"Saya....nak berhenti."
"APA!" Terangkat bahu Nana Akiko tatkala Encik Hansen, pengarah di sebuah syarikat penerbitan terkenal yang bekerjasama dengan dia dalam penerbitan buku-bukunya meninggikan suara. Jammie yang merupakan pengurus kepada Nana Akiko turut terikut sama mengangkat bahu.
"Nako! Apa maksud awak yang awak nak berhenti?" Soal Encik Hansen. Nadanya kali ini sedikit perlahan kerana dia sedar mereka kini menjadi buah mulut orang di kafe itu.
Nako adalah nama pena Nana Akiko. Tiada yang istimewa pada nama penanya. Dia hanya mengambil suku kata pertama di nama pertamanya dan suku kata terakhir di nama terakhirnya.
"Tak, tak!" Jammie menggeleng kepala dengan laju.
"Nako tidak bermaksud nak cakap macam itu. Sebenarnya, Nako baru sembuh dari demam tempoh hari. Jadi, selepas dia sembuh, dia tak dapat nak fikir ending yang menarik seperti yang Encik Hansen mahukan. Sebab itulah saya minta Encik Hansen datang ke perjumpaan ini untuk bincang semula tarikh baru yang boleh dipersetujui antara dua pihak." Jelas Jammie dengan hemah, bimbang Encik Hansen akan meninggikan suara sekali lagi. Dia tidak mahu mereka sekali menjadi buah mulut di kafe itu.
"Apa maksud awak tarikh baru? Sudah berapa kali saya beri tarikh baru pada Nako! Awak janji dengan saya yang novel Nako kali ini akan jadi novel yang paling top dan best selling. Sekarang ini bayang manuskrip pun saya tak nampak dalam emel saya!" Marah Encik Hansen.
"Encik Hansen, saya faham perasaan encik. Tapi encik sendiri tahu kita tak boleh buat apa kalau penulis kekurangan idea untuk menulis. Encik nak ke Nako hantar manuskrip dengan ending cerita yang merepek? Boleh jatuh reputasi syarikat bila encik terbitkan novel dengan ending cerita yang merapu. Betul tak?" Jammie membalas. Encik Hansen terdiam.
Ada benar apa yang Jammie katakan. Boleh jatuh air mukanya kalau dia benarkan penulisan yang mempunyai pengakhiran cerita yang tidak logik ataupun tidak menarik diterbitkan. Kepalanya runsing cuba mencari jalan untuk tidak menyiakan Nana Akiko yang dianggap aset berharga dalam syarikatnya.
Nana Akiko pula hanya menundukkan kepalanya sejak tadi. Hasratnya mahu menjelaskan yang dia benar-benar mahu berhenti dari terus berkarya kini gagal. Dia sedar peluangnya hanya tipis sekiranya dia mengutarakan hasratnya ketika Jammie berada bersama dengannya. Sejak Jammie menjadi pengurusnya, Jammie tidak pernah berhenti memintanya untuk menulis. Seperti Encik Hansen, Jammie juga tidak mahu dia menyiakan bakatnya itu.
"Ehem!" Nana Akiko mendongak memandang Encik Hansen tatkala dia berdehem.
"Sa–" Belum sempat Encik Hansen menghabiskan ayat, telefon bimbit miliknya yang berada di atas meja bergetar.
"Excuse me." Encik Hansen meminta diri untuk menjawab panggilan itu di luar kafe.
PAK!
Satu tamparan kuat hinggap di bahu Nana Akiko. Merah menyala bahunya yang putih melepak itu.
"Akak!" Nana Akiko menjerit kecil. Tangannya laju mengusap bahunya yang pedih ditampar kuat oleh Jammie.
"Kenapa suka hati saja cakap dengan Encik Hansen yang Nana nak berhenti?" Marah Jammie.
"Sebab....Nana tahu kalau Nana cakap dengan akak, akak takkan setuju." Jelas Nana Akiko dengan nada perlahan.
"Betul tu! Akak takkan benarkan Nana berhenti berkarya."
"Tapi akak, Nana memang nak berhenti jadi author." Ujar Nana.
"Habis tu? Nak jadi apa?"
"Nana nak hidup dengan tenang." Jammie mencapai beg tangannya sebaik sahaja mendengar jawapan Nana lalu memukulnya bertalu-talu di bahu.
"Kalau dengan hidup tenang tu boleh bagi duit, dah lama aku berhenti jadi pengurus kau!" Marah Jammie.
"Sakitlah akak!" Nana mengadu sakit. Salahkah dia menyatakan pandangannya?
"Nana kan ada duit yang dapat dari lima novel Nana yang dah terbit. Cukuplah itu untuk tampung Nana." Tambah Nana lagi.
"Cik Nana, cik ingat novel cik ni akan ada berada di top selling sepanjang masa ke. Banyak lagi orang dekat luar sana yang tidak kurang hebat macam Nana juga. Kalau Nana berhenti menulis sekarang, lama-lama semua novel yang Nana terbitkan akan tenggelam bersama dengan novel penulis lain yang sudah berhenti berkarya." Nana terdiam mendengar kata-kata Jammie. Ada betulnya juga. Tetapi buat masa ini, otaknya mahukan rehat yang cukup. Mentalnya tidak lagi produktif seperti dahulu. Dia terlalu inginkan rehat yang lama.
"Okay baiklah!" Encik Hansen muncul dan kembali duduk di hadapan mereka.
"Saya sudah buat keputusan." Ujar Encik Hansen.
"Apa pun keputusan Encik Hansen, jangan bangkang." Jammie sempat membisik. Nana Akiko hanya mengangguk perlahan. Dia tidak mampu melawan ketika ini. Silap langkah, pasti kafe ini akan jadi tempat perperangan.
"Ehem! Apa dia Encik Hansen yang segak lagikan bergaya? Apa pun keputusan encik, kami akan terima. Asalkan Encik Hansen beri kami tempoh untuk emelkan manuskrip lengkap novel baru Nana." Ujar Jammie, cuba bermanis mulut.
"Forget that. Saya nak Nako dan awak hadir ke satu makan malam esok bersama dengan barisan orang kuat 'Dreaming'." Terkebil-kebil mata Jammie cuba memproses apa yang Encik Hansen katakan.
"Encik maksudkan platform online yang famous dengan barisan penulis hebat di seluruh dunia tu?" Soal Jammie dengan nada teruja setelah dia sedar apa itu 'Dreaming'.
"Yup." Balas Encik Hansen ringkas. Mata Nana membuntang. Dia tahu tentang aplikasi 'Dreaming' yang popular pada ketika ini.
'Dreaming' menjadi kegilaan para pembaca dan penulis di seluruh dunia. Sehinggakan ada pengarah drama dan filem berkolaborasi dengan penulis di platform itu untuk mengadaptasi cerita mereka. 'Dreaming' juga mementingkan kualiti penulisan cerita yang dipaparkan di platform mereka. Semua karya yang dihantar kepada mereka akan ditapis berperingkat. Tidak semua penulis berjaya menerbitkan karya mereka di platform itu. Nana Akiko merupakan salah satu penulis yang tidak berjaya itu.
"Saya dengar makan malam esok merupakan pelancaran satu pertandingan mencari top star untuk non-member author. Jadi saya rasa inilah peluang untuk Nana menjadi lebih terkenal." Jelas Encik Hansen.
"Saya dengar Maya pun akan ada malam itu. But be extra careful with her. You know how attractive and cunning she is sampaikan ada novel dia dengan rating 2/10 berjaya tembus pasaran. Even someone said yang Maya seperti devil yang bertopengkan angel." Encik Hansen memberi amaran.
Maya, seperti Nana Akiko, merupakan antara penulis yang popular. Tidak seperti Nana, Maya sentiasa menambah 'perasa' yang tidak dapat dijangka dalam setiap novel terbitannya. Bukan itu sahaja, Maya juga merupakan model yang sentiasa muncul di kaca televisyen. Kecantikan wajahnya menjadi kegilaan para lelaki tidak kira muda mahupun yang berumur. Sesiapa sahaja yang berdiri di sebelah Maya pasti merasa seperti langit dan bumi.
"Satu lagi, malam itu akan ada barisan investor dari syarikat besar. Jadi kalau boleh awak berdua kena berkenalan dengan mereka. Mana tahu mereka boleh beri pengaruh besar jika Nako berjaya masuk dalam short-listed untuk pertandingan itu nanti." Pesan Encik Hansen.
"Excuse me, saya nak ambil udara di luar sebentar." Nana Akiko bangun dari tempat duduknya. Dia melangkah keluar dari kafe itu. Perbualan itu membuatkan dia merasa tidak selesa. Dia tidak dapat membayangkan situasi di mana dia perlu berbual dan bertemu dengan orang yang tidak dia kenali. Selama ini, apa-apa perjumpaan penting, dia akan meminta Jammie mengganti tempat dia. Jammie memahami keadaannya kerana satu ketika dahulu dia pernah pengsan di perjumpaan penting antara penulis dan penerbit. Dia berbual dengan orang tidak dikenali is a big 'NO'.
"Patut ke aku larikan diri?" Ujar Nana sambil melihat Jammie dan Encik Hansen yang semakin rancak berbual di dalam kafe.
~
Bunyi kamera yang sibuk mengetik gambar setiap saat diselangi dengan suara pengacara di majlis 'Peragaan Baju Musim Luruh' itu semakin meriah tatkala seorang model cantik dan anggun melangkah keluar dari tirai pentas peragaan itu. Tetamu yang hadir serta merta bangun melihat model itu. Tidak kira muda atau tua, perempuan atau lelaki, semuanya terpukau dengan kecantikan dan keanggunan model itu yang tidak lain tidak bukan Maya.
"Maya baby! You are so gorgeous my dear!" Jerit Vee, pengurus model cantik itu. Vee mengeluarkan telefon bimbitnya lalu mengetik gambar swafoto berlatar belakangkan Maya yang sedang berjalan di atas pentas.
"Tiada hari yang indah dari melihat our beautiful Maya smile proudly wearing beautiful dress! Done!" Vee menekan pilihan 'Post' di media sosial miliknya. Dia kemudian menyimpan telefon bimbitnya lalu melangkah ke bilik 'Backstage' setelah dia sedar Maya sudah habis memperagakan baju dari jenama terkenal itu.
"Maya darling!" Vee memeluk Maya yang sedang berbual dengan jurusoleknya.
"Hi Vee!" Sapa Maya dengan ramah. Jurusolek itu tersenyum melihat keakraban mereka. Dalam hati, dia berharap satu hari nanti dia berpeluang untuk bergaul rapat dengan model itu. Dia selalu dengar tentang khabar angin yang mengatakan Maya ialah seorang yang baik hati, peramah dan suka melayan peminatnya dengan baik. Kali ini, dia sendiri dapat melihat sendiri kebenaran di sebalik khabar angin yang dikatakan.
"Rapatnya Cik Maya dengan Encik Vee!" Tegur jurusolek itu.
"Of course! Vee ni dah macam family saya sendiri. Dia sangat penting dalam hidup saya." Balas Maya. Dia memeluk Vee dengan erat sambil pipinya dilagakan pada pipi Vee.
"Bertuahnya Encik Vee dapat jadi pengurus Cik Maya. Saya minta diri dulu, Cik Maya. Saya dah habis tacap kembali muka Cik Maya." Ujar jurusolek itu meminta diri untuk keluar.
"Sure! Thank you dear!" Ucap Maya dengan ramah. Jurusolek itu melangkah keluar dari bilik itu.
Setelah memastikan bunyi kasut tumit tinggi milik jurusolek itu semakin jauh dari bilik itu, Maya segera menolak Vee dengan kasar sehingga lelaki itu jatuh tergolek di atas lantai.
"Aku dah cakap jangan suka hati peluk akukan! Rimas!" Maya menghadiahkan jelingan maut pada Vee.
"Sorry Cik Maya. Saya cuma nak ucapkan tahniah sebab Cik Maya sekali lagi berjaya curi hati para lelaki yang hadir tadi. Stunning as always." Puji Vee, cuba mengubah topik. Terus senyum lebar Maya mendengar pujian yang dilontarkan.
"Aku tahu itu. Kau tak perlu beritahu pun aku tahu yang semua lelaki yang ada dekat bawah pentas tadi tersengih tengok aku. Well, siapa saja tak tergoda lihat aku yang anggun, cantik dan pintar!" Maya memuji dirinya. Vee menoleh ke arah lain lalu membuat muka loyar seperti hendak muntah.
"Kau ingat aku tak nampak ke apa kau buat!" Marah Maya. Tangannya sepantas kilat mencapai kusyen kerusi yang berada di punggungnya untuk dicampak pada Vee tetapi lelaki itu lebih pantas menghalang Maya dari berbuat demikian.
"S-Sorry, Cik Maya!" Ujar Vee dengan nada panik. Maya melepaskan tangannya dari genggaman Vee lalu memeluk tubuhnya.
"Oh ye, Cik Maya!" Vee mendapatkan fail di dalam beg sandangnya dan menghulurkannya pada Maya.
"Apa ini?" Maya mengerut dahi melihat fail yang dihulurkan.
"Ini maklumat tentang semua penulis terkenal dan latar belakang mereka. Seperti yang Cik Maya minta saya siasat tempoh hari." Jelas Vee.
Fail itu kini bertukar tangan sekelip mata selepas Maya mendengar apa isi kandungan fail itu. Maya menyelak satu persatu helaian dokumen di dalam fail itu. Dia berhenti menyelak apabila dia terlihat nama penulis yang menarik perhatiannya. Maya menggigit bibirnya. Dia merenung lama profil milik penulis bernama Nako yang sering menarik perhatian dia berbanding penulis lain. Mana tidaknya, karya Nako sering masuk ke dalam senarai 'Top Best Selling' bersama dengan karyanya. Dia sering gelisah apabila melihat nama Nako yang sering masuk senarai 'Top Best Selling' bersama dengan karyanya.
"Kau rasa Nako akan hadir makan malam esok?"
"Itulah yang sebenarnya saya nak cakap pada Cik Maya tadi. Kawan saya dari syarikat Encik Hansen ada beritahu, mereka akan hantar Nako sebagai wakil." Ujar Vee.
"I see." Maya menyelak helaian sebelah cuba mencari tahu lagi maklumat tentang Nako.
"Eh?" Maya menyelak kembali helaian yang sebelumnya.
"Kenapa tak banyak maklumat pasal dia? Kau tak buat kerja betul betul ke, Vee!" Marah Maya.
"B-Bukan! Saya dah pergi siasat Cik Nako. Tapi tak banyak yang dapat saya korek." Jelas Vee.
"Apa maksud kau?" Maya mengerut dahi.
"Saya dapat tahu, Cik Nako hidup sebatang kara sahaja. Dia tidak punya keluarga yang masih hidup. Maklumat tentang keluarga dia pun saya tak dapat kenalpasti sebab Cik Nako menetap di Rumah Perlindungan Kanak-Kanak Terbiar." Jelas Vee.
"Hmm…menarik." Maya tersenyum sinis. Dia boleh gunakan maklumat ini untuk menjatuhkan Nako. Ini baru sahaja permulaan. Dia bercadang untuk mengakhirkan karrier Nako sebagai penulis.
"Tapi Cik Maya, saya pelik."
"Apa yang pelik?" Maya mengerut dahi.
"Kenapa saya tanya ketua rumah perlindungan itu pasal Nako dia marah marah saya?"
"Kau ada tanya dia dengan nada marah ke?" Soal Maya kembali.
"Tak, saya cuma cakap saya nak cari tahu pasal Nako. Bila saya sebut Nako, nenek tua tu terus halau saya dari situ." Jelas Vee.
"Kau sebut Nako? Kau baka (bodoh) ke? Manalah nenek tu tahu siapa Nako! Kau ingat nenek sekarang layan novel ke? Lain kali sebutlah nama sebenar dia!" Marah Maya.
"Betul jugakan." Vee tersengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Maya hanya menggeleng melihat Vee. Nasib baik lah lelaki itu adalah pengurusnya yang banyak berkhidmat dan membantunya. Kalau tidak, sudah lama dia memecat lelaki itu.