Chereads / Waktu Remajaku Bermula Dengannya / Chapter 65 - Rumah Baru

Chapter 65 - Rumah Baru

"Bos, saya akan pergi pesan kereta baru Bos sekarang." Melihatkan riak wajah Presiden itu, Yang tidak berani berbual lagi dan segera beredar.

Qin Chu duduk diam di dalam pejabatnya, menikmati sinaran lembut sang mentari.

Dengan berhati-hati, dia membuka laci bawah mejanya dan membawa keluar sekeping gambar yang sudah berusia dan kekuningan. Qin Chu merenung gambar tersebut dengan diam buat jangka masa yang lama.

Akhirnya, dia meletakkan kembali gambar itu ke dalam lacinya dengan berhati-hati.

-Di Jabatan Reka Cipta-

Jiang Linyue terdengar Presiden itu berada dalam mood yang baik sehinggakan dia mengarahkan semua orang diberikan gaji berganda. Jiang Linyue merasakan peluang yang jarang-jarang diperoleh kini memunculkan dirinya.

Pada penghujung hari bekerja itu, Jiang Linyue sengaja berjalan ke pejabat Presiden, melangkah dengan kasut tumit tinggi 7-inci dan memegang timbunan dokumen yang tebal.

Seperti yang diharapkannya, dia tiba tepat pada masanya untuk melihat Qin Chu meninggalkan pejabatnya.

Sebaik sahaja Qin Chu hampir melewatinya, Jiang Linyue sengaja menghilangkan keseimbangan tubuhnya.

Dengan itu, semua dokumen yang dipegangnya terlepas daripada tangannya.

Dia turut rebah ke lantai dengan sangat bergaya.

Apabila belakang tubuhnya menyembah lantai dan dia dapat merasakan kesakitan akibat jatuh, Jiang Linyue akhirnya tersedar akan sesuatu.

Bukankah Presiden sepatutnya menangkapnya tepat pada masanya, dan memegangnya dengan rangkulan lembut?

Sekurang-kurangnya, itulah yang berlaku dalam novel-novel romantik dan drama bersiri yang terkenal.

Boleh seseorang terangkan kepadanya kenapa taktiknya tidak menjadi?

Qin Chu tunduk melihat ke bawah pada pekerja wanita yang terjatuh di hadapannya. Keningnya berkerut sedikit.

Jika dia melangkah wanita itu, itu terlampau tidak budiman…

Jadi, dia mengelilingi Jiang Linyue, melayannya bagaikan satu halangan semata-mata.

Selepas itu, Qin Chu turut menarik keluar telefon bimbitnya dan menelefon Pembantu Yang.

"Bos, apa yang saya boleh tolong?"

"Maklumkan pada pihak pengurusan: Mulai esok, semua pekerja wanita dilarang memakai kasut dengan tumit yang ketinggiannya melebihi tiga inci."

 "Em. Baiklah, Tuan."

Walaupun Yang tidak tahu mengapa Presiden mengeluarkan arahan yang begitu aneh, dia tetap melakukan perkara yang diarahkan kepadanya.

Jiang Linyue memerhati Presiden itu berjalan pergi. Dia tidak tahu sama ada dia patut menangis atau tidak.

Apa yang patut dilakukannya untuk merapatkan dirinya dengan lelaki kegilaan idamannya itu? Dia merasakan kesakitan mencucuk pada buku lalinya dan terfikir jika ia patah.

Dia sudah melakukan semua perkara untuk menarik perhatian Presiden itu.

Di rumah, Huo Mian menikmati mandian hangat dan kemudiannya, menyudahkan satu timbunan besar pakaian untuk dicuci. Akhirnya, dia membersihkan tempat itu dengan teliti.

Sebaik sahaja dia mahu berehat, satu ketukan pada pintu kedengaran.

Dia memandang pada jam: pukul 5.30 petang. Pada waktu begini, dia yakin orang yang mengetuk pintunya adalah Qin Chu.

Seperti yang dijangkakan, apabila dia membuka pintu tersebut, dia ternampak Qin Chu berdiri di muka pintu.

Lelaki itu memakai sut gaya Itali yang dibuat khas, berwarna biru gelap. Nampaknya, dia baru sahaja pulang daripada bekerja kerana dia belum menukar pakaiannya.

"Saya ke sini untuk menjemput kamu. Jom."

"Saya masih ada banyak barang di sini. Biar saya bawa mereka bersama saya."

"Tidak perlu. Saya akan suruh seseorang datang ke sini dan uruskan semua barang di sini. Bawa barang keperluan kamu sahaja. Saya tunggu kamu di kereta."

-Sepuluh minit kemudian-

Huo Mian berjalan keluar dari biliknya. Dalam pelukannya, dia membawa satu kotak kadbod berisi beberapa buah buku kegemarannya bersama-sama bantal peluk tembikainya.

Dia sudah tinggal di sini lebih dari setahun. Pemindahan yang mengejut ini membuatkan Huo Mian sedar yang dia akan merindukan tempat ini.

Namun, Qin Chu juga betul. Memandangkan mereka sudah berkahwin, agak tidak sesuai untuk terus tinggal berasingan.

"Apabila mereka tamatkan sewaan saya, jangan lupa minta dua ribu yuan yang saya bayar sebagai deposit itu." Huo Mian mengingatkan Qin Chu sebaik sahaja dia duduk di tempat penumpang.

Qin Chu tidak tahu apa yang perlu dibalasnya tetapi dia tetap menganggukkan kepalanya.

Sebaik sahaja mereka mula bergerak, Huo Mian berasa kurang selesa.

Selepas memikirkan hal itu buat masa yang lama, Huo Mian akhirnya bertanya, "Adakah kita akan…tinggal dengan ibu bapa kamu?"

"Adakah kamu bergurau?"

"Jadi, hanya kita berdua tinggal bersama-sama?" Huo Mian bersemangat.

"Kamu rasa?" Qin Chu membalas dengan soalannya sendiri.