Jika satu puak mahu bertambah maju dengan pesat, faktor paling penting ialah "daya ketahanan". Dan daya ketahanan sesebuah puak ialah generasi muda mereka atau dikenali sebagai "darah baru" di dalam puak masing-masing. Hanya dengan bekalan berterusan "darah baru" ini boleh melancarkan perjalanan sesebuah "mesin".
Oleh itu, Upacara Kedewasaan merupakan hari besar untuk semua puak, termasuk Puak Xiao.
Sebagai salah satu dari tiga puak teratas di Bandar Wu Tan, Upacara Kedewasaan Puak Xiao telah menarik perhatian kebanyakan kuasa di dalam bandar tersebut dan sesiapa yang mempunyai hubungan baik dengan Puak Xiao juga akan turut hadir ke upacara tersebut.
….
Menemani Xun Er di bawah teduhan sepohon pokok besar, Xiao Yan sedang berehat dengan senang.
Xiao Yan mengecilkan matanya sambil melihat platform besar di tengah padang latihan. Platform itu diperbuat daripada kayu balak yang besar dan dibina khas untuk Upacara Kedewasaan yang akan berlangsung.
Renungan Xiao Yan beralih dari platform kayu yang kosong itu ke arah tetamu yang bukan daripada Puak Xiao tetapi masih datang untuk menyaksikan Upacara Kedewasaan ini. Dengan teragak-agak, dia berkata, "Ramai juga yang hadir…."
Melihat wajah Xiao Yan yang muram, Xun Er, yang sedar Xiao Yan sukakan ketenangan, ketawa keseronokan.
Tetapi Xun Er terasa renungan tajam Xiao Yan dan segera menutup mulutnya. Melihat Xiao Yan, mata Xun Er mempunyai kiasan emas melaluinya sebelum dia berkata, "Abang Xiao Yan mencapai 8 Duan Qi?"
Mendengar itu, Xiao Yan menyengetkan kepalanya untuk melihat Xun Er dan sedar dia tidak boleh menyimpan rahsia daripada gadis itu. Dengan hati yang berat, dia mengangguk.
"Woah… tak sampai sebulan berlalu awak sudah mencapai 8 Duan Qi. Kelajuan ini… menakutkan." Melihat Xiao Yan mengangguk, Xun Er yang biasanya tenang itu juga kelihatan terkejut.
Menjeling ke arah Xun Er, Xiao Yan tiba-tiba berpaling. Berhampiran platform kayu itu, seorang perempuan berpakaian serba merah sedang berbual dengan orang di sebelahnya. Beberapa orang sedang mengelilinginya, membuatkan kedudukan perempuan itu menjadi satu bulatan kumpulan yang popular di platform tersebut.
Perempuan berpakaian merah yang sedang menarik perhatian orang ramai ialah seseorang yang Xiao Yan pernah jumpa sebelum ini! Dia adalah Ya Fei, jurulelong terkenal Rumah Lelong Premier!
Renungan Xiao Yan tertumpu kepada pinggang ramping Ya Fei, berbentuk seperti ular air, dan berkata di dalam hati, 'Cantik sungguh!'
Ketika renungan Xiao Yan melekat kepada Ya Fei, bunyi berdehem tanda marah kedengaran di sebelahnya.
"Ahem…" Dengan mata berkelip, Xiao Yan mengalihkan pandangannya dengan perlahan seolah-olah dia bukan merenung Ya Fei dan tersenyum pada Xun Er yang kelihatan tidak gembira itu, "Awak tahu tak Rumah Lelong Premier hadir ke Upacara Kedewasaan puak kita?"
Memberi satu renungan garang kepada Xiao Yan yang berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku, Xun Er berkata dengan tidak beremosi, "Puak Xiao dan Rumah Lelong Premier sentiasa mempunyai hubungan yang baik, jadi kenapa kedatangan Ya Fei menjadi satu isu yang besar? Tambahan pula, kemahiran berkomunikasi perempuan ini sangat bagus di seluruh Bandar Wu Tan. Beberapa tuan muda menjadi sahabatnya disebabkan kecantikannya dan telah membelanjakan wang yang banyak untuknya. Tetapi akhirnya, mereka tidak mendapat apa-apa. Jika Abang Xiao Yan ingin menarik perhatian dia, aku hanya boleh kata berhati-hati. Dan, Xun Er tidak akan meminjamkan wang untuk benda sebegini."
"Mendengar itu, Xiao Yan ketawa kelat, "Jika saya betul-betul memikirkan benda sebegitu, itu pun kalau saya boleh mendapat 'pengiktirafan' darinya. Awak tahu kan, dia paling kurang pun 7 hingga 8 tahun lebih tua daripada saya?"
"Bukan ke sesetengah perempuan suka benda sebegitu?" Xun Er seolah-olah tersenyum.
Xiao Yan hanya boleh mengaku kalah. Terbatuk dengan sengaja, dia tidak lagi melihat bulatan orang ramai itu.
"Huh, kenapa dia balik?" Melihat Xiao Yan tidak lagi melihat ke arah sana, Xun Er berhenti dan selepas beberapa waktu yang sunyi, dia berkata dengan kuat.
"Siapa?" Mengikut renungan Xun Er, kening Xiao Yan berkerut.
Renungan mereka berdua menghala ke seorang gadis yang berpakaian baju sekolah dan sedang bersandar pada sepohon pokok. Dia mempunyai satu pedang yang tersisip di pinggang. Gadis itu agak tinggi dan mempunyai satu bentuk badan yang unik iaitu kakinya yang panjang. Kaki Ya Fei pun kalah kalau dibandingkan dengan kaki gadis itu.
"Xiao Yu?" Memandang gadis tinggi itu, Xiao Yan bertanya, "Bukankah dia telah pergi ke Akademi Jia Nan untuk berlatih? Kenapa dia balik?"
Xun Er mengangkat bahunya sambil bergurau, "Abang Xiao Yan, kali ini, awak mungkin ada masalah."
Xiao Yan menggosok dahinya yang sedang membara itu sambil berkata, "Perempuan liar ini sangat menyusahkan. Celaka, aku hanya tersandung masuk ke dalam tempat mandinya di belakang gunung dan tersentuh kakinya dengan tidak sengaja. Sepanjang tahun, dia cuba membunuh aku!"
"Hehe, tubuh perempuan bukan untuk disentuh dengan cuai." Mendengar cerita Xiao Yan, Xun Er menutup mulutnya dan ketawa berdekit-dekit. Tiba-tiba, dia teringat bagaimana Xiao Yan pernah membantunya pada waktu malam dan pada masa itu, pemuda itu pernah menyentuh tubuhnya. Tiba-tiba muka Xun Er menjadi merah.
Xiao Yan mengerut bibirnya sambil berkata dengan dingin, "Perempuan itu ialah kakak Xiao Ning dan mereka bukan orang baik. Sebahagian daripada permusuhan di antara aku dengan si jahanam itu pun disebabkan oleh perempuan itu."
Jauh dari situ, Xiao Yu seolah-olah dapat merasai mereka berdua sedang bercakap tentangnya dan berpusing ke belakang untuk melihat Xiao Yan di bawah sepohon pokok. Selepas terkejut untuk seketika, dia mengerut keningnya dan mukanya penuh dengan pandangan hina dan jijik.
Berhenti untuk seketika, Xiao Yu menggerakkan kakinya yang panjang itu dan mula berjalan ke arah Xiao Yan.
Melihat Xiao Yu yang sedang berjalan ke arahnya, kening Xiao Yan juga mengerut.
"Ha, Xiao Yan, aku tidak sangka aku akan melihat hari di mana kau menukar situasi kau. Ia sangat mengejutkan." Semakin hampir, Xiao Yu nampak Xiao Yan menunjukkan satu muka yang tidak suka itu lalu mencemuhnya.
"Tidak ada kena-mengena dengan kau."
Secara jelas, Xiao Yan tidak puas hati dengan Xiao Yu dan sikap tenangnya tercemar dengan kata-kata kesat.
"Kata-kata kau masih tajam dan menyakitkan hati. Nampaknya, kejadian tiga tahun ini tidak mengasah lidah kau." Xiao Yu memandang Xiao Yan dengan jelik dan berkata seolah-olah mengajarnya
'Nada ini lagi…' Menghembus nafas di dalam mindanya, Xiao Yan melihat ke bawah dan meneliti perempuan itu yang tidak dijumpaniya hampir setahun. Mengalihkan renungannya ke kaki Xiao Yu, Xiao Yan menyentuh hidungnya lalu berkata, "Kaki kau masih panjang. Agak-agak ada tak lelaki lain pernah menyentuhnya selepas hari itu."
Mendengar itu, Xiao Yu yang sedang mengejeknya, berhenti, dan mukanya menjadi gelap.