Teknik 'Shadow Clone' adalah sejenis kemahiran yang dicipta untuk mengaburi mata pihak lawan. Tetapi, ia kurang berguna apabila menentang pihak lawan yang berpengalaman, sebaliknya lebih sesuai digunakan sewaktu bertarung dengan 'NPC'. Teknik ini seringkali digunakan oleh pemain berkelas Ninja untuk bergerak ke suatu lokasi dengan sekelip mata.
Sekarang, Lord Grim menggunakan teknik ini untuk bergerak ke posisi asal pukul 4 yang ditinggalkan oleh Sleeping Moon. Tetapi, semua pemain lain masih risau kerana Lord Grim tidak mempunyai kemahiran yang sesuai untuk menolak raksasa labah-labah tersebut ke belakang.
Kerisauan mereka nyata tidak berasas. Sungguhpun tidak mempunyai kemahiran yang sesuai, Lord Grim mempunyai teknik yang unggul. Dia menggunakan 'Sky Strike' untuk melambungkan raksasa tersebut lalu memukulnya sebanyak dua kali berturut-turut dan menolaknya ke arah Sleeping Moon.
Sleeping Moon sudah bersedia di posisi asal pukul 11 Lord Grim, dan tubuh palsu Lord Grim masih berdiri di sebelahnya. Pada waktu ini, Sleeping Moon berasa amat malu sekali. Dia berharap Lord Grim akan memarahinya, tetapi dia tidak berkata apa-apa dan tetap melakukan tugasnya sebagai seorang pemain yang mahir.
Sleeping Moon mengerti apa yang perlu dilakukan. Menggunakan 'Lunge', labah-labah gergasi tersebut berjaya ditolak sekali lagi. Dia sudah bersedia untuk menerima kritikan daripada semua orang, tetapi apa yang didengarinya hanyalah "Raksasa sedang mengalami status 'Bleed'!!".
Status 'Bleed' tersebut tidak mampu dilakukan oleh serangan biasa. Ia memerlukan efek dari senjata atau sebuah kemahiran. Pada waktu ini, tiada seorang pun ahli pasukan yang mempunyai senjata atau kemahiran yang mampu mengakibatkan status tersebut.
Jawapannya adalah 'Double-Stab', sebuah kemahiran 'Battle Mage'. Untuk mencapai status 'Bleed' melalui 'Double-Stab', seorang pemain perlu menikam pada sasaran dengan tepat sekali sebanyak dua kali berturut-turut. Misalnya, apabila menikam lengan pihak lawan, sebuah lubang akan terbentuk daripada serangan pertama. Demi menimbulkan status 'Bleed', serangan kedua perlu mengenai tepat ke arah lubang yang terbentuk itu. Peluang untuk berjaya hanyalah 50% sahaja, dan ini sudah dianggap sebagai kebarangkalian yang tinggi! Serangan sebegini agak mudah dilakukan pada sasaran yang tidak bergerak, tetapi amatlah sukar untuk dilakukan dalam pertarungan sebenar di mana musuh bergerak dengan lajunya.
Dunia permainan Glory mengandungi pelbagai efek tersembunyi seperti ini, dan hanya pemain yang benar-benar mahir dapat melakukannya.
Jika status 'Bleed' pada raksasa labah-labah ini dilakukan oleh pemain biasa, Seven Fields dan teman-temannya akan menganggap ia sebagai tuah semata-mata. Tetapi apabila ia dilakukan oleh Lord Grim, mereka sedar ia adalah kerana tahap kemahirannya yang sangat tinggi.
Pada waktu ini, mereka sudah teramat yakin akan kebolehan Ye Xiu. Dia bukan sahaja memiliki kemahiran individu yang tinggi, malah mempunyai kemahiran memimpin yang unggul juga. Dia bukanlah sekadar jaguh biasa, tetapi antara jaguh terbaik di kalangan semua jaguh!
Seven Fields mula berasa malu di atas niatnya untuk memujuk Ye Xiu menyertai Persatuan Full Moon. Dia sedar persatuannya itu tidak boleh dianggap sebagai persatuan yang hebat. Di dalam 'Heavenly Domain', mereka berada pada kedudukan bawah 50. Mereka tidak pernah mencatatkan sebarang rekod di dalam 'dungeon', maka mereka dianggap sebagai persatuan yang biasa sahaja. Persatuan ini tidak sesuai untuk disertai oleh jaguh seperti Ye Xiu.
Semua pemain lain menyedari hakikat yang sama. Mereka tidak mampu berkata apa-apa, jadi mereka hanya menumpukan perhatian pada serangan mereka. Sungguhpun mereka melakukan beberapa kesilapan di sepanjang pertarungan, bakat kepimpinan dari Ye Xiu berjaya mengelakkan daripada berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini. Tidak lama kemudian, raksasa labah-labah tersebut telah dibunuh dengan mudahnya.
Hasil daripada kemenangan itu, mereka menjumpai peralatan berwarna biru. Sungguhpun ia hanyalah peralatan berkelas rendah dan tidak diperlukan oleh sesiapapun, mereka semua bersetuju bahawa hanya Lord Grim yang layak untuk menyimpannya. Bahkan Sleeping Moon juga tidak berkata apa-apa dan menyerahkan peralatan tersebut dengan rela hati.
Ye Xiu sedar bahawa ganjaran kemenangan itu tidak jauh berbeza dengan tali pinggang hijau tahap 10 yang sedang digunakannya. Tetapi memandangkan ia adalah pemberian hasil daripada rasa hormat ahli kumpulannya, dia menerima peralatan tersebut dengan hati terbuka.
Seterusnya, mereka bertembung pula dengan bos kedua dalam 'dungeon' ini, seekor labah-labah yang menembakkan sarang dari jarak jauh. Raksasa ini sangat menjengkelkan kerana ia akan terbang dan menembak sarang seakan-akan 'Spider-Man', tetapi mereka berjaya menghimpitnya ke sebuah penjuru hasil daripada tunjuk ajar Ye Xiu. Berlainan dengan raksasa yang terdahulu, mereka tidak menolak dan menyepak raksasa ini seperti bola. Sebaliknya, mereka menggunakan kemahiran yang mengakibatkan status 'Stun' secara berturut-turut demi menghalang raksasa itu menembakkan sarang-sarangnya.
Setelah mereka memenangi pertarungan buat kali kedua, rasa hormat mereka pada Ye Xiu telah mencecah sebuah tahap yang tidak dapat dibandingi lagi. Ye Xiu bukan sahaja menjadi pemain yang menyerap semua serangan musuh, dia jugalah pemain yang mempunyai kuasa serangan tertinggi dan dia juga bertugas untuk menyembuhkan ahli kumpulan yang tercedera. Di samping itu, dia merangka taktik pertarungan dan memberikan tunjuk ajar tentang cara yang paling berkesan untuk menjayakan taktik-taktik tersebut.
Pada akhirnya, mereka bertarung dengan bos terakhir di Gua Labah-Labah ini, 'Spider Lord'. Raksasa ini mempunyai kedua-dua sifat bos-bos yang sebelumnya, iaitu beracun dan menembakkan sarang. Ia mempunyai 8 kaki dan tubuh yang penuh dengan corak ngeri. Saiznya adalah dua kali ganda lebih besar dari bos-bos yang sebelumnya dan kelihatan sangat menjijikkan.
Sungguhpun raksasa ini kelihatan ngeri, Seven Fields dan rakan-rakannya tidak gentar sedikit pun kerana mereka tahu mereka tidak akan berhadapan dengan sebarang masalah jika mereka mematuhi semua arahan dari Lord Grim.
Seperti yang dijangka, raksasa ini hanyalah bersaiz lebih besar dan mempunyai serangan yang berbeza sedikit sahaja jika dibandingkan dengan raksasa-raksasa sebelum ini. Mereka berjaya menguasai pertarungan dengan mudah, berkat dari arahan yang diberikan Ye Xiu. Dalam masa yang singkat, raksasa tersebut pun tumpas.
"Kemenangan pertama!"
Kelihatan tulisan tersebut dari pengumuman sistem permainan. Ia diikuti dengan nama-nama mereka berlima.
"Tahniah kepada Sleeping Moon, Seven Fields, Sunset Clouds, Drifting Water, Lord Grim; Kemenangan Pertama Gua Labah-Labah Server Kesepuluh!"
Seven Fields dan rakan-rakannya tergamam sebentar sebelum diselubungi perasaan gembira yang tidak terkata. Mereka tidak pernah menyangka sama sekali akan menjadi kumpulan pertama yang menyelesaikan Gua Labah-Labah. Sudah tentulah ini adalah jasa daripada Lord Grim yang memimpin mereka dengan penuh berwibawa.
"Jahanam!" Itulah kata-kata sebuah kumpulan lain yang turut berada di dalam Gua Labah-Labah apabila melihatkan pengumuman tersebut.
Pada saat itu, kumpulan tersebut hampir-hampir sahaja membunuh 'Spider Lord', dan mereka menjangka akan dapat menyelesaikannya dalam tempoh sepuluh saat sahaja lagi. Tetapi, sepuluh saat tersebut ternyata lebih dari cukup untuk kumpulan lain memintas mereka.
Dengan penuh rasa sesal dan sakit hati, kelima-lima pemain tersebut hanya mampu menerima hakikat kekalahan. Impian mereka adalah untuk menjadi persatuan pertama yang menyelesaikan setiap 'dungeon' dalam server kesepuluh. Tetapi ternyata impian tersebut bakal menjadi angan-angan sahaja sekarang.
Sepuluh saat. Mereka tewas sebanyak sepuluh saat sahaja.
"Lord Grim? Bukankah ini adalah orang yang pertama sekali membunuh Midnight Phantom Cat?" tanya salah seorang pemain apabila 'Spider Lord' telah tumpas.
"Saya rasa begitulah."
"Dari mana datangnya pemain ni? Sudah dua kali nama dia diumumkan oleh sistem, sama seperti kamu juga, Blue River!"