Dua orang Kesatria tahap tujuh dari Gereja Cahaya berdiri di setiap sisi laluan utama kawasan penyambut tetamu Hotel Huadeli. Linley dan tiga orang sahabatnya masuk ke kawasan penyambut tetamu dari laluan lain. Mereka berjalan di atas lantai marmar yang licin, digilap berkilat hingga boleh dijadikan cermin. Langkah mereka menghasilkan gema derapan yang jelas.
Apabila Linley, Yale dan yang lain melangkah ke kawasan penyambut tetamu, tujuh orang yang berada di kawasan penyambut tetamu berpaling untuk melihat mereka.
'Seorang Kardinal, tiga orang Vikar dan tiga orang Kesatria dari Gereja Cahaya.' Linley dengan segera mengetahui status mereka. Mereka bertujuh sangat berkuasa. Berdasarkan apa yang Linley tahu….
Dalam Gereja Cahaya, kedudukan Kardinal di tangga kedua di bawah Maharaja Suci. Untuk menjadi seorang Kardinal, seseorang itu bukan sahaja perlu terkenal, tetapi juga turut mempunyai kuasa Penghulu Ahli Sihir tahap sembilan.