Chereads / Sfera / Chapter 8 - Eskapisme II

Chapter 8 - Eskapisme II

"Marina. Sebelum ini, kau pernah menyebut tentang signal yang diberi oleh Norman kepada kau. Boleh kau ceritakan pada aku cerita di sebalik signal yang diberikan oleh Norman" tanya Ally.

"Oh. Boleh. Bagaimana aku mahu bermula ya?"

"Beritahu aku bagaimana kau dan Norman bertemu" kata Ally. Aku cuba mengingati saat itu dan cuba menyusun ayat-ayat untuk diceritakan kepada Ally.

"Aku dan Norman pertama kali berjumpa ketika kami berdua berada di dalam kelab sidang ridaksi sekolah. Ketika itu, kami berada di tingkatan lima. Norman merupakan ahli baru kelab. Ketika itu, aku sedar yang Norman sering memerhatikan aku pada setiap kali perjumpaan"

"Mesti kau rasa seronok ketika itu bukan?"

"Pada mulanya, aku rimas dan takut dengan perhatian yang diberikan oleh Norman"

"Kenapa pula?"

"Sebabnya... Kalau kau ada di situ dan kau lihat sendiri cara dia merenung aku, kau pasti setuju dengan apa yang aku hendak katakan ini. Kalau aku ini sebiji burger. Aku pasti dia sudah lama menelanku"

"Kelakarlah kamu berdua ini!" Ally ketawa terbahak-bahak.

"Tetapi itu mula-mula sahaja. Lama-kelamaan, aku mula seronok kerana menjadi perhatian"

"Well. I do understand that Marina..." kata Ally sambil tersenyum nakal.

"Aku rasa, kalau kau jadi aku pun kau akan rasa seronok. Lagi-lagi Norman adalah seorang pelajar lelaki popular dan diminati ramai di sekolah dahulu"

"Mungkin juga" kata Ally sambil mengangguk. "Dan dalam keseronokan itu, kau akhirnya naik syok pada Norman betul?"

"Ya! Pandai kau meneka! Semuanya berubah apabila kami selalu bertembung di kantin, perpustakaan, perhimpunan atau pun makmal komputer. Lama-kelamaan, aku pula yang sering memerhatikannya. Dalam diam, aku mula tertarik kepada Norman" terangku perlahan-lahan, rasa malu mengenang kisah lama. "Pada satu hari, Rezza, rakan sekelas kami bertanya kepadaku siapa yang berjaya menarik perhatianku sewaktu di sekolah"

"Kau beritahu dia perkara yang sebenar?"

"Ya. Aku menjawab dengan jujur. Aku beritahu dia tentang Norman"

"Kemudian apa yang berlaku?"

"Aku tidak sangka pula yang Rezza akan memberitahunya kepada Norman."

"Rezza memberitahunya kepada Norman? Teruk betul!"

"Ya! Aku betul-betul malu ketika itu. Sekiranya aku tahu, sumpah aku tidak akan memberitahu jawapan yang sebenar kepadanya"

"Apa yang kau buat pada Rezza?"

"Sebaik sahaja Rezza mengakuinya. Aku naik berang. Aku memarahi Rezza dan kami tidak bertegur sapa sehinggalah dua minggu sebelum SPM. Semasa itu, aku dan Rezza bermaafan antara satu sama lain"

"Aku rasa selepas itu pasti Norman memberitahu rakan-rakannya yang lain"

"Aku tidak pernah bertanya tentang itu kepada Norman tetapi aku rasa ya"

"Dia tentulah bangga apabila dia mendapat tahu yang ada orang meminati dia bukan?"

"Semestinya! Ego lelaki alpha seperti Norman pasti akan naik setinggi Everest"

"Apa hubungan Norman dan Rezza sebenarnya Marina? Maksud aku, bagaimana Norman boleh terus percaya dengan apa yang dikatakan oleh Rezza"

"Mereka berkawan baik. Jadi segala apa yang Rezza cakap, memang Norman akan percaya. Aku percaya, Rezza pasti memberitahu perkara itu semasa Norman sedang lepak-lepak dengan kawan-kawannya. Norman pula sudah tentu akan memberitahu kawan-kawanya yang lain. Kawan-kawannya yang sama-sama lepak dengannya ketika itu pun pasti akan melakukan perkara yang sama"

"Gosh! Tetapi kalau kau sudah tahu yang mereka berkawan baik, kenapa kau beritahu pada Rezza juga?"

"Ketika itu, aku tidak tahu pun yang mereka berkawan baik. Aku ingatkan Rezza sahaja-sahaja bertanya. Tetapi apa hendak buat? Perkara sudah jadi. Aku rasa satu sekolah mengejek aku pada ketika itu. Kau faham - faham sahajalah, berita sebegitu memang cepat tersebar. Lebih-lebih lagi ianya membabitkan orang popular seperti Norman"

"Jadi apa reaksi Norman terhadap kau?"

"Bermula dari saat itu, Norman berubah. Dia tidak lagi melihat aku dengan cara yang sama. Setiap kali kami bertembung, dia akan berpura-pura seolah-olah dia tidak nampak aku. Kau dapat bayangkan betapa malunya aku ketika itu Ally?"

"Kalau aku pun aku tidak tahu hendak letak muka di mana"

"Pada masa itu, aku mula menganggap yang Norman sengaja mempermain-mainkan aku. Segala perhatian yang diberikan kepada aku hanyalah mainannya semata. Aku berasa sangat-sangat malu ketika itu. Aku rasa seperti satu sekolah sedang mengejek aku."

"Bagaimana kau harungi semua itu? Maksud aku, tahun itu kau sedang menduduki SPM dan jika aku di tempat kau, aku pasti akan hilang fokus"

"Ya. Aku hilang fokus pada awalnya. Namun, aku memberitahu diriku bahawa tidak berbaloi untuk aku jatuh kerana Norman. Aku perlu fokus pada apa yang ada di hadapanku pada ketika itu dan kurangkan aktiviti sosial. Walau pun begitu, aku tetap tidak mengalah. Dalam masa yang sama, aku mula merancang sesuatu"

"Maksud kau, rancangan di bengkel kemahiran hidup itu?"

"Ya! Betul!"

"Jadi apa yang terjadi selepas Pearl Jam?"

"Dua bulan selepas tamat SPM. Selepas kami bercakap tentang Pearl Jam dan beberapa kali keluar bersama, Norman akhirnya berterus terang dan meluahkan hasrat hatinya"

"Ada kau bertanya kenapa dia tidak mendekati kau pada awalnya?"

"Ada. Aku berterus terang kepadanya tentang 'signalnya' yang mengelirukan itu"

"Apa yang dia kata?"

"Katanya, dia terpaksa menumpukan perhatiannya pada pelajaran. Dia tidak mahu ada apa-apa ganguan. Dia ingin mengenali diriku dengan lebih dekat lagi dan jika boleh dia mahu aku jadi teman istimewanya. "

"Jangan beritahu aku dengan segeranya aku katakan 'ya'"

"Aku terus katakan 'ya' Ally"

"Ha?!" kata Ally. Dia terkejut. Mulutnya ternganga luas.

"Oh! Aku rasa seperti jenis yang 'easy to get' pula bukan?"

"Ya! Gelojoh!"

"Tetapi jika aku kata 'no'. Takut melepas pula. Aku takut aku pula yang akan terkejar-kejar nanti. Jadi sejak dari saat itu, hubunganku dengan Norman pun bermula."

"Apa yang kau boleh cakap tentang hubungan kau dengan Norman"

"Ianya bukan satu hubungan yang mudah. Bercinta dengan lelaki alpha seperti Norman bukan mudah. Ada ketikanya, aku ingin sahaja mengetuk kepala Norman, jerit kuat-kuat dan tanya apa yang ada di dalam kepalanya"

"Tetapi itu di dalam fantasi kau sahaja, realitinya. Kau tidak akan pernah melakukannya." kata Ally sambil ketawa

*****

"Sudah-sudahlah Marina... jangan dikenang orang yang tiada..." kata Tia apabila melihat aku yang asyik termenung ke luar tingkap. Aku hanya tersenyum.

"Kita hendak ke mana Tia?" tanyaku apabila menyedari yang Tia menggunakan laluan yang berbeza ketika kami pulang dari Hari Sukan itu.

Aku sangkakan Tia akan membawa aku terus pulang ke rumah, tetapi rupanya tidak. Keretanya dipandu dengan pantas membawa aku ke Teluk Danga. Katanya ada satu lagi kejutan untukku. 'Kejutan apa pula kali ini? Barbeku sambil mengira bintang?' kataku di dalam hati.

Sekitar pukul lapan malam, aku dibawa ke Restoran Bawang Merah. Aku terkejut apabila dari jauh, aku dapat melihat Akma, Dina, Selena, Alif, Jean dan Adam di situ. Mereka semua adalah rakan-rakan sekelasku semasa di sekolah.

"Tia... Apa yang mereka buat di sini?" tanyaku kepada Tia.

"Nanti sahajalah aku cerita Marina. Jom ke sana!" kata Tia yang masih enggan memberitahuku tentang apa yang diketahuinya. Aku tiada pilihan. Aku ikutkan sahaja rentak Tia pada malam itu.

"Hai.... Lambatnya kamu berdua..." kata Dina sebaik sahaja kami sampai ke meja tempat mereka berkumpul.

"Yalah. Janji pukul berapa? Ini sudah pukul berapa?" tanya Alif. Dia pura-pura marah.

"Kamu semua jangan salahkan aku. Aku memang tidak tahu menahu tentang semua ini" jawabku pula."Tia... kau tidak beritahu aku pun yang mereka ada di sini..." aku mencubit lembut lengan Tia.

"Nama pun kejutan..." kata Tia. "Maaflah semua. Ada hal sedikit di sekolah tadi"

Aku begitu teruja sekali apabila dapat berjumpa dengan mereka. Seperti biasa, apabila teman-teman lama yang sudah lama tidak bertemu bersua muka, banyak perkara yang akan dibualkan. Dari perkembangan diri sendiri, berita-berita sensasi dan bermacam-macam lagi.

Ianya mengingatkan aku sewaktu kami berada di sekolah dahulu. Sebaik sahaja kembali ke sekolah dari cuti yang panjang, kami akan berkumpul beramai-ramai di kelas dan bercerita tentang apa yang kami lakukan sewaktu cuti sekolah. Kami semua mengenali satu sama lain sejak di sekolah rendah lagi. Sebaik sahaja tamat tingkatan enam, kami semua membawa haluan masing-masing. Namun, hubungan kami tidak pernah terputus. Melainkan dalam situasi-situasi yang rumit, 'terputus hubungan' adalah satu istilah yang tidak sepatutnya wujud pada masa sekarang. Ia sebenarnya satu pilihan.

Beberapa tahun lalu, kami semua pernah berkumpul di situ pada satu malam. Ketika itu, Restoran Bawang Merah masih lagi belum dibina. Yang ada hanyalah pohon-pohon rhu dan rumput-rumput hijau yang menghiasi pantai Lido. Kami duduk bersantai di situ sambil menghadap Selat Tebrau. Saat itu, kami semua menyatakan hasrat dan impian masing-masing.

Mengenang kisah itu, perlahan-lahan, perbualan kami beralih ke topik yang lebih bersifat peribadi. Kami mula bercakap tentang masalah yang sedang kami hadapi, ketakutan yang selama ini kami sembunyikan dan juga perubahan hidup yang tidak pernah kami duga.

Malam itu memberi satu gambaran jelas kepadaku bahawa aku tidak bersendirian dalam menempuhi cabaran hidup kerana yang lain juga mengakui yang mereka mula merasai perubahan dalam kehidupan yang memaksa mereka untuk keluar dari zon-zon selesa.

Aku tidak tahu sama ada aku seorang sahaja yang merasakannya, tetapi perasaan apabila berjumpa dengan teman-teman lama seperti mereka sedikit berbeza daripada bertemu dengan keluarga sendiri. Kedua-duanya menggembirakan tetapi ianya membawa erti yang berbeza. Aku selalu tertanya-tanya apa sebenarnya yang menghubungkan kami? Apa yang subur setiap kali berjumpa walaupun tiada apa-apa pertalian antara kami? Bagiku ianya satu magis. Kita akan sentiasa mengingati mereka yang membuatkan kita merasai sesuatu. Oleh sebab itu, walaupun kami telah lama terpisah, rasa itulah yang 'mengikat' kami untuk sekian lamanya. Aku takut kehilangan mereka tetapi aku tahu mereka akan sentiasa ada.

Perbualan kami yang rancak terhenti seketika apabila mata masing-masing mengalihkan tumpuan kepada seorang lelaki yang tiba-tiba muncul di atas pentas persembahan yang terletak tidak jauh dari Restoran Bawang Merah. Aku mengenakan cermin mataku untuk mendapatkan pandangan yang lebih jelas.

"Bukankah itu Syam?" aku bertanya kepada mereka semua.

"Ya. Itu memang Syam." Jawab Tia sambil mengangguk perlahan.

"Apa yang dia buat di situ?" soalku lagi. Namun, tiada siapa yang menjawab soalanku.

"Hai semua! Selamat malam!" Syam melambai kepada kami semua. Dibantu dengan mikrofon yang tersedia, suaranya menarik perhatian sekeliling.

"Hai!!!" balas yang lain.

"Baiklah. Tanpa membuang masa, saya ingin tujukan ini kepada Marina yang sedang berada di Restoran Bawang Merah!" Kata Syam.

"Ha?" Aku masih tertanya-tanya akan apa yang berlaku. Namun, tiada seorang pun yang memberi apa-apa respon. Mereka hanya tersenyum. Beberapa ketika kemudian, muzik mula dimainkan.

"Selamat Hari Jadi....." Syam mula bernyanyi. Kemudian yang lain mula mengikuti secara beramai-ramai. "selamat hari jadi..... selamat hari jadi Marina.... selamat hari jadi...."

Salah seorang pekerja restoran membawa sebuah kek ke meja kami. Di atas kek itu, tertulis 'Selamat Ulangtahun Marina. Semoga Impian Jadi Nyata!' Beberapa pengunjung yang berada di situ turut sama bertepuk tangan dan mengucapkan selamat hari jadi kepadaku.

"Macam mana aku boleh lupa hari ini hari jadi aku?" kataku sebaik sahaja kek itu diletakkan dihadapanku.

"Asyik berkhayal. Asyik sangat memikirkan masalah. Inilah jadinya..." kata Tia sambil tersenyum.

"Jangan tiup lilin dahulu!" kata Syam yang masih berada di atas pentas. Dia meletakkan mikrofon yang berada di tangannya dan segera datang mendekati kami semua.

"Terima kasih Syam kerana sudi ambil bahagian"kata Tia. Dia mengenyitkan matanya kepada Syam.

"Terima kasih semua untuk kek, hadiah, lagu dan semua ini"kataku selepas meniup lilin yang diletakkan di atas kek itu.

"Lagu kau kena ucap terima kasih pada Syam. Dia yang beri idea untuk semua ini"kata Tia.

"Eh. Ini semua idea Tia. Bukan aku" kata Syam pula.

"Memanglah. Tetapi kau yang sukarela untuk nyanyi bukan?" soal Tia.

"Sudahlah. Jangan hendak bergaduh tentang soal ini pula. Marina! Cepat potong kek itu. Kami semua sudah lapar!" kata Adam diiringi gelak ketawa dari yang lain.