"Inikah strategi daripada panduan yang abang baca tadi?" tanya Seven Fields.
Seven Fields dan semua rakannya tidak pernah melihat sebarang panduan yang mengandungi strategi seperti ini. Kalau ada sekalipun, ia pasti akan dikritik secukup-cukupnya. Ini kerana strategi seperti ini tidak munasabah! Bukan susah untuk empat orang melakukan 'Stun' tanpa henti pada Maharaja Labah-Labah, tetapi masalahnya, tidak ada sesiapa pun yang akan berani untuk menggalas tanggungjawab menguruskan labah-labah kecil seorang diri!
Jika pemain solo tersebut melakukan kesilapan kecil sekalipun, formasi semua ahli kumpulan lain akan cacat. Maharaja Labah-Labah mempunyai kebolehan untuk terbang, menggali lubang yang dalam, menembak sarang yang akan menarik semua pemain ke arahnya dan juga mengeluarkan kabus beracun. Ia adalah jauh lebih kuat dibandingkan dengan semua raksasa-raksasa yang sebelumnya. Jika diberikan sedikit sahaja ruang untuk menyerang sekalipun, mereka semua boleh dibunuh dengan mudah sekali.
"Macam mana? Kamu semua rasa boleh buat tak?" tanya Ye Xiu.
"Eh, bukan kami ke yang patut bertanya soalan tu pada kamu? Kamu boleh jamin ke yang takkan ada seekor labah-labah pun yang akan terlepas dan menyerang kami semua?" tanya Sleeping Moon..
"Sudah tentulah! Tak perlu risau. Kamu berempat yang perlu memikul tanggungjawab berat ni. Kita akan berhadapan dengan Maharaja Labah-Labah, raksasa paling kuat yang pernah kita hadapi setakat ini. Rentak dan koordinasi kita perlu tangkas dan licin. Saya takkan dapat membantu kamu berempat bila labah-labah kecil tersebut sedang menyerang. Kalau kamu semua sempat mendengar suara dan arahan saya sekalipun, kita takkan sempat untuk membaiki kesilapan kita. Jadi, kesimpulannya, saya akan bergantung kepada kerjasama antara kamu berempat. Faham? Ada sebarang masalah tak?"
"Ada cara lain tak?" tanya Seven Fields. Sejujurnya, mereka berempat kurang yakin.
"Dengan kombinasi kelas kamu semua, saya rasa tak ada," jawab Ye Xiu.
"Kamu merangka strategi ni berdasarkan semua kelas kami?"
"Betul,"
Mereka berempat terkejut. Mereka masih cuba meneka panduan apakah yang dirujuk oleh Ye Xiu, tetapi kini barulah mereka sedar bahawa dia hanya ingin merujuk kepada sifat raksasa yang akan dihadapi, bukan tentang strategi yang diperlukan. Ye Xiu mampu untuk membentuk strategi yang sesuai berdasarkan pengetahuannya yang mendalam, dan dia tidak perlu untuk bereksperimentasi. Dia cukup yakin akan ilmu dan kemahirannya tersendiri.
Ketika ini, Seven Fields dan kesemua rakannya sedar bahawa terma "jaguh" adalah tidak sesuai untuk Ye Xiu. Dia layak diberikan sebuah gelaran yang lebih agung dari itu!
Namun begitu, mereka berempat masih ragu-ragu kerana kali ini mereka tidak boleh bergantung sepenuhnya pada Lord Grim. Mereka perlu melaksanakan tugas masing-masing dengan sempurna. Mereka bukanlah pemain baru, tetapi mereka belum cukup yakin sama ada kekuatan mereka akan mencukupi ataupun tidak. Mereka masih tidak yakin.
Ye Xiu tidak memaksa ataupun memberikan tekanan kepada mereka. Mereka berlima hanya berdiri dan memandang satu sama lain di luar pintu masuk sarang Maharaja Labah-Labah tersebut. Tetapi tidak lama kemudian, sebuah pengumuman muncul.
"Boss tersembunyi pertama Gua Labah-Labah sudah ditumpaskan!"
Seven Fields mengetap giginya kerana geram. Tetapi dia sedar bahawa dia tidak perlu memikirkan tentang bos-bos lain pada waktu ini. Mereka sedang berhadapan dengan peluang yang jarang sekali datang. Persoalannya, adakah mereka berani ataupun tidak untuk menghadapinya?
"Adakah kita akan mencuba?" tanya Seven Fields kepada tiga orang temannya.
Mereka semua telah kembali bersemangat apabila membaca pengumuman sistem tadi, jadi mereka semua bersetuju.
"Marilah kita bertarung!" Seven Fields menyuarakan persetujuannya bersama teman-temannya kepada Lord Grim.
"Empat orang sudah lebih dari cukup untuk strategi ini. Cuba ingat kembali rentak kamu dalam pertarungan-pertarungan sebelum ini. Kali ini, kita cuma perlu meningkatkan kelajuan sedikit. Jangan fikirkannya, hayatinya!", kata Ye Xiu.
"Faham, abang!"
"Saya akan mulakan pertarungan," kata Ye Xiu dan segera mengarahkan Lord Grim untuk bergerak ke pintu masuk sarang Maharaja Labah-Labah. Dia tidak terus masuk, sebaliknya menghunuskan senjatanya dan berundur dengan cepat.
"Eh, sudah ke?" Mereka berempat tergamam.
"Sudah!" jawab Ye Xiu
Mereka dilanda perasaan penuh hairan. Bagaimana pula dia memulakannya? Mereka tidak dapat melihat apa-apa. Mereka sangka Lord Grim akan masuk ke dalam sarang tersebut, tetapi dia hanya berdiri di pintu masuk sahaja. Teknik pembukaan pertarungan sebegini hanya boleh dilakukan oleh watak yang mempunyai serangan jarak jauh!
"Adakah dia bawa pistol?"
"Rasanya begitulah, kalau tidak macam mana pula?"
Sedang mereka kebingungan, terdengar suara jeritan yang nyaring dari sarang raksasa di hadapan mereka. Maharaja Labah-Labah yang tadinya sedang tidur kini sudah terjaga. Gua Labah-Labah bergegar kencang dan Maharaja Labah-Labah sudah bersedia untuk menyerang.
"Ambil posisi di kiri dan kanan. Berhati-hati!" teriak Ye Xiu.
Seven Fields dan rakan-rakannya mengambil posisi masing-masing, dua di kiri dan dua di kanan. Maharaja Labah-Labah meludahkan racunnya dan menerpa tepat ke arah Lord Grim.
Lord Grim tidak berundur, sebaliknya melangkah ke hadapan untuk bersemuka dengan raksasa tersebut. Apabila serangan raksasa itu hampir mengenainya, dia menundukkan badan. Bunyi dentuman yang kuat kedengaran dan dia meluncur bertentangan dengan perut Maharaja Labah-Labah itu.
"Saya dah kata dia bawa pistol!" jerit Drifting Water. Bunyi dentuman tadi itu dihasilkan daripada serangan watak kelas 'Gunner'.
Lord Grim melompat dan menikam ke arah punggung Maharaja Labah-Labah. Menggunakan momentum daripada terkaman raksasa itu, dia berjaya menolaknya ke arah formasi empat rakan sepasukannya.
"Mulakan!" jerit Ye Xiu.
Mereka berempat agak keliru. Mereka tidak menyangka Ye Xiu mampu untuk menolak raksasa tersebut ke arah mereka dalam jangka masa yang begitu cepat sekali!
"Saya akan mulakan!" jerit Seven Fields, dan dia meluru untuk menyerang.
"Kemudian, saya pula," Sunset Clouds melangkah ke hadapan juga.
Drifting Water men
Drifting Water mengekori di belakangnya.
"....", Sleeping Moon turut mara dengan berat hati.
Setelah Sleeping Moon selesai, Seven Fields menjerit: "Kemahiran saya masih dalam waktu 'cooldown'!
"Rentak kamu semua terlalu cepat!" Lord Grim mara ke hadapan dan menggunakan 'Dragon Tooth' untuk memastikan Maharaja Labah-Labah kekal di dalam keadaan 'Stunned'.
"Cepat sesuaikan diri dengan rentak yang diperlukan," arah Ye Xiu. Lord Grim kemudiannya bertindak untuk menguruskan labah-labah kecil yang baru sahaja muncul.
"Okay abang!" kata Seven Fields.
Mereka menyedari bahawa raksasa itu tidak menggunakan seluruh kemahirannya serta merta. Ini memberikan mereka waktu untuk bersedia dan menyesuaikan diri. Pada waktu ini, jaguh handalan Ye Xiu masih mampu membantu mereka sambil membereskan labah-labah kecil yang masih sedikit jumlahnya.
Setelah selesai sebuah pusingan lagi di antara mereka berempat, ternyata rentak mereka masih terlalu laju.
"Jangan gugup, dapatkan rentak cepat!", arah Ye Xiu.
"Tadi Drifting Water terlalu laju!"
"Masih laju, Drifting Water lagi!"
"Aduhai, masih laju juga! Kali ini salah Moon Moon Kecil pula. Tadi rentak Drifting Water sudah tepat. Tak apa, tak apa, kamu semua semakin menyesuaikan diri," Ye Xiu masih sempat untuk membaca keadaan sambil membunuh labah-labah kecil.
Nyawa Maharaja Labah-Labah semakin berkurangan. Hasilnya, dia mengeluarkan labah-labah kecil dengan kadar yang semakin tinggi.
"Okay, akhirnya rentak kamu sudah tepat. Jangan lupakan rentak ini!" kata Ye Xiu.