Chereads / MMORPG: Kelahiran Semula Pelindung Legenda / Chapter 62 - Ujian Kekuatan daripada Emmy

Chapter 62 - Ujian Kekuatan daripada Emmy

Dengan adanya pertandingan dalam mengumpul sumbangan kepada persatuan, semua ahli meletakkan keutamaan untuk menyelesaikan cabaran harian persatuan dan mengumpul lebih mata! Zhang Yang telah mengumumkan yang pemain pertama yang mencapai Tahap 20 akan dimasukkan ke dalam pasukan serangan Sarang Marzerway. Disebabkan pengumuman tersebut, suasana dalam persatuan menjadi tegang apabila semua ahli mahu mendapatkan set peralatan!

Siapa yang enggan menyertai Zhang Yang menjadi sekumpulan pemain yang menyerang dungeon dalam Mod Paling Sukar dan memasukkan nama mereka dalam Papan Pencapaian "Penyelesaian Pertama"? Ia merupakan penghormatan tertinggi jika nama mereka tercatat dalam pengumuman pelayan. Ia sesuatu yang sangat mengujakan apabila teks pengumuman berwarna merah tersebut muncul dalam saluran pelayan! Jika mereka ketinggalan dan gagal mendapatkan Pencapaian "Penyelesaian Pertama" sekalipun, mereka tetap boleh memperolehi peralatan yang hebat! Bukankah itu peraturan permainan video ini yang diketahui ramai? Bukankah semua ingin memiliki peralatan yang hebat untuk menakluki dunia ini?

Namun, penarafan itu bukanlah sesuatu yang mudah untuk didapatkan. Ia mengambil masa paling kurang 3 hingga 4 hari untuk membentuk pasukan dengan 20 orang pemain di Tahap 20! Dia hanya mampu menunggu. Sejak 44 Perompak gagal membunuh Zhang Yang, dia tidak lagi diserang sesiapa selainnya. Namun, Zhang Yang tetap menasihati rakannya untuk sentiasa berteman dan mengurangkan aktiviti secara berseorangan. Dia tidak mahu memberi mereka peluang untuk membunuh sesiapa antara mereka. 

Dua hari selepas Zhang Yang dan pasukannya yang terdiri daripada 5 orang itu menyerang Sayap Hadapan dan Sayap Tengah di Sarang Marzerway, Zhang Yang membawa mereka ke sebuah perkampungan dipanggil Kampung Antelop.

"Tank noob! Kenapa kau bawa kami ke sini?!" Drizzler akhirnya meraung kemarahan.

Zhang Yang tersenyum mengusik. "Hah! Aku ingatkan kau boleh senyap lebih lama lagi tadi!"

Selepas pertaruhan semalam, Drizzler bertengkar kecil dengan Zhang Yang dan berkata yang dia kan memutuskan pertalian dengannya. Apabila dia log masuk pagi tadi, dia terus diam dan memberi layanan dingin kepada Zhang Yang. Dia juga tidak berkata apa-apa langsung kepadanya di dalam dungeon. Namun, budak itu sentiasa berperangai sesuai dengan umurnya. Dia akhirnya terlupa sumpahnya.

Drizzler menjerit keberangan kepada Zhang Yang.

"Musang licik! Aku cabar kau untuk bertarung lagi hari ini!"

"Boleh! Tapi aku nak naikkan taruhan. Siapa yang kalah kena bayar 1,000 keping emas!"

Raut wajahnya tiba-tiba berubah. Dia nampak seperti berada dalam kesakitan kerana ada sebilah pisau yang menusuk perutnya. Padanya, menerima wang ialah sesuatu nikmat yang sangat mengasyikkan. Namun, jika dia diminta menyerahkan wangnya, dia akan membantah hingga hujung waktu! Dia nampak ragu-ragu dan tidak sudi, lalu akhirnya terpaksa berkata, "Aku tak ada duit!"

"Bukankah kau baru menerima 8,000 keping emas pagi tadi?" Zhang Yang menapis penipuannya.

8,000 keping emas itu telah diperolehi daripada taruhan dengan Pendominasi dan Tinggi Langit. Memandangkan Zhang Yang dan pasukannya memenangi taruhan itu, mereka memperolehi 40,000 keping emas daripada kedua-dua persatuan tersebut sebagai ganjaran kejayaan mereka. Mereka menerima ganjaran mereka melalui sistem kiriman dan setiap seorang menerima 8,000 keping syiling emas.

"A-Aku dah beri kepada sepupuku!" Drizzler cuba mengubah perhatian kepada Si Salji untuk mengelak daripada situasi tersebut dan menyelamatkan dirinya.

"Ha! Haha!" Zhang Yang tertawa kuat. Dia juga tidak mahu menghabiskan masa dengan topik itu.

"Kita di sini untuk menyelesaikan sebuah cabaran!"

"Cabaran apa?" soal Han Gemuk. Dia sebenarnya sedang "rancak" berbual dengan "gadis pelayan" daripada Bandar Terik. Walaupun dia telah meninggalkan persatuan itu, dia tidak akan melupakan gadis-gadis di sana dengan mudah.

Zhang Yang sengaja mengusik ahli pasukannya dan memberi jawaban dengan perlahan-lahan dan secara dramatik.

"Inilah…."

"…"

"Inilah cabaran utama!"

"Cabaran utama?!" Mereka semua menjerit serentak. "Apa ganjarannya?"

Semua orang tahu yang cabaran utama boleh memberi ganjaran lumayan, tetapi sehingga kini, tiada seorang pemain pun mampu menyelesaikan cabaran utama. Jadi, tiada sesiapa pun yang tahu ganjarannya! Pemaju permainan video ini juga berahsia dalam pelancaran cabaran ini. Mereka telah menetapkan cabaran ini untuk menjadi penuh dengan misteri dan sukar untuk dikesan!

"Ada beberapa barangan!"

Penyataannya yang kurang jelas itu terus membangkitkan kemarahan ahli pasukannya. Zhang Yang cepat-cepat mengangkat tangannya tanda menyerah kalah. Dia sendiri sebenarnya tidak pasti ganjarannya. Dia hanya tahu yang cabaran tersebut ialah cabaran kisah utama [Cerobohi Bayangan].

Jika dia terus berdiam diri, dia pasti akan menyebabkan mereka bertambah marah! Dia cepat-cepat memikirkan apa-apa yang boleh diperkatakan.

"Mungkin ia mata Nilai Kemahiran atau peralatan Emas Kuning. Aku rasa ada kemungkinan kita boleh dapat buku kemahiran terulung AoE yang hebat!"

"OHH!! Ayuh!"

Semua orang begitu teruja dan sama-sama berjalan memasuki perkampungan tersebut.

"Mana semua orang?"

Pasukan itu memasuki perkampungan dan berjalan sekeliling kampung selama beberapa ketika. Selain angin dan rumah, tiada sesiapa pun berada di situ dan itu membuatkan kawasan itu kelihatan sunyi dan menakutkan. Si Salji menggigil dan berasa seram. Si Salji yang gagal menenangkan dirinya sendiri mendekati Drizzler.

"Hm. Cabarannya ialah mencari punca fenomena ini!"

Sementara pasukan itu cuba bersungguh-sungguh untuk mencari petunjuk, Zhang Yang cuba sedaya-upaya untuk mengingati maklumat tentang perkampungan ini. Ia terlalu lama dahulu dan dia tidak dapat mengingat kembali semuanya. Dia hanya teringat yang cabaran kisah utama itu sepatutnya bermula di perkampungan ini. Dia gagal untuk mengingati cara untuk mencetuskannya! Lagi pun, dia sebelum ini tidak tahu yang dia akan kembali ke tempat ini!

Pasukan itu berpecah dan mencari di segenap kawasan untuk petunjuk. Mereka memeriksa setiap rumah, telaga, serta bilik bawah tanah dan loteng. Namun, mereka tidak dapat menjumpai sesiapa. 

"Mr. Holmes! Tiada sesiapa di sini, bayang-bayang pun tiada. Di mana dan dari siapa kita patut terima cabaran ini? Hmm?" Si Salji menyoal dengan gaya menyampah. Walaupun sasarannya adalah Zhang Yang, Han Gemuk dan Ratusan Tembakan turut menjadi mangsa dan terpegun melihatnya.

Zhang Yang seperti tidak mendengarnya. Dia mengerutkan dahinya dan sedang berfikir. Selepas beberapa ketika, dia mengangkat kepala dan berkata, "Kau ada cakap apa-apa? Boleh ulang?"

"Kau nak aku ulang apa yang aku cakap tadi? Ok! Kau ini sangat degil!" herdik Si Salji.

"Betul itu!" Zhang Yang akhirnya memahami perkara ini.

"Buka baju kau!"

Si Salji terkedu.

"Hei hei! Kita ini tidaklah rapat sangat untuk buat benda itu! Kalau aku ada hubungan dengan kau sekalipun, masih ada o-orang di s-sekeliling…"

"Han Yin Xue! Jaga perangai kau!" kata Drizzler dengan marah.

Zhang Yang tertawa seketika lalu bertenang selepas itu.

"Maafkan aku! Haha! Aku akan betulkan ayat aku. Buka peralatan kau. Kita akan bunuh diri kita sendiri. Kalau kita buka peralatan kita, kita akan kekalkan ketahanan peralatan dan jimat upah memperbaikinya!"

"Kenapa pula kita kena bunuh diri kita sendiri?!"

"Sebab NPC yang akan bagi kita cabaran ini ialah hantu!"

"Ha…" Drizzler tertawa dan terus terhenti apabila dia perasan yang Zhang Yang tidak bergurau.

"B-betulkah ini?" soal Drizzler.

"Ya!" Zhang Yang cepat-cepat membuka peralatannya. Satu benda baik tentang 'Keajaiban Tuhan' ini ialah walaupun dalam status "telanjang", setiap waktu masih akan berpakaian yang tidak dapat dimusnahkan untuk menjaga maruah semua. Lelaki akan memakai sepasang seluar pendek sementara wanita akan memakai pakaian dalam mereka. 

Ratusan Tembakan dan Han Gemuk menuruti Zhang Yang dan dengan pantas "membuka pakaian" hingga tinggal seluar pendek mereka.

Selepas mereka bertiga telah "telanjang", mereka pun terus memandang dan merenung dua gadis itu. 

Drizzler dapat merasa renungan mereka dan cepat-cepat menutup dadanya. "A-apa yang kau nak buat ini?"

"Budak kecil. Bertenang!" Zhang Yang memberi isyarat menggunakan tangannya.

"Dengan tubuh seperti itu, tiada mana-mana lelaki yang akan berminat dengan kau. Dalam masa 10 tahun pun tak mungkin ada!" Zhang Yang mengeluh.

"APA KAU CAKAP!??" Drizzler meraung keberangan.

"Apa maksud kau bila kau cakap 'Dengan tubuh seperti itu' huh?! Macam mana kau boleh tengok tubuh yang cantik dan ramping ini dan katakan yang tiada sesiapa dalam dunia ini yang akan tertarik dengan punggung yang seksi ini?"

Si Salji bergerak ke depan dan memeluk erat Drizzler. "Hmph! Betul itu! Kami tak akan buka pakaian di sini! Hmph! Jom teruskan ke tempat lain!"

"Er… baik? Ayuh ke hutan di sana dan biarkan raksasa di sana bunuh kita!"

Zhang Yang orang pertama yang berjalan keluar meninggalkan perkampungan itu. Ahli pasukan yang lain mengikut jejak langkahnya dengan rapat. 

Sebelum Zhang Yang bergerak ke depan, dia berpaling dan mengingatkan Drizzler buat kali terakhir.

"Budak kecil, kalau kau terbunuh semasa masih memakai peralatan kau, kau akan dikenkan upah memperbaiki peralatan yang mahal!" kata Zhang Yang untuk memujuk.

Seperti yang dijangka, kedua-dua Drizzler dan Si Salji merengus. Namun, mereka tetap dengan keputusan mereka kerana pada mereka, wang di kedudukan kedua selepas harga diri!

Di luar perkampungan tersebut, terdapat raksasa Tahap 20 di tepi laluan itu. Mereka berlima meluru ke arahnya untuk mencetuskan keganasan raksasa itu dan membiarkannya menyerang mereka tanpa halangan. Selepas beberapa ketika, 5 roh muncul di tanah perkuburan perkampungan tersebut. 

"Eh!? Ada budak perempuan di sana!" Dalam keadaan mereka yang seperti bayangan itu, mereka berlima terus ternampak satu bayangan budak perempuan yang sedang berjalan keluar tanah perkuburan itu. Terdapat tanda seru berwarna kuning di atas kepalanya. 

[Roh Emmy] (Normal)

Tahap: 1

HP: 0/50

Zhang Yang cepat-cepat mendekati budak perempuan tersebut.

"Adik, kenapa kau seorang saja di sini?"

"Abang besar! Aku takut!" budak itu membalas dengan perlahan.

"Oh… adik, jangan takut. Baritahu kami, mana mak ayah kau? Mana semua penduduk kampung ini?" Zhang Yang meneruskan perbualan dengan harapan untuk mencetuskan cabaran.

"Mereka… mereka semua dah mati! Huu… huu…" Emmy mula menangis, tetapi disebabkan dia berada dalam keadaan roh, tiada air mata yang mengalir.

Naluri keibuan Si Salji terus tercetus. Dia mendekati dan memeluk budak itu dengan pantas. "Sudah, sudah. Jangan menangis, adik!"

"Adik, siapa yang bunuh mak ayah kau dan semua penduduk kampung!" Zhang Yang terus berusaha untuk mencetuskan cabaran.

Emmy menyembunyikan kepalanya dalam pelukan Si Salji.

"Emmy tak boleh beritahu! Ia sangat bahaya! Kamu akan mati!"

"Jangan risau. Kami askar dari Istana Jed Putih!" Zhang Yang berkata dengan kuat.

"Betulkah?" Mata Emmy bersinar-sinar.

"Betul!"

Emmy mengangkat kepalanya dan memandang Zhang Yang dengan ragu-ragu.

"Kamu perlu buktikan kekuatan kamu! Aku tak mahu kamu mati sia-sia!"

'Ding! Emmy memberi satu cabaran untuk anda: Ujian Kekuatan. Adakah anda menerimanya?'

Selepas mereka semua menerima cabaran itu, tanda seru di atas kepalanya bertukar menjadi warna putih. Tanda seru berwarna putih bermaksud cabaran tersebut masih belum lengkap. Setelah cabaran diselesaikan, tanda seru berwarna putih itu akan berubah menjadi warna kuning.

Kelima-lima mereka cepat-cepat bangkit semula selepas menerima cabaran tersebut. Zhang Yang memeriksa penerangan cabaran.

[Ujian Kekuatan (1)] (Tahap kesukaran: C)

Penerangan cabaran: Emmy telah meminta anda mengumpul 10 cebis [Tulang Jari] untuk anda membuktikan kekuatan sebenar anda! Item ini boleh dikumpul daripada raksasa Rangka Pucat. Raksasa ini berada di kawasan tanah rata di bahagian utara perkampungan. 

Perkembangan: Kumpulkan Tulang Jari 0/10

"Ayuh! Kita kena pergi ke Tanah Rata Berhantu Terpinggir!" Zhang Yangdan pasukannya dengan pantas memakai peralatan mereka dan makan item pemulih sebelum mereka memulakan perjalanan.

Pasukan itu mendekati destinasi mereka selepas sepuluh minit berjalan. Apabila mereka berjalan lagi ke hadapan, keadaan sekeliling berubah sedikit demi sedikit. Warna hijau rumput berubah menjadi warna perang. Udara sekeliling mereka menjadi semakin berat dan kelam. Keadaan menjadi suram dan penglihatan mereka terjejas. Mereka berasa seperti terperangkap di dalam gua yang dipenuhi kabus tebal. 

Mereka akhirnya ternampak raksasa berupa rangka yang sedang berkeliaran di dalam kabus itu.

'Ding! Anda telah memasuki kawasan: Tanah Rata Berhantu Terpinggir!'

"Tempat ini menakutkan aku!" kata Drizzler. Dahinya jelas kelihatan berkerut walaupun dalam kabus tebal ini.

"Ayuh teruskan!" Zhang Yang berkata.

"Ini raksasa normal. Mereka tidak sukar untuk dibunuh! Kita berpecah! Tiada guna kalau kita kekal dalam kumpulan. Kita sedang memburu item cabaran kita sendiri."

[Rangka Pucat] (Normal)

Tahap: 25

HP: 1,250

Mereka semua menerima cadangan Zhang Yang dan berpecah. Walaupun, tahap raksasa itu lebih tinggi daripada mereka, peralatan mereka cukup kuat untuk memudahkan mereka membunuhnya. Masalahnya bukan terletak pada pembunuhan mereka, tetapi pada kadar pengguguran item itu. Purata kadar penggugurannya adalah 5 raksasa untuk setiap [Tulang Jari].

Pasukan itu mengambil masa hampir 20 minit untuk mengumpul item yang mencukupi. Mereka pulang ke perkampungan itu untuk melengkapkan cabaran. Namun, mereka perlu mati sekali lagi untuk bercakap dengan Emmy.

Ahli pasukan itu melengkapkan cabaran seorang demi seorang, tetapi Emmy masih tidak yakin pada kekuatan mereka. Dia kemudian memberi satu lagi cabaran. Zhang Yang dan pasukannya telah menjangka akan ada cabaran susulan memandangkan terdapat nombor bilangan di belakang nama cabaran tersebut. Mereka menerima cabaran seterusnya tanpa apa-apa aduan dan terus bergerak untuk menyelesaikannya. 

[Ujian Kekuatan (2)] (Tahap kesukaran: C)

Penerangan cabaran: Emmy mahu anda membuktikan lagi kekuatan anda. Mula dengan membunuh Zombi Lemah! Anda akn menjumpai raksasa ini di Tanah Rata Berhantu Terpinggir di bahagian utara perkampungan ini.

Perkembangan: Bunuh Zombi Lemah 0/20

"Menyusahkan betul! Kita kena mati setiap kali kita nak hantar cabaran! Tapak memburu dan NPC pula sangat jauh! Siapalah orang bodoh yang mereka cabaran ini?!" Drizzler terus memaki hamun.

Zhang Yang tertawa.

"Kalau ia tidak direka seperti ini, pemain lain mesti dapat jumpa cabaran ini dengan mudah!"