"Keabadian hanya milik tuhan! Bukan milik makhluk laknat macam kau! Kau tu yang tak sedar diri. Berlagak seperti tuhan." Amira mulai berang. Tangan dikepal kerana sedang menahan geram.
"Hidup tidak bertuhan, mencabut nyawa manusia lain sesuka hati kau. Kau tak ada hak itu. Jangan kau ambil kerja tuhan, wahai Iblis!"
Serentak dengan itu semua yang ada di situ memalingkan wajahnya ke arah luar hotel.
Segerombolan orang kampung dan juga beberapa pelajar yang berjubah putih dan berserban sedang terkumat kamit membaca ayat-ayat suci alquran. Semakin lama, suara mereka semakin kuat dan bergema.
Jasmin mengundurkan langkahnya sambil menarik tubuh Fatin secara paksa.
"Celaka!" Jerit wanita itu dengan kuat. Matanya memerah bagaikan saga.
"Hahahahahaha!! Hihihihi!! Berbicara gah bagaikan pahlawan. Tapi seorang dari kamu pun tidak mampu untuk menyelamatkan gadis ini. Sudah aku katakan! Aku yang menentukan takdir mati kalian dan bukannya tuhan!" Zara yang mendengar kata-kata angkuh dari mulut perempuan itu tergamam. Sungguh berani dia mencabar tuhan. Tidak takutkah dia akan balasan yang bakal menimpanya? Zara menarik nafas sedalam-dalamnya lalu melepaskan sambil beristighfar.
"Kau mencabar tuhan nampaknya. Maaf Jasmin, aku terpaksa musnahkan kau agar tiada lagi manusia yang menjadi mangsa kekejaman kau."
"Hahahahahaha. Silakan. Kau menjual, aku sudi membeli!" Ujar Jasmin tersenyum sinis.
Tubuh Fatin yang terkulai terbaring lemah dengan mata yang terbuka. Air matanya merembes laju sambil memandang kedua sahabatnya. Kelihatan bibirnya bergetar ingin menyatakan sesuatu. Namun kerana Jasmin masih berada di sisinya, Zara atau pun Amira masih belum dapat mendekati tubuh itu.
Zara dan juga Amira tidak dapat menahan rasa sebak di dada. Sakit dan pedih apabila melihat teman baiknya di bunuh di hadapan mata. Mereka langsung tidak dapat menyelamatkan Fatin dari genggaman wanita iblis itu. Mereka gagal untuk melindungi.
Ustaz Rahil dan juga konco-konconya masih lagi meneruskan bacaan.
Jasmin mula terasa tubuhnya membahang. Kulitnya tiba-tiba sahaja mengering dan menguping. Kemudian timbul rasa gatal yang teramat. Jasmin memandang ke bawah. Tubuh longlai Fatin direnung. Darah yang mengalir membuatkan Jasmin teruja. Darah itu boleh menyelamatkan dirinya dan juga membuatkan tubuhnya kembali segar dan bertenaga.
Jasmin menarik rambut Fatin lalu mengheret perlahan tubuh itu.
"Lepaskan dia!"
Amira menjerit lantang. Kini dia sudah berada hampir dengan wanita itu. Jarak mereka terlalu dekat dan Amira langsung tidak menunjukkan riak takut.
Taj mengeluarkan bungkusan kain kuning dari dalam bag yang dibawanya bersama. Kemudian di hulur kepada Ayahnya Ustaz Rahil.
"Taj, kau kena lindungi dua gadis itu. Jangan buat sebarang kesilapan. Biar ayah yang selesaikan dengan dia!" Ujar Ustaz Rahil memberikan arahan.
"Baik ayah" Taj mengangguk faham.
"Dan kamu semua! Ingat pesanku. Walau apa pun terjadi, teruskan bacaan kalian. Minta bantuan dariNYA." Pesan Ustaz Rahil. Kemudian, dia melangkah masuk ke dalam. Mulutnya terkumat kamit sambil mengeluarkan sesuatu dari kain kuning itu.
Ustaz Rahil berdiri hampir dengan Amira. Lalu menghulurkan sesuatu yang panjang dan tajam. Sesuatu yang berkilau seperti emas.
Mata Amira membesar. Jarum panjang sepanjang tapak tangan berada di hadapan matanya.
"Inilah kelemahanya. Dan ianya boleh membunuh dia. Pakcik serahkan kepadamu. Hanya kamu yang boleh lakukannya. Jangan khuatir, pakcik akan melindungi kamu" Amira terdiam. Tetapi dalam masa yang sama, dia menyambut huluran Ustaz Rahil. Jarum bertukar tangan.
Pandangan Amira dan Ustaz Rahil beralih ke arah Jasmin yang baru sahaja melahap darah mangsanya tanpa menyedari Amira sudah hampir dengannya.
Dan tanpa disedari wanita itu, Amira pantas menusukkan mata jarum itu ke bahagian tepi leher Jasmin dengan pantas.
"Arrggghhhh!! Aaaaaaaaaaa!!!!" Jeritan lantang menggegarkan seluruh isi dalam hotel itu. Zara yang ketakutan berlari keluar menuju ke arah orang kampung dan jemaah yang berkumpul. Masing-masing duduk berteleku membaca alquran dengan kuat dan lantang.
"Berani kau ya!" Jerit Jasmin sambil menyeringai kesakitan. Darah memancut-mancut keluar dari tusukkan itu. Memercik membasahi tubuhnya dan juga dikawasan yang terdekat..
Tubuh Fatin yang kaku di campak ke bawah dan Amira pantas menyambut tubuh tidak bernyawa itu dengan berhati-hati. Kemudian dia berusaha membawanya keluar dari hotel tersebut. Kini hanya tinggal Ustaz Rahil berdua bersama Jasmin di dalam.
"Aku terpaksa Jasmin. Masa kau sudah tiba."
"Kau sial! Arrggghhhh!" Tubuh Jasmin perlahan-lahan bertukar rupa. Dari tubuh yang menggiurkan menjadi tubuh yang kurus. Kulit yang cerah dan bersinar bertukar menjadi kulit yang kering dan semakin mengecut. Kelihatannya hanya tinggal kulit dan tulang. Wajahnya yang jelita juga berubah. Kedua matanya terperosok ke dalam. Dan perlahan-perlahan wajahnya mengecut dan berkedut. Giginya yang putih gugur satu persatu dan berlumuran darah. Rambutnya yang mengurai indah pula memutih dan juga gugur.
"Inilah wajah asli mu, Jasmin. Kau sepatutnya sedar dari dulu lagi, kecantikkan yang kau kejar bukanlah segalanya. Ianya takkan kekal dengan kau. Kita manusia Jasmin. Allah sudah menetapkan takdir hidup masing-masing. Tapi kau berani menidakkan apa yang telah ditakdirkan untuk kau" ujar Ustaz Rahil panjang lebar. Air matanya turut menitik. Terimbas semula kejadian di mana anak perempuannya menjadi mangsa ibu sendiri. Anaknya di bunuh dengan cara kepalanya dipenggal dan darah merah yang mengalir dihirup rakus oleh Jasmin. Bukan itu sahaja, Adik iparnya yang juga adik kandung Jasmin turut menjadi mangsa kekejaman kakaknya sendiri. Ustaz Rahil mengucap panjang di dalam hatinya.
"Mereka sudah ditakdirkan mati untuk ku. Dipilih untuk menjadi korban yang terbaik. Hanya mereka sahaja yang mampu memberikan apa yang aku mahu" terputus-putus suara Jasmin. Dia mula dapat merasakan tenggorokkannya pahit dan perit.
Ustaz Rahil merendahkan tubuhnya. Merenung wajah kecut milik Jasmin yang menyeringai menahan kesakitan. Sekali lagi lelaki tua itu mengalirkan air mata. Sayu dan sedih dia melihat keadaan bekas isterinya itu. Namun, semuanya sudah ditentukan dan lelaki tua itu redha menerima.
Sebatang jarum emas di keluarkan dari balutan kain kuning itu lalu pantas Ustaz Rahil menusuk tepat di tengah leher Jasmin.
"Kkk..kkaaauu..kkaauuu" tersekat-sekat suara Jasmin untuk berkata-kata.
"Taj! Ismail! Mari sini" jerit Ustaz Rahil memanggil.
"Bakar dia" arah Ustaz Rahil lalu dia beredar dari situ.
"Jangannnnn!!!! Tolong aku Rahil. Jangan! Ampunkan aku! Ampunkan aku Rahil.. ampunkan aku!!!!!"
Ustaz Rahil segera berpaling. Dadanya mulai sebak. Wanita itu pernah menjadi suri dalam hidupnya dahulu. Tetapi kerana ilmu hitam yang di amalkan dan sehingga meragut nyawa insan kesayangannya lelaki tua itu terpaksa lakukan. Ini demi kebaikkan semua orang dari menjadi mangsa seterusnya.
Taj dan Ismail mengambil minyak tanah yang di bawa mereka lalu menuang ke tubuh Jasmin yang sudah tersandar lesu didinding hotel. Matanya memandang ke arah Ustaz Rahil dengan harapan ada sedikit simpati dalam dirinya. Namun dia sedar, penyesalannya sudah pun terlewat. Tiada apa lagi yang dia harapkan kini.
"Rahil, maafkan aku" itulah kata-kata terakhir Jasmin sebelum tubuhnya dibakar hangus. Bau hanyir dan busuk mula menusuk-nusuk ke dalam deria pernafasan masing-masing.
"Aaaaaaaaaaaaaa!!" Terdengar satu jeritan panjang yang kuat dan kemudiannya beransur-ansur lenyap.
Ustaz Rahil, Taj dan Ismail melangkah keluar dari bangunan itu.
Di hadapan mata mereka semua, hotel yang pada awalnya kelihatan gah dengan binaannya yang cantik tiba-tiba sahaja bertukar rupa menjadi sebuah bangunan buruk dan terbiar. Segenap ruangannya basah dan Berlumut. Begitu juga dinding-dinding sekitarnya.
Mulut Zara terbuka luas. Rasa tidak percaya apa yang terhidang di hadapan matanya.
"Apa yang kau nampak sekarang ni, Inilah yang aku nampak sebelum ni. Maafkan aku, Zara kerana tidak berterus terang dengan kau." Luah Amira.
"Maksud kau? Kau boleh..."
"Aku boleh nampak semuanya. Hijab aku terbuka, Zara. Hanya Fatin yang tahu. Maafkan aku." Amira menundukkan wajahnya. Kecewa dan juga merasa bersalah di atas apa yang terjadi.
"Aku yang sepatutnya minta maaf pada kau. Kerana aku yang berkeras. Kalau aku dengar cakap kau, Fatin dan Jessy takkan mati" air mata Zara mengalir. Hatinya terasa sakit. Sakit, kecewa dan sedih bercampur baur.
"Nak.."
Amira menoleh ke arah Ustaz Rahil.
"Mari ikut pakcik balik. Kita uruskan jenazah teman-teman kamu. Sebaiknya kamu hubungi keluarga kamu dan juga keluarga teman-teman itu." Kata Ustaz Rahil sambil tersenyum.
"Terima kasih Ustaz kerana membantu kami semua" ucap Amira sambil membalas senyuman lelaki tua itu.
"Ustaz, nanti dulu. Ada seseorang ingin sampaikan salam kepada Ustaz dan Taj" perlahan sahaja suara Amira.
"Siapa?"
"Intan.. dia amanahkan pesanan untuk Ustaz dan juga Taj. Dia minta, agar Ustaz memaafkan segala dosa-dosanya terhadap Ustaz ketika dia masih hidup. Dia minta Ustaz dan Taj jaga diri sebaiknya" Amira menarik nafas lega. Sesuatu yang di amanahkan sudah pun dilakukan.
Ustaz Rahil tersenyum. Dia mengerling ke arah belakang tubuh Amira. Terlihat satu susuk tubuh kecil anak perempuannya berdiri sambil melambai. Senyuman yang dirindui sejak kematian anak perempuannya terhias indah di wajah itu. Ustaz Rahil juga turut tersenyum.
"Terima ksih" balas Ustaz Rahil.
Dan kemudian, tubuh Intan hilang bagaikan kabus.
Bersambung