Chereads / MMORPG: Kelahiran Semula Pelindung Legenda / Chapter 95 - Tidak Gentar dengan Hantu

Chapter 95 - Tidak Gentar dengan Hantu

Zhang Yang akhirnya jemu melihat mereka. Sebaik sahaja dia mengambil keputusan untuk meninggalkan mereka, pintu lif itu terbuka dan kedua-dua pencetus kekecohan itu sekali lagi melompat keluar.

Seorang polis wanita berjalan keluar dari lif itu, memandang mereka, dan meneruskan perjalanannya seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

Kedua-dua gadis itu tidak suka melihat reaksinya dan mereka cuba mendekati polis wanita itu. Wei Yan Er yang berpakaian sebagai zombi cuba memanjangkan tangannya untuk mencapai bahu polis wanita tersebut.

Swoosh! Pak!

Polis wanita itu berpusing dengan pantas dan menangkap tangan Wei Yan Er sebelum dia sempat menyentuhnya. Dia mencengkam bahu Wei Yan Er dan membentes kakinya lantas menyebabkan Wei Yan Er jatuh terjelepok di atas lantai. 

"Argh…" Budak kecil itu meraung kesakitan. Tangannya menggosok punggungnya yang kesakitan. Raut wajahnya yang sebelum ini comel dan ceria berubah menjadi raut wajah orang dalam kesakitan. Air mata yang mengalir di pipinya merosakkan sebahagian solekannya yang tebal itu.

"Hmph! Berpakaian seperti hantu tengah-tengah malam begini! Kau mengganggu penghuni yang tinggal di sini!" Polis wanita itu mengherdik mereka dengan tegas dan mengeluarkan sepasang gari. "Ikut aku ke balai polis!"

"Tunggu dulu!" Zhang Yang cepat-cepat menghalangnya. "Maaf, puan! Mereka hanya bergurau. Mereka tidak berniat menyakiti sesiapa! Cuba dengar penjelasan mereka! Mungkin mereka bergurau melebih sedikit!"

"Hmph! Dia hampir menyerang seorang pol-" Dia mengangkat kepalanya. Zhang Yang dan dirinya akhirnya bertentang mata. Dia terus tergamam apabila mereka memandang satu sama lain.

'Lelaki inilah yang menewaskan aku di lorong hari itu! Dia juga telah… dia… telah memegang…'

Polis wanita inilah yang pernah bertemu dengan Zhang Yang semasa pertelingkahannya dengan penyangak jalanan tempoh hari! Dia polis wanita yang cantik dan seksi, yang juga dingin dan sombong pada waktu yang sama!

"Hmm... Hmm! Kau rupanya!" Wajahnya menjadi semakin ketat sambil dia merenung Zhang Yang dengan pandangan serius.

Ka chack!

Dia menggari Wei Yan Er dan membiarkannya di tepi kerana dia tidak akan dapat lari dalam masa terdekat ini. Polis wanita itu melipat lengan bajunya dan merenung Zhang Yang dengan niat untuk mencederakannya.

'Alamak… malangnya nasib!' Sekiranya Zhang Yang tahu ini akan terjadi, dia sudah tentu tidak akan keluar dari kereta sebentar tadi!

Zhang Yang mengeluh keberatan.

Polis wanita itu pula terus senyap. Dia menghentak lantai dan menerkam ke arah Zhang Yang seperti seekor harimau bintang yang sedang menyerang mangsanya. Dia menghayun kakinya untuk menyerang bahu Zhang Yang!

Zhang Yang telah mempunyai pengalaman dalam bertarung dengan wanita ini. Dia tahu yang dia tidak boleh memandang rendah dirinya dan itu bermaksud tiada ruang untuk apa-apa kesilapan. Dia bersedia, menumpukan perhatiannya, dan dengan pantas mengangkat tangannya untuk menghadang tendangan tersebut.

Apabila serangan pertamanya tidak mengenai sasaran, wanita itu berpusing dan meneruskan serangannya! Dia naik berang!

Zhang Yang bukan seorang kaki gaduh jalanan biasa. Dia merupakan seorang ahli Kelab Wushu yang telah menewaskan jaguh tegar Pertandingan Wushu Nasional. Kekuatannya bukan sesuatu yang boleh dijumpai secara rambang di merata-rata tempat di dunia! Namun begitu, apabila dua jaguh ini bertarung, pertarungan mereka boleh digambarkan seperti pertarungan antara seekor harimau dengan seekor singa yang sangat mendebarkan!

Han Yin Xue terus hilang mabuk melihat "serangan" mengejut itu. Dia cepat-cepat berlari ke Wei Yan Er untuk membantunya.

"Kak… wuu… Punggungku rasa macam terbelah dua!" tangis Wei Yan Er.

"Budak dungu! Kau memang ada dua belah punggung!"

Ah… musnah semuanya. Polis wanita itu telah menyebabkan budak kecil itu menjadi orang paling dungu dalam abad ini!

Han Yin Xue mengangkat kedua-dua kakinya serta skirtnya untuk membuka kedua-dua belah kasut tingginya dan dia hampir menunjukkan apa yang terselindung di bawah skirtnya itu. Dia memegang kasutnya dan bersedia untuk menyerang polis wanita itu dengannya jika polis wanita itu mendesak untuk mengheret Wei Yan Er ke balai polis.

Setelah lama bertarung dan saling membalas serangan, Zhang Yang akhirnya berjaya menguasai pertarungan tersebut! Zhang Yang memang mempunyai kekuatan seorang lelaki yang lebih berbanding seorang wanita dan meskipun seni mempertahankan dirinya dan kemahirannya tidak sehebat seorang askar, dia masih boleh menguasai pihak lawan dengan kekuatannya.

Zhang Yang mengelak dan menyerang, melompat dan menendang, lalu akhirnya berjaya menolak wanita itu ke dinding dengan menyondolnya menghadap dinding. Dia dengan pantas memanjangkan tangannya dan mencengkam leher wanita itu sebelum sempat dia berpusing! Dia masih enggan menyerah kalah lalu menghayun kakinya ke belakang untuk menendang Zhang Yang. Namun, Zhang Yang pula cukup tangkas dan dia berjaya mengelak tendangan tersebut dan memerangkap kaki wanita itu di antara pahanya. 

"Lepaskan aku!" Polis wanita itu berkata sambil tercungap-cungap keletihan.

"Hmm… Kalau aku lepaskan kau, adakah kau akan terus menyerang?" Zhang Yang bertanya.

"Tentulah!"

'Dungu! Kenapa kau jawab dengan jujur?! Paling kurang pun, simpanlah dalam hati. Macam mana aku hendak lepaskan kau sekarang?'

Zhang Yang menggeleng kepalanya dan mengeluh. "Dengar dulu, kita tiada sebab untuk bertarung. Kenapa kau serang aku dan bertarung seperti nyawa kau dalam bahaya? Apa kata kalau kita lupakan semua ini dan berdamai? Orang kata kita patut selesaikan masalah dengan elok sebelum ia bertambah rumit. Kalau kita terus bertarung dengan dendam di dada, dunia ini akan musnah akhirnya."

"Hmph! Aku tak peduli! Cubalah sondol aku begini seumur hidup kau kalau begitu!!" wanita itu mengherdiknya.

'Degilnya wanita ini! Argh!'

Zhang Yang naik berang dan mengherdiknya pula. "Baik! Aku akan sondol kau seumur hidup aku! Kita tengok siapa yang akan menyerah kalah dulu!"

Mereka berdua terlalu sibuk bertekak dengan satu sama lain sehingga mereka tidak menyedari kedudukan mereka dan pertelingkahan mereka waktu itu memberi gambaran yang lain. Tidak lama selepas itu, wajah polis wanita itu merah padam kerana dia berasa segan.

Zhang Yang yang ketika itu mencengkam leher dan kakinya dapat merasa badannya yang tegang itu tiba-tiba menjadi selembut kapas. 

'Gah! Seksinya!'

"Puan! Sepupu aku dan aku hanya bergurau! Tolong jangan bawa kami ke balai polis!" Kedua-dua Wei Yan Er dan Han Ying Xue berjalan mendekatinya. Gadis muda itu mengangkat kedua-dua tangannya dan menunjukkan raut wajah yang jujur memohon maaf. Solekannya telah habis terpadam dan menunjukkan kecantikan semulajadi yang suci. 

Polis wanita itu berpaling dan mendengus. Namun, dia berpaling semula dengan pantas dan merenungnya dengan tajam lalu berkata, "Kau ini Drizzler?"

"Eh? Macam mana kau tahu IGN aku?" Wei Yan Er terperanjat. Apabila dia cuba mengangkat tangannya lebih tinggi, dia secara tidak sengaja tertarik gari di tangannya dan hampir mencederakan tangannya sendiri. 

"Dan kau pula Si Salji?" Dia mengalih pandangan ke arah Han Yin Xue, atau lebih tepat lagi ke arah buah dadanya, memandangkan itu ialah benda yang paling menonjol pada dirinya.

Itu merupakan "senjata" miliknya yang paling dia banggakan, tetapi apabila dia ditenung oleh seorang wanita, dia berasa sedikit janggal kerana dia jarang menerima renungan sebegitu. Dia berundur ke belakang dan menutup buah dadanya dengan tangannya sambil berbisik kepada Wei Yan Er, "Dia ini tidak minat dengan gadis, bukan?"

Zhang Yang menjadi gagap. "K-Kau… Kau pun bermain 'Keajaiban Tuhan'?"

Wanita sedingin dan sebongkak ini yang tidak pernah tersenyum langsung sebenarnya seorang pemain permainan video? Zhang Yang tidak dapat menahan diri daripada berasa yang dirinya sedang bermimpi!

"Dan kau ini pula Zhan Yu." Wanita itu berpaling dan memandangnya dengan tajam. "Aku akan tewaskan kau satu hari nanti!"

Zhang Yang melompat. Dia melepaskannya dan berundur ke belakang. Dia menggagahkan dirinya dan berteriak. "Kau Malam Dingin!"

"Eh?! Kau betul-betul Malam Dingin? Ya Tuhan! Cantiknya kau! Dan aku pula selalu tertanya-tanya kalau-kalau di sebalik kain hitam yang kau pakai itu ada seorang wanita yang hodoh!" Seperti yang dijangka, budak kecil itu sentiasa menyatakan apa yang bermain di fikirannya. Tiada langsung rahsia yang akan disimpannya.

Polis wanita tersebut memusingkan badannya dan mengurut tangan serta kakinya. Dia menunjuk ke arah Wei Yan Er dan mengherdiknya. "Lain kali, jangan timbulkan masalah kepada jiran-jiran!"

"Ya…" Wei Yan Er tertunduk dan menerima teguran tersebut dengan patuh. Dia kemudian mengangkat tangannya dan berkata, "Puan, bolehkah kau lepaskan aku? Pergelangan tanganku sakit!"

"Hei! Budak kecil! Macam mana kau boleh tiba-tiba cakap begitu!" Zhang Yang mengusiknya.

"Hmph!" Wei Yan Er menunjukkan gaya menyampah.

Polis wanita tersebut mengeluarkan kuncinya dan membuka gari itu. Dia kemudian berpaling memandang Zhang Yang dan bertanya kepadanya.

"Adakah kau tinggal di sini?"

"Bukan dia yang tinggal di sini! Kami yang tinggal di sini!" Wei Yan Er cepat-cepat menyampuk. "Puan, kau baru keluar dari lif ini tadi, kau datang ke sini kerana ada kes atau kau pun tinggal di sini?"

"Aku tinggal di sini." Dia menjawab dengan dingin.

Zhang Yang terfikir yang tempat ini bukanlah satu tempat biasa untuk dijadikan kediaman. Kawasan ini dianggap "luar bandar" di Kota Zhou Su! Setiap rumah di sini boleh mencecah harga 10 juta dolar! Bagaimana pegawai polis sepertinya boleh mempunyai wang sebanyak itu dan tinggal di sini?

Mungkinkah dia kekasih seorang jutawan atau pegawai kerajaan yang tamak? Ish Ish Ish… Sayangnya. Wanita ini sangat menawan namun dia membazirkan usia mudanya untuk itu… Zhang Yang mula melihatnya dengan perspektif yang berbeza.

Perubahan mengejut dalam pandangan Zhang Yang kepadanya itu hanya jelas untuk seketika. Ia hanya satu ketika yang sukar dikesan sesiapa. Namun, polis wanita yang sentiasa peka itu berjaya meneka apa yang difikirkannya dan tiba-tiba bertambah dingin. 

"Kau… hidup kau ini mesti penuh dengan kebosanan dan membuatkan kau mahu mati sekarang, bukan?"

'Apakah itu? Benarkah dia ini seorang pegawai polis atau adakah dia seorang samseng jalanan?'

Walaupun begitu, Zhang Yang tidak gentar. Dia hanya tertawa sinis dan berkata, "Hei, cakap baik sedikit. Aku masih ketua persatuan kau. Kalau kau buat salah lagi, aku akan pastikan kau tak dapat apa-apa peralatan!"

"Orang jenis apa kau ini? Lelaki bedebah!" Wei Yan Er menyampah dengannya dan mengubah raut wajahnya apabila dia memandang pegawai polis itu dengan penuh hormat. "Puan, kau ini hebatlah! Kau tahu bertarung seperti seorang pro, tak seperti sepupu aku ini yang hanya bercakap besar tentang tali pinggang hitam karatenya. Malah, dia gagal tewaskan aku!"

"Budak kecil tak guna! Kau nak aku rosakkan hidup kau?!" Han Yin Xue akhirnya bersuara setelah lama mendiamkan diri dari tadi.

"Kak, aku rasa kau kena jalankan pembedahan untuk kurangkan saiz buah dada kau! Kalau tak, buah dada kau akan melendut bila kau berumur 30 tahun! Nanti, kau tak akan boleh bertarung, apatah lagi berjalan dengan betul!" Wei Yan Er berkata dengan nada serius.

"Pfft!" Zhang Yang tidak dapat menahan gelaknya. Dia tertawa kuat dan berkata, "Budak-budak sekarang memang menakutkan, bukan?!"

"Budak tak guna! Kalau aku tak ajar kau hari ini, kau tak akan berperangai elok nanti!" Han Yin Xue mendengus. Dengan satu tangan di pinggang dan satu lagi tangan menunjuk ke arah dadanya, dia berkata, "Tengok ini! Macam mana kau boleh kata ia akan melendut nanti, huh?!"

Dua orang sepupu ini memang menghiburkan!

"Puan, kau tinggal di tingkat berapa? Bolehkah aku datang dan lawat kau bila-bila nanti?" Senyuman Wei Yan Er terlalu suci untuk diabaikan. Budak kecil ini memang pandai mengambil kesempatan ke atas kecomelannya untuk medekati seseorang.

"Tolong jangan panggil aku Puan lagi. Menyampah aku dengar. Nama aku Sun Xin Yu!" Kebolehan Wei Yan Er membuatkan polis wanita itu melayannya seperti seorang kenalan dan bukannya seperti orang asing memang mengagumkan.

Gadis ini boleh memenangi Anugerah Oscar satu hari nanti!

"Haha! Nampaknya kita sebenarnya tersilap dalam pertelingkahan kita selama ini. Kita semua dalam satu keluarga!" Memandangkan mereka tinggal berdekatan antara satu sama lain, tiada keperluan untuk mereka bertelingkah sebenarnya. Zhang Yang tertawa dan mula berlalu pergi. "Selamat malam, semua. Aku kena balik sekarang untuk buat lebih banyak posyen! Jangan lupa bawa aku untuk grinding esok ya! Jumpa nanti!"

"Sejak bila pula kita ini satu keluarga, tank noob?!" Wei Yan Er mengejar Zhang Yang dan mengenakan raut wajah mengejek.

"Aku kena pergi dulu! Kau semua baliklah! Ingat, jangan buat kacau lagi!" Sun Xin Yu memberi arahan kepada mereka dengan tegas.

"Okey…" Wei Yan Er menjawab seperti seorang bayi. Fikirannya pantas melilau mencari cara untuk mengajak Sun Xin Yu untuk bergurau dengannya. Dengan raut wajahnya yang dingin sebegitu, dia boleh menjadi hantu terbaik dalam dunia!

Sebelum sempat Zhang Yang keluar dari bangunan itu, Sun Xin Yu sempat mengejarnya dan berkata, "Tidak kira dalam permainan video atau dunia sebenar, aku akan tewaskan kau!"

Wanita ini memang seorang yang mempunyai harga diri yang tinggi!

"Kalau begitu, kau kena berusaha lebih keras lagi! Jumpa esok!" Zhang Yang langsung tidak berpaling untuk memandangnya. Dia hanya terus berjalan dan melambai.