Kita mempunyai tanggapan yang salah terhadap perbuatan membunuh diri. Kita terlalu inginkan perbuatan ini mempunyai maksud tersendiri. Hinggakan kisah hidup mangsa digubah dengan detik-detik bermakna hingga ke saat mangsa menemui kesempurnaan dalam ajalnya. Mudah dan tidak serabut. Perkara ini sering berlaku terutamanya apabila si mati akibat membunuh diri adalah individu yang terkenal – seseorang yang kita sering kaitkan dengan andaian kita sendiri. Kita juga sering mengaitkan mereka dengan mitos.
Inilah yang berlaku apabila vokalis Linkin Park, Chester Bennington, dikatakan membunuh diri pada hari Khamis. Masyarakat mula mencari corak-corak tertentu untuk mengaitkan hasil nukilannya sebagai titik permulaan kepada keputusannya untuk mengambil nyawanya sendiri. Malah, ada juga yang menyiratkan bahawa kematiannya kini menjadikan lirik lagu-lagu Linkin Park lebih bermakna. "Kesengsaraan Chester Bennington, bintang Linkin Park, menjadi ilham bagi penggubahan muzik yang mengasyikkan", menurut satu tajuk berita. "Lirik-lirik itu […] kini menjadi sungguh memilukan," mengikut satu obituari.
Sepatutnya jelas bahawa tindakan menggunakan kisah kematian seseorang sebagai penyaring kepada tindak balas estetik kita sendiri adalah amat jelek. Mungkin perkara ini kurang menonjol, namun adalah lebih penting untuk memahami kenapa fikiran begini adalah sangat berbahaya. Dengan menyimpulkan bahawa kematian Bennington mengukuhkan nilai muziknya, perbuatan ini seolah-olah "[menggalakkan] idea bahawa membunuh diri boleh membuahkan hasil". Samaritans pernah memberi amaran terhadap perbuatan begini dalam garis panduannya. Amaran ini penting kerana ungkapan sebegini boleh menambahkan lagi risiko "penularan kes membunuh diri" yang melibatkan cubaan membunuh diri dalam kalangan masyarakat kerana ingin meniru perbuatan tersebut.
Terdapat dua perkara yang boleh menyebabkan penularan ini bertukar menjadi isu yang memerlukan perhatian segera. Pertama, lirik-lirik Bennington yang bersifat pengakuan menunjukkan bahawa hubungannya dengan peminatnya merupakan suatu jalinan penyatuan yang kukuh. Ini kerana bagi ramai peminatnya, setiap bibit liriknya memberi makna kepada emosi-emosi mereka yang selama ini terpendam dan menyeksakan, lantas menyatukan penyanyi dan pendengar dalam suatu perkongsian emosi. Kedua, Bennington sendiri mungkin terpengaruh dengan satu lagi pembunuhan diri kerana terdapat laporan yang menekankan persamaan-persamaan antara kematiannya dan kematian vokalis Soundgarden, iaitu Chris Cornell pada bulan Mei (namun begitu, perlu ditekankan di sini bahawa laporan-laporan ini gagal memberi pertimbangan kepada garis panduan laporan).
"Orang yang paling mudah terpengaruh dengan pembunuhan diri adalah mereka yang akrab dengan mangsa, atau sayangkan mangsa dalam sebarang segi," menurut nukilan Jennifer Michael Hecht dalam bukunya Stay. Buku ini membincangkan pembunuhan diri sebagai suatu fenomena sosial. Bennington merupakan seorang peminat, kawan, dan rakan profesional Cornell. Kesemua syarat "keakraban" adalah nyata dalam hubungan mereka – maka, kenapa berlaku ketiadaan sifat prihatin dalam menekankan "keakraban" yang sama antara Bennington dan pendengarnya?
Ini adalah kebenaran tentang bunuh diri: ia merupakan suatu kemalangan yang mengerikan, suatu pertembungan antara desakan dan kesempatan yang akhirnya menghancurkan keluarga dan masyarakat. Wujud suatu keinginan untuk menganggap bunuh diri sebagai suatu perbuatan jenayah yang hanya ada satu mangsa, iaitu mangsa keganasan turut merupakan pelaku keganasan (mudah dan tidak serabut), tetapi tanggapan ini juga salah. Insan yang ditinggalkan turut menjadi mangsa. Pendedahan kepada perbuatan bunuh diri, sama ada secara langsung akibat kematian orang yang disayangi, atau melalui laporan atau kenyataan media, merupakan faktor risiko utama dalam cubaan membunuh diri.
Saya beranggapan bahawa kita semua akan berasa lega jika bunuh diri merupakan suatu tindak balas yang tidak dapat dihalang akibat tekanan dalaman yang tidak tertanggung. Dengan ini, kita boleh membebaskan diri daripada tanggungjawab bersama. Orang ramai suka memetik kata-kata David Foster Wallace (yang turut membunuh diri) dari bukunya, Infinite Jestyang berbunyi: "Orang yang menderita akibat dibelengu oleh penderitaan tersembunyi [iaitu kemurungan] sehingga ke tahap yang tidak tertanggung lagi, akan membunuh diri, sama seperti orang yang terperangkap dalam bangunan tinggi yang sedang dijilat api, akhirnya akan melompat keluar dari tingkap."
Namun begitu, perbuatan membunuh diri boleh dielakkan. Sembilan puluh peratus daripada orang yang diselamatkan daripada cubaan membunuh diri kali pertama tidak akan menemui ajal dengan membunuh diri. Maka, apakah maksud statistik ini bagi mereka yang berjaya membunuh diri pada cubaan kali pertama? Berapa ramai daripada mereka, jika mereka tidak bernasib malang dan gagal diselamatkan, akan mampu meneruskan kehidupan mereka? Perbuatan membunuh diri merupakan pencuri masa depan diri yang boleh memilih untuk terus hidup, dan juga pencuri dari mereka yang ditinggalkan dalam kesedihan.
Anda boleh nampak bahawa membunuh diri adalah suatu tindakan impulsif dengan melihat kepada bilangan kes bunuh diri yang berubah-ubah. Apabila cara atau peluang untuk membunuh diri disingkirkan – sebagai contoh, penyahtoksikan gas rumah, atau sekatan yang dikenakan pada penjualan parasetamol, atau meletakkan penghalang di atas platform di stesen-stesen keretapi – bilangan kes membunuh diri akan berkurangan. Ini bukan sahaja meliputi kes bunuh diri menggunakan kaedah yang disenaraikan, tetapi secara keseluruhannya, kes bunuh diri akan berkurangan: tidak banyak yang menjadi pengganti. Namun apabila kes bunuh diri diberi liputan yang meluas dan disensasikan, bilangan kes bunuh diri akan meningkat.
Cara kita menulis dan bercakap tentang pembunuhan diri adalah berkait rapat dengan kehidupan dan kematian. Bagaimanakah keadaannya jika Foster Wallace atau Cornell atau Bennington bertuah dan berjaya diselamatkan? Karya mereka akan kekal sama. Keunggulan dan kelemahan yang sama. Kejadian bunuh diri tidak mendatangkan sebarang faedah, hanya melukakan, dan pihak media hanya akan mengabaikan tugas moral mereka apabila mereka berkata sebaliknya. Kita tidak boleh bersikap sambil lewa terhadap satu sama lain atau terhadap diri kita sendiri jika sikap kita itu boleh membawa maut.