati sepanjang zaman." Zenia meluahkan apa yang terbekam di kalbunya.

Puan Hanifah terdiam. Dari nada dan kesungguhan anaknya menuturkan kata-kata itu dia dapat merasakan kesengsaraan dan kekecewaan yang sedang anaknya tanggung. Rasa serba salah mula menyapa sanubarinya. Tapi, jauh di sudut hatinya, dia tetap berharap anaknya itu akan memiliki Shafiz.

"Tapi, kamu betul-betul cintakan Shaf, kan?"

Zenia merengus kasar sabil memeluk ketat bantal di ribanya.

"Mak ingat Nia main-main ke, cintakan Shaf selama ni? Kalau Nia yang beria-ia cintakan dia, tapi dia duk cintakan orang lain, tak akan menjadi juga mak."

"Tapi, kita tetap ada cara lain, kan? Kamu masih belum pertimbangkan tentang rancangan kedua mak."

"Mak, mak masih nak teruskan rancangan kedua mak tu ke?"

"Why not?"

"Kalau rancangan kedua mak yang gila tu berjaya, tak ke nanti akan mengundang rasa curiga orang? Nia tak nak dituduh bukan-bukan, mak. Lagipun, Nia macam tak berani nak ikut rancangan kedua mak tu. Nia tak nak berlaku apa-apa pada Shaf."

Naik bosan pula Zenia mahu membincangkan hal itu.

"Apa pula kamu nak takut? Mak kan ada? Selagi mak ada, mak akan terus di sisi kamu untuk dapatkan Shaf semula. Yang kita nak hapuskan bukan Si Shaf tu. Tapi, perempuam kampung tu."

"Mak nak membunuh? Nia tak nak masuk penjara." Bulat mata Zenia memandang Puan Hanifah.

"Mak tak kata kita yang akan bunuh dia." Puan Hanifah masih mahu teruskan rancangannya.

"Dah tu, mak nak upah orang? Sama juga kesannya, mak. Kalau pembunuh upahan kita tu kena cekup dek polis, kita juga akan terjebak sama. Nia tak nak!" Zenia menolak rancangan emaknya mentah-mentah. Dia masih waras. Membunuh? Dia tidak sanggup!

"Mak tak kata nak bunuh dia guna pembunuh upahan."

"Dah tu? Macam mana?" Zenia hairan. Lama dia memandang emaknya.

Puan Hanifah hanya tersengih sumbing. Nampaknya, anaknya itu sudah termakan akan pujukannya. Apa yang pasti dia akan musnahkan musuh anaknya termasuk keluarganya sekali. Nantikan!