"Rentak... rentak…" Seven Fields dan rakan-rakannya mengulang-ulangi perkataan tersebut sehingga terasa hendak pecah kepala mereka. Mereka langsung tidak gentar akan Maharaja Labah-Labah lagi, di minda mereka hanyalah kelajuan rentak yang diperlukan.
Satu demi satu pusingan yang sempurna berjaya dikecapi, mereka berempat berasa teramat gembira. Pada akhirnya, setiap gerakan mereka adalah berpandukan naluri, dan rentak mereka teramat tepat sekali.
Ye Xiu juga tidak mampu untuk membantu mereka lagi pada waktu ini. Dia sedang sibuk bergelut dengan labah-labah kecil dalam jumlah yang begitu banyak.
Lord Grim menikam ke kanan dan kiri, tidak sekalipun terlepas sasaran. Ternyata hanya pemain berpengalaman seperti Ye Xiu yang mampu melakukan perkara ini. Sungguhpun terdapat pemain lain yang mempunyai tahap kemahiran yang setara dengannya, mereka tidak mungkin akan dapat membunuh labah-labah kecil dengan sekali serangan sahaja kerana senjata mereka masih berada pada tahap 10. Jika seekor labah-labah kecil memerlukan dua kali serangan untuk dibunuh, rentak keseluruhan pasti akan terganggu dan jaguh seperti Ye Xiu pun tidak akan mampu untuk menghadapinya!
"Berhati-hati dan tumpukan perhatian! Kamu semua boleh!" Ye Xiu mengingatkan teman-temannya dari masa ke masa. Dia tahu mereka boleh leka dan lalai apabila berulang-ulang kali mengulangi gerakan yang sama. Jika minda mereka hilang fokus walau sedikitpun, mereka akan mengalami kegagalan.
Buat pertama kalinya, Seven Fields dan rakan-rakannya tidak mempedulikan apa yang Ye Xiu lakukan. Mereka terlalu sibuk memerhatikan gerakan satu sama lain, kerana mereka sedar bahawa satu kesilapan kecil sudah lebih dari cukup untuk merosakkan segala usaha keras mereka.
Nyawa Maharaja Labah-Labah sudah mencecah setengah.
Jari-jemari Seven Fields dan rakan-rakannya sudah mula terasa kebas. Mereka mula ragu-ragu sama ada mereka akan mampu untuk terus bertahan. Pada waktu itu, Seven Fields memerhatikan apa yang Lord Grim sedang lakukan. Kelihatan jaguh tersebut sedang terbang ke sana ke mari. Maharaja Labah-Labah sudah menetaskan sebanyak 6 ekor telur labah-labah serentak!
Apabila 6 biji telur tersebut menetas, tombak hitam Lord Grim akan singgah tepat ke arah labah-labah yang keluar. Sinaran cahaya menyinar-nyinar di hujung tombak tersebut, ia menikam dengan kejam dan kedengaran suara jeritan daripada labah-labah kecil yang menjadi mangsanya.
"Alamak, bahaya!" jantung Seven Fields seakan berhenti berdegup. Dia terlihat seekor labah-labah kecil telah berjaya melepaskan diri dari Lord Grim dan menghala ke arah Sunset Clouds. Jarak Lord Grim agak jauh, dan nampaknya mustahil untuk dia membantu pada waktu ini.
Tetapi, kedengaran sebuah bunyi dentuman yang kuat. Dentuman tersebut berdengung di seluruh gua dan labah-labah kecil tersebut hangus terbakar.
"Eh apa yang terjadi?" tanya Seven Fields. Mujurlah konsentrasinya masih tidak terganggu dan masih dapat mengekalkan rentaknya.
"Nampaknya, labah-labah itu ditembak dengan pistol," fikir Seven Fields. Melihatkan jarak Lord Grim, Seven Fields sudah memastikan bahawa sememangnya Lord Grim membawa pistol bersamanya.
Seven Fields mula berasa lega. Tiga orang temannya yang lain pula masih memberikan sepenuh fokus kepada tugasan mereka. Sedikitpun mereka tidak melihat apa yang berlaku di sekeliling mereka. Seven Fields tidak berani untuk memberitahu apa yang terjadi kerana khuatir konsentrasi mereka akan terganggu.
"Moga-moga tidak adalah perkara buruk yang berlaku," kata Seven Fields di dalam hatinya.
Pada waktu ini, Sleeping Moon terasa seperti dia sudah sampai ke penghujung kemampuannya. Jari-jemarinya keras dan kejang, ia terasa sukar untuk digerakkan. Dia tidak tahu sama ada tugasannya pada setiap pusingan telah berjaya disudahkan atau tidak, kerana dia tidak dapat merasakan apa-apa pada jarinya. Tiba-tiba, dia merasakan jarak antara matanya dan skrin komputer semakin menjauh dan pandangannya kabur.
"Rentak, perasan, naluri, saya harus ingat semula setiap perkara ini….."
Sleeping Moon sedang dilanda tekanan berat, dan dia teramat risau yang dia akan melakukan kesilapan. Dia tahu teman-temannya sudah mula tidak suka padanya, dia juga tidak mahu Lord Grim kecewa dengannya.
"Saya harus kuat!" Sleeping Moon mengetap giginya dan bertahan.
Pada mulanya, nyawa Maharaja Labah-Labah itu berkurangan dengan cepatnya. Kenapa pula ia terasa sungguh perlahan sekarang? Nampaknya nyawanya masih ada satu pertiga.
"Bolehkah saya bertahan sehingga akhir?"
Berbeza dengan Seven Fields, Sleeping Moon nampaknya merasa lebih tertekan apabila dia hilang konsentrasi sebentar.
Tiba-tiba, kedengaran sebuah jeritan dari arah Drifting Water. Dia sudah melakukan kesilapan!
Pada permulaannya, dia adalah pemain yang paling lambat sekali untuk mendapatkan rentak. Setelah sekian lama, dia tidak dapat bertahan lagi. Seperti sebelumnya, tindakannya terlalu cepat!
Sungguh Maharaja Labah-Labah masih berada dalam keadaan 'Stunned' pada waktu ini, disebabkan oleh kesilapan Drifting Water tadi, kemahiran Seven Fields masih berada dalam keadaan 'cooldown'. Dia tidak mampu untuk melakukan 'Stun' pada Maharaja Labah-Labah lagi.
Hati keempat-empat pemain tersebut terasa hancur remuk. Mereka mengharapkan keajaiban, mereka mengharapkan agar jaguh handalan pasukan mereka dapat menyelamatkan keadaan. Tetapi akhirnya, mereka hanya mampu menyaksikan Maharaja Labah-Labah mengeluarkan 8 biji telur!
Habislah… mereka berempat menyerah kalah. Sleeping Moon melihat ke arah Seven Fields dengan wajah yang sedih.
Seven Fields tidak mempunyai kemahiran lain yang boleh digunakan. Dia tidak tahu apa lagi yang boleh dilakukannya.
"Seven Fields, ke tepi!"
Suara tersebut menyalakan semula harapan mereka serta-merta. Seven Fields berundur ke tepi tanpa sebarang rasa ragu-ragu. Kelihatan sebuah tombak turun dari langit. Lord Grim menggunakan serangan 'Dragon Tooth' pada Maharaja Labah-Labah!
Status 'Stunned' pada Maharaja Labah-Labah kembali semula, tetapi oleh kerana tiada sesiapa yang membunuh 8 ekor labah-labah kecil tadi, raksasa-raksasa itu sudah bersedia untuk menyerang semua orang! Pasukan mereka seakan-akan hilang arah. Mereka tidak tahu sama ada harus terus menyerang Maharaja Labah-Labah atau menumpukan perhatian pada labah-labah kecil pula.
Mujurlah Lord Grim ada.
Setelah menyudahkan serangan 'Dragon Tooth', dia melangkah ke hadapan kesemua labah-labah kecil tersebut. Tiba-tiba, tombak panjang di tangannya terbahagi kepada dua bahagian! Dengan memegang satu tombak pada setiap tangan, kedua-dua tangannya menikam dan menghempas Maharaja Labah-Labah dengan kuat! Dia berjaya membuatkan raksasa tersebut jatuh tersungkur dan terbaring di tanah.
Kemahiran 'Grappler': 'Back Throw'.
Kemahiran ini bukan sahaja boleh mencederakan musuh, ia turut menghasilkan getaran berskala rendah yang akan mencederakan raksasa-raksasa di sekeliling kawasan impak serangan tersebut. 'Back Throw' dari Lord Grim ini telah menyebabkan Maharaja Labah-Labah mendarat tepat di tengah-tengah kelapan-lapan labah-labah kecil tadi. Kesemua labah-labah kecil terlambung di udara dan mati terbunuh!
"Seven Fields!" jerit Ye Xiu.
Seven Fields tersentak dari lamunannya dan segera menyepak Maharaja Labah-Labah untuk memastikan status 'Stunned' kekal padanya.
"Semua orang, berhati-hati. Saya tak mampu untuk menyelamatkan kamu semua setiap kali," kata Ye Xiu.