Kisah Kasih Rinduku padamu tk hilng mskipun kau sudah ad di dpan mata

amir_harraz_0593
  • --
    chs / week
  • --
    NOT RATINGS
  • 6.8k
    Views
Synopsis

Chapter 1 - Bab 1

Sehingga jam 6.30 petang, hujan belum berhenti. Aku semakin gelisah. Kelibat papa pun belum nampak lagi. Suasana sekeliling semakin lengang. Cuma ada dua orang lagi yang masih menanti di hadapan pintu utama untuk dijemput pulang selepas waktu pejabat.

Memang telah menjadi kebiasaan,jika hari hujan, papa akan datang lewat. Tapi tidaklah selambat hari ini. Sudah satu jam setengah. Sudah lenguh kaki ku berdiri. Selalunya, paling lama pun hanya satu jam. Hari ini entah kenapa lambat sangat. Kalau ada tempat duduk tak apa juga. Ini terpacak macam tiang lampu. Nak duduk di tepi tembok tu,basah pula. Nak duduk di dalam, nanti tak nampak pula kereta-kereta yang lalu-lalang. Nanti papa sangka aku sudah balik. Sudahnya,jadi 'jaga tak bergaji'. Jika dalam setengah jam lagi papa tidak sampai juga,aku bercadang untuk pulang dengan menaiki teksi. Tapi, hujan begini biasanya pemandu teksi bersikap jual mahal. Tidak mengapalah. Naik bas sahaja. Eh... payung pula tak ada. Harap-harap sekejap lagi papa sampai.

Aku menapak perlahan-lahan ke pintu masuk utama dan menjengah ke dalam. Pakcik Kordi dan Pak Mat, pengawal keselamatan bangunan ini sedang rancak berbual. Sesekali terdengar tawa mereka. Pakcik Kordi duduk bertenggek di atas meja. Pak Mat pula tersandar di kerusi. Entah apa yang dibualkan, nampak seronok betul. Teringin juga hendak berbual sama tetapi tak ada mood.

Aku menapak kembali ke tempat aku berdiri tadi. Di luar ini,sudah tiada sesiapa lagi. Hari semakin gelap. Hujan masih renyai-renyai. Takut juga aku berdiri seorang diri di luar ini. Kenapalah hari ini cuma aku seorang yang menanti di sini.

Mana yang lain? Kak Ram, Yasmin dan Syafie masih berada di pejabat. Tidak mahu balik lagikah? Kalau tidak, ada juga kawan untuk bersembang. Sambil berfikir-fikir sendirian, mataku tidak lepas menjeling ke simpang jalan di hadapan sana. Mana papa ni? Kalau terlewat pun, kenapa tidak telefon tadi? Oh, tak ya, mungkin mama sudah balik rumah. Baik aku telefon mama.

Aku menuju ke pintu masuk utama tapi entah macam mana tiba-tiba kakiku tergelincir. Aku tidak berjaya mengimbangi badan lalu terjelepok jatuh. Aduh... Ada kecederaan? Rasanya tak ada apa-apa yang tercedera. Tapi nasib tidak baik,lantai simen itu basah. Habis baju kurung aku basah! Tentu buruk sekali sudah besar panjang begini, jatuh terlepek macam itu. Apalah nasib aku hari ini.

Dengan sehelai tisu,aku mengesat-ngesat kainku, membetul-betulkan cermin mata dan baju kurungku. Hai... sudah nak jatuh. Apa boleh buat. Asalkan tak ada orang nampak, sudahlah. Kalau tidak malu juga!

"Saudari tak apa-apa?"

Satu pertanyaan tiba-tiba hinggap di cuping telingaku. Segera aku menoleh ke arah yang bertanya. Serentak dengan itu aku dapat kurasakan betapa merahnya mukaku. Kurang asam betul! Tadi elok tiada sesiapa pun di sini. Tiba-tiba,ada pula mata yang memandang.

"Err... tak ada apa-apa. Jatuh sikit saja," jawabku sambil pura-pura bertenang.

"Betul tak apa-apa?" tanyanya lagi.

"Ya betul... Saya okey! Terima kasih saja atas keprihatinan saudara." Aku mengharapkan kata-kataku membuatkan lelaki itu segera berlalu.

"Baiklah kalau begitu," katanya lalu melangkah pergi. Fuh... leganya.

Aku kembali mengesat-ngesat tanganku dengan sehelai lagi tisu yang aku keluarkan dari beg tangan. Sambil aku merungut-rungut dalam hati.

"Apa yang saudari buat bersendirian di sini? Dah hampir waktu Maghrib ni." Lelaki tadi datang semula.

Aku mula berasa tidak selesa. Aku memerhati ke arahnya sepintas lalu. Kemas penampilannya. Dengan tali lehernya,briefcase di tangan kanan dan kotnya telipat kemas di lengan kirinya. Kasut hitam yang dipakainya nampak berkilat. Macam kasut polis. Tidak pernah pun aku nampak dia sebelum ini.

"Hari ini saya ada mesyuarat penting. Kalau tak,saya tidak akan berpakaian seperti ini. Merimaskan!" Lelaki itu memberitahu. Mungkin dia perasan aku memandangnya dari atas ke bawah. Segera aku memandang ke arah lain.

"Saya... Syah Idris." Dia menghulurkan tangan kanannya selepas briefcasenya dialihkan ke tangan kirinya. Salamnya tidak segera kusambut. Aku teragak-agak seketika. Hendak layankah atau tidak?

Dulu masa kecil, papa dan mama selalu berpesan; "Never ever talk to a stranger." Dalam situasiku sekarang , adakah lelaki... Siapa namanya tadi? Syamil? Syariz? Apa pun namanya adakah lelaki ini berniat baik? Kalau dilihatkan dari tutur bicaranya yang bersaudari-saudari ini, macam sopan sahaja orangnya. Kalau dilihatkan dari gayanya pun seperti orang baik-baik sahaja. Eh... tak boleh percaya. Tidak boleh menilai seseorang itu dari kulit luarnya sahaja. Itulah yang papa selalu kata.

Salamnya tidak kusambut. Sebaliknya hanya kutundukkan kepalaku. "Maaf! Bukan muhrim," kataku perlahan. Dia terdiam sebentar. Kemudian dia tersenyum.

"Ya tak ya . Saya juga kadang-kadang terlupa pula akan batas-batas agama."

Kata-katanya kali ini menyakitkan telingaku. Siapa lelaki ini? Kenal pun tidak,tak malu-malu. menegurku sedemikian.

"Maaf! Saya nak buat panggilan telefon sekejap."

Sengaja aku mencari helah untuk tidak meneruskan perbualan dengannya. Walaupun kata-katanya itu ada betulnya, tercuit juga hatiku.

Aku terus melangkah masuk ke dalam bangunan, menuju ke telefon awam yang terletak tidak jauh dari pintu masuk utama. Seboleh-bolehnya aku tidak mahu Pakcik Kordi dan Pak Mat nampak aku. Pasti akan diejek dan diperlinya seperti selalu.

Sampai di rumah mama menyoalkan pelbagai soalan kepada kami kenapa kami balik lambat.

Aku bergegas masuk ke dalam bilik. Aku duduk di atas katil dan terlihat surat bersampul putih. Kucapai dengan pantas. Di luar sampul,di bawah sekali tercatit nama sebuah syarikat berserta lambang syarikat. Tiba-tiba hatiku terusik...