Meng Hao menelusuri Lautan Utara dengan laju dan bergerak lebih pantas. Teras laut di dalam dirinya beralun dan bergelora sebelum dia melihat permukaan tasik. Dia keluar dari air lalu mengalirkan gelombang yang melanda ke semua arah.
Pada masa yang sama ketika dia bergerak keluar dari tasik, dua pedang kayunya muncul bersiung di udara dari arah yang berbeza semasa kedua-dua bilah terbang ke arahnya. Mereka mengelilinya dan salah satu daripada pedang kayu itu berada di bawah kakinya manakala yang satu lagi terbang di sebelahnya.
Ketika itu, Ding Xin meledak keluar dari tasik sambil matanya tertancap pada Meng Hao. Wajahnya kelihatan seperti tidak percaya. Bagaimana Meng Hao ... masih hidup?!
"Mustahil! Dia tidak berada di tahap Pengukuhan Asas. Tiada siapa yang dapat menahan Qi Ungu dari Timur yang sempurna daripada Sekta aku yang disokong dengan pengorbanan asas Pertapaan aku sendiri dan hayatku!!" Dia menjegil Meng Hao sambil berundur sedikit tetapi masih belum percaya dengan apa yang dilihatnya.
Mungkin dia tidak mahu percaya kerana pada masa ini dia tidak lagi berada di tahap kesembilan Pemekatan Qi. Bahkan tahap kelapan Pemekatan Qi-nya agak tidak stabil. Luka di dadanya tidak sembuh dan tenaga rohaninya berterusan bocor. Dia bimbang dia mungkin akan segera turun daripada tahap kelapan Pemekatan Qi ke tahap ketujuh.
Wajahnya terus menjadi pucat. Namun, dia tidak seperti Qiu Shuihen dan yang lain. Meskipun dia terkejut melihat Meng Hao masih hidup, dia kembali tekad dalam sekelip mata. Tanpa teragak-agak, dia meluncur pergi dengan daun raksasa yang muncul di bawah kakinya dan membawanya pergi jauh. Dia tidak berlawan tetapi melarikan diri.
Dia tidak mempunyai pilihan selain daripada melarikan diri. Dia dapat mengagak Meng Hao pulih sepenuhnya dan asas Pertapaannya telah meningkat sedangkan dia sendiri menderita akibat kecederaan dalaman yang parah. Dia tidak mempunyai pilihan lain selain berundur.
Meng Hao memandang dingin ketika Ding Xin melarikan diri. Meng Hao tidak terus mengejar, tetapi sebaliknya memandang ke arah tasik sambil membuat salam tumbuk hormat.
"Aku akan ingat kebaikan ini sehingga akhir hayatku!" kata Meng Hao dengan suara yang berbisik. Kemudian, dia mengangkat kepalanya dan melibas lengan bajunya. Pedang di bawah kakinya berdengung dan dia berubah menjadi sinar cahaya semasa dia bergerak laju untuk mengejar Ding Xin.
"Mulai sekarang, pemburu pula diburu," katanya dengan mata yang dipenuhi dengan niat membunuh. Setelah meninggalkan Sekta Reliance, Meng Hao tidak pernah berkeinginan untuk membunuh sesiapapun seperti yang dia rasa terhadap Ding Xin sekarang. Kecuali mungkin Shangguan Xiu. Keinginannya untuk membunuh memenuhi matanya sehingga ia bersinar. Sepanjang Pertapaannya, dia belum pernah cedera parah. Bahkan, itu sebenarnya tidak dianggap sebagai cedera. Dia sudah ... terbunuh!
Satu sinar yang menyilaukan memenuhi matanya ketika dia berlari dalam pemburuan. Dalam sekelip mata, dia meninggalkan Lautan Utara. Setelah seketika, dia telah bertemu dengan Ding Xin yang sedang makan pil perubatan waluapun asas Pertapaannya terus menurun.
Meng Hao tidak berkata apa-apa. Sebaliknya, dia hanya mengangkat jarinya dan pedang kayu yang terbang di sebelahnya memecut ke hadapan mengejar Ding Xin. Ding Xin yang berwajah pucat menoleh ke belakang setelah menyedari kekuatan pedang yang aneh itu. Dia menepuk beg saktinya dan busur hitam panjang segera muncul di tangannya. Dia tidak mengendahkan tenaga rohaninya yang terus-menerus hilang lalu menarik busurnya dan menembak anak panah.
Anak panah itu bergemuruh ke arah pedang kayu. Ketika kedua-duanya bertembung, satu letupan kedengaran dan anak panah itu musnah. Pedang kayu itu bergegar.
Raut wajah Meng Hao kosong. Dia mengangkat jarinya sekali lagi dan pedang kayu sekali lagi memecut ke hadapan. Ding Xin yang serba pucat tidak mempunyai pilihan lain selain daripada melepaskan satu lagi anak panah.
Kedengaran sebuah letupan dan pedang kayu itu terus menyerang Ding Xin.
Mata Ding Xin menjadi merah. Adakah dia tidak sedar Meng Hao sedang membalas dendam dan berniat untuk menyusutkan asas Pertapaannya dan menyebabkannya berasa sangat letih?
Setelah turun daripada tahap kesembilan Pemekatan Qi, kecederaannya bertambah teruk. Dia sudah lemah, tetapi dia takut dengan pedang kayu tersebut. Maka, dia tidak dapat melakukan apa-apa selain daripada menggunakan anak panahnya untuk mempertahankan diri. Malangnya, keadaannya yang lemah telah menyebabkan anak panahnya turut lemah dan tidak mempunyai kekuatan seperti sebelumnya. Ketika dia menembak anak panahnya yang keenam, tubuhnya tiba-tiba menggeletar ketika asas Pertapaannya mula turun dengan mendadak daripada tahap kelapan Pemekatan Qi kepada tahap ketujuh.
Pedang kayu yang berada di hadapannya tiba-tiba menusuk dadanya. Lukanya tidak kritikal tetapi darah membuak-buak keluar. Ding Yin melepaskan jeritan sengsara dan cuba untuk melarikan diri dengan lebih cepat.
Tubuhnya menggeletar ketika dia merasakan tenaga rohani yang mengalir keluar lebih banyak daripadanya. Asas Pertapaannya yang goyah turun dengan cepat, daripada tahap kelapan Pemekatan Qi ke tahap ketujuh!
Sebenarnya, Asas Pertapaannya tidak merosot. Namun, dia kehilangan tenaga rohaninya dengan sangat cepat dan tanpa sebarang kesembuhan. Dia hilang tenaga rohani dengan begitu banyak sehingga tahap kekuatannya berada pada tahap ketujuh Pemekatan Qi.
Dia telah makan pil perubatan, tetapi malangnya kecederaan daripada kedua-dua pedang itu telah membocorkan tenaga rohaninya. Tiada cara baginya untuk sembuh pada masa ini.
"Aku pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung!" teriak Ding Xin dengan pekikan yang garang. "Jika kamu berani membunuh aku, Sekta Takdir Ungu Lembayung akan mencari dan memburu kamu meskipun memakan masa ratusan tahun! Mereka tidak akan berhenti sampai kamu mati!" Dia terdesak. Dia mengeluarkan jeritan yang menyeramkan ketika pedang kayu Meng Hao melepasinya. Pedang itu tidak menikamnya tetapi mencederakannya, lalu tenaga rohaninya hilang dengan lebih cepat.
"Aku dah mati sekali," kata Meng Hao selamba. Matanya dingin ketika dia melambai jarinya sekali lagi.
Masa berlalu. Satu jam telah berlalu dalam sekelip mata sahaja dan selama itulah tangisan sengsara Ding Xin terus kedengaran. Tubuhnya menjadi kaku dipenuhi dengan ratusan luka pedang. Dia bermandikan darah. Tiada satu pun daripada lukanya yang kritikal, tetapi dia mengeluarkan begitu banyak darah sehingga kelihatan seperti orang mati.
Ding Xin seorang Pertapa dan ketika pandangannya semakin kabur, perkara yang paling menakutkannya bukanlah lukanya pada badannya, tetapi tubuhnya yang menjadi bagaikan penapis. Tenaga rohaninya mengalir keluar darinya dengan sangat cepat sekali.
Tahap keenam Pemekatan Qi, yang kelima, yang keempat ...
…
Kedengaran letupan dan Ding Xin jatuh ke tanah sambil memuntahkan darah. Dia bergegas ke hadapan untuk melarikan diri sepantas yang boleh. Dia tidak lagi mampu melakukan apa-apa penerbangan. Asas Pertapaannya telah turun begitu rendah bagaikan dia berada di tahap ketiga Pemekatan Qi.
"Meng Hao, jika kamu membunuh aku, kamu akan dibunuh tanpa pengebumian yang sewajarnya! Aku pengikut Sekta Takdir Ungu Lembayung. Jika aku mati, itu akan menimbulkan masalah bagi seluruh Negeri Zhao. Jangan berani membunuh aku!" Tubuhnya menggeletar. Dia melawan perasaan takut di hatinya dan terbatuk lebih banyak darah.
Meng Hao menyambar daun terbang raksasa Ding Xin. Tanpa berkata apa-apa, dia menggerakkan jarinya sekali lagi dan pedang kayu itu meluncur ke arah Ding Xin.
Masa berlalu dengan pantas. Di tengah hutan sana, Ding Xin tidak lagi menyerupai pengikut daripada Sekta yang hebat. Dia menatap Meng Hao dengan mata yang dipenuhi dengan dendam. Namun, dalam dendam itu juga ada penyesalan. Dia menyesali keinginannya untuk melihat lawannya menggunakan Teras Syaitan. Sebaliknya, dia seharusnya tidak berlembut pada awalnya dan segera membunuh Meng Hao.
"Aku sepatutnya membunuh kamu dengan kejam!" katanya sambil menggertakkan giginya dengan dadanya yang berombak. Nampaknya, dia lebih tertarik menghamburkan kemarahannya daripada bernafas.
"Kamu tahu, kamu mengajar aku sesuatu," kata Meng Hao. Dia selesai membalas dendamnya. Tangannya diangkat dan pedang itu jatuh. Kepala Ding Xin terbang ke udara dan darah terpercik ke merata-rata tempat. Ia jatuh lalu berguling di tanah di bawah sepohon pokok besar.
Matanya masih penuh dengan rasa tidak percaya. Dia tidak boleh mempercayainya kerana dia pengikut daripada Sekta Takdir Ungu Lembayung yang berada di tahap kesembilan Pemekatan Qi. Dia adalah Yang Terpilih dan akan mencapai Pengukuhan Asas. Maka, dia akan benar-benar menjadi Yang Terpilih dan namanya bakal menggegarkan Wilayah Selatan.
Namun, di sini dia mati di Negeri Zhao terpencil, dibunuh oleh Meng Hao, seperti seekor serangga yang boleh dikawal dan dimusnahkan dengan mudah.
Meng Hao menutup matanya buat tempoh yang lama. Ini bukan kali pertama dia membunuh seseorang dan kali ini dia tidak beremosi. Dia sudah mati.
"Hari itu semasa aku bertemu dengan Yan Ziguo, aku sepatutnya membunuh dia dan juga semua orang yang bersamanya." Matanya penuh dengan keazaman. Dia sekarang merasai akibat daripada keraguannya ketika itu, semasa dia memiliki kesempatan untuk membunuh Yan Ziguo.
"Aku tidak mahu mati untuk kali kedua." Dia mengangkat tangan kanannya dan membuat isyarat memanggil. Beg sakti Ding Xin terbang ke arahnya. Kemudian, dia melibas lengan bajunya dan Ular Sawa Berapi muncul. Ia memakan tubuh dan kepala Ding Xin sehingga menjadi abu.
Meng Hao berpaling dan berlalu pergi.
Pada suatu petang, salji mula turun dari langit semasa dia berjalan kejauhan. Salji menutupi diri, jejak kakinya dan bau darah. Salji menemaninya semasa dia semakin jauh berjalan.
"Akulah salji semasa musim sejuk. Jika aku terlalu dekat dengan musim panas, maka ... musim panas akan mencairkan aku. Itu bukanlah dunia salji, juga bukan dunia aku." Meng Hao menghilang kejauhan. Dia kelihatan seperti seorang sarjana, tetapi jauh di lubuk hatinya, dia sedingin salju.