Chereads / No Mercy / Chapter 1 - Chapter 01

No Mercy

DelaneyShw
  • --
    chs / week
  • --
    NOT RATINGS
  • 2.4k
    Views
Synopsis

Chapter 1 - Chapter 01

Dunia sudah tenat.

Pendek sahaja rungutannya namun mendapat anggukan setuju daripada mereka yang sedari tadi sekadar diam membisu.

Meskipun mata milik mereka itu fokus terhala ke arah sebuah ruangan mesyuarat yang berkapasiti besar, namun mereka berdua masih mampu menangkap bicara sang rakan yang tersirat ketidakpuasan hati.

Benarlah kata manusia yang dianggap lemah dan berpangkat bawahan itu.

Dunia semakin tenat. Semakin lama semakin dilimpahi kemajuan yang menjadikan manusia yang dahaga akan merdeka itu dahulu tamak. Zaman kolonial itu sudah lama pupus.

Tapi, bagi mereka. Dunia kini dijajah oleh kuasa teknologi. Tenaga buruh tidak lagi diguna pakai, sebaliknya dunia bergantung akan kecanggihan manusia besi yang digelar robot.

Tenaga pengajar juga semakin lama semakin ditelan zaman. Manusia besi itu lah yang menjadi bahan ganti. Andai teknologi tidak wujud,... sambungnya lagi.

Namun, bicara itu terhenti di situ sahaja saat matanya ralit memerhati segenap ruang di dalam bilik kaca itu. Alfa Room. Bilik mesyuarat yang mampu menjumlahkan ratusan manusia dan dilengkapi dengan kecanggihan yang cukup menggagumkan.

Dibina seratus peratus daripada kaca lut sinar namun kedap bunyi.

Di situ lah tempat orang atasan berkumpul. Berkongsi pendapat dan kadang kala sehingga manusia itu bertelagah antara satu sama lain. Namun, motif utama mereka hanya satu.

Ingin mengaut kemajuan untuk Kota Hythe sedangkan kota metropolitan itu sudah sarat dengan kemajuan. Entah dari celah mana yang dilihat oleh mereka bahawa Hythe mempunyai kelemahan. Tiada.

"Hythe sudah maju. Apa lagi yang mereka mahu?" lelaki tinggi berkaca mata itu menyoal. Sudut bibirnya terangkat sedikit ke atas. Seolah olah tawanya bakal terhambur.

"Entah apa lagi yang mereka mahukan. Dunia sudah terlampau tenat untuk menampung kemajuan. Lihatlah. Pokok pokok ditebang, hutan dimusnahkan semata mata untuk membina sebuah bangunan."

Sambung lelaki kedua sambil jemarinya laju menaip sesuatu pada papan kekunci. Kelihatannya sedikit tergesa gesa. Barangkali tugasnya harus disudahkan dengan kadar segera.

"Aku malu. Kita terlibat sekali dalam semua ni. Apa yang aku mahu ceritakan kepada generasi akan datang? Pemerintah lebih tamak akan kemajuan tetapi marhaen dipandang sebelah mata?" lelaki ketiga pula masih memandang jauh ke dalam bilik gergasi itu.

Hatinya diranap perasaan bimbang. Mampukah dunia kembali seperti sedia kala untuk disajikan kepada generasi yang akan datang?

Atau mereka bakal melihat dunia itu musnah dek terlampau sarat akan ketamakan manusia? Dia tidak mahu perkara sebegitu terjadi. Apa gunanya kemajuan andai rakyat ditindas?

Bukankah kemajuan itu sepatutnya menguntungkan kedua dua belah pihak? Bukannya sebagai bukti untuk menunjuk kepada kota luar bahawa Hythe itu lebih maju.

"Peratusan rakyat menentang kemajuan lebih tinggi dijumlahkan. Aku jangka ketua akan naik angin sebaik mendengarnya." Sebuah plat kaca empat segi di atas telapak tangan direnung tak berkalih. Carta palang yang terpampang dalam bentuk hologram diteliti penuh ralit.

"Mungkin itu agenda utama untuk mesyuarat kali ini." lelaki kedua meneka.

Kopi panas dihirup sejenak langsung menyegerakan tugasnya. Akhirnya mereka bertiga diam membisu.

Tiada lagi sebarang respons untuk menyambung perbualan itu. Masing masing hanyut dengan tugas namun konsentrasi acap kali terganggu. Minda diulit pelbagai persoalan akan motif utama pertubuhan Alfa Lab.

Apa gunanya bilangan pekerja hampir mencecah ratusan orang jikalau kemajuan yang hendak dicapai itu terang lagikan bersuluh ianya berat sebelah?