Ye Xiu tetap dengan keputusannya untuk tidak menerima ganjaran tersebut, jadi Seven Fields dan yang lain menerimanya dengan gembira. Mereka semua merupakan teman lama, jadi proses pembahagian ganjaran dilakukan dengan penuh harmoni. Racun Labah-Labah boleh dijual dengan harga yang tinggi, jadi ia tidak penting siapa yang memilikinya, kerana hasil jualan tersebut akan dibahagikan sama rata. 'Chestnut Boots' merupakan peralatan tahap biru yang agak biasa, jadi mereka semua melontar dadu untuk menentukan pemenangnya. Pada akhirnya, Sunset Clouds yang berjaya memperoleh markah 100 hasil lontaran tersebut telah menjadi pemiliknya. Untuk 'Mahogany Tachi' pula, ia seharusnya dimiliki oleh Sunset Clouds atau Sleeping Moon, berdasarkan pada kelas pemain mereka. Memandangkan Sunset Clouds sudahpun berjaya memenangi 'Chestnut Boots', dia memilih untuk menyerahkan senjata tersebut kepada Sleeping Moon. Sleeping Moon menggenggam senjata itu dengan perasaan bercampur gembira dan pelik.
Mereka semua telah memperoleh 'experience' yang banyak hasil daripada menyelesaikan Gua Labah-Labah dan membunuh Maharaja Labah-Labah. Lord Grim sudah mencecah tahap 12, manakala Seven Fields dan rakan-rakannya tidak jauh di belakang. Mereka mengharungi 'dungeon' Gua Labah-Labah sekali lagi dan berjaya menewaskan bos biasa dengan mudah.
Sleeping Moon berasa berbelah-bagi setelah menyelesaikan 'dungeon' tersebut. Pada asalnya, dia ingin meninggalkan kumpulan ini setelah menewaskan Maharaja Labah-Labah. Tetapi memandangkan dia telah dihadiahkan dengan 'Mahogany Tachi', perbuatan sedemikian akan dianggap agak kurang ajar.
"Nak keluar, salah. Nak teruskan pun salah juga. Tadi Seven Fields sudah menghalau saya, tapi tak sedap hati saya nak keluar begitu saja," katanya dalam hati.
Syukurlah Seven Fields merupakan seorang teman yang baik dan memujuk Sleeping Moon. Dia menjelaskan apa yang dikatakannya tadi hanyalah sebuah gurauan sahaja. Tanpa sebarang masalah perselisihan faham lagi, Lord Grim memimpin mereka semua masuk ke Gua Labah-Labah sekali lagi.
Sementara itu, Blue River dan teman-temannya daripada Persatuan Blue Brook turut merasa berbelah-bagi dan sedih. Mereka telah gagal menjadi kumpulan pertama yang menyelesaikan Gua Labah-Labah. Tidak cukup dengan itu, dua daripada tiga bos tersembunyi sudahpun ditewaskan oleh kumpulan lain. Ini merupakan kali keempat mereka menempuhi 'dungeon' ini, tetapi masih belum menjumpai walau seekor bos tersembunyi pun! Sedang mereka terus melakukan tugas mereka dengan penuh sabar, kedengaran satu lagi pengumuman daripada sistem permainan. Bos tersembunyi yang terakhir dalam Gua Labah-Labah telahpun ditumpaskan, Spider Warrior telah dibunuh!
Kumpulan yang membereskan Spider Warrior daripada Herb Garden, salah satu daripada Tiga Persatuan Terulung. Bos tersembunyi yang pertama pula telah diselesaikan oleh satu lagi persatuan terulung, Tyrannical Ambition. Gara-gara Lord Grim, Persatuan Blue Brook telah gagal untuk membuktikan mereka layak untuk memegang gelaran 'Persatuan Terulung'. Pada waktu ini, Lord Grim memegang rekod 'first clear' yang terbanyak iaitu sebanyak tiga kali. Ahli kumpulan Lord Grim turut berjaya menempatkan diri mereka di papan pendahulu.
Persatuan Blue Brook tidak tahu di manakah mereka hendak meletakkan muka mereka lagi. Mereka masih terngiang-ngiang memikirkan tempoh 10 saat yang diperlukan untuk membunuh Maharaja Labah-Labah sebelumnya. Kerana 10 saat tersebut, mereka terpaksa menghadapi perasaan yang memalukan seperti ini!
"Dari mana datangnya Lord Grim ni? Suruh teman-teman kita yang sekampung dengannya untuk tumpukan perhatian padanya!" arah Blue River.
Ye Xiu sedang terus bertarung dengan semangat yang tinggi. Dia dan teman-temannya berulang-ulang kali mengasah kebolehan mereka di Gua Labah-Labah tanpa henti. Begitulah caranya dia mengakhiri hari pertama pembukaan server Glory yang kesepuluh.
Apabila Chen Guo terjaga dari tidurnya, jam sudahpun menunjukkan pukul 11 pagi. Dia biasanya sangat berdisiplin dan jarang bangun lewat. Apa yang berlaku pada pagi ini hanyalah disebabkan oleh pembukaan server kesepuluh dan gara-gara mengikuti perjalanan Ye Xiu. Chen Guo menghitung waktu dan menyedari dia telah tidur selama lapan jam. Dia menggeliat dan bangun daripada katilnya.
Chen Guo tinggal di kafe internet miliknya ini. Dia tidur di sebuah bilik kecil di tingkat dua, kawasan yang berhampiran dengan bilik Ye Xiu.
Chen Guo lived in the Internet Cafe. To be more precise, she slept in the small room on the second floor, in the same area as Ye Xiu. Chen Guo membesar di kafe internet ini. Dia makan, tidur dan bekerja di sini. Sejak zaman persekolahannya lagi, dia memilih untuk ke kafe internet daripada pulang ke rumah. Disebabkan rasa sayangnya pada kafe internet ini, dia menjaganya dengan sepenuh hati. Setelah sekian lama, kafe internet ini menjadi semakin besar dan luas kerana perkembangan bisnesnya. Namun, saiz keluarganya sendiri tidak besar seperti kafe internet ini, dia hanya bersendirian.
Sewaktu Chen Guo menduduki peperiksaan kemasukan kolej, bapanya meninggal dunia kerana sakit jantung. Dia tidak mempunyai seorang ibu, dan tidak mempunyai sebarang memori tentangnya. Setelah selesai menguruskan pengebumian bapanya, sanak-saudaranya berbincang tentang pengurusan kafe internet miliknya. Tanpa sebarang rasa ragu-ragu, Chen Guo mengoyakkan surat kemasukannya ke kolej dan bertekad untuk menguruskan kafe internet seorang diri. Sungguhpun teman-teman dan sanak-saudaranya merisaukan keputusannya itu, dia berjaya membuktikan dia mewarisi kebolehan bapanya, dan kafe internet tersebut diuruskan dengan lancar sekali.
Tanpa disedari, sembilan tahun telah berlalu.
Chen Guo memiliki wang yang cukup untuk membeli tempat tinggal yang selesa, tetapi dia tidak pernah sekali pun memikirkan tentang perkara tersebut. Dia berasa cukup berpuas hati untuk tinggal di kafe internet ini. Di sini, dia sentiasa berasa tenang dan stabil. Mungkin kerana perasaan 'kekeluargaan' yang dirasakannya di kafe internet ini. Sungguhpun dia sendirian, dia tidak pernah merasa sepi.
"Cuaca hari ini sungguh baik!" kata Chen Guo sambil merenung ke luar jendela. Matahari yang terang-benderang mencerahkan seluruh bandar.
"Bapa, nikmatilah sinaran matahari ini!" gurau Chen Guo. Dia mengangkat gambar arwah bapanya dan meletakkannya di tepi jendela.
Setelah memakai baju dan membasuh muka, Chen Guo keluar dari biliknya dengan perasaan riang. Dia perasan pintu bilik stor terbuka luas, jadi dia menjenguk ke dalam. Ye Xiu tidak berada di situ.
"Eh, mana pula dia pergi?" tanya Chen Guo.
Chen Guo turun ke bawah dan melihat keseluruhan kafe internet tersebut sudahpun penuh. Ini sudah tentulah disebabkan oleh pembukaan server kesepuluh Glory. Setelah pengunjung waktu malam beredar, mereka yang memilih untuk bermain pada waktu siang pula datang mengambil tempat. Setiap skrin komputer dipenuhi dengan pemandangan dunia Glory, setiap pemain memakai fon kepala dan ketawa atau marah-marah, tergantung kepada keadaan permainan mereka.
Chen Guo menuju ke meja penyambut tetamu dan bertanyakan di manakah Ye Xiu.
Gadis penyambut tetamu yang sedang bertugas menunjukkan ke arah zon merokok.
"Dia masih bermain lagi?" tanya Chen Guo dengan nada risau. Dia segera bergegas ke zon merokok tersebut.
Zon ini dipenuhi dengan asap tebal berwarna hitam. Ye Xiu duduk di tengah-tengah asap yang berkepul-kepul tersebut. Chen Guo menepis-nepis kesemua asap tersebut dan menghampiri Ye Xiu. Dia mengangkat fon kepala Ye Xiu dan menjerit: "Kamu masih main lagi?? Kamu gila ke??"
Ye Xiu memalingkan kepalanya dan berkata, "Selamat pagi, bos!". Kemudian, dia serta-merta menoleh kembali ke skrin dan terus menyambung permainannya.
Chen Guo melihat ke arah skrin, "Gua Labah-Labah!"
"Ya, betul,"
"Tahap berapa?"
"17,"
Mulut Chen Guo ternganga. Dia melihat ke arah 'experience bar' Lord Grim. Ianya hampir penuh! Selepas menyelesaikan 'dungeon' ini, dia akan mencecah tahap 18!
Jam menunjukkan pukul 11.40am. Jika dia berjaya mencecah tahap 18 dalam tempoh 12 jam, itu pastinya merupakan satu rekod baru. Sungguhpun pengumuman sistem permainan tidak mempunyai statistik sebegini, ramai pemain menggunakan forum yang sedia ada untuk menunjukkan betapa lajunya kebolehan mereka untuk menaikkan tahap.
Chen Guo melihat pula ke arah teman-teman Ye Xiu.
Sleeping Moon? Chen Guo merasa seperti dia pernah melihat nama ini sebelum ini. Selepas berfikir dengan lebih lanjut, dia teringat..
"Eh bukan ke dia ini pemain yang memfitnah kamu semalam?" tanya Chen Guo sambil menuding ke arah senarai nama ahli kumpulannya.
"Betul!"
"Habis, kenapa kamu sekumpulan dengan dia?" Chen Guo tidak mengerti.
"Disebabkan fitnah dia, saya tak dapat nak menyertai mana-mana kumpulan lain," jawab Ye Xiu.
"Itu…..itu alasan kamu??" Chen Guo naik marah.
"Saya kan seorang yang matang. Saya takkan senang-senang naik marah hanya disebabkan fitnah!" Ye Xiu ketawa