Bangunan Puncak Alam milik Tan Sri Syed Burhan megah berdiri di celah-celah kedamaian bandaraya ipoh. Jika kebanyakan pemilik syarikat gergasi memilih Kuala Lumpur sebagai bangunan ibu pejabat mereka, Tan Sri Syed Burhan pula memilih Ipoh sebagai pusat utama syarikatnya. Sememangnya tidak dapat disangkal lagi, Ipoh jauh lebih tenang dan mendamaikan berbanding Kuala Lumpur.
Tan Sri Syed Burhan merupakan salah seorang jutawan yang paling kaya di Malaysia. Kekayaannya telah berjaya memecahkan monopoli kaum Cina yang selama ini menjadi orang yang paling kaya di Malaysia. Walaupun beliau sangat kaya dan berjaya, namun beliau sendiri lebih selesa hidup dalam keadaan yang sederhana. Yayasan Syed Burhan miliknya sering membuat kerja amal bagi membantu golongan yang memerlukan.
Masih berusia 41 tahun, namun komited dan displin luar biasa yang ditonjolkan oleh Tan Sri Syed Burhan membuatkan beliau berjaya membina jenama Puncak Alam sehingga dikenali pada hari ini dalam tempoh yang singkat. Tan Sri sendiri merupakan seorang yang sangat aktif bersukan terutamanya melibatkan sukan badminton. Selain itu, beliau cukup menjaga pemakanan. Tidak hairanlah beliau masih sihat dan cergas walaupun sudah berusia 41 tahun.
Tan Sri Syed Burhan juga merupakan peminat nombor satu bola sepak. Beliau sentiasa mengikuti rapat setiap berita bola sepak Malaysia serta dari Eropah terutamanya English Premier League (EPL). Beliau sendiri mengikuti dengan rapat beritan tentang penghijrahan Hakim Said ke Real Madrid. Berita itu pastinya membanggakan semua peminat bola sepak dari Malaysia.
Sedang Tan Sri Syed Burhan leka meneliti dokumen yang baru diserahkan oleh setiausahanya, tiba-tiba talefonnya berbunyi. Skrin menunjukkan nama yang cukup dikenalinya, Edward Newgate, rakannya sendiri dari England. Pastinya ada hal mustahak yang ingin dibincangkan bersama.
"Hai Edward, apa khabar? Sudah lama tidak berhubung dengan kamu?" Tan Sri Syed Burhan terus berbicara tanpa menunggu rakannya itu bercakap terlebih dahulu.
"Saya baik-baik saja. Oh ya, saya ada berita baik untuk kamu. Sebelum ini kamu kata mahu menjadi pemilik bagi pasukan Chelsea, bukan? Kalau kamu memilikinya, sekarang adalah waktu yang terbaik!" Edward berbicara dengan penuh teruja.
"Benarkah?" Berita itu sangat mengejutkan Tan Sri Syed Burhan. Minatnya yang sangat mendalam terhadap pasukan Chelsea sememangnya diketahui oleh rakan-rakannya yang tinggal di London termasuklah Edward Newgate sendiri. Malah, beliau sendiri pernah berkata secara berseloroh bahawa beliau mahu menjadi pemilik kelab bola sepak dari London itu suatu hari nanti. Mungkin selorohnya itu dianggap serius oleh rakannya di sana.
"Ya, saya serius. Jika kamu mahu, kita boleh jadi pemilik bersama. Kita hanya perlukan £250 juta untuk menjadi pemilik utama kelab. Jika kamu setuju, kita boleh berkongsi dan menjadi pemilik bersama."
Tan Sri Syed Burhan diam sejenak. Angka 250 juta jika dibahagikan menjadi dua, nilainya tetap terlalu tinggi. Jika ditukar ke Ringgit Malaysia, nilainya menjadi jauh lebih tinggi.
"Bagaimana Burhan? Kamu berminat?" Edward bertanya selepas rakannya dari Malaysia itu diam seribu bahasa.
"Nilainya sangat tinggi, Edward." Tan Sri Syed Burhan jujur meluahkan isi hatinya.
Edward mengangguk walaupun sedar anggukannya itu tidak akan dilihat oleh Burhan. "Beginilah Burhan. Apa kata kamu datang sendiri ke sini. Kita melawat Stamford Bridge dan bertemu sendiri dengan pemilik kelab. Pemilik Chelsea sendiri datang berjumpa saya, dia mahu menjual kelab ini. Jadi saya kira ini adalah peluang terbaik untuk menjadi pemilik baru kelab Chelsea."
"Baiklah. Minggu depan ada perlawanan Chelsea menentang Manchester United di Stamford Bridge. Boleh juga saya ke sana dan bertemu dengan kamu. Mungkin kita boleh perhalusi lagi idea ini." Tan Sri Syed Burhan sedikit terbuka hatinya. Mana juga tahu angan-angannya yang mahu menjadi pemilik bagi kelab bola sepak kegemarannya akan menjadi kenyataan.
Talian ditamatkan. Segera Tan Sri Syed Burhan memanggil setiausahanya untuk meneliti jadualnya pada minggu hadapan. Perjalanan menuju ke Stamford Bridge iaitu stadium bagi kelab Chelsea harus menjadi kewajiban untuknya hadir pada minggu hadapan. Adakah mimpinya untuk menjadi pemilik kelab Chelsea akan menjadi kenyataan? Mudah-mudahan, walaupun beliau sendiri tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi.