Chereads / VIRGIN / Chapter 2 - BAB 1 (Part 2) Jangan kutuk mak!

Chapter 2 - BAB 1 (Part 2) Jangan kutuk mak!

"AKU dengar si Darlina tu bersekedudukan dengan lelaki bandar tu! Lelaki yang selalu kita nampak hantar dia sampai ke pagar rumah!"

Ian yang sedang menjengket untuk mengambil secawan mi segera terhenti tingkahnya apabila dia mendengar nama mak disebut orang di rak sebelah. Tangan Ian menggenggam penumbuk. Dia bukan tak tahu erti sekedudukan itu. Sudah ramai bercakap tentang mak yang tinggal dalam satu rumah dengan lelaki tanpa berkahwin. Orang kata itu perbuatan yang sangat tidak elok.

"Hish kau ni! Cakap siang pandang-pandang! Entah-entah dia dah kahwin dengan lelaki tu. Orang janda ni kadang tak suka buat majlis besar-besaran. Mungkin dia buat kecil-kecilan aje! Jemput kaum keluarga aje. Sebab tu, orang lain tak tahu." marah mak cik yang lain.

Hati Ian rasa sejuk sedikit. Ada orang yang berada di pihak mak. Rasa ingin dia ucapkan terima kasih kepada mak cik itu kerana percayakan mak sama sepertinya.

"Lah! Kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang. Ada orang sini cakap nampak Darlina keluar masuk rumah besar tu. Bila dah masuk, tak keluar dah! Buat apa lagi kalau bukan…." Terhenti percakapan mak cik tudung singkat apabila terpandang Ian yang sedang memandangnya dengan pandangan marah. Mencerlung mata Ian. Bukan mak cik tu tak tahu Ian anak Darlina. Semua orang kawasan perumahan ini tahu gadis kecil molek yang cantik itu ikut rupa maknya. Jangan ikut perangai sudah!

"Mak cik cakap apa pasal mak saya?" dingin Ian bertanya lalu menghampiri mak cik tudung singkat itu. Dia yang agak rendah terpaksa mendongak sedikit pandang mak cik mulut celupar.

Mak cik yang seorang lagi sudah tidak sedap hati. Bukan tak kenal Ian. Garang orangnya walaupun wajah itu sangat manis.

"Siapa yang ajar kamu boleh tengok mata orang tua macam tu?" Mak cik tudung singkat marah. Anak dia pun tak pandang dia macam tu. "Mak kamu ajar jadi kurang ajar macam ni? Huh! Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi!"

Darah Ian semakin mendidih. Turun naik dadanya akibat bernafas dengan tidak teratur. Tanpa diduga, Ian berlari laju ke arah mak cik tadi lalu memijak kaki mak cik dengan kasut sekolah bertapak tebal.

"Adoi! Adoi!" rintih mak cik mulut jahat tu. Terjatuh bakul yang dipegang apabila tangan mak cik cuba memukul tubuh Ian yang rapat dengannya. Sekuat hati Ian memijak kaki itu selama tiga saat sebelum berlari tinggalkan kedua-dua mak cik.

"Padan muka! Padan muka! Uweek!" Ian jelir lidah lalu berlari keluar dari kedai runcit. Dia terus berlari tanpa memandang ke belakang apabila tauke kedai cuba mengejarnya.

"Aku dah cakap tadi! Kena tengok-tengok kawasan sekeliling sebelum bercakap. Cuba kalau kita di tempat budak tu, apa kita rasa?" nasihat mak cik yang masih ada perikemanusiaannya. Dia cuba bangunkan kawan yang telah terduduk akibat sakit dipijak tadi. Barang-barang yang berterabur pun diangkat.

"Orang tak dapat kasih sayang, macam tu lah jadinya. Jangan jadi perosak negara dah!" sumpah mak cik tadi. Kaki ditiup menghilangkan kesakitan.

"Sudah-sudahlah tu! Kalau budak tu terdengar lagi, entah apa yang dia akan buat nanti."

Bulu roma mak cik tudung singkat berdiri tegak. Budak tu, nampak aje kecil tapi sangatlah kuat. Rasa macam ada beban 50kg yang tertimpa kaki kanannya tadi.

MENANGIS-NANGIS Ian ketika berjalan pulang ke rumah. Sepanjang perjalanan ke rumah, dia tersedu-sedan. Lengan baju digunakan untuk menutup mata yang basah. Jiran-jiran sekeliling yang nampak Ian menangis hanya boleh bersimpati dengan nasib kanak-kanak sebelas tahun itu. Bukan tak biasa lihat Ian menangis. Dah selalu sangat.

"Kenapa menangis tu? Ian jatuh ke?" tanya jiran sebelah yang kebetulan keluar seketika ke bahagian hadapan rumah. Mak Cik Anis namanya. Mak cik itu sebaya dengan mak. 30 tahun usianya.

Ian masih menangis. Dia hanya menggeleng tanpa angkat muka. Ian buka pintu pagar rumah dalam keadaan tunduk. Walaupun Mak Cik Anis sudah tahu dia menangis, dia tetap segan untuk tunjukkan wajah kesedihannya.

"Mak cik ada masak ayam masak merah. Sedap tau! Jom, makan sekali dengan mak cik!" ajak Mak Cik Anis ramah.

Perut Ian memang begitu lapar sekarang. Sejak mak pergi tinggalkannya, tiada lauk yang terhidang lagi selepas pulang ke sekolah. Sebab itu, Ian ingin beli mi cawan tadi. Tapi, tak jadi sebab mak cik mulut jahat tu.

Ian angkat muka. Ayam masak merah merubah moodnya. "Ian boleh tumpang makan rumah mak cik?" tanya Ian dengan nada suram.

Mak Cik Anis senyum mekar. Nampaknya dia berjaya memujuk Ian. Dia angguk mengiakan. "Ian datang lepas letak beg ya. Nanti, mak cik hidang. Jangan tak datang pulak!"

Wajah suram Ian bertukar gembira. Ayam masak merah memang lauk kegemarannya lebih-lebih lagi jika mak yang masak. Tapi, masakan Mak Cik Anis tak kurang hebatnya. Dia cepat-cepat masuk ke dalam rumah untuk tukar baju dan berlari ke rumah Mak Cik Anis.

"Assalamualaikum!" Ian terus masuk ke dalam rumah. Dia lihat mak cik sedang hidangkan lauk atas meja makan. Rumah teres kecil itu memang agak sempit. Ruang tamu terpaksa dikongsi dengan ruang makan.

"Waalaikumsalam! Duduk Ian." Mak cik Anis tarikkan kerusi untuk Ian duduk. "Ian makan dulu. Lepas dah siap, Ian boleh rehat. Mak cik tunggu pak cik balik. Lambat sikitlah nak makan."

Tidak menunggu lama, Ian terus makan selepas membaca doa makan. Riuh mulutnya memuji masakan Mak Cik Anis.

'Kesian budak ni. Kenapa Darlina sanggup tinggalkan dia? Yang ayahnya pula sibuk sangat, kerja sampai ke malam. Tinggalkan dia sorang-sorang kat rumah tu.' ujar Mak Cik Anis bersimpati. Rambut Ian yang panjang dan lembut dibelai.

"Mak cik…"

"Ya, Ian? Nak tambah lagi ke?"

Ian geleng. "Boleh tak kalau Ian nak bagi ayah rasa sikit. Ayah pun suka ayam masak merah."

Bergenang air mata Mak Cik Anis. Keprihatinan Ian dipuji dalam diam. Dia angguk. "Nanti mak cik bungkuskan. Kalau ayah lambat balik, atau balik malam, Ian panaskan sikit. Takut basi."

Ian angguk faham. Dalam usia sebelas tahun itu, pemetik api, stove, pisau dan perkakas dapur bukan lagi sesuatu yang asing. Cikgu di sekolah ajar, kita perlu selalu membantu ibu di dapur. Mulai hari itu, Ian tekad. Bila mak kembali ke rumah nanti, Ian mahu membantu mak supaya mak tidak penat uruskan semua benda lagi. Supaya mak tak rasa nak keluar dari rumah lagi.