"MAAF… Saya terpaksa gunakan bilik air sebentar." Kamilia kembali duduk di kerusinya setelah meminta diri untuk ke tandas. Di mejanya, ada ibu bapanya bersama teman mereka ditemani anak lelaki mereka. Ini merupakan temu janji antara mereka dua keluarga. Tujuannya adalah untuk menyatukan Kamilia dan Irsyad, bakal pasangan Kamilia.
Sejujurnya, Kamilia agak kurang selesa dengan temu janji tersebut. Dia tidak berapa setuju dengan cadangan papa dan mamanya untuk disatukan dengan lelaki itu. Tidak hanya itu, lelaki tersebut kelihatan agak dingin dengannya semenjak tadi, walaupun mereka baru bertemu buat kali pertama.
Lelaki itu memberi tanggapan kurang baik untuk Kamilia.
"Apa kata bulan Disember nanti, kita adakan majlis pertunangan untuk mereka berdua? Rasanya tarikh tersebut sesuai untuk kita lakukan. Macam mana?" Datin Hasmah mencadangkan tarikh.
"Bagus juga. Hujung tahun, memang tarikh yang sesuai. Lagipun, tak perlulah kita tergesa-gesa sangat. Kita patut beri ruang untuk anak-anak kita saling mengenali satu sama lain terlebih dahulu." Datin Wahidah bersetuju dengan cadangan tersebut. Dia memandang anak perempuannya.
"Kamu setujukan, Kamilia?"
Kamilia sekadar mengangguk. Matanya mencari anak mata Irsyad. Lelaki itu masih dengan sikap dinginnya. Tidak memberi sebarang reaksi.
Ayah Irsyad, Datuk Yazed seakan perasan dengan pandangan kurang senang Kamilia terhadap Irsyad, cuba untuk meleraikan kejanggalan antara mereka berdua.
"Irsyad, kamu pun setujukan?"
Seperti Kamilia, Irsyad juga turut mengangguk. Dia memandang kedua-dua orang tua Kamilia.
"Saya tak kisah yang mana satu. Saya turutkan sahaja." Dia tersenyum nipis.
Ibu bapa mereka berdua tersenyum dengan persetujuan Irsyad. Sedikit lega apabila lelaki itu juga bersetuju dengan cadangan mereka.
Namun begitu, Kamilia masih kurang senang. Adakah lelaki itu benar-benar mahu menerimanya? Dia memandang semula lelaki itu. Masih dingin.
"Awak memang setuju ke untuk bertunang dengan saya?" tanya Kamilia sebaik sahaja kedua ibu bapa mereka sudah menuju ke kereta. Dia meminta ruang privasi daripada mereka untuk berbicara sebentar dengan Irsyad.
"Kenapa? Awak tak setuju?" teka Irsyad.
"Saya yang tanya awak, bukan saya yang perlu jawab."
"Saya pun ada soalan yang sama untuk awak."
Kamilia menghela nafas. "Baiklah, saya tak kesah kalau awak tak nak teruskan. Kalau awak ada orang lain, silakan. Saya tak nak jadi penghalang. Jangan sebab persahabatan mak ayah kita, kita yang akan jadi mangsa mereka."
"Sejak bila saya kata saya ada orang lain?"
Terkedu Kamilia mendengar jawapan lelaki itu.
"Oh, saya lupa! Rasanya saya tak beri peluang kepada awak untuk mengenali lebih dalam tentang saya. Maaf, silap saya." Irsyad menyambung, lalu tersenyum sinis.
"Saya tak peduli tentang kisah hidup awak sekali pun. Saya cuma tak nak awak terbeban dengan semua ini."
"Saya… atau awak yang terbeban?"
Kamilia terkejut dengan kata lelaki itu. "Apa maksud awak?"
Irsyad ketawa kecil. "Tak ada apa-apa. Cuma, awak tak perlu gunakan saya kalau awak nak putuskan hubungan ini. Sebab saya tak ada masalah pada awak. Dan saya akan turuti permintaan kedua orang tua saya."
Setelah itu, Irsyad melangkah pergi dari situ. Meninggalkan Kamilia sendirian dengan penuh kebingungan.
PAGI yang terasa kosong. Mahu tidak mahu, mata perlu dibuka untuk memulakan hari yang baru walau dia tidak ingin. Apa yang terjadi semalam cukup menggores hatinya terlalu dalam. Tapi, dia tidak mahu ambil tindakan terburu-buru. Semalaman dia tidak dapat tidur. Memikirkan apa yang perlu dia buat setelah dapat tahu tentang kecurangan suaminya.
Selepas berfikir panjang dan cuba untuk menjadi manusia yang rasional, Athirah memilih untuk tidak terlalu ikutkan perasaan buat sementara waktu. Jadi dia akan terus berpura-pura seperti tiada apa-apa berlaku, dan memikirkan tindakan selanjutnya kemudian.
Walaupun hatinya masih tidak sembuh, tanggungjawabnya sebagai seorang isteri tidak boleh diabaikan. Dia tidak mahu hal itu membuatkan dia mengabaikan kebajikan suaminya. Berdosa jika dia melakukannya.
Sepinggan nasi goreng dihidang atas meja bersama secawan kopi. Sarapan buat suaminya. Athirah tidak mempunya selera untuk menjamah walau sebutir nasi pada pagi itu. Dia lebih rela makan hati berulamkan jantung ketika itu.
"Selamat pagi, sayang!" Firash muncul di meja makan lalu bibirnya menghadiahkan kucupan selamat pagi di dahi isterinya. Hanya senyuman yang terukir di bibir Athirah. Masih berlagak tenang.
"Sedapnya bau nasi goreng pagi ini. Mesti sedap ini lagi-lagi kalau air tangan isteri kesayangan abang," puji Firash melambung. Dia mencapai sudu lalu disuapkan sesudu nasi goreng ke dalam mulutnya.
"Mmmm… Sedapnya!" Firash tersengih. Memuji ikhlas masakan isterinya.
Firash perasan wajah isterinya masam sahaja. Tidak memberi sebarang reaksi kepada pujiannya dari tadi.
"Sayang? Okey tak ini?"
"Ya?" Athirah baru sedar ke alam realiti.
"Abang tengok muka sayang monyok aje. Ada masalah apa-apa ke?"
Athirah menggeleng.
"Dah itu kenapa muka macam itu? Kalau ada apa-apa, bagitahu abang cepat-cepat."
Athirah cuba menahan diri daripada meluahkan perasaannya. Dia tidak mahu pagi itu berpanjangan dengan perbalahan yang akan tercetus jika dia menceritakan perkara sebenar yang menganggunya pada pagi itu.
"Tak ada apa-apa. Cuma penat aje kut." Athirah berdalih.
"Takkan dah penat. Baru satu malam," usik Firash nakal. Namun wajah Athirah masih dingin. Tidak terlalu mengambil kisah dengan usikan tersebut. Firash mencapai tangan isterinya dan memegangnya erat. Tersentak Athirah dengan perlakuan suaminya.
"Kalau ada apa-apa, cerita aje pada abang. Jangan pendam seorang diri," ujar Firash simpati.
Athirah memandang dalam anak mata suaminya. Benarkan suaminya akan mendengar apa yang dia ingin luahkan? Mampukan suaminya menerima kenyataan bahawa dia sudah tahu perbuatannya yang menduakan dia dengan wanita lain? Apakah reaksi suaminya nanti? Meminta maaf atau mempertahankan?
Dalam diam, dia takut. Takut jika perkara ini tidak akan berpihak kepadanya. Dia menjadi ragu-ragu dengan cinta dan kesetiaan Firash untuknya. Jika benar lelaki itu menyayanginya sepenuh hati, dia tidak akan berlaku curang.
Telefon Firash berdering. Menandakan ada satu mesej masuk. Firash melihat mesej tersebut.
"Alamak, sayang. Abang kena gerak sekarang. Hari ini abang lupa kena masuk awal sebab ada lawatan kerja kejap lagi. Jadi abang kena gerak sekali dengan dia orang. Maaf tak dapat habiskan nasi goreng sayang yang sedap ini."
Firash mula kelam kabut dan bangun. Dia mencapai beg bimbitnya berserta kot di kerusi sebelah. Athirah juga turut bangun dan bersiap untuk menghantar suaminya ke muka pintu.
"Abang pergi dulu, sayang."
Athirah menyalami tangan suaminya dan mengiyakan katanya. Dia tidak berkata apa-apa selepas itu. Matanya hanya mampu memandang suaminya yang memasuki kereta dan mula memandu keluar dari perkarangan kawasan rumahnya sebelum mula menjauh pergi dan tidak lagi kelihatan.
Dia juga perlu bersiap-sedia untuk masuk ke pejabat sebentar lagi.