Ummu Salamah, iaitu Hindun binti Abu Umayyah, ialah seorang isteri yang setia, taat dan patuh menunaikan hak suaminya. Sebelum berkahwin dengan Rasulullah SAW, dia telah berkahwin dengan Abu Salamah, Abdullah bin Abdul Asad al-Makhzumi. Dia telah menghadapi pelbagai cabaran dan dugaan bersama suaminya dalam mempertahankan akidah Islam.
Dia dan suaminya merupakan antara sahabat Rasulullah SAW yang pernah berhijrah ke Habsyah. Di Habsyah dia telah melahirkan seorang anak. Mereka tinggal di situ srlama beberapa tahun dan kembali ke Makkah setelah pemboikotan berakhir.
Setelah berlaku Perjanjian Aqabah kedua, Rasulullah SAW trlah mengizinkan kaum Muslimin untuk berhijrah ke Madinah. Ummu Salamah dan suaminya juga tidak ketinggalan, mereka turut berhijrah ke Madinah. Ketika inilah berlaku peristiwa yang amat menyayat hati seorang isteri dan ibu.
Ummu Salamah telah ditahan oleh ahli keluarganya daripada Bani Mughirah. Manakala, anaknya diyahan oleh Bani Asad iaitu ahli keluarga suaminya. Suaminya, Abu Salamah tetap meneruskan hijrah ke Madinah sedangkan dia dan anaknya ditahan daripada berhijrah.
Setelah setahun menderita Ummu Salamah dibebaskan oleh bapa saudaranya yang kasihan melihat penderitaanya itu. Tanoa berlengah, Ummu Salamah membawa anaknya menaiki unta dan bergerak menuju ke Madinah. Di pertengahan jalan, dia bertemu dengan Utsman bin Talhah yang kemudiannya menemani ibu bersama anak kecil itu bertemu suaminya di Madinah.
Di Madinah, Ummu Salamah menjalani kehidupan bahagia bersama suami dan anak-anak. Sebagai isteri, fia memberi sokongan penuh kepada suaminya untuk keluar berjihad.
Antara peperangan yang disertai oleh Abu Salamah ialah Perang Badar dan Uhud.
Semasa Perang Uhud, Abu Salamah mengalami kecederaan di lrngan. Setelah sembuh, Abu Salamah terlibat pula dengan satu operasi bagi menggempur Bani Asad yang merancang untuk menyerang Madinah. Operasi ini menemui kejayaan. Namun kecederaan yang pernah dialami Abu Salamah kembali terasa. Semakin hari, Abu Salamah semakin lemah.
Semasa sakit, Abu Salamah masih sempat menitipkan satu pesanan yang pernah didengarnya daripada sabda Rasulullah SAW.
"Tidaklah seorang Muslim ditimpa suatu musibah lalu menuturkan, sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya kita kembali."
(Riwayat Muslim)
"Wahai Ummu Salamah, Rasulullah juga mengajarkan doa ini jika ditimpa musibah, 'Ya Allah berilah aku pahala atas musibah yang menimpaku dan berilah aku ganti yang lebih baik daripadanya.' Kata Rasulullah lagi, Allah pasti akan mengabulkan doa orang yang ditimpa musibah tersebut."
Sejak saat itu, Ummu Salamah ingat akan pesan suaminya. Dia menghafal dan mengamalkan doa yang dititipkan oleh suami yang disayanginya sepenuh jiwa selepas Allah dan Rasul. Tidak lama kemudian, Abu Salamah meninggal dunia.
Setelah idahnya selesai, ramai dalam kalangan para sahabat meminang Ummu Salamah. Ini adalah amalan biasa kaum Muslim ketika itu, iaitu bagi melindungi balu-balu yang kehilangan suami dalam peperangan. Walau bagaimanapun, Ummu Salamah menolak semua pinangan itu.
Pada suatu hari, Rasulullah SAW datang menemui Ummu Salamah yang ketika itu sedang menyamak kulit. Sebaik-baik sahaja melihat Rasulullah, dia bergegas mencuci tangannya, lalu mempersilakan Baginda masuk. Rasulullah kemudian menyampaikan hasrat untuk meminang Ummu Salamah untuk Baginda sendiri.
Ummu Salamah amat terkejut. Dia hampir tidak percaya dengan apa yang baru didengarnya. Lantas ingatannya segera teringat tentang doa yang sering dipohonnya sebelum itu.
...dan berilah aku ganti yang lebih baik daripadanya.
Ummu Salamah berkata dalam hati, 'Memang benarlah Allah telah menggantikan Abu Salamah dengan Rasulullah SAW. Bahkan Baginda itu yang terbaik.'