Kota Muzim, 15 tahun lalu
LANGIT malam hening begitu indah sekali. Walaupun sang jumantara tidak dihiasi mana-mana bintang dan kelihatan kosong. Cuma yang ada hanya bulan purnama merah warnanya bertemankan bintang Syi'ra menerangi malam sunyi.
Saujana mata memandang, kelihatan sebuah mahligai indah mirip istana negara barat berdiri gah di tengah-tengah kota. Hanya istana bercahaya dan menerangi kota di malam tersebut. Suasana kota begitu sunyi sepi dek rakyat jelata sedang merehatkan diri serta asyik dalam mimpi indah mereka alami.
Ruang singgahsana istana menjadi saksi kekejaman yang tidak pernah dilihat. Lantai mutiara yang sering berkilauan dipenuhi dan dibanjiri dengan darah merah yang masih segar keluar mengalir dari mayat-mayat manusia yang sudah tidak sempurna tubuh badannya. Begitu banyaknya manusia yang dibunuh di dalam ruang tersebut sehingga menghasilkan bah darah mencecah paras buku lima. Semua orang istana mahupun hulubalang dan dayang sekalipun dibunuh dengan kejam sehingga tiada yang masih hidup. Terdengar alunan puisi dengan suara riang memecahkan suasana sepi istana…
Oh, sang purnama indah di malam hening,
indahmu bukan kepalang, indahmu menyinari hidupku,
dan yang paling indah, sudah semestinya…,
darah merah, hiruk-pikuk dan mayat bergelimpangan.
Satu sosok begitu ghairah menendang setiap mayat yang tidak berdosa dilihatnya sehingga tidak menampakkan tubuh badan sempurna. Baginya, pertumpahan darah seperti hiburan yang dapat memuaskan hatinya dan sifatnya yang dahagakan darah.
"Aku masih tidak puas lagi!" jerit dia sambil gelak besar tanda ketidakpuasannya. Sosok tubuh kekar berperisai serba hitam dakwat menyisir rambut perangnya yang panjang hingga paras bahu membersihkan darah-darah yang sedikit mengotori rambutnya. Pandangan matanya melilau kawasan sekeliling dengan penuh cermat untuk memastikan tiada benda mencurigakan.
"Yang Mulia Arkan, kami sudah periksa seluruh kawasan istana bahkan kota sekalipun. Tiada sesiapa yang berjaga, jadi… tiada sesiapa mengetahui akan peristiwa yang berlaku sekarang ini," ujar seseorang bertubuh tegap lengkap berperisai besi bersalutkan perak. Mukanya tidak kelihatan dek perisai kepalanya yang bertanduk tiga menutupi sepenuhnya. Lagaknya persis ketua panglima dan ia memanggil sosok berperisai hitam bernama Arkan itu dengan gelaran terhormat, mungkin dia adalah pemimpinnya.
Wajahnya terukir senyuman sinis seraya mengatakan, "Buat masa ini jangan apa-apakan rakyat tidak berdosa itu, kelak kita akan terima padahnya. Sekarang aku ada perkara penting nak dibuat." Dia bergerak pantas menuju ke satu tubuh manusia yang sudah nyawa-nyawa ikan. Tangannya bergerak sepantas kilat mencengkam leher lelaki berusia yang nyawanya di hujung tanduk.
"Aku tanya lagi wahai sang raja, di mana keberadaan pedang Raja Putih?" soalnya kepada lelaki tersebut. Sang raja diam seribu bahasa, sama ada sudah tidak bermaya untuk berkata-kata atau enggan memberitahu kepadanya.
Wajah lelaki berusia itu sudah tidak bermaya. Pakaian bersalut emas sudah dikotori dengan darah. Mahkotanya yang masih gah menutupi bahagian kepalanya. "Aku sudah beritahu yang aku tidak tahu dekat mana pedang itu berada…lepaskan aku…." jawab sang raja sambil merayu agar dilepaskannya. Kedua-dua tangannya memegang erat badan Arkan. Wajah Arkan berkerut dan mengetap giginya.
"Maaf, itu bukan jawapan yang aku inginkan," ujarnya sambil menghunuskan pedangnya lalu memotong kedua-dua tangan sang raja. Meraung kesakitan teramat sangat. Sang raja sudah tidak mampu membuat apa-apa, hanya menunggu jemputan dari malaikat maut sahaja.
"Bersemadilah dengan aman bersama keluarga engkau, wahai sang raja." Ditebasnya kepala sang raja sehingga darah merah terpancut keluar dengan laju dari saluran pernafasannya. Akhirnya tubuh sang raja sudah tidak bergerak bahkan tubuhnya dicincang oleh orang-orang bawahan Arkan. Keluhan Arkan begitu keras, selang beberapa detik terpapar senyuman puasnya.
"Sekarang kota Muzim ini milik aku. Akan aku jadikan sebagai mahligai bermandikan darah dan akan aku cari sampai ke lubang cacing pedang sakti lagi suci itu," ujar Arkan diikuti dengan sorakan keras orang-orangnya.
"Gaur, lepas ini pastikan tiada sesiapa penduduk yang akan mendekati istana buat masa ini," arah Arkan kepada panglimanya yang berperisai kepala bertanduk tiga itu.
"Menurut perintah, Yang Mulia," tunduk hormat dilakukannya lalu berlalu pergi menuju ke pintu utama istana untuk mengawasi kawasan persekitaran.
Arkan duduk menyilangkan kaki beralaskan puluhan mayat yang telah membentuk bukit mayat yang dibunuhnya. Arkan mengamati pedangnya yang berwarna hitam pekat yang panjangnya hampir menyamai ketinggiannya. "Akan aku cari pedang Raja Putih di setiap pelosok dunia. Buat masa ini, ada kemungkinan keberadaan pedang sakti itu di wilayah-wilayah berdekatan dengan kota Muzim…kerajaan Marzi… kerajaan Makmur. Akan aku cari, itu tekad aku agar dapat menguasai dunia yang kotor ini. Sebelum ke sini, aku sudah menjarah beberapa kampung dan kota, dan semuanya menghampakan," keluh hati Arkan disebabkan masih tidak menemui keberadaan pedang yang diinginkannya.
"Tidak mustahil kalau pedang itu berada di tangan seseorang, tetapi siapa pemegangnya dan di mana dia berada? Pencarian pedang ini hanya berlandaskan peta dan kitab hikayat yang kubaca untuk mendapat maklumat lebih lengkap. Aduhai…," bisik hati Arkan serabut memikirkan bagaimana ingin mendapatkan apa yang diinginkan.
Pedang hitam miliknya dihunus ke langit seraya mengatakan, "Wahai anak buahku, mulai saat ini, kota ini milik kita dan aku akan menjadi pemimpin kota ini. Kalian jangan sesekali melakukan perkara yang membuatkan para penduduk curiga!"
"Menurut perintah, Yang Mulia!" sahut anak buahnya yang mencecah puluhan orang lengkap berperisai dengan memegang erat senjata mereka.
Arkan dan pengikutnya membuat perancangan sehabis baik setelah menguasai kota Muzim. Kota Muzim yang kedudukannya berdekatan dengan kerajaan Marzi dan kerajaan Makmur memberi kelebihan kepada Arkan untuk melakukan serangan bila-bila masa sahaja. Demi mendapat pedang Raja Putih yang kononnya mempunyai sakti dan mampu memberi keabadian hakiki dan kekuatan sejati kepada pemilik. Itulah tujuan hidup Arkan yang sudah menjahanamkan puluhan kampung dan kota demi mencari keberadaannya.
Arkan bergerak ke jendela istana memerhatikan suasana kota yang masih sepi di mana penduduk masih tidak mengetahui akan peristiwa tragis telah berlaku kepada pemimpin mereka. Pandangan Arkan di tengah malam terganggu dengan kehadiran puluhan ekor burung hering.
Kelihatan makhluk pembangkai itu sudah tidak sabar menjamah mayat-mayat manusia. Orang-orang Arkan telah mengumpulkan semua mayat-mayat di perkarangan istana sehingga menghasilkan gunung-ganang berisikan tubuh badan manusia.
"Jamahlah hidangan melazatkan ini wahai pembersih bangkai. Kalian sudah terbang ke sana-sini, pasti kalian lapar," pelawa Arkan sambil mendepakan tangannya. Burung-burung hering seperti terima pelawaannya walaupun tidak memahami bahasa manusia. Dengan rakus makhluk tuhan itu melahap mayat-mayat itu bahkan tulang-belulang pun dimakannya. Sekelip mata, mayat-mayat sudah habis dilahap, tiada tinggal sedikitpun daging mahupun tulang tersisa. Akhirnya, Arkan berjaya menghapuskan bukti.
"Sekarang, hanya perlu ada masa sahaja untuk memulakan pencarian pedang itu. Buat masa ini aku akan menikmati menjadi pemimpin kota ini," senyuman terukir sehingga menampakkan gigi taringnya.
"Kerajaan Marzi…kerajaan Makmur…. Akan aku jahanamkan kota-kota tersebut, pasti pedang sakti itu berada di tangan penguasa di sana. Tunggu sahaja kalian," tawa sinis Arkan sambil merenung bulan purnama merah.
Kini, kota Muzim sepenuhnya menjadi milik Arkan untuk dijadikan wilayahnya. Demi mencari pedang suci tersebut, dia memerlukan perancangan sehabis baik untuk menjayakannya dan dapat menghindari segala situasi tidak terduga yang mampu mengancam nyawanya walhal, Arkan seorang yang sering dahagakan peperangan dan pertempuran.
Sasarannya kini tertumpu kepada orang-orang di kerajaan Marzi dan Makmur, iaitu kerajaan berhampiran dengan kota Muzim, mungkin berdasarkan andaiannya melalui penceritaan dan maklumat yang diperolehi melalui kitab hikayat yang menjadi tunjuk arah mengenai keberadaan pedang Raja Putih tersebut.