"Saya tidak tahu ia akan jadi seperti itu."
"Qin Chu, lepaskan saya. Saya serius. Hidup saya agak baik selama tujuh tahun tanpa kamu. Sekarang kamu sudah kembali, perkara pertama yang kamu lakukan adalah mengganggu keluarga saya. Kamu tahu tak bahawa saya menyesal berpasangan dengan kamu? Saya sepatutnya tahu apa akan berlaku jika saya berpasangan dengan seseorang daripada keluarga kaya. Jika bukan kerana hubungan kita, bapa tiri saya pasti masih hidup dan emak saya tidak akan membenci saya. Sudah tujuh tahun dan emak saya masih tidak mahu memaafkan saya. Sekarang, saya akhirnya boleh hidup normal. Jadi tolonglah, tinggalkan saya seorang."
"Kamu benar-benar maksudkan apa yang kamu katakan?" Qin Chu menyoal Huo Mian dengan mata yang dipenuhi kesedihan dan kepiluan.
Huo Mian merapatkan bibirnya dan perlahan-lahan menjawab, "Ya, saya benar-benar memaksudkannya. Saya akan berkahwin dengan Ning Zhiyuan tidak lama lagi. Kami sudah bersama selama tiga tahun dan kami ada hubungan yang hebat. Lupakanlah masa lalu."
Selepas mendengar kata-kata Huo Mian, Qin Chu terdiam kaku tanpa mengucapkan sepatah kata.
"Apa apa pun, saya tidak akan berjumpa kamu lagi kerana tiada sebab untuk berbuat begitu. Jika kamu susahkan saya dan keluarga saya lagi, saya akan laporkan pada polis. Itu sahaja." Selepas Huo Mian selesai bercakap, dia mengeluarkan seratus yuan dan meninggalkannya di atas meja sebelum beredar.
Personalitinya masih sama seperti tujuh tahun yang lalu. Dia sentiasa tegas membuat keputusan dan tidak teragak-agak atau tidak terurus.
Itulah gadis aneh yang dicintai Qin Chu…
Mengenai apa yang berlaku di tempat emaknya, Huo Mian salah faham mengenai niat Qin Chu. Qin Chu benar-benar ingin memperbetulkan kejadian lalu.
Sejuta yuan tidaklah banyak baginya tetapi itu pasti membuatkan hidup mereka lebih mudah. Namun, emak Huo Mian bukan sahaja menolak pemberiannya malah dia turut menyumpah Qin Chu. Dia tahu bapa tiri Huo Mian bukannya mati di tangannya sendiri, tetapi dia lah penyebab kejadian tersebut.
Orang yang mati tidak boleh dihidupkan kembali. Jadi, memang patut Huo Mian membencinya.
Merenung dua cawan air di atas meja tersebut, Qin Chu duduk berseorangan dengan begitu lama sebelum meninggalkan kafe tersebut.
Selepas pertemuan mereka, Huo Mian kembali ke pangsapurinya dengan hati yang berat.
Dia merasakan yang dia begitu berterus-terang dengan kata-katanya. Tetapi dia tidak tahu jika Qin Chu boleh menerimanya.
Mereka sudah tidak bertemu satu sama lain buat tujuh tahun lamanya. Pelbagai perkara sudah berlaku. Tidakkah dia mencari teman wanita semasa di luar negara?
Fikirannya mula menerawang bebas.
Dia kembali ke alam nyata apabila terdengar tombol pintu dipulas.
Ning Zhiyuan menolak pintu dan berjalan masuk. Dia tidak terkejut Huo Mian berada di rumah.
"Zhiyuan, kamu sudah pulang. Sudahkah kamu makan?"
"Mmm." Dia menjawab dengan riak aneh di wajahnya sebelum menuju ke bilik tidurnya.
Dia tidak mengendahkan Huo Mian yang duduk di sofa di ruang tamu.
Huo Main mengikutnya masuk. "Adakah kamu jalankan banyak pembedahan hari ini? Kamu penat?"
Ning Zhiyuan tidak menjawab. Sebaliknya, dia membuka almari dan mula berkemas.
"Zhiyuan, apa yang kamu lakukan?"
"Saya tidak akan tinggal di sini lagi mulai sekarang." Dia menjawab dingin.
"Kenapa tidak?"
"Sebab saya tidak mahu melihat muka kamu." Jawapannya ringkas dan kejam.
Huo Mian terdiam.
"Saya akan tinggal di tempat baru. Saya akan tinggalkan semua perabot dan perkakasan di sini. Saya tidak merancang untuk memulangkan duit bahagian kamu untuk bayaran pendahuluan rumah ini. Saya sudah luangkan banyak benda untuk kamu selama tiga tahun, jadi saya kira pendahuluan rumah itu sebagai bayaran ganti. Mulai sekarang, kita tidak berhutang dengan satu sama lain."
"Zhiyuan, duit bukan masalahnya."
"Tapi masalahnya saya tiada duit. Haha, sekaya manakah bekas kekasih kamu? Dia putera empayar perniagaan GK kan? Huo Mian, saya benar-benar memandang rendah pada kamu. Kamu ada bekas teman lelaki yang begitu berkuasa. Apa yang kamu buat dengan saya? Adakah kamu menggunakan saya untuk mengisi masa lapang?"