"Aduhai, saya kepenatan. Linley, bagaimana kamu masih dalam keadaan yang baik?" Reynolds tercungap-cungap tetapi Linley langsung tidak terkesan.
"Apa? Kamu sudah penat?" Linley menghamburkan tawanya. Berapa pendek jarak mereka berlari?
Linley tidak begitu penat selepas berlari dari pekan Wushan ke Institut Ernst.
"Hei, letak di situ. Betul. Letak kotak itu di bawah sana. Letak dengan berhati-hati. Jika kamu pecahkan, kamu tak akan mampu bayar ganti rugi!" Dari dalam asrama 1987, kedengaran suara seorang pemuda dengan jelas. Linley dan Reynolds saling berpandangan, kemudian masuk ke dalam asrama dengan penuh tanda tanya. Sebaik sahaja masuk, mereka melihat beberapa lelaki berotot sedang sibuk meletakkan barang.
Seorang pemuda yang berpakaian mewah berdiri di tengah-tengah bilik, memberi arahan kepada lelaki-lelaki berotot itu.
Sebaik sahaja melihat Linley dan Reynolds, matanya bersinar keterujaan lalu dia berlari ke arah mereka. "Haha, pasti kamu berdua rakan sebilik saya, bukan? Sudah lama saya tunggu kamu berdua. Sebelum kedatangan kamu, hanya saya seorang sahaja di sini. Biar saya perkenalkan diri. Nama saya Yale dan saya rasa hampir tak layak menjadi ahli Kesatuan Suci."
"Apakah maksud kamu, kamu hampir tak layak menjadi ahli Kesatuan Suci?" Reynolds menggumam dan berkata, "Nama saya Reynolds. Saya dari Empayar O'Brien."
"Nama saya Linley. Saya dari Kesatuan Suci, kerajaan Fenlai." Linley juga turut tersenyum.
Sebagai rakan sebilik jangka masa panjang, selepas ini, mereka akan tinggal bersama untuk suatu tempoh yang lama.
"Oh, Reynolds, Linley, saya gembira bertemu dengan kamu. Hei, di mana peralatan senaman saya?" Yale berpaling lalu memandang pembantu-pembantunya.
"Peralatan senaman?" Reynolds berkedip memandang Yale. "Yale, untuk apa semua itu? Adakah kamu ingin menjadi pahlawan?"
Yale mengerutkan hidungnya sambil ketawa kecil. "Walaupun saya seorang ahli sihir terhormat, saya masih perlu bersenam dan mempunyai tubuh badan yang tegap. Kalau tak, bagaimana saya mahu menggoda gadis cantik? Ada ramai gadis cantik dalam kalangan ahli sihir. Ahli sihir wanita di Institut Ernst bukan sahaja cantik tapi mereka juga ada kelas. Malah, saya akan dihormati jika saya hebahkan teman wanita saya juga pelajar Institut Ernst."
"Oh…" Reynolds terdiam membisu.
Linley turut terkedu. Melihatkan peralatan senaman itu, Linley juga mahu menggunakannya untuk bersenam tetapi dia tidak menjangka Yale mahu membina badan untuk menggoda gadis-gadis cantik.
"Saya berumur lapan tahun. Bagaimana dengan kamu, Yale?" Jelas sekali, Reynolds seorang yang berfikiran terbuka.
Tubuh Yale sangat tinggi. Linley yang berusia sembilan tahun sudah mencecah 1.5 meter tinggi tetapi Yale setengah kepala lebih tinggi daripada Linley.
"Saya? Saya sepuluh tahun. Haha, tapi usia muda tak kekal selamanya. Abang sulung saya hilang keperawanan pada usia 12 tahun. Saya perlu melakukan persediaan lebih awal." Mata Yale bersinar.
"Apa maksud hilang keperawanan?" Reynolds memandang Yale penuh tanda tanya.
"Ya, apakah maksudnya?" Linley juga memandang Yale dengan penuh tanda tanya.
Melihat dua orang rakan sebiliknya, Yale juga turut terkedu. Di sebelah Linley, roh Doehring Cowart memegang perutnya sambil ketawa terbahak-bahak. Reaksinya membuat Linley lebih tertanya-tanya lalu berkata, 'Atuk Doehring, kenapa Atuk ketawa?'
"Tuan Muda, kami telah susun semuanya." Seorang lelaki berotot kekar berkata dengan hormat.
"Mm. Kamu boleh pergi sekarang. Pulang dan beritahu ayah saya, lain kali, jika tiada perkara penting, jangan ganggu saya. Oh, ya. Ingat… setiap tahun, pesan pada dia supaya jangan lupa memasukkan duit ke dalam kad Magicite saya. Dia patut tahu ahli sihir memerlukan duit yang banyak untuk tongkat sakti dan permata boleh semat." Yale berkata dengan kuat dan bersahaja.
"Baik, Tuan Muda." Lelaki itu berkata dengan hormat.
Yale mengangguk berpuas hati kemudian menyuruh mereka pergi dengan isyarat tangan bagaikan seorang general.
"Kad kristal ajaib?" Reynolds memandang Yale dengan pandangan kagum. "Kad kristal ajaib hanya ditawarkan oleh 'Bank Emas Empat Empayar' yang ditubuhkan keempat-empat empayar besar. Saya dengar bayaran pemprosesan kad tersebut berjumlah 1000 syiling emas."
"Tepat sekali." Yale agak berpengetahun berkenaan perkara sebegini. "Baki permulaan minimum bagi kad kristal ajaib ini mestilah sekurang-kurangnya 1000 syiling emas. Malangnya, 1000 syiling emas tak cukup untuk menampung sebulan pun perbelanjaan saya."
Apabila Linley mendengar penyataan itu…
'Orang kaya.' Linley mengeluh kepada dirinya.
Ayahnya hanya memberikan 100 syiling emas setiap tahun untuk kos sara hidup. Malah, pada pendapat Linley, 100 syiling emas itu lebih daripada cukup. Lagipun, orang biasa hanya mampu mendapatkan upah 20 ke 30 syiling emas setelah bekerja keras selama setahun.
"Kamu benar-benar kaya. Ayah saya hanya memberi saya 200 syiling emas setahun." Reynolds menggumam. "Malah dia berpesan supaya saya menghabiskan masa saya dengan belajar sihir."
"Hanya 100 syiling emas untuk saya," Linley ketawa. "Tetapi untuk gaya hidup yang sederhana, itu sudah memadai."
"Hei, kita rakan seasrama. Duit saya, duit kamu juga. Jika kamu kehabisan duit, datang jumpa saya! Selepas ini, kita mungkin akan tinggal bersama selama beberapa dekad. Kita akan bersaudara selama berdekad-dekad. Kenapa perlu kisah tentang 'kamu' dan 'saya'?" Yale beria-ia bercakap tetapi sebaik sahaja dia habis berkata…
Linley dan Reynolds kedua-duanya tergamam.
"Berdekad-dekad?" Linley memandang Yale dengan riak terkejut.
Yale berkata dengan bersahaja, "Linley, kamu hanya boleh menamatkan pengajian di Institut Ernst selepas kamu menjadi ahli sihir tahap keenam. Bagi seorang ahli sihir, makin tinggi tahap pencapaian, makin sukar untuk menunjukkan kemajuan. Bagi kebanyakan orang, ia mengambil masa dua dekad untuk menjadi ahli sihir tahap keenam."
Linley berkerut.
Dekad? Dia akan menjadi beban kewangan kepada ayahnya selama beberapa dekad?
'Atuk Doehring, kenapa Atuk tidak beritahu saya?'
Suara Doehring Cowart bergema di dalam mindanya. 'Linley, bertenang. Benar, bagi kebanyakan orang, mereka memerlukan beberapa dekad untuk menjadi ahli sihir tahap keenam. Di bawah bimbingan Atuk, kamu akan menjadi ahli sihir tahap keenam dalam tempoh 10 tahun sahaja.'
Sepuluh tahun.
Sepuluh tahun lagi, Linley baru berusia 19 tahun. Barulah Linley dapat bertenang.
"Semua orang sudah tiba?" Kedengaran satu suara dan seorang kanak-kanak melangkah masuk ke ruang itu. Tingginya lebih kurang sama dengan Reynolds, tetapi dia kelihatan lebih matang. "Hai, semua. Nama saya George. Saya sepuluh tahun dan berasal dari Empayar Yulan."
Yale, Reynolds dan Linley memperkenalkan diri mereka secara ringkas kepada orang baru itu.
"Empayar Yulan?" Linley terkejut.
Empayar Yulan. Empayar paling purba dalam benua Yulan. Ketika kalendar Yulan mula digunakan 10 ribu tahun yang lalu, Empayar Yulan menguasai keseluruhan benua Yulan. Kemudian, masa yang berlalu membawa perang ke benua Yulan menyebabkan empayar itu berpecah.
Pada zaman kini, Empayar Yulan hanyalah salah sebuah daripada empat empayar terbesar.
Meskipun begitu, Empayar Yulan masih lagi pemegang kuasa terbesar ekonomi dalam empayar dan memiliki ramai ahli sihir. Akademi ahli sihir Empayar Yulan merupakan akademi kedua terbaik selepas Institut Ernst.
"George, akademi sihir empayar Yulan juga boleh tahan bagus. Kenapa kamu mahu mengembara jauh untuk belajar di sini?" Yale bertanya kehairanan.
George senyum. "Walaupun akademi sihir empayar Yulan sangat bagus, ia masih lemah berbanding Institut Ernst. Jika kamu ingin belajar, pergilah belajar tempat yang terbaik. Walaupun perjalanannya agak jauh, ia boleh dikira sebagai salah satu bentuk latihan."
"George, kamu 10 tahun? Tetapi kamu nampak sebaya dengan saya." Reynolds berkata di sebelahnya.
George terus ketawa.
Reynolds yang berusia lapan tahun dan George yang berusia 10 tahun mempunyai ketinggian yang sama. Linley pula separuh kepala lebih tinggi daripada mereka berdua dan Yale yang paling tinggi antara mereka semua.
"Sudahlah itu. Saya baru sahaja mendapat tahu dari pihak pentadbiran, seorang dalam 100 pelajar baru di sini sekurang-kurangnya memiliki daya tarikan intipati unsur dan intipati spiritual tahap tinggi. Selain itu, saya dapat tahu mengenai beberapa orang yang memiliki daya tarikan intipati unsur dan intipati spiritual tahap luar biasa. Dahsyat sungguh." Nampaknya, George mempunyai maklumat dalaman yang baik.
Yale memuncungkan bibirnya. "Itu sangat biasa. Pelajar Institut Ernst tiada yang lemah. Saya sendiri mempunyai tarikan intipati unsur dan intipati spiritual yang tinggi, meletakkan saya di tangga terbawah dalam seratus orang. Jika bukan kerana bapa saya mempunyai hubungan istimewa dengan Gereja Cahaya, tak mungkin saya dapat masuk ke sini."
Linley tidak dapat menahan dirinya daripada melihat Yale dengan riak terkejut.
Bapa Yale tentu bukan calang-calang orang jika dia mempunyai hubungan istimewa dengan Gereja Cahaya.
"Rakan seasrama kita yang mempunyai bakat semula jadi paling tinggi ialah Linley. Tetapi pernahkah kamu mendengar ada bakat yang tak mampu ditandingi pelajar lain di Institut Ernst?" Yale memandang mereka bertiga.
Linley dan Reynolds menggelengkan kepala mereka.
Tetapi George tersenyum sambil mengangguk. "Saya ada dengar. Genius nombor satu di Institut Ernst, Dixie (Di'ke'xi'), bakat yang hanya muncul sekali dalam satu abad. Dia ialah ahli sihir dua unsur dan memiliki daya tarikan intipati unsur serta intipati spiritualnya tahap luar biasa. Namun begitu, intipati spiritualnya sangat menakjubkan. 62 kali ganda lebih hebat berbanding rakan seusianya. Lazimnya, pencapaian 30 kali ganda lebih hebat sudah dianggap 'luar biasa', jadi tahap sebenar dia ialah 'sangat luar biasa'. Akan tetapi, disebabkan tahap paling tinggi ialah 'luar biasa', dia dikategorikan dalam kalangan tersebut."
Linley faham.
Dua unsur. Daya tarikan intipati unsur dan intipati spiritual luar biasa.
'Aku hanya 10 kali ganda lebih hebat berbanding rakan seusia tetapi intipati spiritual pelajar genius itu 68 kali ganda lebih daripada rakan sebayanya.' Linley mengeluh penuh kekaguman.
Bakat yang dimiliki Institut Ernst sebanyak awan di langit. Ia juga boleh dikatakan pusat pengumpulan ahli sihir genius dari seluruh benua Yulan. Di sini, Linley hanya dianggap bertahap sederhana. Sungguhpun begitu... di belakang Linley, ada seorang Ahli sihir Agung tahap Dewa yang berusia 5000 tahun!