Download Chereads APP
Chereads App StoreGoogle Play
Chereads

Sfera

🇲🇾Kid_Haider
42
Completed
--
NOT RATINGS
169.8k
Views
Synopsis
Jurnal seorang gadis muda bernama Marina. Jangan gentar! Teruskan berjalan!
VIEW MORE

Chapter 1 - Prolog

Ianya satu pagi yang indah. Gina yang berada di sebelah kananku sedang memandu dengan kadar 60 kilometer sejam. Arah tujuan kami ketika itu adalah Kafe Dr Love yang terletak di Petaling Jaya.

Sambil berbual-bual dengan Gina, aku menyelak helaian jurnal berwarna merah yang berada di tanganku. Aku telah menghabiskan malamku dengan menelaah jurnal itu. Di dalam jurnal itu, aku coretkan segala yang aku lalui sepanjang lima tahun yang lalu. Saat suka, duka, pahit, manis dan tragis semuanya aku catatkan di situ.

Menyelak jurnal itu membawa aku lari sebentar dari realiti yang mengelirukan dan kembali ke masa lampau. Aku sebenarnya berada dalam dilema. Aku perlu membuat keputusan. Berkali-kali kata-kata ini bergema di dalam fikiranku 'apa jua yang berlaku pada masa akan datang adalah apa yang aku putuskan pada hari ini'. Seseorang pernah memberitahuku bahawa kehidupan adalah guru yang terbaik bagi setiap orang. Berbekalkan jurnal yang dipenuhi dengan memori itu, aku menoleh kebelakang untuk membantuku mencari jawapan. Dalam kata lain, aku merujuk kepada guru yang selama ini setia berada di belakangku.

Jam ketika itu menunjukkan pukul sembilan lima minit pagi. Kebiasaannya, Dr Love dibuka pada jam sembilan setengah pagi dan Allly, si tuan kedai akan datang satu jam awal untuk membersih dan mengemas apa yang patut.

Aku selalu datang ke Dr Love apabila ada masa lapang. Kebetulan pula, aku kenal rapat dengan Ally, pemilik kafe yang sentiasa menanti kehadiranku dan rakan-rakan. Selain memberi sokongan kepada kafenya, aku dan yang lain selalu datang ke situ kerana menyenangi persekitaran kafe itu. Rekaannya menarik dan yang paling penting, makanan dan minuman yang dihidangkan di situ kena dengan selera kami. Harga yang dikenakan juga berpatutan.

Aku dan Gina sudah merancang untuk menikmati secawan teh panas dengan tenang pada pagi itu di Dr Love. Namun, rancangan itu nampaknya terganggu apabila kawan kami yang bernama Julia datang bersama-sama dengan ceritanya yang menggemparkan.

"Habislah aku Ally! Habislah aku Gina! Habislah aku Marina!" kata Julia sebaik sahaja dia datang ke meja kami. Wajahnya nampak runsing.

"Kenapa? Apa yang terjadi sebenarnya Julia?" tanya Ally. Kami bertiga menunggu penjelasan dari Julia.

"Ally. Kau masih ingat dahulu aku ada beritahu tentang Sam dan bisnesnya yang baru bermula itu?" tanya Julia.

"Ya..." jawab Ally mengangguk. "Kenapa Julia? Ada apa-apa yang tidak kena dengan bisnes itu?"

"Baiklah. Aku sebenarnya ada pinjamkan sejumlah wang kepada Sam..."

"Berapa banyak yang kau beri pada Sam?" tanya Ally.

"Adalah dalam... satu ratus ribu"

"Wow!" aku, Gina dan Ally saling berpandangan.

"Banyak sangat jumlah wang yang kau berikan itu Julia..." kata Gina.

Julia terdiam. Dia menunduk. Kerisauan nampak jelas pada wajahnya.

"Aku hanya ingin membantu dia Gina. Aku yakin dengan idea dia. Aku mahu menjadi rakan kongsi Sam demi masa depan kami bersama. Sebab itu aku sanggup mendahulukan wang sebanyak itu untuk Sam."

"Adakah Sam sendiri yang meminta kau untuk meminjamkan wang sebanyak itu kepadanya?"

"Tidak Gina. Pada awalnya, semasa dia bercerita tentang idea bisnesnya itu, aku sendiri yang ingin menjadi rakan kongsinya. Dia kata jika aku berminat, aku boleh sumbangkan modal dalam dua puluh peratus. Namun, aku dengan sukarela memberikan modal sebanyak itu kepadanya sebab aku benar-benar yakin dengan ideanya. Aku ingin lihat ideanya itu direalisasikan dengan jayanya!"

Melihat kepada situasi itu, aku terfikir bagaimana agaknya Julia boleh terjerumus ke dalam permasalahan itu. Mengenali Julia, aku tahu dia melakukannya kerana percaya dan sayang kepada Sam. Sepanjang aku berkawan dengannya, aku dapat melihat yang kadang - kala dia lebih mementingkan orang lain daripada dirinya sendiri. Terutama sekali mereka yang istimewa di dalam hidupnya.

"Okey. Tetapi apa yang terjadi? Apa yang membuatkan kau runsing sebegini Julia?" tanyaku pula.

"Beberapa hari yang lalu, selepas sebulan perniagaannya itu dibuka, aku dengar cerita dari kawannya, pihak berkuasa akan mengenakan tindakan ke atasnya"

"Ha? Kenapa pihak berkuasa ingin mengenakan tindakan ke atas Sam?" tanyaku lagi.

"Kerana dia melanggar undang-undang. Aku pun kurang pasti apa dan kenapa. Aku perlu mendapatkan penjelasan dari Sam" jelas Julia. Dia berhenti seketika sebelum menyambung penjelasannya "Jika apa yang aku dengar itu betul, ada kemungkinan yang perniagaannya itu akan ditutup dan dia bakal berdepan dengan tindakan undang-undang. Dia mungkin akan disaman. Apabila itu berlaku, Sam sudah pasti tidak dapat memulangkan semula wang yang dipinjamnya itu dalam masa yang terdekat. Habislah aku. Wang yang aku berikan kepadanya itu adalah ambilan dari perniagaan aku. Habislah aku! Wang lebihan yang ada pula hanya cukup untuk perbelanjaan harian sahaja..."

"Huh!" Ally mengeluh. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia nampak sukar untuk mempercayai apa yang baru didengarnya.

"Kau sudah berbincang dengan Sam tentang perkara ini?" tanya Gina.

"Belum lagi. Aku menunggu dia memberitahu hal ini dari mulutnya sendiri" kata Julia.

Aku bersimpati dengan Julia. Aku faham akan kerisauannya. Kehadiran Julia pada pagi itu secara tidak langsung membuatkan aku terfikir akan nasib diriku.

Aku mengambil buku jurnalku itu dan membaca ayat-ayat terakhir yang aku tulis sebelum aku menyambung catitanku tentang Julia.

Jika aku kurang jelas dengan konsep takdir sebelum ini, menyelak kembali jurnal ini membuatkan aku mula memahami bagaimana ianya berputar dalam kehidupan kita. Takdir ditentukan, keinginan dan harapan diluahkan, petanda diberi dan tindakan perlu diambil. Takdir punyai banyak sisi yang memungkinkan kita untuk memilih. Kita sentiasa diberi pilihan dan setiap seorang dari kita bertanggungjawab ke atas kehidupan kita dalam realiti yang penuh misteri ini.