Jasmine Li bergelut dengan perasaan marah dan sedih yang memagar hatinya. Pulang sahaja dari kerja, dia dikejutkan dengan berita perkahwinan yang dipersetujui antara ibu bapa Jasmine dengan ibu bapa Justine Gu. Hatinya memberontak, kian membakar amarahnya. Sabarnya hilang serta merta tanpa dapat dikawalnya. Dia lantas menerjah pintu kamar bilik orang tuanya.
"Mengapa aku bakal dikahwinkan dengan jejaka yang langsung aku tidak kenali? Adakah kalian mengenali dalam akan dirinya, mampukah dia memberi aku bahagia?" Teriak Jasmine yang membuatkan wajah bapanya, Ryan Li membahang.
"Apa kau tidak kenal dengan Samson Gu? Rakan kongsi syarikat papa yang banyak membantu dalam perniagaan. Seperti engkau juga, dia tidak mempersetujui perkahwinan yang secara tiba-tiba ini. Tapi, perkahwinan ini tetap akan dilangsungkan. Dia tidak membantah setelah mengetahui hakikatnya, tidak seperti engkau. Papa melakukan ini untuk kebaikan kau juga. Apabila syarikat kita bergabung dengan mereka, kita peroleh untungnya. Papa jamin, hidup kau tenang bersama dia," jelas Ryan Li bersungguh-sungguh.
"Nak, cuma sekali ini sahaja kami ingin kau mendengarkan permintaan kami. Selama ini permintaan kamu kami penuhi. Malah, diberi lebih dari itu. Apa susah untuk kamu memenuhi permintaan kami?" ibunya, Rachel Li pula bersuara.
Jasmine Li diam seribu bahasa. Apakah maksud perkahwinan ini kepadanya? Wajarkah dia menerimanya?
SEMINGGU BERLALU.
Jasmine melangkah menunjukkan wajah ketatnya menuruni anak tangga menuju ke ruang makan. Ryan Li mengerling sedikit ke arahnya lalu berkata, "Apa sudah kenyang kau mengutuk aku di dalam hati kau?"
Jasmine Li yang baru sahaja meneguk air sirap yang dituang Rachel Li lantas memandang tepat ke wajah Ryan Li.
"Aku tidak peduli dengan kata-kata papa. Aku duduk berhadapan papa bukan kerana mahu bergaduh lagi. Aku mahu membincangkan tentang hubungan aku dan Justine Gu," Jasmine Li hanya bersahaja. Wajah orang tuanya lalu tepat beralih ke wajahnya. "Aku setuju," Jasmine Li membelek-belek gelas yang dipegangnya. "Tapi, dengan syarat," sambungnya dengan nada yang lebih serius.
"Apa-apa sahaja syaratnya, asalkan kau bersetuju dengan perkahwinan ini," Ryan Li lantas menjawab.
"Aku mahu perkahwinan ini dirahsiakan, hanya keluarga terdekat sahaja yang harus mengetahuinya."
"Tapi, mengapa?" Soal Rachel Li.
"Perlukah ia diheboh-hebohkan? Papa dan mama seharusnya bersyukur aku sudah mempersetujuinya. Mama mahu aku berubah fikiran? Kalau sudah sampai masanya, aku akan memberitahu seluruh dunia tentang hubungan ini," Jasmine Li membidas serta merta.